Sabtu, Mei 01, 2021

Dari Teluk Intan membawa ke Beruas : Satu misi keluarga

Salam hari Sabtu malam Ahad 20 Ramadhan. Masuk kita pada cerita perjalanan lama terakhir perlu dibuat kompilasi iaitu daripada senarai perjalanan-perjalanan lain yang perlu diambil kira selain apa yang sudah disenaraikan sebagai 50 terjauh dan 10 istimewa. Bersambung daripada artikel Menjejak masjid-masjid lama di Negeri Sembilan sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah.


Perjalanan ini berlaku atas asbab mahu menghadiri mesyuarat tentang masjid yang didirikan di atas tanah wakaf keluarga di Batak Rabit, Teluk Intan. Ini merujuk kepada keluarga bangsawan Laksamana Raja Mahkota Perak yang dahulunya secara tradisional merupakan pembesar istana yang memerintah kawasan hilir Perak membawa ke selatan Kampung Gajah. Keluarga yang sudah memerintah kawasan berkenaan sejak tahun 1740an ini memiliki beberapa cabang keturunan. Yang di Batak Rabit itu satu cabang yang rapat dengan Sultan Abdullah, Sultan Perak yang dibuang negeri ke Pulau Seychelles tahun 1877 kerana dikatakan terlibat dengan pembunuhan residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch. 

Turut dibuang negeri ke sana adalah moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang juga merupakan kaum kerabat Sultan Abdullah. Mereka berdua terlibat dalam Perjanjian Pangkor tahun 1874. Kawasan masjid dan sekitarnya pernah termasuk di dalam kota yang menjadi pusat pemerintahan sultan. Dahulu ada rumah besar keluarga yang masih ada singgahsana raja. Ayah saya yang lahir tahun 1942 di sana memberitahu sempat melihat rumah dan singgahsana sebelum dirobohkan kerana sudah usang tak berjaga lalu kayu kayannya dibahagikan untuk kegunaan saudara mara. 

Adapun dipercayai nasab keluarga kami sampai kepada Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai lebih 700 tahun dahulu (kemudian menjadi sebahagian daripada Aceh). Ini adalah melalui jalur seorang cucu baginda, Sultan Malikul Mansur yang pernah dirajakan di Samudera menggantikan nendanya. Namun baginda dibuang negeri oleh kekanda sendirinya, Sultan Malikul Zahir yang memerintah Pasai atas sebab tertentu. Dikatakan ketika itulah Malikul Mansur membuka Beruas yang selepas ratusan tahun menjadi sebahagian daripada negeri Perak.

Sejak kebelakangan itu ada beberapa orang memberitahu bahawa kawasan lapang di hadapan rumah saya di Sungai Buaya, Rawang, Selangor menempatkan satu kerajaan ghaib yang ada kena mengena dengan Beruas. Maka itu pemilihan untuk membeli rumah di situ pada penghujung tahun 2013 dikatakan bukan berlaku secara kebetulan tetapi atas gerak ilham yang mendorong agar menyambung pertalian dengan Beruas. Ketika mendapat tahu saya mahu ke Teluk Intan kerana mesyuarat melibatkan masjid atas tanah wakaf keluarga isteri mencadangkan agar memanjangkan perjalanan di Beruas. Maka keluarlah saya berseorangan dan berlakulah apa yang dikongsikan dalam cerita-cerita  berikut sehingga perjalanan memakan jarak tidak kurang 500 km. 


1. Misi Teluk Intan-Beruas - Mesyuarat masjid keluarga dan 7 makam kemudian










Sekadar memberitahu. Jika perjalanan Menjejak masjid-masjid lama di Negeri Sembilan sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah membentuk perjalanan jauh pertama saya sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 18 Mac hingga 10 Jun menyekatkan perjalanan rentas mukim di seluruh Malaysia, perjalanan ke Perak ini pula adalah yang pertama sejak PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) melarang perjalanan rentas mukim di Selangor bermula 14 Oktober. Walaupun ruang untuk berjalan sangat terhad bagi tahun 2020 dan sekarang juga keadaannya pada tahun 2021 saya akan tetap membuat perjalanan-perjalanan jauh apabila muncul peluang dan kelapangan juga asbab untuk melakukannya.

Penulisan ini dibuat di kampung isteri di Tanjung Sepat, 120 km dari rumah setelah berbuka puasa bersama keluarga . Ia adalah yang pertama bagi saya melepasi jarak 60 km bagi tahun 2021. Kedua bagi isteri kerana beliau ada menghadiri mesyuarat di Cyberjaya 77 km dari rumah beberapa hari lalu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan