Ahad, Mac 21, 2021

Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Melawat kawan-kawan lama satu batch di West Yorkshire dan kenangan berkenaan

Salam. Menyambung cerita terus daripada artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford.


Di Bradford saya dan teman wanita lama menginap di rumah kawan lama sekelas semasa mengaji peringkat A Level di PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar/Institut Teknologi Mara), Malaysia. Kami juga pernah duduk sebilik di asrama kolej waktu itu. Rasanya kali terakhir bertemu adalah pada tahun 1990. Empat tahun kemudian baru bertemu kembali di England. 

Kawan tersebut menuntut ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan eletrik di University of Bradford. Ia antara sejumlah universiti yang termasuk dalam program NCUK (Northern Consortium United Kingdom). Ini adalah universiti-universiti yang ada perjanjian dengan ITM (sekarang bertaraf universiti, dikenali sebagai UiTM) yang mana pelajar boleh membuat tahun pertama di Malaysia. Dua tahun seterusnya baru di UK bagi menjimatkan belanja.

Saya sendiri telah dipanggil masuk ke program NCUK kerana keputusan peperiksaan A Level tidak cukup cemerlang untuk ditaja tahun satu di UK. Tetapi saya menolak kerana mahu membuat tahun pertama dengan pembiayaan keluarga, setelah mendapat tawaran masuk ke University College of London yang tiada dalam program NCUK. Hal ini ada disebut dalam artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford. Apapun akhirnya saya dan kawan-kawan sama batch di NCUK bertolak sekitar sama waktu  iaitu selepas pertengahan tahun 1991. Ini disebabkan zaman kolej saya terbuang satu tahun  (rujuk cerita berkenaan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan.).  Lalu apabila kawan-kawan masuk ke tahun dua universiti saya baru hendak memulakan tahun pertama.


Dari Bradford kami kemudian bergerak ke kota Leeds sekitar 16 km ke timur. Kedudukan dekat kedua-dua kota sering membuatkannya kelihatan seperti kota berkembar dalam peta. Namun kota Leeds kelihatan lebih cantik bagi saya kerana lebih banyak bangunan lama klasik. Bradford kelihatan lebih industrial, bandar kilang lebih pada perusahaan sedangkan Leeds lebih kelihatan seperti kota ahli fikir.



Hal ini boleh dilihat pada gambar-gambar yang ditemui apabila membuat Google image search (carian gambar) menggunakan kata kunci "University of Leeds". Di sini ramai pelajar Malaysia mengambil jurusan undang-undang lalu ramai kawan lama kolej boleh dilawati. Ada dua daripada mereka masih berhubung baik dengan saya sehingga kini. Seorang menjadi peguam selama beberapa tahun tetapi cuba bertukar bidang menjadi penulis dan kartunis. Seorang pula bertukar bidang sejak awal kembali ke Malaysia. Beliau masuk menjadi wartawan di akhbar The Malay Mail lalu pernah sepejabat dengan saya di Jalan Riong, Bangsar ketika saya menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001.

Dua kawan tersebut pernah duduk sebilik di kolej tetapi lain kelas. Ini kerana pembahagian bilik tidak sama dengan kelas. Saya tidak ingat atas dasar apa pelajar dikelompokkan dalam suatu bilik tetapi kalau kelas itu jelas, mengikut pengajian yang dipilih bagi peringkat universiti. Seingat saya setiap bilik asrama terdiri daripada hampir 20 orang, kelas pun lebih kurang begitu, mungkin lebih sedikit daripada 20. Adapun kelas saya adalah untuk pelajar kejuruteraan, saya sahaja bidang matematik kerana hampir sama skop teknikal ilmu pengetahuan. Kelas dua orang kawan lama di Leeds memang untuk jurusan undang-undang. Seingat saya ada dua atau tiga kelas bagi jurusan undang-undang.

Seingat saya lagi separuh daripada ahli bilik saya adalah daripada jurusan kejuruteraan. Ada yang dalam kejuruteraan awam (civil engineering), ada yang elektrik. Separuh lagi pula dalam bidang undang-undang. Bilik-bilik lain ada pelajar perakaunan, seni bina dan entah apa lagi. Pergigian pun ada.

Saya lihat yang ramai menjadi orang besar kini adalah pelajar undang-undang dan perakaunan. Dua saluran itu kelihatan memberikan jalan terbaik untuk naik dalam syarikat-syarikat korporat lalu ramai kini memegang jawatan CEO (ketua pegawai ekskutif) syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia. Ada pula memilih jalan lain lalu sekarang menjadi duta besar. Saya ada sekurang-kurangnya lima orang kawan lama bergelar duta. Dalam bidang kejuruteraan ramai juga naik menjadi pengurus besar dan sebagainya. Tapi kalau peringkat CEO tidak ramai seperti halnya pelajar undang-undang dan perakaunan.



Berbalik pada perjalanan dengan kereta sewa tahun 1994. Turut dilawati adalah kawan-kawan lama di Huddersfield, satu kota yang terletak sekitar 18 km ke selatan Bradford. 


Seperti halnya di Bradford di situ terdapat ramai kawan dalam bidang kejuruteraan. Saya tak ingat apakah ada kawan sebilik menuntut di Huddersfield. Tapi kalau kawan sekelas sekurang-kurangnya seorang ada di University of Huddersfield.




Tiga kota itu - Bradford, Leeds dan Huddersfield terletak dalam daerah West Yorkshire.



Begini kedudukannya (berwarna merah) antara banyak-banyak daerah di England. Jaraknya sekitar 330 km ke utara London. Tak ingat berapa lamakah berada di sekitar itu. Rasanya kalau satu hari satu malam tak cukup hendak liputi. Mungkin 2-3 hari. Cuma kena ingat saya dan teman wanita lama menyewa kereta selama seminggu. Saya tidak ingat dengan pasti di manakah kami menginap kecuali di rumah kawan lama di Bradford. Selain itu yang ingat dengan pasti adalah bermalam dalam kereta di Bermondsey, London supaya sempat memulangkan kereta pada siang esoknya.

Sewa kereta seingat saya dikira begini - Kalau sehari ambil jam sekian-sekian 24 jam selepas itu iaitu esoknya pada jam sama mesti sudah dipulangkan, kalau tidak tambah caj. Oleh itu sewa seminggu harus meliputi tujuh malam. Dua malam sudah diketahui dengan pasti menginap di mana, tinggal lima malam  tak ingat. Ada logiknya kami menginap satu malam lagi di rumah entah mana-mana kawan di West Yorkshire. Perkara ini cuma akan dapat gambaran lebih baik setelah cerita perjalanan yang dibutirkan sambil menggali ingatan ini sehingga sampai pada perjalanan kembali ke London.



Pembetulan. Sebetulnya yang ditunjukkan tadi bukan peta daerah tetapi mukim. Kalau daerah seperti di atas ini. Maka West Yorkshire adalah sebuah mukim. Dalam daerah dipanggil Yorkshire and the Humber...


Apapun, perjalanan saya dan teman wanita lama dengan kereta di West Yorkshire boleh digambarkan berada dalam lingkungan apa yang ditanda dalam peta atas. Itu belum campur pusing-pusing di setiap kota mencari rumah kawan dan sebagainya. Bila dicampur itu jarak perjalanan harus melebih 80 km. Oh. Tadi saya cuma sebuah namakan tiga buah universiti sahaja, satu bagi setiap kota. Walhal terdapat sejumlah lagi universiti terutama politeknik-politeknik yang dinaik taraf menjadi universiti bermula tahun 1992 kalau tak salah. Namun kalau universiti utama itulah tiga yang disebut tadi.

Harus ada kawan-kawan lama belajar di tempat selain universiti utama. Harus ada cuba diziarahi. Kadang-kadang kita mungkin cuma ingat beberapa orang kawan dan tempat belajar mereka lalu cuba menjejaki. Tengok-tengok ada kawan-kawan lain duduk menyewa di rumah sama atau berdekatan. Kadang-kadang diperkenalkan pula pada kawan baru yang juga pelajar Malaysia. Begitulah secara rata hubungan antara kami semua. 

Cuma saya sahaja kadangkala membawa perangai kera sumbang duduk di luar lingkungan pelajar dan komuniti Melayu di London, menyewa rumah dengan Orang Putih, orang hitam Afrika pun ada. Saya buat ini atas nama pengalaman dan konon mahu menjadi "orang antarabangsa"(tidak, saya bukan hendak menjadi Mat Saleh). Pun begitu saya tidak pernah putus hubungan dengan Melayu. 

Walaupun pernah keluar dengan beberapa orang gadis Barat, teman wanita lama (steady) tetap seorang gadis Melayu yang dikenali sebelum berlepas London. Dan boleh kata sekurang-kurangnya seminggu sekali saya akan ke Malaysia Hall (Dewan Malaysia) di mana terletaknya Jabatan Pelajar Malaysia. Ini kerana di situlah iaitu di kantinnya boleh ditemui set makan termurah di seluruh London. Seingat saya dengan £1.50 sahaja sudah boleh dapat sepinggan nasi putih dengan sejenis lauk serta segelas kecil air sirap. 

Dan saya juga selalu membaca surat khabar Malaysia yang dibawa dengan kapal terbang selang beberapa hari untuk mengetahui perkembangan terbaru di tanah air. Bila dah begitu tentu bergaul dengan orang Melayu kerana yang bekerja di sana ramai orang kita, yang ramai datang makan dan sebagainya pun orang Malaysia. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan