Selasa, April 06, 2021

Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku


Satu gambar yang baru diterima lewat malam semalam daripada seorang kenalan lama...


Salam pagi Selasa 23 Sya'aban. Sedar tak sedar tinggal seminggu sahaja lagi sebelum kita mula berpuasa wajib bulan Ramadhan. Dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Malam terakhir di mana? yang dipersembahkan jam 8.47 malam semalam ada disebut bahawa mungkin saya akan menghubungi penunggang kuda yang pernah menjadi juara endurance dunia tahun 2001 iaitu Datuk Awang Kamaruddin untuk menunjukkan siri artikel berkenaan. Kami sudah 20 tahun tidak berhubung. Lewat malam semalam baru tergerak untuk mencari di Facebook lalu menghubungi, setelah dipaparkan Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 jam 11.15. 

Alhamdulillah beliau masih ingat saya dan apa yang berlaku ketika menaja perjalanan di Perancis hampir penghujung tahun 2000. Ternyata beliau yang kini sudah berumur 76 tahun masih sihat walaupun katanya tidak lagi menunggang kuda tetapi lebih pada mengajar orang menunggang dan menguruskan acara. Beliau menunjukkan satu gambar sedang mengajar sejumlah orang muda yang berpakaian jubah berkopiah... ada orang memanah cara tradisional sunnah di latar belakang gambar itu. Beliau juga memberitahu masih ada menyimpan gambar-gambar lama dan potongan artikel-artikel saya yang muncul di suratkhabar di The New Straits Times lama dahulu.

Inilah antara sebab saya terus menulis dan menulis terutama tentang cerita-cerita pengalaman lama. Saya percaya apabila suatu gerak penulisan sampai lalu ditunaikan sehingga selesai akan muncul suatu perkara baik tak dijangka. Tak kiralah jika tulisan itu tidak mendapat sambutan ramai ke orang nak kata syok sendiri ke asyik tulis pasal pengalaman hidup sendiri ke masuk bakul angkat sendiri ke bagaimana. Janji ditunaikan, tidak menipu dengan cara membuat karangan kreatif untuk kelihatan bagus seperti dilakukan sesetengah orang bagi mengumpul pengikut dan meraih populariti. 

Saya sekadar berkongsi apa yang benar-benar berlaku tanpa tokok tambah sebagai luahan rasa jujur diri. Maka itu saya harus lebih tahu apa yang sebenarnya terjadi berbanding menulis tentang pengalaman orang lain, kalau tak ingat atau tak pasti saya akan mengaku bukan menipu cerita. Sekarang biar dimulakan satu siri baru cerita lama perjalanan tetapi masih dalam tempoh bertugas sebagai wartawan di NST tahun 1996-2001. Walaupun cerita dijangka akan menjangkau sekurang-kurangnya 5 episod saya berharap ia dapat diselesaikan sebelum masuk malam Jumaat ini atas sebab tertentu.


Asian X Games di Kuala Lumpur tahun 2002. Selain untuk sukan berkuda saya boleh dikatakan pernah menjadi wartawan paling ke hadapan di Malaysia dalam mengenengahkan sukan berkenaan, sekurang-kurangnya bagi media arus perdana...


Ketika perjalanan ke Perancis berlaku awal November 2000 reputasi saya sebagai wartawan sukan di akhbar The New Straits Times sudah mencapai suatu tahap cemerlang malah masih meningkat naik. Saya cukup dikenali di pejabat juga dalam kalangan wartawan akhbar lain dan majalah selain memiliki hubungan baik dengan ramai VVIP termasuk para menteri dan peneraju syarikat-syarikat korporat. Saya begitu dipercayai sehingga tak sampai sebulan kembali dari Perancis terus dihantar untuk meliputi kejohanan sukan ekstrem (skateboarding, wall climbing dan sebagainya) Asian X Games di Phuket, kali ini oleh akhbar NST itu sendiri. Saya dibekalkan wang sebanyak US$2,000 (ketika itu harus hampir RM8,000) dalam bentuk travellers cheque untuk belanja sepanjang berada di sana 3-13 Disember. Saya ingat tarikh kerana ada cop berkenaan dalam paspot lama. 

Ini tidak termasuk tiket pergi balik penerbangan kerana telah ditempah oleh syarikat secara berasingan. Saya cuma ada menambah RM600 kalau tak salah untuk tiket penerbangan isteri lama kerana mahu membawanya bersama. Syarikat tiada masalah asalkan tidak mengganggu kerja. Malah katanya lebih baik membawa isteri kerana tahu Phuket memiliki reputasi tidak senonoh melibatkan perempuan. Rasanya semua orang tahu apa maksudnya ini...

Kami menginap di hotel termahal dan terbaik di pulau peranginan sehingga seorang pegawai muda tapi kanan bagi Menteri Sukan Malaysia terasa iri hati melihat keadaan kami. Ini berlaku setelah terserempak di  Phuket lalu saya mengajaknya makan secara room service di bilik kami, saya yang belanja. Terus dia menyatakan mahu meminta kementerian menukarkannya ke hotel yang lebih bagus. Kalau saya yang 'cuma' bekerja sebagai wartawan boleh mendapat hotel terbaik sebegitu kenapa tidak dia pegawai kanan yang rapat dengan menteri?

Pegawai muda yang merupakan junior setahun saya semasa zaman kolej di A Level itu dihantar untuk meninjau kerana sukan ekstrem sedang meningkat naik di merata dunia. Beliau turut menemani beberapa orang atlet sukan ekstrem Malaysia lalu mereka pun diajak sama makan di bilik hotel saya. Ketika itu kementerian sedang memikirkan mahu membawa Asian X Games ke Kuala Lumpur lalu saya ada terlibat dalam kempen untuk mendapatkannya. Dan memang pun KL menjadi hos kejohanan dari tahun 2002 hingga 2004. 

Tetapi ketika itu saya bukan lagi wartawan. Sebaliknya awal tahun  2001 bermulalah zaman suram akibat permainan politik pejabat yang mahu menjatuhkan kerjaya saya. Dalam kesuraman itulah saya  mula terpanggil untuk kembali pada agama. Lalu berlakulah perjalanan yang mahu dikongsikan cerita seterusnya.


Cerita berkenaan ada diluahkan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006) terutama dalam bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor". Biar dicopy paste bahagian-bahagian berkenaan. Untuk perkongsian di sini biar ditambah tajuk-tajuk kecil yang bersesuaian...


DARIPADA KEBARATAN MULA MENGGAMIT MAKNA KEMELAYUAN

Rasyid mula tahu tentang kewujudan Keramat Kuala Bidor apabila  tergerak untuk mengorek daripada almarhum Nenek cerita-cerita lama  tentang Perak. Sebelum itu, dia tidak mahu mengambil  tahu cerita-cerita sebegini malah pernah dicop keluarga sebagai seorang yang westernised, terlalu keBaratan sehingga tidak mengenal budaya bangsa sendiri... Mungkin kerana pengaruh pengajian empat tahunnya di London dahulu?

Muhammad Al Aminul Rasyid juga pernah berbangga dengan kepintaran semulajadinya mengupas pengajian Barat seperti falsafah Socrates dan Plato yang ‘ditelan’ bulat-bulat. Buku-buku ideologi Mat Saleh seperti Das Kapital dan Communist Manifesto oleh Karl Marx, Wealth of Nations oleh Adam Smith juga The Prince  karangan Nicolo Machiavelli, pemikir strategi politik Itali yang terkenal dengan ungkapan “The ends justifiy the means”, matlamat menghalalkan cara yang menjadi ungkapan  azimat ramai orang politik pernah turut menjadi ‘makanan’ hariannya. 

Pemuda itu juga memiliki sedikit ‘wajah Barat’. Jika semasa kecil dahulu,  dia sering terasa malu kerana kulit putih kemerahan dan rambut  keperangannya menyebabkan dia sering diejek sebagai “Mat Saleh Celup”, keadaan itu  menjadi terbalik apabila memasuki zaman remaja. Rupa paras yang pernah menjadi bahan ejekan dan gurauan kawan bertukar menjadi aset pujaan remaja perempuan sedangkan ramai lelaki Melayu pula sibuk untuk memutih dan melicinkan kulit serta mewarnakan rambut  supaya kelihatan seperti orang Barat yang dianggap lebih segak dan kacak.

Rasyid mula “naik syok” apabila sering dipuji memiliki rupa paras Orang Putih terutama oleh gadis-gadis cantik  walaupun sejarah keluarga menunjukkan dia tidak memiliki darah Mat Saleh. Maka itu anak kelahiran Muar, Johor ini merasa tidak perlu lagi mengambil tahu cerita-cerita lama Melayu yang sering dianggap legenda dan mitos semata. Walaupun semasa kecil dahulu dia selalu terpesona dengan kisah-kisah lama seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Inderaputra, di samping dongeng Barat tentang dewa-dewa rakyat Greek seperti Zeus dan Aphrodite, juga dewa-dewa Viking atau Norse Gods seperti Odin, Thor dan Loki kerana minat terhadap cerita-cerita berunsur kesaktian dan magic

Pendiriannya cuma berubah apabila perasaan keMelayuan mula meresap kembali ke dalam dirinya, perasaan halus syahdu yang dicetus CD lagu-lagu M.Nasir nyanyian Hattan terutama “Lagu Cenderawasih” yang mempunyai semacam getaran mistik keMelayuan pada satu pagi buta semasa sedang mencuci serombong dapur di sebuah restoran Melayu. Ketika itu, tahun 1995, Rasyid sedang menuntut di tahun akhir pengajian tetapi terpaksa membuat beberapa kerja seperti menyusun buku di perpustakaan universiti, menyediakan makanan, melayan pelanggan dan mencuci periuk-belanga di kafetaria University of London Union di samping menyampaikan leaflet kepada orang-ramai di hadapan kedai buku Dillon’s bersebelahan, semuanya untuk menampung perbelanjaan hidup kerana pembiayaanya telah ditamatkan akibat melanggar kontrak penaja... 

Malangnya, apabila kembali ke tanah air, dia terjebak lagi dengan suasana keBaratan yang mengenepikan nilai-nilai murni Islam dan keMelayuan. Tugas sebagai wartawan akhbar terkemuka sering membuat pemuda itu leka dengan majlis-majlis berprestij yang disertai pergaulan bebas, dihiasi wanita-wanita cantik, glamour  dan mengghairahkan ditambah pula air kencing Syaitan yang mengalir  tanpa batasan. Bayangkan parti eksklusif Formula One di kelab-kelab malam terkemuka ibukota yang dihadiri orang-orang terpilih. Dengan wanita bertaraf model yang selalu menghiasi acara-acara perlumbaan kereta turut serta melayani tetamu, segalanya ditaja syarikat-syarikat yang inginkan publisiti meluas. Tetapi dengan tidak disangka, selepas lama bergelumang dalam dunia hiburan langit terbuka zaman Internet penuh ‘kebebasan’, Rasyid mendapat sebuah mimpi ganjil yang memaksanya mengkaji cerita-cerita lama Perak seterusnya Aceh dan hal-hal berkaitan  sehingga tertulislah buku ini...


MIMPI  GANJIL DAN PERISTIWA 11 SEPTEMBER

Pada mulanya Rasyid tidak mengendahkan mimpi ini. Ketika itu, dia telah tiga tahun berkhidmat sebagai wartawan sukan, sedang sibuk membuat liputan terutama acara hoki, sukan berkuda dan permotoran. Tetapi Peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan dua buah kapalterbang penumpang melanggar menara berkembar World Trade Centre  di New York menyentaknya kepada mimpi yang berlaku sebulan sebelum itu. Seolah-olah ia berkait rapat dengan peristiwa yang diyakininya adalah tanda bermula serangan besar-besaran Yahudi Zionis ke atas umat Islam yang bakal menyaksikan Perang Dunia keTiga meletus tidak lama lagi, ada kena-mengena pula dengan peristiwa-peristiwa akhir zaman yang pernah disebut Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun dahulu.

Sebelum itu, dia  pernah terbaca risalah Protocols of the Elders of Zion yang ditemui secara tidak sengaja semasa melayari Internet di pejabat, satu set protokol yang mengandungi rancangan terperinci untuk menakluki dunia demi menerbitkan sebuah kerajaan besar sedunia yang dikenali sebagai The New World Order. Rancangan yang  diilhamkan intelektual Zionis dahulu ini turut menyenaraikan penguasaan segala bentuk media massa - suratkhabar, berita, rencana, siaran radio, program TV, hiburan dan filem-filem Hollywood untuk membentuk masyarakat leka yang mindanya senang dijajah, disertai galakan meluas terhadap sistem kewangan berasaskan riba’  yang dipelopori the international bankers juga sokongan terhadap bakal tokoh-tokoh politik yang bijak dan berkarisma  seluruh dunia tetapi kurang bermoral lalu boleh dicucuk dan ditarik hidungnya oleh Yahudi.

Pemuda yang sudah mula berjinak balik dengan tikar sembahyang  itu juga telah mengenali Freemason, rangkaian yang mengaku berdiri di atas prinsip persaudaraan manusia sejagat untuk menerbitkan ketamadunan insan mulia tetapi sebenarnya bergerak secara underground  untuk menjayakan rancangan Protocols.  Rangkaian ini disokong pula oleh Illuminati,  kumpulan elit yang terdiri daripada para bijak pandai, kaya raya dan berkuasa seluruh dunia tetapi tersembunyi seperti watak bayang-bayang yang mendokong segala komplot dalam siri televisyen popular The X-Files. 

Pandangan pengasas syarikat gergasi kereta Henry Ford dalam bukunya The International Jews yang memperincikan taktik Yahudi menguasai sistem kewangan Amerika awal abad ke 20 menguatkan lagi kewujudan rancangan teliti Zionis untuk menakluki dunia. Hati kecilnya pula berkata perkara ini telah dibayangkan secara tersirat dalam mimpinya dahulu...


MENCARI MAKNA SEMUA INI

Lebih seminggu Rasyid gelisah tertanya-tanya apakah makna semua ini. Mengapa dia merasakan Perang Dunia Ketiga yang menurut satu dokumen mengenai Illuminati adalah perang besar terakhir yang dirancang sebelum mereka dapat menakluki dunia amat dekat sekali. Malah mungkin perang itu telah pun bermula dengan peristiwa 11 September. Sepertimana Perang Dunia Pertama dan Kedua yang meragut berpuluh-puluh juta nyawa  bermula dengan konflik bersenjata kecil di Eropah Timur sebelum merebak beberapa tahun kemudian ke seluruh dunia.

Akhirnya pemuda ini tidak tahan lagi. Hati kecilnya berkata cuma Nenek, bonda kepada ayah sahaja yang mampu menghuraikan makna mimpi itu dan apa yang sedang berlaku terhadap dirinya. Selama ini, dia lebih rapat dengan keluarga sebelah ibu tetapi tetap akan kembali ke kampung sebelah ayah sekurang-kurangnya setahun sekali. Kecuali semasa menuntut di England dan tiga tahun kebelakangan.

Entah bagaimana, Rasyid boleh mendapat cuti seminggu tanpa banyak soal. Selalunya bukan senang hendak mendapatkan cuti lama di meja sukan lebih-lebih lagi SEA Games 2001 akan dilangsungkan di ibukota tidak sampai sebulan lagi. Maka selepas tiga tahun tidak menziarahinya, pemuda itupun bergegas balik ke rumah Nenek.


--------------


Selesai mukadimah. Cerita akan disambung dengan apa yang diberitahu oleh Nenek, Insyaallah selepas Zohor.


Ralat (ditulis pada jam 1.36 pagi Rabu 7 April 2021) : Selepas menulis sedikit isi artikel ke-5 dan terakhir siri ini bagi siaran petang nanti (sebelum itu sudah disediakan isi artikel ke-4 bagi siaran pagi) tergerak untuk menyemak kembali bilakah SEA Games 2001 berlangsung di Kuala Lumpur. Rupa-rupanya pada 8 hingga 17 September. Patutlah boleh dapat cuti seminggu untuk pertama kali menziarahi makam-makam lama.

Rupa-rupanya cuti berlaku bukan kurang sebulan sebelum SEA Games tetapi selepas itu. Rupa-rupanya peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan menara berkembar World Trade Centre di New York runtuh itu berlaku ketika kejohanan berlangsung. Bermakna saya melihat ia runtuh di kaca televisyen selepas meliputi acara bagi hari itu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan