Rabu, Oktober 13, 2021

Epistemologi Al-Ghazali : Kepentingannya bagi pemikiran semasa manusia

Salam. Meneruskan gerak penulisan yang sama daripada artikel Ustazah Cardiff yang kukenal... 2 hari lalu dan Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat 3 hari sebelum itu. Dengan perkongsian ilmu pada satu tarikh yang istimewa hari ini, 13 Oktober yang merupakan ulang tahun kelahiran ke-12 bagi anak laki-laki sulung saya.



Adapun sudah beberapa bulan saya terasa malas hendak mengikuti mana-mana majlis ilmu. Petang ini baru timbul rasa untuk melakukan lalu menulis tentangnya. Tajuk majlis ini (diadakan dalam bahasa Inggeris kerana diikuti masyarakat antarabangsa) boleh diterjemahkan sebagai "Epistemologi Al-Ghazali : Kepentingannya bagi Pemikiran Semasa Manusia". Dianjurkan oleh ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) ia mengenengahkan syarahan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC.



Saya masuk ke medan majlis yang dibuat melalui Zoom lebih 15 minit awal lalu mendapat paparan seperti di atas. Sebetulnya paparan ini diambil secara snapshot beberapa minit setelah saya masuk. Ketika itu didapati saya adalah orang ke 13 sudah berada di medan majlis. Kelihatan dalam paparan muka Osman sebagai orang kedua atas dari kiri. 

Untuk pengetahuan majlis ini adalah yang kedua dalam siri baru yang dipanggil ISTAC-World Professorial Lecture (Syarahan Profesor yang Mendunia?). Siri pertama telah berlangsung pada 23 September. Syarahannya bertajuk "Humanising Education : A Model of a University the World Needs in Post Normal Era" (Memanusiakan Pendidikan : Satu Model Universiti yang Diperlukan pada Zaman Selepas Normal?". Ia diberikan oleh Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (dalam gambar paling kiri atas).



Majlis dimulakan sekitar jam 2.30 petang dengan persembahan lagu Negaraku diikuti lagu tema UIAM iaitu "Leading the Way" (Memimpin Perjalanan). Ini diikuti kata-kata pengenalan tentang majlis oleh Dekan ISTAC Profesor Dr Abdelaziz Berghout, kata-kata aluan oleh Timbalan Rektor UIAM Profesor Ahmad Faris Ismail kemudian pengenalan tentang pensyarah oleh moderator Profesor Madya Dr Imtiyaz Yusuf dari ISTAC.



Osman memulakan syarahan dengan menyatakan bahawa ia adalah kesinambungan daripada syarahan terdahulu iaitu tentang peranan universiti (dalam memanusiakan pendidikan). Ini tentunya merujuk pada pengisian yang lebih bermakna di menara gading bagi menangani keadaan dunia sekarang.



Rasanya semua orang Islam atau sekurang-kurangnya semua yang mengenali dunia pemikiran Islam tahu siapakah Imam Al-Ghazali (hidup 1058-1111 Masihi). Ulamak besar sebegini sudah tentu harus dijadikan contoh dalam pengisian suatu universiti Islam. Disebutlah tentang beberapa peranan  Al-Ghazali - sebagai seorang ulamak Syariah, sebagai ahli kalam, sebagai ahli falsafah, sebagai ahli Sufi dan sebagainya. Al-Ghazali manakah yang patut kita kenal atau semuanya boleh diambil secara selari? Maka itu Osman mengubah sedikit tajuk dengan menambah perkataan Integral yang boleh membawa maksud penggabungan pelbagai epistemologi atau kaedah menggali ilmu.



Osman pun memberikan satu ungkapan oleh pemikir dan sejarawan silam Islam terkenal Ibnu Khaldun seperti tertulis dalam kitab besarnya Mukadimah. Terjemahan saya :-


Patut diketahui bahawa panduan bagi kanak-kanak tentang Al-Quran adalah simbol Islam. Orang Islam memiliki dan mengamalkan panduan-panduan sebegitu di semua bandar mereka, kerana ia mencelikkan hati dengan kepercayaan kukuh (tentang Islam) dan rukun-rukunnya tentang Iman, yang disaring daripada ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi yang tertentu. Al-Quran telah menjadi asas panduan, asas pada semua tabia'at yang akan diperolehi nanti. Sebabnya adalah perkara-perkara yang diajarkan ketika zaman muda seseorang berakar umbi lebih dalam (daripada yang lain). Ia menjadi asas kepada semua pengetahuan kemudian. Kesan pertama yang diterima hati, menurut satu cara, menjadi asas semua tabiat (kesarjanaan).


Lalu dinyatakan bagaimanakah hal ini terkait dengan perjalanan Al-Ghazali yang hidup beberapa abad sebelum Ibnu Khaldun.



Osman mengajak hadirin untuk mengikuti perjalanan hidup Al-Ghazali dalam menuntut ilmu kerana menurut beliau inilah yang membentuk epistemologi atau kaedah mengaji/menerima ilmu beliau. Ini boleh dibahagikan pada zaman kanak-kanak, zaman duduk asrama di Tus, pendidikan menengah di Jurjan, pendidikan universiti di Nishapur kemudian krisis keilmuan beliau.



Ditunjukkanlah peta mengandungi tempat-tempat penting dalam perjalanan  Al-Ghazali mencari ilmu.



Ia bermula dengan ajaran oleh bapa sendiri di rumah secara home schooling. Kata Osman di situ juga beliau mula mendapatkan pendedahan kepada dunia Sufi. Al-Ghazali dan adiknya Ahmad selalu didedahkan kepada cerita-cerita tentang kehidupan para wali. Para wali ini menjadi contoh peribadi yang boleh diikuti. 

Seperti biasa pada zaman itu pengajaran dalam Al-Quran dan Hadis diterima secara bersanad. Osman menyebut tentang pentingnya masyarakat mendapatkan ilmu yang disampaikan begini juga pentingnya menghafal serta menghormati mereka yang berautoriti dalam ilmu.



Masuk umur 12 Al-Ghazali ke madrasah dan duduk di asrama. Ketika itu penguasaan dalam bidang Syariah menjadi idaman semua orang. Al-Ghazali sendiri mahu menjadi seorang pakar Syariah. Osman menggunakan perkataan Inggeris jurist. Mungkin ini boleh diterjemahkan sebagai khadi. Guru Al-Ghazali adalah Ahmad al-Radhkani. Kata Osman pada peringkat ini mula tersemai bibit-bibit satu pertembungan epistemologi (yang akan muncul kemudian)...



Masuk peringkat menengah beliau mengaji di Jurjan (sekitar 600 km ke barat Tus). Pengajaran dalam bidang Syariah yang lebih tinggi pun diterima. Guru beliau adalah Abu Nasr al-Ismai'ili. 

Menurut satu cerita Al-Ghazali pernah mendapat pengajaran daripada seorang perompak dalam tempoh waktu ini. Pada satu hari, dalam perjalanan kembali ke Tus rombongan beliau ditahan perompak. Semua yang dimiliki pun diminta. Beliau memberikan semua kecuali satu. 

Perompak pun bertanya apakah barangan yang tinggal itu. Al-Ghazali tetap tak mahu bagi. Katanya ini ilmu aku. Perompak merampasnya lalu bertanya: Ini ilmu kamu? Sebenarnya ia adalah catatan-catatan syarahan yang dibuat Al-Ghazali.

Perompak menempelak pula. Begini ilmu kamu? Aku ambil lalu engkau dah susah hati. Kalau betul ilmu kamu kenapa merungut? Itu membuat Al-Ghazali terfikir balik apakah sebenarnya ilmu seseorang. Ia harus sesuatu yang berada dalam fikiran dan hati, bukan pada buku, perpustakaan dan sebagainya yang boleh dirampas orang (misalnya komputer bagi penuntut zaman sekarang). Pengalaman ini membentuk cara peribadi beliau yang seterusnya.



Masuk zaman universiti di madrasah Nizamiyah di Nishapur (sekitar 50-60 km ke barat daya Tus) Al-Ghazali belajar Syariah pada peringkat yang lebih lagi tinggi juga ilmu kalam, logik (mantiq) dan falsafah. Guru beliau Al-Juwayni kagum dengan kepandaian beliau lalu menjadikannya sebagai pembantu guru. Ketika inilah beliau menulis kitab pertamanya Al-Mankhul min Ilm al-Usul (terjemahan saya : Perkumpulan Sains Prinsip?). Ketika inilah juga epistemologi Al-Ghazali berkembang pesat untuk meliputi banyak bidang. Ini adalah melalui penguasaan dalam ilmu kalam dan prinsip-prinsip Syariah. Lalu membentuk pemikiran logik dan rasional beliau juga yang bersifat falsafah.



Namun ketika berumur antara 23 hingga 25 Al-Ghazali mengalami krisis bersifat intelektual. Disebabkan pendedahan terhadap pelbagai cara mendapatkan ilmu ini berlaku selama 2 bulan. Hmm. Tiba-tiba terfikir pada umur ini iaitu ketika sedang belajar di London saya juga mengalami krisis intelektual yang sangat hebat. Tetapi ia lebih merupakan akibat diri dahulu yang terlalu bersifat logikal dan rasional sehingga hampir-hampir menjadi seorang ateis tidak percayakan Tuhan bertembung dengan pengalaman-pengalaman bersifat spiritual tidak logik seperti roh asyik keluar masuk badan.



Kata Osman krisis yang dialami Al-Ghazali adalah tentang meletakkan fakulti atau alat-alat kebolehan manusia dalam mencari pengetahuan ke tempat yang setimpal. Misalnya 5 pancaindera fizikal - melihat, mendengar, merasa, bau dan sentuh untuk mendapatkan maklumat ataupun data. Kemudian akal untuk berfikir. Kemudian kepercayaan seperti pada Al-Quran dan hadis Nabi.  Bagaimanakah mahu mengatur duduk letak dan kepentingan semua ini?

Beliau merumuskan apa yang didapati melalui deria tidak boleh dijadikan pegangan. Akal fikiran boleh mengatasi dengan memberikan penerangan yang lebih jitu terhadap suatu perkata. Namun ada masanya akal pula kalah dengan perkara yang timbul di luar logik akal. Secara rata ia adalah krisis antara akal fikiran dengan gerak rasa yang bersifat intelektual (intelectual intuition). Berlakulah "perdebatan demi perdebatan" dalam diri beliau.



Maka sejak zaman universiti di Nizamiyah lagi Al-Ghazali sudah terdedah pada perkara sebegini. Ini disebabkan beliau mahu mencari ilmu yang bersifat mutlak selain terdedah dengan pelbagai jalan ilmu berserta dakwaan masing-masing. Hasilnya? Tiada yang betul-betul logik pada beliau. Kata Al-Ghazali Tuhan telah mencampakkan Nur ke dalam hatinya sebagai jalan keluar daripada krisis lalu kembalilah keseimbangan fikiran. 



Kehebatan Al-Ghazali dalam bidang ilmu diakui sehingga pada umur  28 tahun dilantik menjadi profesor dalam bidang undang-undang (secara rata merujuk pada ilmu Syariah) di universiti baru Nizamiyah di Baghdad. Peta Google Map menunjukkan letaknya hampir 2,000 km ke barat Tus. Pada umur 33 beliau dilantik sebagai pemegang Kursi Shafie (sebagai pakar rujuk mazhab Syariah Imam Shafie). Empat tahun kemudian iaitu pada umur 37 beliau menghadapi lagi satu krisis.

Kata Osman jika krisis pertama (ketika berumur sekitar 23-25) bersifat epistemologi krisis kedua bersifat spiritual atau kerohanian. Ia ada kena mengena dengan adiknya Ahmad, ketika itu sudah menjadi seorang ahli Sufi tersohor. Dikatakan Ahmad bertanggungjawab menyebabkan abangnya meninggalkan universiti untuk menjalankan kehidupan terasing seorang ahli Sufi.  

Selepas 11 tahun baru Al-Ghazali kembali mengajar. Ketika itu beliau sudah mendapat kembali keseimbangan fikiran juga memahami kedudukan pelbagai cara untuk mengetahui atau mendapatkan ilmu. Al-Ghazali semakin yakin Tawasuf memberikan satu cara ilmu yang lebih tinggi melangkaui akal fikiran - suprarational. Disebutlah tentang Dzauq, tenggelam dalam kelazatan pengalaman kerohanian yang menerbitkan ilmu tinggi (bersifat keTuhanan).



Pada tahun 1106 beliau kembali mengajar di Nizamiyah Nishapur. Sebelum itu Al-Ghazali sempat menyiapkan kitab terbesar dan paling terkenal beliau iaitu Ihya Ulumiddin (Mengembalikan Sains-sains Agama?). Kata Osman Ihya Ulumiddin adalah simbol integral epistemology - gabungan pelbagai kaedah ilmu. Beliau kembali mengajar sebagai orang yang  baru, dapat melihat kesatuan juga harmoni dalam pelbagai cabang dan jalan ilmu.

Di Nishapur beliau sempat menulis kitab Munqidh Min al-Dalal (terjemahan saya Penyelamatan Daripada Kesalahan) yang bersifat autobiografi. Ia menjadi satu sumber utama tentang perjalanan hidup Al-Ghazali. Selepas beberapa tahun beliau kembali ke Tus. Di sana beliau terus mengajar sebelum meninggal dunia pada tahun 1111 Masihi.



Epistemologi gabungan Al-Ghazali boleh diringkaskan seperti berikut :-

1. Boleh gunakan data empirikal (dapatan melalui deria) dan bukti-buktinya tetapi tidak boleh berpegang pada itu sahaja.

2. Boleh gunakan akal fikiran dan bukti-buktinya tetapi jangan berpegang pada itu sahaja.

3. Boleh gunakan sumber di luar akal (seperti lintasan hati, mimpi dan sebagainya) tetapi jangan sampai memegang itu sahaja.

4. Berpegang pada Wahyu tapi jangan sampai menolak langsung akal fikiran.

5. Gunakan akal fikiran tapi jangan sampai menolak Wahyu.

6. Susunan atau duduk letak (pelbagai) epistemologi dan keadilan (meletakkan sesuatu pada tempatnya) adalah asas ketamadunan manusia.




Lalu apakah kepentingan semua ini untuk pemikiran semasa manusia? Osman pun memberikan senarai :-

1. Terdapat anarki epistemologi dalam dunia ilmu pengetahuan semasa. Maksudnya epistemologi atau kaedah menggali ilmu diterbitkan tanpa panduan yang sepatutnya.

2. Epistemologi menjadi berpuak-puak. Masing-masing (puak) mempertahankan cara mereka sebagai yang paling betul (konon) sehingga menolak yang lain.

3. Pohon ilmu pengetahuan telah berkembang sehingga sekecil-sekecil ranting pun ada pakarnya (konon). Malangnya setiap daripada mereka merasakan sudah cukup berpengetahuan sedangkan mereka tidak dapat melihat keseluruhan pohon.

4. Apa yang berlaku pada masyarakat mencerminkan apa yang berada dalam fikiran setiap laki-laki dan perempuan

5. Jawaban Al-Ghazali pada semua ini terletak dalam kitab Ihya Ulumiddin.




Doa daripada kitab Munqidh pun dikongsikan...




Terjemahan saya :-


Kupohon pada Tuhan agar mengubah diriku dahulu, kemudian gunakanku sebagai alat untuk mengubah; berikan daku panduan, kemudian gunakanku sebagai alat untuk memandu; tunjukkan yang haq sebagai yang haq, dan berikan daku kemudahan untuk mengikutinya, tunjukkan daku yang bathil sebagai yang bathil, dan berikanku kemudahan untuk mengelakkannya.




Akhir sekali adalah ungkapan Osman sendiri dalam buku tulisan beliau Classification of Knowledge in Islam (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan dalam Islam) tahun 1992. Terjemahan saya :-

Kebangkitan sebenar Islam bermakna kebangkitan adab masyarakat Islam melalui transformasi moral individu.

Adapun buku yang dibuat berdasarkan kajian PhD beliau di Amerika Syarikat tahun 80an ini mengenengahkan 3 orang ulamak tersohor zaman silam Islam termasuk Imam Ghazali. Dengan ini biar disertakan pautan-pautan berkenaan syarahan Osman yang pernah saya ikuti melibatkan isi buku :-


9. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3


10. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual


11. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan


12. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?


13. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham


14. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam


15. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat


16. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini


17. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar


18. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia




Isnin, Oktober 11, 2021

Ustazah Cardiff yang kukenal...

Ahad 8 hari lalu saya telah menerima sebuah buku yang baru diterbitkan oleh seorang kawan lama daripada zaman A Level lebih 30 tahun lalu. Beliau menghadiahkannya kerana saya ada membantu memberikan nasihat bagaimana hendak menjadikan penulisan sampai pada bentuk buku yang boleh dihantar ke kilang cetak tanpa perlu mengupah orang lain untuk membuatkan reka letak atau melalui mana-mana syarikat penerbitan. Maka jadilah ia buku pertama yang ditulisnya secara solo. Difahamkan sebelum ini beliau pernah terlibat dalam penulisan buku kanak-kanak juga ada menulis bab dalam buku orang lain. Dengan ini biar dipersembahkan perkongsian kedua daripada saya sejak mendapat mood untuk kembali menulis di blogspot Jumaat lalu, melalui artikel Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat.



Kelihatan adalah kulit hadapan buku. Tajuk besar yang diberikan iaitu "Ustazah Cardiff" merujuk pada nama beliau dalam dunia pengajaran bahasa Arab terutama secara on-line. Tajuk kecil "Guru Bahasa Inggeris Ajar Bahasa Arab" merujuk pada aktiviti utama beliau sejak lebih kurang 20 tahun kebelakangan. Hmm. Biar dirujuk beliau sebagai Aida. Kerana itulah orang yang saya kenal di kolej semasa zaman pengajian peringkat A Level penghujung tahun 80an hingga awal 90an. Selepas itu kami melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di United Kingdom, beliau dalam bidang undang-undang di University of Cardiff, saya dalam bidang matematik di Universiti College of London. Yang pasti memang tak sangka beliau akan menjadi seorang yang bergelar ustazah mengajar bahasa Arab.

Di kolej saya mengenali beliau sebagai seorang yang boleh tahan ranggi, mudah berinteraksi dan suka bergurau. Aida adalah antara beberapa orang lepasan Kolej Tunku Kurshiah yang diketahui sebagai antara salah satu sekolah berasrama penuh tersohor di Malaysia. Beliau pernah bersekolah rendah di Amerika Syarikat ketika mengikut bapanya membuat Masters dan PhD. Perkara ini ada disebut pada awal buku sebagai mukadimah perjalanan hidup yang akan berubah arah. Sekali lagi tak nampak apa-apa unsur yang boleh membawa beliau untuk menjadi seorang ustazah walaupun ketika mengenalinya beliau memang jenis gadis bertudung.

Satu perkara yang saya ingat sampai sekarang adalah beliau suka mengajuk watak Elmer Fudd juga Bugs Bunny dalam kartun popular berkenaan. "What's up doc?". Aida suka membuat gaya kartun arnab bertanya pada orang sambil mengunyah lobak merah (carrot). Hal ini terus melekat dalam fikiran menyebabkan beliau menjadi salah seorang budak perempuan yang paling saya suka kacau di kolej walaupun tidak pernah terlintas hendak mengurat. Tidak. Zaman itu saya kurang berminat pada wanita bertudung. Mungkin sebab ada rasa segan kerana menyedari diri ini nakal. Dengan wanita free hair atau tidak bertudung saya kurang rasa bersalah kalau jadi nakal. Ah. Merapu pulak aku sat...

Saya tidak ingat jika ada bertemu Aida ketika di UK awal tahun 90an. Yang ingat ada bertemu di Pesta Buku Antarabangsa KL sekitar tahun 2010 gitu kemudian bertemu dalam satu kursus penulisan buku kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2012. Lihat Bengkel penulisan buku kanak-kanak dan makam Parameswara di Tanjung Tuan. Ketika itu kelihatan beliau sudah cenderung ke arah menjadi seorang ustazah. Memang tak sangka kawan lama ini sudah berkahwin dengan seorang ustaz lepasan Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir. Dan sangat tak sangka ketika itu mereka sudah mempunyai 7 orang anak!

Saya tidak pernah bertanya bagaimana beliau boleh berubah arah. Rupa-rupanya ada diceritakan dalam buku. Disebutlah semasa di UK beliau sering mengikut kelas-kelas usra. Hal inilah yang akan membawa pada perkenalan dengan bakal suaminya, Ustaz Shazili melalui seorang saudara. Tidak lama kemudian iaitu pada awal tahun 1995 mereka pun bernikah. Lalu Aida mengikut suami ke Kaherah untuk pengajian tahun terakhirnya di sana.

Pada tahun tersebut saya sendiri masih berada di UK untuk tahun akhir ijazah. Bila melihat pada tahun tersebut dan hal kawan-kawan baru teringat bahawa saya sebenarnya telah tercicir selama 2 tahun, setahun akibat pernah dibuang daripada kolej kerana selalu melanggar disiplin, setahun disebab mengulang tahun kedua ijazah. Saya sebut ini kerana rata-rata kawan sekolej menamatkan pengajian universiti pada tahun 1993, satu fakta yang cuma saya sedari kembali tak sampai setahun lalu selepas merujuk pada sejumlah kawan bilakah ada bertandang ke rumah mereka ketika di UK dahulu. Hal ini cuma disedari ketika hendak menulis tentang sejumlah perjalanan lama di sana. Rujuk artikel-artikel kompilasi berikut :-

1. Ke Cardiff di Wales sekitar tahun 1992-1993.

2. Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun1993.

3. Kompilasi cerita sewa kereta ke separuh England tahun 1994.

Berbalik pada hal Aida. Oh. Lupa hendak cakap. Beliau berasal dari Alor Setar, Kedah dan suaminya dari Mahang sana. Suaminya itu memang sejak awal memiliki latar belakang pendidikan agama. Apabila ikut suami ke Mesir bermulalah episod beliau belajar bahasa Arab. Cuma kata Aida muncul rasa kekok kerana perlu menggunakan loghat atau Ammiyah tempatan Mesir. Kalau guna bahasa Arab seperti biasa kita belajar di Malaysia, bahasa Arab standard yang juga disebut Arab Fusha boleh jadi bahan lawak jenaka orang sana.

Aida sendiri memang cenderung pada pengajian bahasa. Sebagai seorang lulusan undang-undang dari UK dan pernah bersekolah rendah di Amerika bahasa Inggeris beliau cukup lancar. Pada tahun 2002 beliau membuat Masters dalam bidang TESL iaitu pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Universiti Putra Malaysia. Ini kerana beliau telah menjadi guru bahasa Inggeris di KUIN (Kolej Universiti Insaniah Kedah, sekarang sudah menjadi universiti). Beliau memilih untuk mengambil kelas penuh, bukan separuh dengan penyelidikan apa lagi penyelidikan penuh (full research) lalu mendapat banyak ilmu tentang teknik pengajaran bahasa.

Minat terhadap bahasa Arab yang bermula ketika mengikut suami ke Mesir menyebabkan beliau juga mendalami bahasa Arab lalu menjadi tenaga pengajar. Ilmu yang diperoleh dalam bidang TESL pun diaplikasikan untuk membentuk kurikulum sendiri dalam pengajian bahasa Arab. Hmm. Tidak perlulah dipanjangkan sangat penulisan. Cukuplah disebut Ustaz Shazili pernah menjadi Imam 1 di Masjid KLCC dan perjalanan mereka suami isteri dalam berdakwah sambil Aida mengajar bahasa Arab kemudian membawa mereka untuk menetap di Shah Alam sehingga sekarang.

Secara rata saya lihat buku ini bagus kerana berkongsi pengalaman sebenar seorang wanita yang asalnya lebih berpendidikan Barat mula mendekati dunia dakwah dan bahasa Arab. Banyak tips-tips untuk pembelajaran bahasa Arab dikongsikan lalu boleh diaplikasikan oleh semua orang. Saya bangga melihat perkembangan positif hidup seorang kawan dan juga bangga dapat membantu beliau menerbitkan buku. Dengan itu cukuplah perkongsian daripada saya buat masa ini.