Salam hari Isnin malam Selasa 8 Ramadhan. Sampai masanya untuk menyelesaikan siri ini. Bersambung cerita daripada artikel Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - Keramat hidup Engku Mokhsin, waris misteri Pulau Manis dan Tok Gajah?.
Selepas beberapa malam di Kuala Terengganu (rasanya ada juga seminggu) saya dan kawan dari Singapura bergerak ke Kota Bahru. Kalau tak salah ingatan ini disebabkan beliau mahu berjumpa dengan seorang isteri di sana. Kebetulan teman wanita lama saya sedang melakukan penggambaran drama di ibu negeri Kelantan itu. Sampai sahaja ke sana kami diajak menginap di motel sama dengan beliau dan krew.
Sebetulnya saya tidak mahu lagi memanjangkan apa-apa cerita melibatkan teman wanita kerana itu semua cerita lama. Kami pun tidak ada apa-apa hubungan lagi, masing-masing sudah ada kehidupan dan keluarga sendiri. Cuma hal melibatkan beliau disebut kerana tidak dapat lari daripada penceritaan yang jujur. Selain perjalanan ini sendiri bermula atas asbab untuk menyelamatkan beliau daripada permainan kebatinan satu kumpulan tertentu (lihat Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - Asbab berlaku perjalanan) selepas satu atau dua malam di KB tiba-tiba harus menemani beliau ke KT.
Ini disebabkan ahli kanan kumpulan yang pernah 'memegang' beliau baru kematian datuk kesayangannya. Beliau meminta agar teman wanita datang menjengok apa lagi sudah lama berbaik dengan keluarga. Teman wanita tidak dapat menolak lalu meminta saya menemani. Lewat malam keluarlah kami dengan kereta pinjam daripada penerbit atau produser drama berkenaan.
Jarak KB ke KT bukan dekat. Baru sehari dua sampai dari KT dengan pengangkutan awam dah nak ke sana lagi walaupun dengan kereta besar yang selesa. Ketika itu sudah lewat malam. Teringat sepatutnya kami mengambil jalan utama yang terletak sedikit jauh ke pendalaman tapi tersilap masuk ke jalan persisiran pantai. Itulah kali pertama sampai ke tempat bernama Tok Bali, selepas itu sudah banyak kali pergi.
Sampai ke KT ahli kanan kumpulan cuba mengambil kesempatan untuk berdua-duaan dengan teman wanita lama. Saya tak bagi peluang, sentiasa memerhati sahaja. Saya sudah masak dengan permainan kebatinan beliau, nak bagi makan minum pun kena pantau supaya tak dapat diletakkan apa-apa. Cukuplah untuk menunjukkan kami simpati atas kematian datuk beliau sebelum bertolak kembali ke KB lalu sampai sekitar jam 3-4 pagi.
Kalau tak salah ada 3-4 hari juga saya dan kawan dari Singapura menginap di motel berkenaan. Sempatlah mengikuti beberapa sesi penggambaraan teman wanita lama di sekitar Kota Bahru. Selepas beberapa lama baru kembali ke KT. Di sana kami menginap beberapa hari lagi di rumah Dr Syed Salleh Az-Zawawi. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - 'Memotong saluran kebatinan' di Bukit Besar dan faktor Saidina Hassan. Seperti biasa kami berjalan ke sana ke mari berjumpa bermacam orang. Boleh kata kesemuanya melibatkan faktor-faktor kerohanian ahli zikir orang Sufi.
Antara orang yang ditemui di KT tetapi terlupa hendak disebut sebelum ini adalah seorang Sheikh yang suka memakai jubah hitam pada kala-kala Sheikh-sheikh lain rata-rata berjubah putih. Dan pada kala Sheikh-sheikh berjubah putih bermuka ciri-ciri Arab lagi bergelar Sayid beliau jelas bermuka Melayu biasa berkulit sawo matang dan setahu saya tidak bergelar Sayid. Saya ingat tentang beliau kerana pernah membawa seorang diri ke tempat beliau sekitar 45 minit perjalanan ke selatan KT untuk mengikut satu amalannya. Tak ingat lokasi tepat. Yang ingat cuma ada kami berdua lalu saya ikut sahaja aturan zikir beliau yang tidak sama dengan mana-mana majlis yang pernah diikuti sebelum itu.
Sebagai meletakkan perspektik kami sebenarnya mula mengenali beliau dalam majlis zikir Ratib Al-Haddad yang diketuai dan dikendalikan oleh Dr Syed Salleh di surau berdekatan Kampung Cina. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - 'Memotong saluran kebatinan' di Bukit Besar dan faktor Saidina Hassan. Namun untuk majlis peribadi ini beliau mengajak saya seorang sahaja. Tak ingat bagaimana zikirnya. Yang ingat dibuat wasilah menggunakan nama para pemuda Al-Kahfi. Tujuh nama kalau tak salah yang bunyinya kedengaran seperti berunsur Yunani-Ibrani. Beliau ada memberikan kertas mengandungi gambar rajah dengan nama-nama tersebut dalam tulisan Jawi.
Oh. Tadi sebelum memulakan artikel kebetulan saya baru menghabiskan bacaan Surah Al-Kahfi. Ini adalah dalam usaha untuk mencapai dua sasaran utama bagi mengkhatamkan Al-Quran buat bulan Ramadhan ini. Pada ketika ini baru nak masuk muka surat ke-4 Juz 16 iaitu permulaan Surah Maryam. Sedangkan untuk menepati sasaran pertama antara dua itu sepatutnya juz ini sudah selesai dibaca sebelum Maghrib tadi.
Takpalah. Saya akan cuba mengejar kembali sebelum sasaran cuba dipenuhi malam Jumaat akan datang ini. Cuma itulah. Kebetulan dalam artikel baru tergerak untuk menulis tentang Sheikh yang katanya membawa zikir khusus atas nama pemuda Al-Kahfi. Mungkin ada sebabnya ia dimulakan selepas tamat membaca Surah Al-Kahfi sedangkan saya tidak merancang ini? Cuma tak ingat apakah ikut Sheikh sebelum ke Kota Bahru atau selepas itu.
Apapun tidak lama kemudian sampailah masa untuk kembali ke Kuala Lumpur. Jarak kembali hingga ke pejabat harus sama seperti ketika pergi iaitu 455 km (rujuk kira-kira berkenaan dalam artikel Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - 'Memotong saluran kebatinan' di Bukit Besar dan faktor Saidina Hassan). Sekarang biar dikira jarak KT ke KB diikuti KB ke KT dan KT ke KB (naik kereta malam-malam dengan teman wanita lama) kemudian KB ke KT sebelum kembali ke KL. Ini adalah bersamaan 4 kali jarak KT-KB (160 km) lalu menjadi 640 km.
Campurkan jarak 455 km tadi dengan 640 km, dapatlah 1,095 km. Ini belum dicampur jarak ada berjalan-jalan ke sana ke mari di KB kemudian di KT selepas kembali dari KT. Saya percaya ia membawa pada jumlah tidak kurang 1,150 km. Campurkan pula jarak yang sudah dikira sejak bergerak dari KL tapi sebelum bertolak ke KB dari KT iaitu 720 km (rujuk Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - Keramat hidup Engku Mokhsin, waris misteri Pulau Manis dan Tok Gajah?) dah jadi 1,870 km. Ini lebih jauh daripada dua kali pergi balik KL-KB juga KL-KT.
Adapun sebelum memulakan siri saya sangka perjalanan cuma mencapai jarak 900 km lalu tak boleh pun dimasukkan ke dalam senarai 50 perjalanan terjauh, cuma boleh masuk 10 istimewa. Masuk penulisan artikel kedua timbul ingatan dan butiran yang boleh menambah jarak menjadi 1,050 km lalu ia naik ke tempat 48 dalam senarai 50. Kini didapati jarak sebenarnya menghampiri 1,900 km malah boleh jadi lebih daripada itu. Ini kerana ada bahagian perjalanan telah diabaikan disebabkan kurang jelas ingatan tentangnya.
Hal ini boleh menaikkan posisi perjalanan ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 naik ke lingkungan 16-18 terjauh. Dengan itu sekian perkongsian daripada saya. Selamat malam dan wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan