Merujuk lagi pada artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British yang dipersembahkan dua hari lalu, artikel yang menceritakan tentang kerja-kerja berkenaan pada 19 hingga 20 Julai 2022. Untuk makluman proses ini disambung lagi 27 hingga 28 Julai iaitu sehingga petang semalam. Sekarang biar dilepaskan cerita. Bersambung daripada artikel Prospek masa hadapan institusi beraja di Malaysia.
Adapun majlis tentang institusi beraja itu tamat sekitar jam 1 petang. Selepas itu hadirin turun makan di restoran hotel. Saya duduk bersama Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali serta dua orang wakil daripada Muzium Sabah. Disebabkan banyak berbual macam-macam perkara jam 3 baru meninggalkan hotel untuk menyambung kerja pencarian dokumentasi di Perpustakaan Negara.
Terus menuju ke bahagian berkenaan. Kebetulan hari itu saya berbusana tradisional Melayu penuh bersampin, bertanjak dan berkeris. Sambung aje le berpakaian sebegitu ke perpustakaan membawa semangat anak Melayu yang mahu menjunjung tinggi institusi beraja demi kemaslahatan ummah. Letak keris sat atas dokumen sebagai tanda dan isyarat. Semoga membawa berkat.
Kali ini saya bermula dengan dokumen-dokumen awal tahun 1898. Ketika gambar ini diambil sudah jam 3.49 petang.
Masuk jam 5 baru sampai penghujung April tahun 1899 sedangkan perpustakaan dah nak tutup. Nak tak nak memang kena sambung hari lain. Saya memang sudah bersedia untuk itu.
Saya telah memberitahu isteri bahawa akan bermalam di mana-mana untuk menyambung kerja. Malam Jumaat baru balik. Itupun sebab pagi Jumaat isteri perlu ke pejabat hingga petang lalu saya pula perlu menguruskan anak pergi balik sekolah. Kebetulan sekembalinya dari Perak malam sebelumnya masih ada baju belum dipakai dalam beg. Saya setakat perlu menambah sedikit pakaian bersih lalu bersedia untuk keluar.
Walaupun harus keluar dari dewan bacaan perpustakaan jam 5 kita masih lagi boleh berlegar-legar di sekitar bangunan-bangunan dalam halaman perpustakaan. Saya tidak mahu terus bergerak keluar kerana tidak mahu menempuh kesesakan jalan raya akibat orang ramai balik kerja. Saya mencari satu bahagian perpustakaan yang selesa yang ada power point untuk membuka komputer riba lalu membuat sedikit kerja. Di atas gulungan-gulungan permaidani yang kelihatan di tengah gambar inilah saya duduk lama sehingga jam 8. Di sinilah dibuat lalu dipersembahkan artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British...
Punyalah selesa, walaupun ada nyamuk dan dikatakan gatal, sehingga terfikir elok juga bermalam di atas gulungan permaidani itu. Kawasan ini pula jarang dilalui orang sekarang. Dahulu ke kiri itu adalah perpustakaan khas bagi kanak-kanak, ke kanan adalah kafeteria perpustakaan. Memang selalu sibuk ada orang keluar masuk. Tetapi ia mula menjadi sepi sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk mengekang wabak Covid-19 berkuatkuasa bermula bulan Mac tahun 2020. Sampai sekarang keadaan di perpustakaan belum pulih, tidak begitu ramai lagi orang datang.
Namun pengawal keselamatan tidak membenarkan. Saya faham dan akur tidak mahu menyusahkan. Dengan itu keluarlah saya menghala ke Jalan Pahang. Tergerak pula untuk masuk di lorong sebelah hospital yang dahulunya Hospital Tawakal. Terkenang bagaimana sekitar tahun 2003, selepas bersolat Jumaat di sebuah masjid besar dekat Supermarket Ong Tai Kim di satu bahagian Gombak saya tergerak untuk berjalan kaki hingga ke bahagian yang kelihatan.
Ceritanya telah diabadikan dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" yang terbit November 2007. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003. Boleh tuju terus ke Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Mencari wasilah ke Aceh. Gambar ini menunjukkan keadaan di sebuah restoran mamak berdekatan. Kelihatan di seberang jalan dengan papan tanda berwarna hijau Restoran Haslam. Ia masih wujud sedangkan kedai cermin mata yang mana di dalamnya saya pertama kali terjumpa satu risalah tentang Tok Pulau Manis, sebaris dengan restoran tetapi jauh sedikit ke arah kanan tidak ada lagi sekarang.
Adapun ketika berjalan kaki seorang diri sekitar 6 km hampir 20 tahun lalu itu saya ada singgah di masjid yang kelihatan. Ketika itu masjid yang diasaskan pada tahun 1933 ini masih digunakan. Sekarang sudah digantikan dengan masjid baru di belakang (yang kelihatan ada cahaya)...
Ketika persinggahan pertama tahun 2003 itu saya ada menyimpan niat untuk bermalam satu hari nanti. Tapi setelah beberapa lama masih tak buat-buat. Akhirnya baru jadi hari itu Selasa malam Rabu 27 Julai 2022.
Awal pagi Khamis 28 Julai saya bersolat Subuh berjemaah di masjid baru.
Dari situ bergerak ikut jalan belakang untuk ke Perpustakaan Negara...
Kebetulan laluan yang ditunjukkan oleh Google Map melalui simpang ke sebuah makam lama di Sentul. Saya pun singgah untuk berziarah. Tentang makam boleh lihat artikel lama Maulidur Rasul di makam Harun Al-Rasyid.
Selepas itu baru masuk Jalan Tun Razak untuk menuju ke Perpustakaan Negara.
Terlihat Balai Seni Negara timbul rasa untuk pergi ke "Rumah Degil" di perkarangannya, rumah tradisional Melayu yang didirikan di Chow Kit tahun 1926 sebelum dialihkan ke situ sekitar 10 tahun lalu.
Tengok-tengok ada pangkin selesa di bawah rumah. Ketika gambar ini diambil baru jam 7.32 pagi. Sedangkan perpustakaan cuma akan dibuka pada jam 10. Saya pun mengisi masa di pangkin. Nak makan di kafetaria tak boleh kerana sedang berpuasa sunat hari Khamis.
Di sinilah dipersembahkan artikel Misi Keluarga Laksamana part II - Antara Slim River, Teluk Intan dan Ipoh dan artikel sokongannya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Di sini juga disediakan artikel susulan iaitu Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Ipoh ke Sungai Siput dan Karai serta artikel sokongan-sokongan berkenaan tetapi belum dipaparkan pada waktu itu.
Disebabkan kesibukan bagai itu kemudian mandi lagi sekali lalu bersalin pakaian (saya dah mandi waktu Subuh tapi masih memakai pakaian tidur) jam 10.23 baru sampai ke perpustakaan.
Terus menyambung ke bahagian yang akhir sekali dilihat pada petang sebelumnya.
Kali ini saya berada begitu lama sehingga sampai satu peringkat membawa masuk sleeping bag untuk dipakai separuh badan akibat kesejukan (tak ambil gambar pula) lantaran lamanya dalam dewan berhawa dingin. Sedangkan perut kosong akibat puasa lalu kurang haba. Jam 5, sampai waktu untuk keluar saya mengambil gambar ini.
Bukan apa. Sekadar mahu menunjukkan berapa jilid dokumen sudah diteliti muka surat demi muka surat. Dua rak teratas sudah berjaya diliputi sejak memulakan usaha seperti dinyatakan dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British. Sekarang baru selesai jilid pertama pada rak ketiga. Selepas ini harus menyambung untuk separuh kedua tahun 1906 pula. Dengan ini selesailah gerak penulisan saya bagi tahun Islam 1443 Hijriah. Kurang 2 jam lagi akan masuk tahun baru 1444 Hijriah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan