Sabtu, Mac 20, 2021

Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Membina perspektif berdasarkan beberapa perjalanan lain

Salam semua. Cerita seterusnya mahu dikongsikan bagi melengkapkan isi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa adalah perjalanan yang dibuat pusing separuh England tahun 1994 dengan menyewa kereta. Sebelum itu biar dibuat senarai ringkas perjalanan-perjalanan yang dapat diingati pernah dibuat di United Kingdom dalam tempoh masa belajar di sana 1991-1995. Ini adalah untuk mendapatkan atau membina perspektif bagaimana perjalanan tahun 1994 itu jadi bermakna.


Peta ini menunjukkan bagaimana negara UK terdiri daripada beberapa negeri iaitu England, Wales, Scotland dan Northern Ireland. Dalam konteks satu pulau besar ia dikenali sebagai Great Britain (tidak termasuk Northern Ireland di pulau besar Ireland di sebelah barat). Dalam artikel Perjalanan ke Scotland tahun1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji iaitu artikel pembukaan siri berkenaan ada disebut bahawa pada awal tempoh belajar di UK iaitu di ibu kotanya London saya tidak ada pergi keluar jauh. Masuk musim panas tahun 1993 iaitu selepas hampir 2 tahun baru ada pergi 270 km ke Sheffield di utara.


Pada tempoh masa yang diperkirakan berlaku pada penghujung 1993 pula baru pergi lebih sekali ganda jauh untuk ke Glasgow di Scotland. Itu yang diceritakan dalam siri berkenaan lalu dikumpulkan dalam artikel Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun1993. Di celah-celah itu membawa ke pertengahan tahun 1994 saya juga ada membuat perjalanan ke beberapa tempat lain di UK, cuma tak ingat bila. Sekadar untuk menyegarkan ingatan sambil membina perspektif biar dibuat senarai seperti berikut :-

1. London ke Brighton sekitar 90 km ke selatan

2. London ke Cambridge 100 km ke utara 

3. London ke Nottingham lebih 200 km ke utara di laluan ke Sheffield. Tetapi sudah lupa apakah dalam perjalanan khas ke sana atau disinggahi ketika kembali dari Sheffield pertengahan tahun 1993. Boleh jadi dalam perjalanan lain ke arah utara.

4. London ke Manchester 335 km ke arah barat kemudian ke utara dari London. Boleh juga dicapai dari arah Sheffield. Yang ingat memang ada membuat perjalanan khas untuk bertemu kawan-kawan lama di sana.

Cuma bila difikirkan kembali mungkin perjalanan ke Brighton dibuat sebelum pertengahan tahun 1993. Perjalanan ke Cambridge pula ada dibuat sekurang-kurangnya 2 kali kerana seorang bapa saudara ada membeli rumah untuk dijadikan penginapan anak yang sedang belajar di situ.


Harus mendapat sebutan khas (special mention) adalah perjalanan ke Bristol diikuti Cardiff dan Exeter memandu kereta sewa dengan seorang kawan dan adiknya. Kami pergi menziarahi kawan-kawan yang belajar di sana selain mengikut majlis sukan pelajar Malaysia di UK (lupa apakah di Bristol atau di Cardiff). Itulah satu-satu kalinya saya masuk negeri Wales di timur UK kerana Cardiff terletak di sana. Teringat ada menyeberang jambatan di satu bahagian Sungai Severn yang lebarnya 3-4 km.

Perjalanan ini harus mendekati 800 km kerana jarak antara kota sahaja ditunjukkan oleh Google Map sebagai mencapai jumlah 716 km. Tetapi ia tidak cukup jauh untuk dimasukkan ke dalam senarai 50 perjalanan terjauh, kalau tidak tentu dibuat siri kecil tentangnya. Apapun dalam artikel Perjalanan ke Scotland tahun1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji ada disebut begini :-


Sepanjang pengajian tahun akhir separuh kedua tahun 1994 membawa ke separuh pertama tahun 1995 malah sejurus selepas teman wanita kembali ke Malaysia saya disibukkan dengan membuat pelbagai pekerjaan bagi menampung perbelanjaan hidup. Ini kerana tidak lagi menerima elaun bulanan dari pihak penaja kerana tidak pernah memberitahu mereka bahawa saya ada mengulang tahun dua. Oleh itu tiada kelapangan untuk berjalan jauh ke luar London dalam tempoh masa tersebut. Maka perjalanan ke Scotland itu harus berlaku sebelum cuti musim panas tahun 1994.

Fikir saya ketika menulis ini tidak ada keluar jauh langsung dari London dalam tempoh masa disebutkan iaitu ketika pengajian tahun tiga universiti 1994 hingga 1995. Tetapi bila difikirkan kembali mungkin saya ada 'mencuri-curi masa" untuk berjalan ke sana ke mari. Maka itu boleh jadi ada perjalanan yang disebut dalam senarai kecil atas sebenarnya dilakukan dalam tempoh masa ini, bukan antara musim panas 1993 hingga 1994. Dan lagi boleh jadi saya pergi ke Sheffield lebih daripada 3 kali. Yang pasti memang sekurang-kurangnya 2 kali. Yang pasti juga dalam sekurang-kurangnya satu perjalanan itu ada naik lagi 60 km ke utara untuk ke kota Leeds, juga kota sebelah Bradford. 


Merujuk pada perjalanan ke Manchester dalam senarai pula boleh jadi perjalanan ada dipanjangkan lagi 85 km barat laut untuk ke Blackpool. Lalu persinggahan ke bandar peranginan tersebut bukanlah berlaku dalam perjalanan kembali dari Glasgow ke London seperti disebut dalam artikel Perjalanan ke Scotland tahun1993 - Wilayah tasik Lake District dan bandar peranginan Blackpool. Artikel itu turut menyebut kemungkinan singgah di Lake District lagi 85 km gitu ke utara iaitu sebelum ke Blackpool dari arah Glasgow. Tetapi boleh jadi juga ia berlaku pada sesi perjalanan lain. Sungguh saya tak ingat dan tidak dapat memastikan bila kecuali memang tahu pernah sampai dan ingat sedikit butiran di sana.

Perkongsian ringkas tentang beberapa perjalanan lama harus boleh memberikan perspektif pada siri baru kecil yang mahu diberi nama atau tajuk utama "Sewa kereta ke separuh England tahun 1994". Antara sebabnya adalah kerana tempat-tempat seperti Sheffield, Bradford, Leeds, Manchester dan Blackpool ada diliputi dalam perjalanan ini. Perkiraan awal menunjukkan ia meliputi jarak sekitar 1,100 km. Ia boleh menjadi beberapa ratus kilometer lagi lebih jauh kalau tidak disebabkan had masa seminggu untuk melakukan perkara. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan