Isnin, Oktober 11, 2021

Ustazah Cardiff yang kukenal...

Ahad 8 hari lalu saya telah menerima sebuah buku yang baru diterbitkan oleh seorang kawan lama daripada zaman A Level lebih 30 tahun lalu. Beliau menghadiahkannya kerana saya ada membantu memberikan nasihat bagaimana hendak menjadikan penulisan sampai pada bentuk buku yang boleh dihantar ke kilang cetak tanpa perlu mengupah orang lain untuk membuatkan reka letak atau melalui mana-mana syarikat penerbitan. Maka jadilah ia buku pertama yang ditulisnya secara solo. Difahamkan sebelum ini beliau pernah terlibat dalam penulisan buku kanak-kanak juga ada menulis bab dalam buku orang lain. Dengan ini biar dipersembahkan perkongsian kedua daripada saya sejak mendapat mood untuk kembali menulis di blogspot Jumaat lalu, melalui artikel Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat.



Kelihatan adalah kulit hadapan buku. Tajuk besar yang diberikan iaitu "Ustazah Cardiff" merujuk pada nama beliau dalam dunia pengajaran bahasa Arab terutama secara on-line. Tajuk kecil "Guru Bahasa Inggeris Ajar Bahasa Arab" merujuk pada aktiviti utama beliau sejak lebih kurang 20 tahun kebelakangan. Hmm. Biar dirujuk beliau sebagai Aida. Kerana itulah orang yang saya kenal di kolej semasa zaman pengajian peringkat A Level penghujung tahun 80an hingga awal 90an. Selepas itu kami melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di United Kingdom, beliau dalam bidang undang-undang di University of Cardiff, saya dalam bidang matematik di Universiti College of London. Yang pasti memang tak sangka beliau akan menjadi seorang yang bergelar ustazah mengajar bahasa Arab.

Di kolej saya mengenali beliau sebagai seorang yang boleh tahan ranggi, mudah berinteraksi dan suka bergurau. Aida adalah antara beberapa orang lepasan Kolej Tunku Kurshiah yang diketahui sebagai antara salah satu sekolah berasrama penuh tersohor di Malaysia. Beliau pernah bersekolah rendah di Amerika Syarikat ketika mengikut bapanya membuat Masters dan PhD. Perkara ini ada disebut pada awal buku sebagai mukadimah perjalanan hidup yang akan berubah arah. Sekali lagi tak nampak apa-apa unsur yang boleh membawa beliau untuk menjadi seorang ustazah walaupun ketika mengenalinya beliau memang jenis gadis bertudung.

Satu perkara yang saya ingat sampai sekarang adalah beliau suka mengajuk watak Elmer Fudd juga Bugs Bunny dalam kartun popular berkenaan. "What's up doc?". Aida suka membuat gaya kartun arnab bertanya pada orang sambil mengunyah lobak merah (carrot). Hal ini terus melekat dalam fikiran menyebabkan beliau menjadi salah seorang budak perempuan yang paling saya suka kacau di kolej walaupun tidak pernah terlintas hendak mengurat. Tidak. Zaman itu saya kurang berminat pada wanita bertudung. Mungkin sebab ada rasa segan kerana menyedari diri ini nakal. Dengan wanita free hair atau tidak bertudung saya kurang rasa bersalah kalau jadi nakal. Ah. Merapu pulak aku sat...

Saya tidak ingat jika ada bertemu Aida ketika di UK awal tahun 90an. Yang ingat ada bertemu di Pesta Buku Antarabangsa KL sekitar tahun 2010 gitu kemudian bertemu dalam satu kursus penulisan buku kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2012. Lihat Bengkel penulisan buku kanak-kanak dan makam Parameswara di Tanjung Tuan. Ketika itu kelihatan beliau sudah cenderung ke arah menjadi seorang ustazah. Memang tak sangka kawan lama ini sudah berkahwin dengan seorang ustaz lepasan Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir. Dan sangat tak sangka ketika itu mereka sudah mempunyai 7 orang anak!

Saya tidak pernah bertanya bagaimana beliau boleh berubah arah. Rupa-rupanya ada diceritakan dalam buku. Disebutlah semasa di UK beliau sering mengikut kelas-kelas usra. Hal inilah yang akan membawa pada perkenalan dengan bakal suaminya, Ustaz Shazili melalui seorang saudara. Tidak lama kemudian iaitu pada awal tahun 1995 mereka pun bernikah. Lalu Aida mengikut suami ke Kaherah untuk pengajian tahun terakhirnya di sana.

Pada tahun tersebut saya sendiri masih berada di UK untuk tahun akhir ijazah. Bila melihat pada tahun tersebut dan hal kawan-kawan baru teringat bahawa saya sebenarnya telah tercicir selama 2 tahun, setahun akibat pernah dibuang daripada kolej kerana selalu melanggar disiplin, setahun disebab mengulang tahun kedua ijazah. Saya sebut ini kerana rata-rata kawan sekolej menamatkan pengajian universiti pada tahun 1993, satu fakta yang cuma saya sedari kembali tak sampai setahun lalu selepas merujuk pada sejumlah kawan bilakah ada bertandang ke rumah mereka ketika di UK dahulu. Hal ini cuma disedari ketika hendak menulis tentang sejumlah perjalanan lama di sana. Rujuk artikel-artikel kompilasi berikut :-

1. Ke Cardiff di Wales sekitar tahun 1992-1993.

2. Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun1993.

3. Kompilasi cerita sewa kereta ke separuh England tahun 1994.

Berbalik pada hal Aida. Oh. Lupa hendak cakap. Beliau berasal dari Alor Setar, Kedah dan suaminya dari Mahang sana. Suaminya itu memang sejak awal memiliki latar belakang pendidikan agama. Apabila ikut suami ke Mesir bermulalah episod beliau belajar bahasa Arab. Cuma kata Aida muncul rasa kekok kerana perlu menggunakan loghat atau Ammiyah tempatan Mesir. Kalau guna bahasa Arab seperti biasa kita belajar di Malaysia, bahasa Arab standard yang juga disebut Arab Fusha boleh jadi bahan lawak jenaka orang sana.

Aida sendiri memang cenderung pada pengajian bahasa. Sebagai seorang lulusan undang-undang dari UK dan pernah bersekolah rendah di Amerika bahasa Inggeris beliau cukup lancar. Pada tahun 2002 beliau membuat Masters dalam bidang TESL iaitu pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Universiti Putra Malaysia. Ini kerana beliau telah menjadi guru bahasa Inggeris di KUIN (Kolej Universiti Insaniah Kedah, sekarang sudah menjadi universiti). Beliau memilih untuk mengambil kelas penuh, bukan separuh dengan penyelidikan apa lagi penyelidikan penuh (full research) lalu mendapat banyak ilmu tentang teknik pengajaran bahasa.

Minat terhadap bahasa Arab yang bermula ketika mengikut suami ke Mesir menyebabkan beliau juga mendalami bahasa Arab lalu menjadi tenaga pengajar. Ilmu yang diperoleh dalam bidang TESL pun diaplikasikan untuk membentuk kurikulum sendiri dalam pengajian bahasa Arab. Hmm. Tidak perlulah dipanjangkan sangat penulisan. Cukuplah disebut Ustaz Shazili pernah menjadi Imam 1 di Masjid KLCC dan perjalanan mereka suami isteri dalam berdakwah sambil Aida mengajar bahasa Arab kemudian membawa mereka untuk menetap di Shah Alam sehingga sekarang.

Secara rata saya lihat buku ini bagus kerana berkongsi pengalaman sebenar seorang wanita yang asalnya lebih berpendidikan Barat mula mendekati dunia dakwah dan bahasa Arab. Banyak tips-tips untuk pembelajaran bahasa Arab dikongsikan lalu boleh diaplikasikan oleh semua orang. Saya bangga melihat perkembangan positif hidup seorang kawan dan juga bangga dapat membantu beliau menerbitkan buku. Dengan itu cukuplah perkongsian daripada saya buat masa ini.


4 ulasan:

  1. Terima kasih, sahabat lama. Semoga Allah beri ilham untuk kita berkarya lagi dan lagi keranaNya. Amin

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah, saya adalah anak murid veteran bahasa Arab Ustazah Aida. Saya bersyukur kerana dapat menimba ilmu dari nya walaupun mempunyai sisa hidup yang amat sikit. Saya lihat Ustazah Aida seorang yang sangat gigih dan sangat tekun dengan apa juak usahanya. Seorang Ustazah yang sangat sabar dalam mendidik orang veteran seperti saya.
    Saya doakan my dear Ustazah Aidahaniza terus maju dalam apa jua bidang yang diceburi nya.
    Dont miss her
    reading her book.

    BalasPadam