Selasa, Januari 05, 2021

Perjalanan di selatan penghujung 2020 - Habib Ali, nasi briyani gam dan Sultan Alauddin Melaka

Salam. Hari ini 5 Januari 2021 adalah hari ulang tahun kelahiran isteri saya yang ke-46. Sesuailah untuk dipersembahkan cerita ke-3 tentang perjalanan hujung tahun lalu. Bersambung daripada artikel  Perjalanan di selatan penghujung 2020 - Daripada Kamaruzaman ke Kamarulzaman.


Pagi Jumaat 25 Disember 2020. Kami bersedia untuk meninggalkan rumah kawan bernama Kamarulzaman di Kluang.


Oh. Tadi di Facebook dan WhatsApp saya lihat orang mengucapkan selamat hari lahir kepada saudara Kamarul. Nampaknya tarikh lahir beliau sama dengan isteri saya. Jadi kena juga dengan keluarnya cerita hari ke-3 perjalanan pada hari ini.


Dari rumah Kamarul kami pergi masuk ke bandar Kluang.


Singgah sebentar di stesyen kereta api untuk membeli bungkus air kopinya yang terkenal. Kalau nak minum di kedai kena beratur panjang.


Apapun hari itu adalah Hari Krismas, hari bercuti bagi seluruh Malaysia. Kalau di Johor memang cuti kerana hari Jumaat. Dari Kluang kami bergerak ke Air Hitam.


Kalau ikut rancangan asal saya dari Air Hitam mahu naik utara ke Yong Peng sebelum masuk ke Parit Sulong, kemudian Pagoh. Tapi isteri mahu kami bergerak barat ke bandar Batu Pahat.





Beliau mahu menziarahi makam ulamak terkenal bertaraf wali yang dikenali sebagai Habib Ali. Ulamak ini meninggal dunia 10 tahun lalu. Kata isteri sudah patut kami menziarahi makam kerana ada kesinambungan dalam perjalanan melibatkan faktor anak cucu Nabi Muhammad SAW daripada keluarga besar Ba' Alawi yang berasal dari Hadramaut. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Perjalanan di selatan penghujung 2020 - Antara Al-Attas dan Al-Jilani. Habib Ali adalah daripada jalur Al-Idrus. Ini adalah sama jalur dengan wali Allah terkenal di Terengganu iaitu Tokku Paloh lebih seabad lalu. Lihat artikel lama Keluarga besar Tokku Paloh, wali agung Terengganu abad ke 19 Masihi....


Sesungguhnya rumah kecil almarhum Habib Ali di pinggir bandar Batu Pahat sering diziarahi tetamu yang mengharapkan berkat. Teringat kali pertama bertandang sekitar tahun 2003 kalau tak salah ingatan. Ketika orang lain menghadiahkan duit kepada beliau saya pula menerima duit RM50. Nampaknya beliau tahu saya tidak berduit. Ketika itu zaman saya sudah meninggalkan kerjaya dan keluarga lantaran sibuk keluar mengembara merata untuk mencari makna dan tujuan hidup. Al-Fatihah untuk Habib Ali. Lihat artikel Makam (Tomb of) Habib Ali, Batu Pahat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Dari lokasi makan di selatan bandar Batu Pahat kami masuk ke bandar kemudian menyeberang jambatan Sungai Batu Pahat ke arah utara.








Pekena nasi briyani gam di medan selera berdekatan jambatan.


Seronok aaa dapat layan kambing... :]


Selesai makan menyeberang kembali jambatan ke arah selatan sebelum membelok ke arah timur kemudian timur-laut.


Sengaja diambil satu laluan supaya dapat melihat Bukit Payong kemudian Parit Sulong. Ini adalah antara laluan yang biasa digunakan untuk pergi balik ke Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang tempat saya belajar tahun 1983-1986. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Perjalanan di selatan penghujung 2020 - Daripada Kamaruzzaman ke Kamarulzaman.


Perjalanan diteruskan masuk ke pekan Pagoh dalam daerah Muar.


Singgah di makam Sultan Alauddin Riayat Syah yang memerintah Melaka lebih 500 tahun lalu sebelum kembali ke rumah ayah dan ibu di pinggir bandar Muar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan