Sabtu, Mac 20, 2021

Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford

OK. Terus pada cerita kedua siri. Bersambung daripada artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Membina perspektif berdasarkan beberapa perjalanan lain.


Kisah perjalanan yang diperkirakan berlaku hampir 27 tahun lalu ini harus bermula pada satu hari selepas selesai mengulang peperiksaan tahun kedua pengajian di University College of London (UCL). Peperiksaan berlangsung sekitar penghujung bulan Mei tahun 1994 membawa ke awal bulan Jun. Perjalanan harus bermula dalam tempoh sebulan dua selepas itu. Rasanya ketika itu sudah mendapat keputusan peperiksaan lalu didapati alhamdulillah lulus untuk masuk ke ke tahun tiga atau tahun akhir pengajian.

Oh, seingat saya harus belajar sendiri sepanjang setahun sebelum mengambil peperiksaan ulangan tersebut.  Seingat saya tidak dibenarkan masuk ke kelas untuk mengulang tahun dua, tak ingat mengapa. Ke ada silap faham berlaku pada waktu itu? Apapun seingat saya kalau melapor pada pihak penaja bahawa saya tidak lulus peperiksaan tahun dua pada pertengahan tahun 1993 lalu harus mengulang akan disuruh balik ke Malaysia. Dah dekat hendak periksa baru boleh ke London untuk mendudukinya. 

Mungkin ini disebabkan terma penajaan saya telah berubah daripada penajaan penuh menjadi pinjaman boleh ubah kerana memilih untuk pergi tahun pertama ke London dengan biaya sendiri sebelum menyambung kembali dengan mereka untuk tahun-tahun seterusnya. Kalau tidak harus buat tahun pertama di Malaysia bawah program NCUK (Northern Consortium United Kingdom). Tetapi kalau masuk program hilang pula peluang masuk ke UCL kerana ia tidak termasuk dalam program NCUK.

Yang pasti memang tak masuk kelas sepanjang setahun sebelum peperiksaan ulangan itu. Cuma ada seminggu sekali begitu berjumpa dengan seorang pensyarah yang sangat ambil peduli tentang perkembangan saya lalu membuat ulang kaji pelajaran dengan beliau. Apapun teman wanita lama yang ikut sama dalam perjalanan pula telah selesai peperiksaan tahun akhir di London School of Economics. Seingat saya beliau sudah bersedia untuk kembali ke Malaysia meninggalkan saya setahun lagi di luar negara.


Perjalanan ini sudah difikirkan buat beberapa lama. Kami mahu melakukan dengan menyewa kereta. Setelah meneliti iklan-iklan di surat khabar dan sebagainya baru terjumpa kereta dengan kadar sewaan yang kami mampu. Sewanya sama ada £120 atau £150 (Pound Sterling) bagi seminggu... ingat-ingat lupa tetapi harus antara dua nombor itu. 

Ini adalah paling murah dapat kami temui setelah beberapa lama mencari. Murah tak murah pun bersamaan lebih RM600 atau lebih RM750 menurut tukaran matawang semasa itu (£1 = lebih RM5). Seingat saya dapat kereta sedan 1.3 litre berwarna merah seperti dalam gambar atas. Tak ingat model apa tetapi kelihatan lebih tua dan pudar warna berbanding dalam gambar.



Kereta diambil dari sebuah bengkel di Bermondesy. Ini adalah satu kawasan ke tenggara pusat bandar raya London. Saya ingat nama kawasan kerana pernah beberapa bulan menyewa bilik di rumah flat milik seorang perempuan Inggeris berumur lebih 80 tahun. Ke darah Irish (keturunan asal orang Ireland)? Namanya Mrs Parker kalau tak salah ingatan. Kami duduk berdua sahaja. Beliau sudah lama kehilangan suami. Katanya tidak kembali daripada medan perang, tiada khabar berita hidup atau mati.

Saya pun sudah lupa perang apa, mungkin Perang Dunia kedua yang berlaku tahun 1942-1945. Saya mula menyewa pada penghujung tahun 1991. Kalau ketika itu pun tuan rumah sudah berusia lebih 80 tahun beliau harus dilahirkan sebelum tahun 1911 bermakna ketika perang tersebut berlaku beliau sudah berumur lebih 30 tahun. Begitu juga harus umur suaminya atau sekitar itu. Jadi amat logik kalau perang yang disertai sehingga tidak kembali itu adalah Perang Dunia Kedua.



Harga sewa bilik adalah £50 seminggu (ya, di sana biasa kira ikut minggu, tiap minggu kena bayar sewa). Ini adalah bersamaan lebih kurang £217 sebulan. Elaun untuk wang sara kehidupan pula adalah £305 mengikut kadar penajaan kerajaan Malaysia bagi pelajar di London (luar itu £265 kalau tak salah kerana kos kehidupan lebih murah). Tinggal baki £88 untuk pengangkutan, makan minum dan belanja lain.

Pelajar seperti saya harus mengira dahulu kos sewa rumah diikuti pengangkutan. Baki selepas itu baru boleh dikira untuk makan minum dan lain-lain. Ini adalah realiti kehidupan pelajar di luar negara. Kalau anak orang kaya mungkin lain cerita. Untuk menjimatkan belanja pengangkutan di London kami beli Travelcard, sejenis pas yang membenarkan kita untuk menaiki bas dan kereta api tanpa membayar apa-apa lagi dalam suatu zon buat suatu jangka waktu. 

Zon dibahagikan kepada 6 bahagian menurut jarak dari pusat kota. Semakin jauh ke luar semakin naik nombor. Semakin banyak zon diliputi semakin mahal harga Travelcard tetapi semakin panjang tempoh liputan semakin murah harga purata bagi setiap hari. Ia boleh dibeli untuk kegunaan sehari, seminggu, sebulan juga enam bulan dan setahun kalau tak salah.

Rumah sewa di Bermondsey terletak dalam Zon 2 sedangkan universiti dalam Zon 1. Kalau beli Travelcard Zon 1 dan 2 supaya meliputi pengangkutan dari kedua-dua tempat harganya seingat saya adalah £46 sebulan. Tetapi saya biasa beli Zon 1 sahaja kerana harganya adalah £35. Ada penjimatan £11 di situ. Ini memberikan baki (selepas ditolak sewa rumah) £53 untuk makan minum dan lain-lain. Itulah belanja yang tinggal untuk sebulan hidup.



Saya sanggup berjalan kaki lebih 1 km untuk masuk ke Zon 1 kemudian baru ambil pengangkutan awam ke universiti demi penjimatan tersebut. Biasanya naik bas hingga ke stesyen kereta api bawah tanah terdekat kemudian baru naik kereta api ke stesyen terdekat universiti. Ada masanya saya berjalan kaki lebih jauh lalu menyeberangi jambatan gantung Tower Bridge yang sangat terkenal di mata dunia (gambar atas). Ya. Rumah sewa saya di Bermondsey terletak agak dekat dengan Tower Bridge,  dalam 3 km sahaja jarak. Ia adalah satu jarak biasa bagi saya kerana selalu berjalan kaki 8-10 km sehari kalau tidak perlu mengejar masa.

Sedikit kenangan kehidupan di London ini dikongsikan disebabkan ingatan yang timbul apabila menyebut tentang Bermondsey. Selepas beberapa bulan saya berpindah ke tempat lain yang lebih murah sewa tetapi lebih jauh dari universiti. Sepanjang 4 tahun di London saya pernah bermastautin di tujuh atau lapan tempat berlainan. Pernah ada satu lokasi yang mana saya perlu berjalan kaki pergi balik universiti sekitar 16km sehari untuk menjimatkan belanja kerana tidak lagi menerima elaun ketika itu.



Berbalik pada hal perjalanan sekitar musim panas tahun 1994. Dapat sahaja kereta terus dimulakan perjalanan dengan memasuki ring road atau jalan pusing keliling jangkauan besar London raya (Greater London - kota London dan kawasan perbandaran di sekeliling). Saya mahu menunaikan hajat yang sudah lama tertunda. Google Map memberikan paparan atas sebagai laluan terdekat dari Bermondsey ke ring road. Hajatnya mahu membuat satu pusingan penuh ring road...



Sudah lama saya melihat laluan tersebut dalam peta-peta terutama buku "A to Z London" yang menjadi panduan ramai pelajar juga pelancong ke London. Ketika itu Kuala Lumpur belum memiliki kemudahan serupa seperti halnya Middle Ring Road (MRR) atau Lingkaran Tengah. Berbagai kemudahan lain infrastruktur yang kini sudah ada di KL belum wujud pada waktu itu tetapi sudah ada di London. Memang terasa pembangunan di Malaysia jauh ketinggalan berbanding di UK.

Adapun kawasan Greater London adalah hampir sebesar negeri Melaka. Semakan di Internet menunjukkan luasnya 1,569 km², Melaka 1,664 km². Oleh itu satu pusingan ring road di London adalah hampir seperti pusing keliling seluruh negeri Melaka, Google Map menunjukkan jarak satu pusingan adalah 193 km. Untuk sampai ke jalan masuk terdekat dari Bermondsey harus bergerak 25 km ke tenggara. 

Ya. Ia adalah perjalanan jauh yang mungkin sia-sia dan tidak ada makna bagi orang lain. Teman wanita lama pun pelik tetapi beliau akur mengikut sahaja. Saya ingat belum cukup satu pusingan pun sudah masuk malam waktu itu. Saya ingat ada lalu satu kawasan yang banyak kelkatu sehingga habis hampir seluruh bahagian hadapan kereta diliputi bangkai kelkatu. Teruk juga kena pakai wiper dan helap kain untuk membersihkan cermin kereta.



Cuma timbul satu kemusykilan. Dalam ingatan saya selepas itu kami terus ke rumah seorang kawan lama di Bradford lebih 300 km ke utara London. Saya musykil kerana ingatan yang tinggal sedikit tentang perjalanan menyatakan ketika langit mula gelap kami masih di ring road. Perjalanan dilakukan pada musim panas di mana malam bermula sekitar jam 9. Kalau terus ke Bradford tanpa menginap di tempat lain harus sampai sekitar jam 12.30, mungkin selepas jam 1 pagi.

Tetapi hal ini tidaklah mustahil kerana kami memang sampai lewat. Cuma sebelum melakarkan kembali laluan berdasarkan ingatan fikir saya lewat itu baru dalam jam 10 malam gitu. Bila disusur kembali butiran baru dapat disukat waktu dengan lebih baik. 

Ya. Dalam ingatan saya memang kami masih di ring road ketika  hari mula gelap. Cuma apabila dipadankan dengan fakta bahawa ketika itu musim panas baru tersedar betapa lewat kami sampai itu kerana sekitar jam 9 baru masuk malam. Seterusnya tak ingat laluan manakah yang diambil sehingga sampai ke Bradford. Hati mengatakan ada masuk sebentar ke Sheffield sekadar untuk melihat-lihat keadaan sepintas lalu. Tak perlu bermalam kerana sudah berjanji lebih awal dengan kawan di Bradford untuk ke tempat beliau. Lagipun saya pernah bermastautin hampir 3 bulan di Sheffield pada musim panas tahun 1993.

Hmm. Timbul semacam bayangan ada melihat Sheffield dalam keadaan gelap dan lengang kerana sampai lewat malam. Apapun untuk kira-kira jarak keseluruhan perjalanan bagi hari itu (atau fasa tersebut)  biar diambil jarak laluan seperti ditunjukkan dalam gambar Google Map dari  tempat lengkap satu pusingan ring road London iaitu 376 km. Campur dengan jarak selepas mengambil kereta dari Bermondsey ke ring road (boleh dibulatkan menjadi 25 km) diikuti jarak pusing ring road (193 km) jadilah jumlah 594 km. Campur pusing-pusing dalam kawasan bandar harus lebih 600 km.

Melihat pada jarak ini harus ada mengisi minyak dalam perjalanan ke Bradford. Tetapi sepanjang perjalanan yang akan meliputi separuh negeri England ini saya cuma ingat satu sahaja insiden melibatkan isi minyak. Tetapi itu untuk satu cerita yang akan datang insyaallah kerana ketika itu sedang dalam perjalanan kembali London.


2 ulasan:

  1. Assalamualaikum kekanda merahsilu, izinkan saya bertanya beberapa persoalan yang misteri bagi saya:

    1. Saya pernah terdengar tentang kerajaan Kedah Pasai Ma. Adakah ia wujud ? Bilakah ia diasaskan ? Adakah dinasti yang mengasaskannya sama dengan dinasti yang mengasaskan kerajaan perlak ?

    2. Adakah Sultan Malikussaleh mempunyai pertalian darah dengan Tok Pulau Manis?

    3. Sejak bilakah empayar Temir itu wujud? Lalu di ke manakah sahaja wilayah yang dikatakan sebagai jajahan nya, dan yang paling penting di manakah pusat pentadbiran nya?

    BalasPadam
  2. Wassalam.

    1. Pernah. Ia diwar2kan oleh satu pihak yang kononnya layak menaiki takhta Kedah malah takhta besar kekhalifahan Islam sehingga Turki Uthmaniyah pun dikatakan cuma raja daerah bahawan mereka. Tapi ada yang betul2 di celah dakwaan mereka. Ada kaitan dengan Perlak tetapi tidak seperti diceritakan mereka.

    2. Iya. Tapi saya pun tak jelas bagaimana. Ada beberapa pendapat. Yang jelas moyang2 ke atas tapi jauh ke atas adalah orang2 yang sama.

    3. Harus sebelum Batu Bersurat Terengganu yang katanya ditulis tahun 1303 Masihi itu Temir sudah wujud. Tidak jelas bila.

    BalasPadam