Ahad, Mac 21, 2021

Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Blackpool dan kebenaran yang muncul melibatkan Manchester

Baru tersedar cantik tarikh hari ini 21/3/21. Sekarang biar disambung cerita daripada artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Melawat kawan-kawan lama satu batch di West Yorkshire dan kenangan berkenaan.



Seperti disebut dalam artikel sebelum ini saya tidak ingat berapa harikah berada di mukim West Yorkshire. Bila difikirkan kembali besar kemungkin selainan di Bradford ada menginap di Leeds. Selepas itu yang ingat saya dan teman wanita lama bergerak ke bandar peranginan Blackpool lebih 100 km ke timur.

Untuk meringkaskan cerita biar dianggap kami bergerak itu dari Bradford. Cuma apabila diminta pada Google Map direction atau panduan arah dari situ ke Blackpool diberikan peta seperti di atas dengan laluan mendekati bandar raya Manchester ditanda sebagai terbaik kerana menjimatkan masa. Seingat saya ada pergi ke bandar raya itu tetapi selepas Blackpool. Harus ada laluan lain digunakan waktu itu.



Fikir punya fikir baru teringat ada melalui tempat atau bandar bernama Blackburn. Blackburn ke Blackpool - Ya teringat ketika mencari-cari dalam peta ada mengaitkan kedua-dua nama kerana ada perkataan Black itu. Kalau begitu laluan adalah seperti dalam peta atas...

Walaupun boleh jadi saya ke Huddersfield terlebih dahulu biar laluan ini dianggap benar untuk cerita. Mungkin selepas menginap di Bradford lalu bertemu kawan-kawan lama kami ke Leeds untuk berjumpa kawan-kawan lama belah sana pula. Esoknya baru ke Huddersfield jumpa kawan-kawan di situ kemudian baru bergerak ke Blackpool... mungkin. Tetapi seperti disebut tadi biar dianggap perjalanan bermula dari Bradford mewakili persinggahan bagi seluruh mukim West Yorkshire. Lagipun faktor perjalanan dalam mukim (tak kira aturannya singgah mana dahulu) telah diambil kira dalam artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Melawat kawan-kawan lama satu batch di West Yorkshire dan kenangan berkenaan.



Tentang bandar peranginan Blackpool ada disebut dalam artikel Perjalanan ke Scotland tahun1993 - Wilayah tasik Lake District dan bandar peranginan Blackpool 3 hari lalu. Seingat saya persinggahan dengan teman wanita memandu kereta sewa adalah yang ke-2 buat saya.



Ketika itu kami (mungkin saya sahaja sebenarnya kot? :]) sangat berhajat untuk bermain di taman tema sana. Ada sedikit belanja untuk melakukannya. Seingat saya sampai-sampai je taman tema sedang ditutup. Lupa atas sebab apa. Mungkin ada kerja-kerja maintenance atau penyelenggaraan ketika itu.



Apa yang dapat dibuat adalah berjalan-jalan di sekitar menikmati keadaan bandar tepi laut. Setelah itu baru bergerak lebih 80 km ke Manchester.



Di bandar raya ini dan persekitarannya juga terdapat ramai pelajar Malaysia. Terdapat beberapa buah universiti (lima kalau tak salah) dan paling utama adalah University of Manchester. Ketika menulis ayat ini jam 10.20 muncul ingatan tapi tak pasti bahawa seorang kawan sekelas semasa zaman A Level di Malaysia ada menuntut di universiti itu. Saya pun menelefon untuk mendapatkan kepastian. 

Benar, kata kawan yang sekarang memegang satu jawatan pengurusan tinggi dalam syarikat terbesar telekomunikasi negara. Dia memang belajar di University of Manchester. Bahkan memang terdapat ramai kawan satu batch dahulu belajar di Manchester. Ramai pelajar kejuruteraan di sana.

Kata beliau lagi ada seorang rakan lain sekelas zaman kolej yang sama universiti. Cuma apabila ditanya apakah kami ada berjumpa di Manchester baru disebut bahawa beliau dan ramai kawan sama batch telah kembali ke Malaysia pada pertengahan tahun 1993. Yang tinggal mereka yang mengulang pengajian atau ada membuat industrial training




Ah. Saya langsung terlupa fakta ini. Bahawa berbanding kawan satu batch di kolej saya sebenarnya sudah tercicir dua tahun. Satu akibat pernah dibuang kolej (rujuk cerita berkenaan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan), satu adalah kerana mengulang peperiksaan tahun dua (ada diceritakan dalam Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford). Saya terlupa kerana di London semasa itu masih terdapat ramai kawan sama batch. Sekarang baru terfikir bahawa ramai yang masih ada untuk sebenarnya sudah tamat ijazah sarjana muda. Mereka berada lagi di UK untuk mendapatkan kelulusan profesyional (ACCA bagi pelajar perakaunan, BAR bagi pelajar perundangan).

Hmm. Tak sedar rupanya saya selama ini hal tersebut. Sehingga pernah melepak dekat 3 bulan bersama kawan-kawan satu batch ketika musim panas tahun 1993 di Sheffield pun tak pernah terfikir sepatutnya mereka semua sudah tamat ijazah. Mungkin sudah tamat ketika itu tetapi sahaja hendak melepak  beberapa bulan lagi di UK? Mungkin.

Apapun hal ini rupanya menimbulkan satu perspektif baru tentang bilakah sebenarnya berlaku beberapa perjalanan lama saya di UK. Bila dihubungi kawan di Bradford yang kami ada tumpang tidur rumah itu untuk bertanya bagaimanakah boleh bertemu tahun 1994 sedangkan menurut kawan di Manchester batch kami sudah harus kembali ke Malaysia pada musim panas tahun 1993 baru diberitahu beliau yakin kembali pada Julai 1993. Oleh itu mustahil kami bertemu tahun 1994.

Adus. Habis lari langsung kronologi apa yang saya ingat selama ini. Kena susun balik bilakah semua itu berlaku. Tetapi biar ini ditangani dalam artikel lain. Buat masa ini biar dianggap apa yang telah dikongsikan tentang perjalanan-perjalanan di UK boleh dipakai dan perjalanan sewa kereta ke separuh England ini memang berlaku pada musim panas tahun 1994.



Seingat saya selepas Manchester kami bergerak ke Birmingham 140 km ke selatan. Apabila dilihat peta timbul pertanyaan kenapa tidak singgah ke Liverpool ya? Di situ pun ada kawan lama. Dan seperti Manchester ia sangat terkenal dengan pasukan bola sepak profesyional (baru nak sebut hal bola ini). Liverpool sudah cukup dekat dari Manchester. Seingat saya pernah sampai sekali sahaja ke sana dan ia bukan dengan memandu kereta. 

Saya pasti ada ke Liverpool sekembalinya daripada perjalanan pusing Eropah musim panas tahun 1995 dan sebelum kembali ke Malaysia 1 Oktober 1995 (saya masih menyimpan tiket kapal terbang berkenaan). Soalnya kenapa tidak singgah dalam perjalanan dengan kereta sewa? Satu jawaban yang muncul adalah mungkin selepas Manchester baru ke Sheffield untuk melawat kawan-kawan di sana. Ini kerana semasa bergerak dari London ke Bradford beberapa hari sebelum itu tak sempat untuk melawat kawan kerana sudah lewat malam. 

Ini ada logiknya kerana terdapat ramai kawan lama di Sheffied. Tetapi untuk siri ini biar dianggap selepas Manchester kami terus ke Birmingham. Nanti baru diatur kembali tempoh masa dan tempat-tempat persinggahan berdasarkan fakta dan ingatan yang akan timbul seterusnya.

Berbalik pada perjalanan dari Bradford (sebagai mewakili keseluruhan persinggahan ke mukim West Yorkshire) membawa ke Blackpool kemudian Manchester. Google Map menunjukkan jarak keseluruhan perjalanan sebagai 189 km. Tapi kalau dicampur perjalanan dalam bandar seperti mencari tempat-tempat tertentu harus melebihi 200 km. Siang Isnin setengah hari (atau kurang) daripada sekarang insyaallah akan dipersembahkan artikel seterusnya merangkap cerita terakhir siri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan