Selasa, Mac 30, 2021

Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Cabaran jalan balak ke Gua Musang

Meneruskan lagi cerita perjalanan lama. Bersambung daripada artikel Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Tarikan air terjun di Gunung Stong.



Puas mandi di air terjun Gunung Stong saya pun turun lalu bersiap untuk keluar dari resort. Pergi ke Dabong kerana ia pekan terdekat untuk mencari tempat makan tengah hari. Sebetulnya saya tidak pasti apakah makan di itu Dabong atau satu kedai sebelum menyeberang sungai besar ke sana. Melihat pada peta terasa seperti membazir masa pula naik lebih 7 km barat laut untuk ke Dabong. Ini kerana destinasi seterusnya adalah Gua Musang di selatan.



Boleh jadi yang disinggahi makan tengah hari itu di Kemubu hampir 10 km ke arah selatan. Selain terletak di laluan ke Gua Musang ia ada jambatan kereta api menyeberang sungai besar. Saya teringat di tempat makan atau sekitarnya ada terjumpa orang yang katanya baru sampai dari arah Gua Musang. Setelah bertanya keadaan jalan beliau menasihatkan agar tidak mengambil laluan yang kelihatan dekat dalam peta, laluan yang disebut dalam artikel sebelum ini sebagai ditanda dengan jalan putus-putus gitu. Ini kerana ia memang teruk, Kata orang tersebut siap ada kereta hilux baru patah axle!



Ini laluan terdekat kalau dari Dabong. Jaraknya dekat 70 km.



Ini laluan jauh tapi selamat dan jalannya elok. Jaraknya lebih 50 km berbanding laluan dekat.



Ini pula laluan dekat dari Kemubu ke Gua Musang.



Laluan jauh dari Kemubu. Perlu naik ke Dabong terlebih dahulu kerana di sana ada jambatan menyeberang sungai besar untuk kereta, di Kemubu cuba ada jambatan kereta api. 

Saya tunjuk laluan jauh dan dekat dari Dabong juga dari Kemubu kerana hendak memadankan dengan ingatan berdasarkan nasihat agar jangan mengambil jalan dekat ke Gua Musang kerana keadaannya sangat teruk. Sebaliknya saya dinasihatkan agar mengambil jalan jauh. Cuma kena ambil laluan sempit naik jambatan menyeberangi sungai besar sebelum menyambung ke jalan elok.

Kenapa perlu mengambil laluan sempit kalau ia jambatan biasa untuk kereta? Laluan sempit yang katanya orang berjalana kaki dan naik motosikal cuma terdapat pada sesetengah jambatan kereta api. Ada laluan motosikal kerana rata-rata penduduk berdekatan tidak memiliki kereta. Laluan begitu wujud pada jambatan kereta api untuk menghubungkan penduduk antara dua tebing sungai. 

Mungkin ketika itu belum ada jambatan kereta di Dabong. Yang ada cuma jambatan kereta api di Kemubu. Namun walaupun boleh jadi saya makan tengah hari di Kemubu lalu meneruskan perjalanan dari sana biarlah dianggap ia dari Dabong sebagai tempat rujukan. 



Setelah memikirkan keadaan buat berapa lama saya membuat keputusan untuk mengambil jalan dekat. Ini kerana sudah lama tertarik dengan laluan seperti tertera dalam peta. Walau katanya ada kereta hilux baru patah axle kerana keadaan jalan saya nekad untuk meneruskan. Gambar ini dan dua seterusnya menunjukkan keadaan jalan Dabong ke Gua Musang tapi dari arah berlawanan. 





Nampak cantik bukan? Ia diambil daripada artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Pusing-pusing di Gua Musang sebelum ke Dabong.  Perjalanan berkenaan berlaku pada penghujung tahun 2010 dan awal 2011...



Keadaan ketika saya mengambil laluan tahun 2000 lebih kelihatan seperti ini.



Ada berapa bahagian seperti ini. 

Kalau naik Hilux atau kenderaan pacuan empat roda atau motosikal scrambler mungkin tiada masalah. Naik motosikal biasa (Motor Cub) pun ok. Ini naik motosikal besar jenis easy rider.



Kemudian jalan jadi seperti ini. Bukan sedikit tapi berkilometer jauh. Seingat saya tidak kurang tiga kali jatuh akibat tergelincir. Dahlah motosikal besar tu berat, bukan senang nak kawal dengan jalan licin tak menentu kemudian boleh tenggelam dalam lumpur. 

Oh. Gambar-gambar ini ditemui setelah membuat Google Image Search (carian gambar) menggunakan kata kunci "Rough road" (jalan kasar). Tak tahulah gambar di mana tetapi begitulah keadaan yang saya ingat tentang laluan dekat Dabong ke Gua Musang. Saya ingat ada beberapa kali harus berhenti lalu mencari rumput dan ranting-ranting kayu untuk diletakkan ke bawah tayar supaya dapat mencengkam keluar daripada lumpur. Saya ingat lalu hujan lebat sehingga banjir kilat. 

Nasib baik air tak berapa dalam tapi ada juga setengah kaki tenggelam. Sepanjang perjalanan tidak kelihatan apa-apa kampung. Saya ingat ada terserempak katak besar dan babi hutan. Dah nak dekat Gua Musang, dalam kegelapan malam baru terjumpa orang kerana ada penempatan kongsi balak.

Ya. Jalan ini katanya asalnya bertar tapi jadi teruk sangat akibat aktiviti pembalakan balak. Saya ingat mula  bergerak untuk mengambil laluan pada jam 3 petang dengan jangkaan boleh sampai ke Gua Musang sekitar jam 5. Tapi akhirnya apa yang jadi adalah sampai selepas jam 9 malam.


Selepas menginap satu malam di hotel murah di pekan lama Gua Musang saya bergerak keesokan harinya ke rumah arwah Nenek, ibu kepada ibu di Raub. Dalam perjalanan harus ada membuat persinggahan ke bandar Kuala Lipis tapi tak ingat. Yang ingat selepas menginap di rumah Nenek esoknya baru membasuh motosikal kesayangan. Teruk wooo lumpur tebal melekat sana sini kat moto.

Bayangkan bagaimana keadaan menunggang seorang diri itu mengambil laluan sukar dari Dabong ke Gua Musang. Kemudian bergerak ke Raub dalam keadaan motosikal masih terlekat banyak lumpur. Taubat tak buat lagi dah. Cukuplah sekali itu pengalaman.




Keseluruhan perjalanan dari resort di kaki Gunung Stong sehingga Raub pula boleh dilakarkan begini. Campur jarak pusing-pusing sekitar seperti masuk ke pekan Kuala Lipis harus menjadi lebih 230 km. Kalau campur jarak sejak meninggalkan Kuala Lumpur (rujuk Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Terlajak lebih 370 km selepas menghantar isteri lama) harus mencapai jumlah sekitar 830 km.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan