Isnin, April 19, 2021

Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - Keramat hidup Engku Mokhsin, waris misteri Pulau Manis dan Tok Gajah?

Salam petang Isnin 7 Ramadhan. Dalam artikel sebelum ini iaitu Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - 'Memotong saluran kebatinan' di Bukit Besar dan faktor Saidina Hassan ada disebut tentang perkenalan dengan seseorang bernama Engku Sayid Mokhsin tetapi tidak dipanjangkan cerita kerana mahu diletakkan dalam artikel khas. Sekarang biar dibuat begitu. Di celah-celah itu akan masuk dua orang watak lain yang dilihat cukup istimewa. Ini ceritanya...



Gambar ini menunjukkan jubah lama saya, daripada artikel Beberapa barangan lama dan kenangan di sebaliknya... tahun 2009.  Ia dibeli di Tanah Arab hampir 16 tahun lalu. Lihat Cerita An-Nur yang membawa kepada Umrah 2005 dan seterusnya..... Rasanya ini cukup dekat dengan apa yang biasa dipakai oleh Engku Mokhsin. Saya telah cuba mencari gambar berkenaan melalui Google  tetapi yang ditemui semua adalah jubah baru. Seterusnya dicuba pula cari gambar Proton Wira kemek seperti dipandu beliau. Pun tak jumpa. Yang ada cuma gambar-gambar kereta baru atau kereta dah terlebih kemek selepas kemalangan jalan raya.

Seingat saya pertama kali mengenali orang tua tersebut adalah di rumah ahli kanan satu kumpulan tertentu di Bukit Besar, Kuala Terengganu. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - 'Memotong saluran kebatinan' di Bukit Besar dan faktor Saidina Hassan. Beliau  harus berumur 60an ketika itu. Tapi boleh jadi juga sudah mencapai 70an. Hal ahli dan kumpulan turut ada dikongsikan dalam artikel pertama siri iaitu Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - Asbab berlaku perjalanan. Sekarang biar dipanjangkan cerita tentang orang tua. 

Nama sebenar beliau adalah Syed Mokhsin. Tetapi lebih dikenali sebagai Engku Sayid Mokhsin juga Engku Mokhsin kerana merupakan seorang ahli terdekat kerabat diraja Terengganu. Saya tidak pasti apakah ejaan yang tepat bagi nama itu. Datuk beliau Sayid Mustapha yang merupakan abang kepada wali besar Terengganu awal abad ke-20 iaitu Tokku Paloh telah berkahwin dengan Tengku Maimunah binti Sultan Ahmad. Anak Sayid Mustapha iaitu Sayid Abu Bakar pula berkahwin dengan Tengku Puteri Kalsum. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Keluarga besar Tokku Paloh, wali agung Terengganu abad ke 19 Masihi.... tahun 2008.

Buat beberapa lama saya menyangkakan Engku Mokhsin adalah anakanda Sayid Abu Bakar dengan Tengku Kalsum. Kemudian baru dalam dua minggu lalu diberitahu bahawa hubungan dengan Sayid Mustapha adalah melalui ibu bukan belah ayah. Apa pun saya diberitahu isteri Engku Mokhsin adalah anak kepada almarhum Sultan Ismail Nasiruddin iaitu nenda kepada Sultan Terengganu sekarang, Sultan Mizan. Ini bermakna beliau adalah bapa saudara kepada Sultan Mizan. Memang kerabat dekat.

Saya sebut semua ini kerana hendak memberitahu betapa merendah dirinya Engku Mokhsin itu. Walaupun memiliki hubungan sangat dekat dengan istana beliau suka berjalan seorang diri berpakaian jubah buruk menaiki kereta Proton (Wira kalau tak salah) berwarna merah hati yang ada kemek-kemek. Menurut beberapa orang ini kerana beliau orang Sufi yang tidak lagi mempedulikan kebesaran duniawi. Malah ada yang menyebut Engku Mokhsin adalah seorang keramat hidup!


Saya tak ingat kenapa beliau boleh datang ke Bukit Besar lalu berbual panjang dengan saya juga kawan dari Singapura yang ikut ke Terengganu dari Kuala Lumpur. Yang ingat ada bertanya kepada beliau (rasanya ada 2-3 orang lain datang sama  ketika itu) tentang satu selempang merah milik saya yang tiba-tiba muncul ketika menginap seorang diri di rumah ayah di Kajang sekitar tahun 2002. Ketika itu saya dalam awal pencarian untuk mengenali salasilah keluarga akibat satu mimpi dan peristiwa. Lihat Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku

Sama ada dia atau seorang daripada 2-3 orang lain itu pun mencadangkan agar mencuba 'keampuhan' selempang dengan mengikatnya pada tangan kemudian menetak pisau potong daging ke tangan, tengok luka ke bagaimana. Adapun saya ini tidak memiliki apa-apa jenis ilmu kebal. Dan bukan tujuan saya pun hendak menjadi kebal dengan apa-apa cara sekali pun. Faham saya selempang itu adalah alat pengenalan dalam mencari wasilah dan salasilah keturunan walaupun turut boleh digunakan untuk berperang. Tapi saya ikutkan juga cadangan lalu pergi ke dapur mencari pisau berkenaan.

Ketika itu ada orang berumur di rumah, tak ingat siapa, ibu kepada ahli kanan kumpulan atau ibu saudara, mungkin neneknya berkata tak perlulah cari pisau lalu tidak mahu menunjukkan di manakah letaknya. Mungkin pada pandangannya saya sudah tidak siuman sehingga sanggup mahu mencuba menetak tangan sendiri dengan pisau daging (mungkin begitu juga pandangan ramai orang lain - memang pun sudah beberapa kali berlaku oleh melihat begitu kerana keadaan saya yang kurang terurus akibat kesibukan mengembara mencari wasilah dan makna diri). Namun saya tetap mahu mencari juga. Apabila orang-orang di ruang tamu berkata... dah dah... tak payahlah cari pisau... baru berhenti. 

Sungguh, saya bukan mengacah-ngacah atau main saikologi macam nak buat tapi sebenarnya tunggu orang tegah lalu tidak kelihatan penakut atau sebagainya. Memang semasa itu saya mahu menetak tangan sendiri kerana begitulah hal diri dalam tempoh beberapa tahun itu. Ikut sahaja keadaan dan berserah kerana sudah tidak tahu lagi apakah arah hidup yang patut dituruti. Saya yakin dan berserah dengan ketentuan Allah SWT. Kalau ditakdirkan putus putus atau lukalah tangan itu. Tetapi kalau ditakdirkan saya harus menjadi orang tertentu seperti dibayangkan dalam beberapa mimpi maka Insyaallah takkan jadi apa-apa.

Apapun cerita ini cuma mukadimah bagi perkenalan saya dengan Engku Mokhsin. Sehingga saya dan kawan dari Singapura bertukar menginap ke rumah Dr Syed Salleh dekat Pantai Batu Burok pun (rujuk Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - 'Memotong saluran kebatinan' di Bukit Besar dan faktor Saidina Hassan) kami ada berjumpa beberapa kali lalu berkongsi bermacam cerita. Satu hari beliau mengajak saya berjalan dengan keretanya. Sepatutnya kawan dari Singapura ikut sama tetapi entah bagaimana aturan Allah SWT dia keluar dengan orang lain, tinggal saya sahaja seorang diri bersama Engku Mokhsin.


Saya tak ingat dan tak pasti apakah tempat pertama dituju. Yang ingat antara paling awal adalah ke Gong Badak di utara bandar raya (dahulu bandar Kuala Terengganu) kemudian ke rumah seorang Sayid di Seberang Takir. Menariknya Sayid tersebut seperti dapat menghidu saya juga memiliki darah keturunan itu walau tidak memakai gelaran Syed mahupun menyebut tentangnya. Seterusnya (tapi tak pasti yang mana dahulu sebenarnya) kami pergi ke Masjid Tokku Besar dan makam Tokku Paloh. Hasil tunjuk ajar beliau tentang makam siapa milik siapa di hadapan masjid (Tokku Tuan Besar adalah ayahanda Tokku Paloh) dijadikan isi dalam artikel Keluarga besar Tokku Paloh, wali agung Terengganu abad ke 19 Masihi....

Kami juga ada berehat di masjid Tokku Paloh serta surau lama yang lebih berdekatan dengan makam tokoh. Engku Mokhsin juga ada membawa berjumpa 2-3 orang waris yang duduk berdekatan. Perjalanan kami pada fasa itu boleh dilakarkan seperti dalam peta bawah. Cuma ada bahagian yang tak sama kerana perubahan aturan jalan berbanding dahulu. Dan lagi tidak semua dapat dilakarkan di sini. Pun begitu cukuplah untuk menunjukkan kami harus sudah berjalan tidak kurang 55 km ketika itu.


Itu baru satu fasa perjalanan. Seterusnya kami pergi ke makam Tok Pulau Manis lebih jauh ke luar KT. Tak ingat apakah atas cadangan saya atau Engku Mokhsin yang mengajak. Di sana terjumpa beberapa orang lagi sedang meziarahi makam. 

Terus kami semua berbual panjang. Keadaan adalah seolah-olah beberapa orang itu sedang menunggu kedatangan kami. Menariknya adalah dua orang individu. Seorang tua berbaju Melayu berkain pelikat berkopiah ditemani seorang remaja, seorang lagi biar disebut sebagai waris misteri Pulau Manis. Tapi biar dicerita tentang orang tua dahulu.

Adapun sejak rajin mengembara ke sana ke mari mencari salasilah keturunan, wasilah dan perkara-perkara berkenaan bermula hampir penghujung tahun 2001 saya telah berjumpa juga masuk ke markas berbagai kumpulan Tariqat juga ajaran-ajaran kerohanian. Antaranya adalah individu individu yang dikatakan telah berumur ratusan malah ribuan tahun. Katanya mereka ini jenis mati hidup balik mati hidup balik. Cuma bertukar identiti atau bersalin badan baru sahaja. Menurut satu kumpulan ilmu ini ada dalam kalangan pejuang Pahang terkenal Mat Kilau dan mereka-mereka yang sealiran dengannya.

Saya telah berpeluang mengutip banyak mutiara ilmu daripada orang-orang sebegini dan ramai lagi jadi tidak hairan kalau terjumpa orang yang dikatakan mati hidup balik mati hidup balik itu. Ketika aktif dalam satu forum yang suka bercerita tentang perkara-perkara mistik tahun 2006 saya telah memperkenalkan mereka dengan gelaran "Highlanders". Ini merujuk pada satu filem Barat yang mana ada watak-watak tertentu boleh hidup terus menerus sehingga ribuan tahun. Mereka malah dikatakan tidak akan mati selagi tidak dibunuh dengan cara tertentu.


Ada sesuatu yang terasa aneh tetapi menenangkan tentang orang tua yang dilihat di hadapan makam Tok Pulau Manis itu, lebih tepat di surau hadapan makam yang mana saya pernah menginap seorang diri selama tiga malam ketika pertama kali sampai ke sana. Lihat artikel Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Ayah Weng dan tiga malam di surau hadapan. Dia ada bergurau kepada saya bercakap dalam Bahasa Inggeris sebelum menyatakan sesuatu yang saya sudah lupa apa. Entah kenapa hati saya berkata entah-entah ini Tok Gajah ayahanda kepada Mat Kilau? Memang mereka berdua pernah melarikan diri akibat diburu British ke Terengganu sekitar tahun 1880an bersama beberapa pejuang Melayu Pahang. Mereka  ada berlindung di rumah Tokku Paloh sebelum mendapat kekuatan jihad baru untuk menentang Inggeris. Malah Tok Gajah kemudian menghabiskan sisa hidupnya di Hulu Terengganu, ada lagi makamnya dalam kawasan jajahan takluk nenek moyang kepada Tok Pulau Manis.


Cukup tentang Tok Gajah. Sekarang tentang individu yang disebut sebagai waris misteri Tok Pulau Manis. Artikel Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Ayah Weng dan tiga malam di surau hadapan ada menyebut bahawa saya ada menerima satu risalah di hadapan makam menyatakan bahawa Tok Pulau Manis dan nenek moyang adalah daripada keturunan Saidina Hassan, cucu sulung Nabi Muhammad SAW. Lihat artikel Risalah kecil Tok Pulau Manis yang dipersembahkan tahun 2014. Gambar atas diambil daripada muka surat pertama risalah. Ia menunjukkan individu berkenaan yang rupa-rupanya adalah penulis risalah!

Kenapa saya katakan misteri? Sebab seorang kenalan yang sudah arwah, seorang keturunan Tok Pulau Manis daripada satu cabang yang sudah 3-4 generasi menjadi orang Kelantan pernah cuba mencari individu ini mengunakan khidmat polis. Beliau yang rapat dengan Istana Kelantan ada menerima risalah yang sama, tak ingat dapat daripada mana. Tetapi jaringan contact beliau yang boleh tahan hebat pun tidak dapat mencari orang ini. Seolah-olah tidak pernah wujud di muka bumi.

Itu yang menimbulkan kemusykilan kerana selepas makam Tok Pulau Manis individu dan bersama 3-4 orang lagi kalau tak salah ada bersama saya dan Engku Mokhsin untuk menziarahi makam-makam berkenaan di Kuala Berang. Rujuk artikel Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17.... tahun 2008. Di satu makam atas bukit beliau mengisytiharkan telah menerima isyarat baru bahawa di situlah sebenarnya terletak makam seorang moyang Tok Pulau Manis yang dikenali sebagai Sharif Muhammad Al-Baghdadi, orang yang dikatakan menulis Batu Bersurat Terengganu lebih 700 tahun lalu. Saya terus deja vu mendengar pengumuman itu. Terus teringat apa yang berlaku hingga 2-3 minit selepas itu pernah dilihat dalam mimpi atau bayangan entah bila. 

Malah saya ada menumpang mandi di rumah beliau di satu bahagian pendalaman di Kuala Berang. Cuma tak ingat apakah beliau ikut sama naik bot menghulu Sungai Terengganu untuk masuk ke markas besar satu kumpulan yang ada disebut pada awal artikel ini. Boleh rujuk artikel Masuk ke markas sebuah kumpulan "perjuangan akhir zaman"... Apa yang ingin dibuat di sana? (tahun 2008) tentang tempat berkenaan.

Oh. Saya sudah mendapat isyarat hati agar tidak memanjangkan lagi kalam tentang individu berkenaan kecuali satu perkara sahaja. Beliau ada memberitahu saya sudah layak menerima dan mengamalkan kitab Tasawuf tertinggi Tok Pulau Manis yang bernama Shirabil Muntahi, Ia membawa makna Minuman-minuman Zikir Kesudahan. Beliau mahu beri tapi saya tak mahu kerana belum bersedia untuk mengamalkannya. 


Sekarang biar dikongsikan jangkauan perjalanan fasa kedua bersama Engku Mokhsin iaitu selepas meninggalkan persekitaran makam Tokku Paloh membawa ke makam Tok Pulau Manis dan seterusnya hingga ke makam-makam di Kuala Berang sebelum kembali ke Kuala Terengganu. Langkaran ringkas di atas sebenarnya tidak meliputi semua tempat yang disinggahi. Anggaran saya perjalanan ini memakan jarak tidak kurang 150 km. Campur 55 km iaitu daripada fasa pertama sekitar Kuala Terengganu jadilah jumlah 205 km.

Campurkan pula dengan jumlah jarak sebelum itu (sejak meninggalkan Kuala Lumpur) iaitu 455 km ke KT lalu ke Bukit Besar juga 60 km sekitar KT (yang bukan bersama Engku Mokhsin - Rujuk Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - 'Memotong saluran kebatinan' di Bukit Besar dan faktor Saidina Hassan) jadilah 720 km. Cuma apabila difikirkan kembali ada kemungkinan saya ke Kuala Berang dengan beliau sebanyak dua kali, pada dua hari yang berbeza. Satu adalah saya bersama beliau sahaja dalam satu kereta, satu lagi dengan kawan dari Singapura ikut sekali lalu ketika itulah masuk ke markas kumpulan dalam hutan. Ini boleh menambahkan jarak perjalanan sebanyak lebih 100 km (pergi balik dari KT). Tetapi disebabkan sudah tidak ingat butiran sebenar biar diabaikan lalu jumlah jarak 720 km diguna pakai setakat ini.

Insyaallah kalau sempat malam ini saya wrap-up siri untuk menetapkan jumlah terakhir jarak keseluruhan lalu menentukan di tempat manakah perjalanan ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 ini duduk dalam senarai 50 perjalanan terjauh. Sekarang saya perlu berehat. Dan ada bacaan mengaji Al-Quran perlu dibuat untuk mengejar sasaran bagi bulan Ramadhan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan