Alhamdulillah. Artikel ini dapat disiapkan lebih awal daripada yang dijangkakan lalu boleh dipersembahkan sebelum Zohor. Maka bersambunglah cerita daripada artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku.
Adapun artikel terdahulu yang ada menggunakan cerita daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006) telah diakhiri dengan perenggan-perenggan ini :-
Akhirnya pemuda ini tidak tahan lagi. Hati kecilnya berkata cuma Nenek, bonda kepada ayah sahaja yang mampu menghuraikan makna mimpi itu dan apa yang sedang berlaku terhadap dirinya. Selama ini, dia lebih rapat dengan keluarga sebelah ibu tetapi tetap akan kembali ke kampung sebelah ayah sekurang-kurangnya setahun sekali. Kecuali semasa menuntut di England dan tiga tahun kebelakangan.
Entah bagaimana, Rasyid boleh mendapat cuti seminggu tanpa banyak soal. Selalunya bukan senang hendak mendapatkan cuti lama di meja sukan lebih-lebih lagi SEA Games 2001 akan dilangsungkan di ibukota tidak sampai sebulan lagi. Maka selepas tiga tahun tidak menziarahinya, pemuda itupun bergegas balik ke rumah Nenek.
Sekarang biar ditambah lagi cerita berkenaan yang tertera dalam bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor".
Lakaran laluan perjalanan ke rumah Nenek di Raub, Pahang. Ketika itu saya duduk menyewa bersama isteri lama di Pangsapuri Nilam, Segambut.
Sampai sahaja di sana, Nenek telah bersedia menyambut mesra. Wanita yang telah melepasi umur 70an itu tetap seperti dahulu, dengan senyuman manis tidak pernah lekang di bibir dan mata redup bercahaya, masih suka berkain batik dengan baju kurung Kedah. Walaupun cucu sulungnya sudah lama tidak menjenguknya, Nenek tidak pernah berkecil hati. Malah airmukanya kelihatan lebih senang daripada dahulu, seolah-olah memang menunggu dan menjangkakan kedatangan anak muda itu.
Muhammad Al Aminul Rasyid menunggu sehingga selesai makan tengahari sebelum mengemukakan apa yang sudah lama terbuku di hati. Dengan menceritakan mimpi ganjilnya yang melibatkan keSultanan Perak serta kaitannya dengan akhir zaman. Bayangkan selepas begitu lama tidak berbual dengan Nenek malah seumur hidup tidak pernah mengambil tahu tentang negeri kelahiran ayah, tiba-tiba dia boleh muncul kembali dan bertanyakan cerita-cerita lama tentang Perak. Yang peliknya Nenek tidak hairan pun malah tersenyum berseri-seri pula. Seolah-olah sudah sampai masa cucundanya mengenali asal-usul diri, sudah sampai waktu bersedia untuk memikul amanah keluarga. Apalagi, Nenek pun membuka cerita...
Gambar daripada artikel
Ke Janda Baik dan Raub sebelum Ramadhan tahun 2011 ini menunjukkan rumah Nenek. Cerita seterusnya dalam buku adalah tentang watak yang sebenarnya adalah seorang moyang utama saya yang hidup ratusan tahun dahulu. Ia ada dikongsikan dalam artikel bertajuk
Keramat Kuala Bidor pada tahun 2006 lalu tidak perlu dipanjangkan di sini. Oleh itu biar melompat ke cerita berikut dalam buku...
------------------
Selepas bermalam tiga hari di rumah Nenek, pemuda itupun meminta diri lalu bergegas ke Perak untuk mencari makam hamba Allah itu yang terletak terpencil di dalam sebuah ladang kepala sawit. Kemudian dia mengikut gerak hati berkelana sekeliling negeri lalu melawat mana-mana makam-makam lama yang terasa ingin diziarahi. Dalam keadaan tidak dirancang itulah Rasyid terjumpa makam Sultan ke-2 Perak, Sultan Mansur Shah (memerintah 1549-1577), makam Sultan ke-10, Sultan Muzaffar Shah II (1636-1654) dan makam seorang pembesar perempuan yang dikenali sebagai Tok Temong, semuanya mempunyai kaitan dengan Aceh.
Tetapi makam Sultan Mansur lebih merupakan sebatang batu nesan yang didirikan di dalam sebuah masjid untuk menandakan tempatnya ghaib semasa bersolat Jumaat dahulu. Apapun makam-makam ini mengandungi cerita-cerita lama yang akan menjadi sebahagian daripada kepingan-kepingan jigsaw puzzle untuk memahami dirinya sendiri nanti...
Sayangnya, perbualan dengan Nenek itu adalah perbualan dengan Rasyid yang terakhir. Tidak sampai tiga bulan kemudian, Nenek jatuh sakit, tidak mampu berkata-kata, setakat boleh memberi isyarat dengan tangan dan mata... Lima bulan selepas itu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, dalam pangkuan Rasyid ketika sedang dibawa kembali ke rumah dari hospital dengan ambulans. Innalillaha innalihiraji’un. Al Fatihah untuk Nenek. Semoga Allah SWT sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya. (Ampun Nek, selama ini Rasyid tidak ambil tahu banyak perkara...)
Pemergian Nenek meninggalkan rasa terkilan yang amat sangat. Masih banyak persoalan yang belum terjawab dan Neneklah ahli keluarga yang sebenarnya paling memahami apa yang sedang pemuda ini alami. Saudara-mara lain masih lagi teraba-raba menduga apakah yang sebenarnya ingin dicari pemuda ini... Sudahlah ini berlaku selepas lebih enam bulan dia tidak bekerja, dipaksa berhenti atas sebab-sebab tertentu. Ramai pula termasuk isteri sendiri menganggapnya sudah hilang akal ataupun gila, sibuk merantau ke sana ke mari melawat makam-makam purba mencari cerita-cerita lama sehingga sanggup meninggalkan segala-galanya...
Tahun 2002 adalah satu tempoh yang amat mencengkam jiwa. Tiga bulan selepas Nenek pergi, adik lelaki bongsu Rasyid pula maut akibat kemalangan jalan raya. Ini berlaku sehari selepas isteri pemuda itu melahirkan anak pertama mereka. Tidak cukup itu, seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri, ibu kepada bondanya, orang yang dipanggil “Mak” kerana menjaga dan membesarkannya sejak kecil turut serta menyambut panggilan Ilahi.
Ketika itu, anak muda yang mula kelihatan seperti orang sasau dengan penampilan tidak terurus akibat terlalu taksub mengembara mencari jawaban di samping memendam rasa sedih yang mencengkam jiwa akibat musibah yang kunjung tidak putus baru setakat tahu bahawa Keramat Kuala Bidor itu mempunyai kaitan dengan Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan Samudera Pasai abad ke 13 Masihi. Tetapi hamba Allah ini bukan berasal dari kerajaan tersebut. Kerana beliau hidup hampir 1,000 tahun lalu! Masih belum terjawab persoalan yang Nenek kemukakan dahulu...
Awal tahun 2003, selepas lebih setahun mencari dan mengembara lagi, barulah dia faham maksud Nenek. Mengapa beliau menyebut Keramat Kuala Bidor berasal dari keturunan orang baik-baik, dan siapakah orang baik-baik yang dimaksudkan... Rasyid juga dapat tahu hamba Allah ini berasal daripada sebuah keSultanan purba yang telah wujud 400 tahun lebih dahulu daripada Samudera Pasai dan 600 tahun sebelum Melaka iaitu Perlak. Pencarian ini telah memperkenalkannya kepada sejarah keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi. Lalu terbukalah kaitannya dengan perjuangan Samudera Pasai untuk menegakkan syiar Islam di bumi Timur, perjuangan yang akan diwarisi Melaka seterusnya Aceh nanti.
Lebih penting lagi, sejarah penubuhan Perlak berkait pula dengan pergolakan empayar Islam di Timur Tengah melibatkan kerajaan-kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah. Dari sinilah, Rasyid mula mengenali siapakah itu Imam Ja’afar Al-Sadiq yang sangat diagung-agungkan pengikut Syiah, juga tokoh-tokoh lama Islam seperti Muhammad Nafs Al-Zakiyah yang pernah mewarnai persada politik Islam di Baghdad.
Lalu anak muda ini dibawa menelusuri perjuangan anak cucu Rasulullah SAW, para Ahlul Bait yang penuh ranjau dan duri, lebih-lebih lagi kisah suka-duka keturunan cucu sulung baginda iaitu Saidina Hassan, kisah perjuangan yang entah mengapa, banyak digelapkan sejarah lalu hilang ditelan zaman. Dan sekarang Rasyid mahu ia didedahkan kerana pemuda ini percaya ia berkaitan dengan kesejahteraan umat Islam juga...
----------
Cerita yang dikongsikan ini sebenarnya sudah melangkaui skop perjalanan kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001. Ini kerana turut diceritakan apa yang berlaku pada tahun 2002 diikuti 2003. Tetapi sengaja ia dikongsikan untuk menunjukkan tekanan hidup yang dihadapi sambil mencari makna dan erti diri. Selepas ini akan mula dikongsikan cerita perjalanan sebenar ke makam-makam lama. Kalau ada perincian berkenaan dalam buku maka akan digunakan ia. Kalau tiada biar diberikan butiran setakat dapat diingati. Insyaallah kalau sempat malam ini.
Jujur saya akui saya sangat terkesan apabila mula menghayati apa yang ada di blog kekanda merah silu. Ditambah dengan gaya bahasa yang memukau bagi saya.
BalasPadamAwak adalah salah satu pengkaji sejarah Melayu yang terbaik menurut saya. Adakah awak sedar awak telah melangkaui salah satu ilmu sejarah Melayu yang tidak diketahui oleh ramai orang? Sekali lagi tahniah diucapkan...
BalasPadamTerima kasih. Tulisan saya sekadar luahan jiwa dan rasa. Terlalu banyak kenangan dan pengalaman pahit manis ditanggung. Perkongsian dibuat supaya merasa lega dan aman jiwa. Itu sahaja.
BalasPadam