Rabu, Mac 31, 2021

Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Laluan manakah diambil untuk kembali ke KL?

Salam 17 Sya'aban. Sampai masa untuk menutup cerita perjalanan berkenaan. Biar disambung cerita daripada artikel  Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Cabaran jalan balak ke Gua Musang. Tetapi sebelum itu biar dikongsikan dahulu satu update yang dibuat di Facebook sekitar jam 2.30 tadi...


ANTARA UJIAN DAN KEBERKAHAN 17 SYA'BAN

Alhamdulillah hari ini 17 Sya'aban baru selesai mengkhatamkan bacaan Al-Quran bagi bulan berkenaan. Namun sebelum itu diuji apabila mendapat panggilan memberitahu pendaftaran saya bagi semester sekarang di ISTAC tersekat kerana ada hutang yuran pengajian bagi semester lepas. Mula2 kurang RM400 kira ok lagi, Insyaallah petang ni boleh settle bayar. Tengok2 tidak lama kemudian statement berubah jadi hutang lebih RM1,700 disebabkan dahulu ada kesilapan terkira 2 kali membuat bayaran yuran semasa mula2 masuk ke ISTAC September 2019. Kalau campur semester sekarang (belum dicampur lagi) bakal jadi dalam RM2,700 juga.

Adus. Mana nak cekau duit ni? Yuran kena bayar harga penuh sedangkan fasiliti institusi tidak boleh gunakan pun sejak masalah COVID-19 membawa pada PKP Mac 2020. Kelas online pun tak ambil kerana semua keperluan kredit berdasarkan kelas sudah diselesaikan pada semester pertama. Sejak itu masuk mood full research. Sekarang sudah lebih setahun tidak menjejakkan kaki ke institusi lalu tidak dapat menikmati seni bina Andalusia sana yang boleh memberikan inspirasi. 

Saya ni bukan anak muda lepas universiti terus sambung belajar. Umur dah nak masuk 51 tahun ada komitmen berbagai termasuk keluarga sedangkan kepala asyik jem, tesis yang sepatutnya siap bulan 6 tahun lepas masih tak siap2.  Sehingga timbul rasa baik terminate sahaja pengajian. Lepas tu boleh berikan kembali tumpuan pada penulisan buku. 

Nasib baik boleh bincang dengan finance bagi angkat sekatan. Walaupun masih berhutang sekurang2nya selesai masalah buat masa ini. Semoga dapat menyiapkan tesis dalam semester sekarang. Sekurang2nya berbaloi bayar hutang selepas selesai pengajian.


Sesungguhnya menulis tesis peringkat pasca-siswazah ini adalah suatu cabaran besar buat diri yang sudah berumur hampir 51 tahun ini (kalau ikut kiraan Islam lagi sebulan lebih sahaja sudah jadi 52). Bukan kerana tidak mampu kerana saya cukup berpengetahuan dan cukup bahan tentang perkara. Tetapi saya menghadapi cabaran dalam bentuk kejiwaan dan saikologi. 

Ada beberapa perkara tidak beres yang selama ini cuba dilupakan lalu ditutup begitu sahaja. Menulis tesis yang tajuknya adalah berkenaan perbandingan agama dengan sains membuat "hantu-hantu lama" (old ghosts) kembali muncul lalu tidak dapat tidak harus menanganinya. Ia mengingatkan pada zaman pegangan hidup menjadi sangat celaru semasa menuntut di London tahun 1991-1995. Hampir-hampir menjadi ateis sebelum terpanggil untuk menghayati makna keTuhanan kembali. 

Kalau tidak kerana kecelaruan tersebut besar kemudian saya terus menyambung pengajian pasca-siswazah selepas tamat sarjana muda kerana ada tawaran dari pihak universiti juga mudah bagi mendapatkan pembiayaan pada waktu itu. Kalau tidak kerana kecelaruan besar kemungkinan sebelum tahun 2000 saya sudah bergelar Doktor PhD. Lalu jalan hidup saya harus menjadi lain langsung berbanding kini. Sekarang baru boleh kembali pada cerita perjalanan pada tahun 2000.


Gambar daripada artikel Ke Janda Baik dan Raub sebelum Ramadhan tahun 2011 ini menunjukkan rumah almarhum Nenek (ibu kepada ayah saya). Di sinilah saya berehat selepas sampai dari Gua Musang. Di sinilah dibasuh motosikal besar yang teruk disaluti lumpur selepas meredah laluan yang rupanya telah menjadi jalan balak dari Dabong ke Gua Musang. Tak ingat berapa lama bermalam sebelum harus kembali ke rumah sewa di Jalan Limau Manis, Bangsar, Kuala Lumpur.


Kalau terus ke Kuala Lumpur ada dua laluan boleh diambil selepas Bentong. Sama ada ikut jalan lama hingga ke Gombak atau ikut lebuh raya Karak yang semasa itu masih dua lorong (satu lorong bagi setiap hala), bukan empat hingga enam lorong seperti sekarang. Semasa itu juga belum ada jalan yang boleh dikira agak lurus dari Raub ke Bentong. Yang ada jalan sempit berliku-liku mengikut lereng bukit bukau dan jurang sungai yang sering membuat saya dan adik-adik mabuk lalu muntah ketika menaiki kereta bersama ibu bapa untuk ke rumah Nenek zaman kecil-kecil dahulu. Apapun untuk artikel ini biar diutamakan lebuh raya Karak walaupun mungkin mengambil jalan lama. Didapati jaraknya 106 km cuma 6 km sahaja lebih pendek berbanding kalau ikut jalan lama. Namun penjimatan masa perjalanan mencapai 40 minit.


Cuma ada kemungkinan saya tidak terus ke KL tetapi memanjangkan lagi perjalanan menyusur sisi timur Banjaran Titiwangsa. Ini boleh dilakukan dengan masuk ke Karak selepas Bentong kemudian mengambil jalan memotong masuk ke Negeri Sembilan hingga ke Kuala Pilah. Dari Kuala Pilah boleh menyeberang banjaran ke arah barat untuk kembali ke KL melalui Seremban. Tetapi kalau betul-betul mahu lengkap menyusur banjaran boleh turun hingga ke Tampin yang terletak bersebelahan penghujung selatan banjaran.


Begini rupanya bila dilihat pada peta topografi atau peta kontur (daripada perkataan Inggeris contour yang membawa makna bentuk muka bumi). Sahaja ditunjukkan bermula dari Jeli membawa ke Dabong, Gua Musang, Raub dan seterusya untuk menunjukkan bagaimana 'cantiknya' perjalanan melalui sisi gunung ganang. Seperti disebut dalam artikel pengenalan siri iaitu Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Sedikit latar belakang boleh dikatakan dalam tempoh kurang 5 tahun selepas membeli motosikal besar (pertengahan tahun 1996) ia sudah dibawa melalui hampir semua jalan utama di Semenanjung. Laluan dari Karak ke Negeri Sembilan juga pernah dilalui dengan motosikal sekurang-kurangnya sekali. Cuma tak pasti apakah ada dibuat dalam perjalanan yang bermula akibat mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 ini.


Kalau ada dibuat maka beginilah rupanya dari Raub sebelum kembali ke KL. Jarak yang diberikan Google Map adalah 318 km. Kalau dicampur jarak bermula dari KL naik ke Kampung Gajah membawa ke Bota Kanan, Parit, Kuala Kangsar dan seterusnya iaitu 830 km (rujuk kembali artikel Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Cabaran jalan balak ke Gua Musang) jadi jumlah sekitar 1,150 km. Ini membolehkan perjalanan dimasukkan sebagai antara 50 paling jauh dapat diingati pernah dibuat sejak berumur 18 tahun.

Namun disebabkan tidak pasti maka biar dianggap selepas Raub terus kembali ke KL. Dengan itu jarak keseluruhan perjalanan menjadi 830 + 106 km (rujuk peta awal pada artikel ini). Disertai kebiasaan suka 'meronda-ronda' apabila masuk ke suatu bandar atau pekan ini boleh dibulatkan menjadi 950 km. Ia tidak cukup jarak untuk dimasukkan ke dalam senarai 50 terjauh tetapi cukup rencah untuk menjadi antara 11 perjalanan teristimewa. Sekian cerita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan