Salam semua. Setelah penceritaan dibiarkan lompang sehari baru pergi pada hari ke-3 perjalanan baru Perak. Bersambung daripada artikel Dari Selangor ke Perak : Menyambung wasilah Laksamana dari Taiping ke Kuala Kangsar.
Tengah hari Isnin 11 Disember 2023 iaitu seminggu lalu. Selepas bermalam di hotel yang kelihatan kami pun bersedia untuk menyambung perjalanan.
Ikut rancangan asal, selepas selesai urusan di Kuala Kangsar hari sebelumnya kami mahu bermalam di mana-mana tempat berdekatan Beruas. Lalu siang esoknya berjalan di sana sebelum menghala ke Bota Kiri kemudian ke Pasir Salak dan lebih jauh ke selatan.
Sebaliknya kami sekadar lalu di Beruas kemudian meneruskan ke Sitiawan di mana kami bermalam. Isteri dan anak meminta agar dapat menginap lebih selesa di hotel, bukan di masjid seperti asalnya dirancang. Lalu di Sitiawan baru dapat ditemukan hotel yang cukup murah namun cukup selesa.
Saya pula melihat perkara sebegini. Sekurang-kurangnya dari Sitiawan sudah cukup dekat ke bandar peranginan Lumut. Hari tu ketika bertolak dari Shah Alam ke Taiping petang Sabtu 9 Disember (lihat
Dari Selangor ke Perak : Asbab bicara Laksamana) kami setakat lalu sipi-sipi di luar Lumut sebelum menyeberang Sungai Dinding ke Pantai Remis. Kali ini baru singgah lalu bergerak sedekat mungkin ke pengkalan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) sebelum berehat makan minum di satu tempat berdekatan.
Laluan sedekat mungkin pengkalan TLDM sebenarnya memiliki makna simbolik bagi perancangan perjalanan hari itu. Adapun daripada segi naungannya TLDM terletak di bawah Sultan Selangor sedangkan hari itu 11 Disember adalah hari keputeraan baginda.
Disebabkan ia adalah cuti umum di Selangor isteri dan anak dapat ikut keluar berjalan-jalan di Perak. Dalam gambar ini kelihatan pengkalan TLDM di bahagian tengah sementara bukit yang paling tinggi di latar belakang terletak di Pulau Pangkor mengingatkan pada Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 yang ditandatangani, antaranya oleh moyang kepada datuk saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.
Ke kanan kaki langit pula kelihatan satu bukit paling tinggi di mana terletaknya makam Nakhoda Muhammad Taib, Beliau bertanggungjawab membersihkan Lumut dan persekitarannya daripada kekuasaan lanun lalu membangunkan penempatan tahun 1850an Masihi. Nakhoda Taib diberi mandat untuk mentadbir kawasan oleh Sultan ke-23 Perak, Sultan Jaafar (1857-1865). Baginda juga adalah orang yang bertanggungjawab mengangkat Muhammad Amin sebagai Laksamana Perak.
Selesai mengambil 'rasa' di Lumut baru bergerak ke destinasi utama yang dirancang untuk tarikh 11 Disember itu. Oh, biar ditambah. Selain ia hari keputeraan Sultan Selangor ia adalah hari ulang tahun kelahiran ayah saya yang ke 81.
Lebih istimewa lagi buat kami ia adalah hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-15. Ini antara sebab kenapa malam itu ditukar penginapan ke hotel, bukan di mana-mana masjid seperti asalnya dirancang. Lalu atas asbab mencari hotel yang cukup murah tapi cukup selesa itulah dibuat persinggahan ke bandar Lumut sehingga menghampiri pengkalan TLDM yang terkait dengan Sultan Selangor, pada hari keputeraan baginda.
Dari jalan Lumut ke Teluk Intan masuk ke arah Ulu Dedap dan Seberang Perak.
Singgah dahulu ke masjid Air Mati yang terletak ke selatan Pasir Salak untuk bersolat.
Kemudian baru ke destinasi utama hari itu yang terletak beberapa kilometer lagi ke selatan.
Kami pergi sejauh mungkin dapat dicapai dengan kereta kemudian berjalan kaki sedikit. Saya mahu menunjukkan kepada isteri lokasi kota lama Lumut berdekatan Sungai Perak, lain daripada bandar Lumut berdekataan kuala Sungai Dinding yang dikenali sekarang.
Selesai itu baru ke satu kawasan yang dikenali sebagai Bandar tetapi sekarang tinggal cuma beberapa buah rumah masih diduduki orang. Dahulu ia memang satu penempatan orang Melayu yang pesat. Datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad bin Laksamana Muhammad Amin ada disebut dalam jurnal J.W.W. Birch (residen pertama British ke Perak, 1874-1875) sebagai memiliki sebuah rumah yang selesa di Bandar.
Selesai urusan di Bandar dan sekitar baru ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit. Masjid ini berdiri atas tanah yang diwakafkan oleh Hajah Halijah, isteri kepada Orang Kaya Arshad. Terdapat makam beberapa orang Laksamana di halamannya termasuk makam Nakhoda Hitam yang dialih dari tempat asalnya di Kuala Bidor.
Selepas itu baru ke bandar Teluk Intan di mana isteri dan anak menaiki kereta kawan untuk kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya. Saya pula meneruskan perjalanan di Perak kerana ada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pagi Selasa dan Rabu 12-13 Disember melibatkan harta Laksamana Muhammad Amin di Mekah.