Merujuk pada artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan yang dipersembahkan Khamis lalu. Pada bahagian tengah artikel ada disebut bagaimana kawan-kawan satu kolej saya telah beberapa kali merancang untuk membuat road trip tapi asyik tak jadi. Baru ini, dengan kuasa Allah SWT jadi juga satu road trip kawan-kawan lama. Oleh itu sebelum menyambung kembali cerita perjalanan "Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang" biar dilepaskan cerita berkenaan terlebih dahulu...
Ketika sedang sibuk menulis artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan tiba-tiba saya mendapat pesanan melalui WhatsApp bahawa 2 orang kawan sekolej kami akan bergerak ke Melaka 2 hari lagi untuk menghadiri majlis perkahwinan anak kepada seorang lagi rakan sekolej. Sebetulnya undangan sudah disampaikan kepada semua sejak lebih sebulan lalu. Cuma menunggu sahaja kalau ada kawan-kawan mahu bergerak bersama dalam satu kereta. Dalam tempoh waktu itu ada yang memberitahu akan ke majlis bersama isteri. Tetapi beliau mahu bergerak hari Jumaat untuk kembali ke kampungnya di Batu Pahat. Selepas majlis beliau mahu ke kampung isteri di Pontian pula.
Bila dah ada kawan mahu bergerak sama tanpa lari jauh daripada laluan Lembah Klang ke Melaka baru saya dapat memberikan kepastian untuk menghadiri majlis. Sampai waktunya pagi Sabtu 22 Ogos 2020 isteri pun menghantar ke stesyen bas Rawang supaya saya boleh menaiki bas ke Kuala Lumpur. Kali terakhir saya menaiki kenderaan awam ke mana-mana adalah pada hampir 7 bulan lalu, untuk mengambil kereta pinjam di Tanjung Malim. Ini ada diceritakan dalam artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Memulakan proses menutup cerita setelah 6 bulan tertangguh hampir 2 bulan lalu.
Dahulu saya memang biasa menaiki kenderaan awam ke mana-mana. Saya juga biasa berjalan kaki jauh dari tempat dan tempat. Kalau setakat Kuala Lumpur hampir semua tempat di pusat bandar raya pernah dijejaki dengan berjalan kaki sahaja. Sebagai perbandingan saya pernah berjalan kaki sejauh 50 km merentas bandar raya Paris di Eropah dan sekitarnya. Dalam pengembaraan lama pusing Eropah tahun 1995, saya telah meliputi jarak hampir 5,900 km yang mana 230 km adalah dengan berjalan kaki. Lihat Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995 dan Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian.
Bas dari Rawang berhenti di perhentian terakhir dekat Kompleks Kota Raya, satu kawasan tempat saya selalu 'bermain-main' zaman muda dahulu. Sambil berjalan kaki ke arah Central Market teringat bagaimana saya juga selalu bergaul dengan orang-orang di jalanan seperti para pemuzik juga budak-budak nakal pelbagai ragam.
Adapun saya ke Central Market itu adalah untuk ke stesyen MRT lalu mengambilnya ke arah Bukit Damansara.
Di sana bertemu dengan kawan lama sekolej, saudara Shamsul yang sedang memandu uji satu lagi kereta baru. Rujuk kembali cerita tentang kenapa beliau sering memandu uji kereta dalam artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan.
Turut bersama adalah seorang lagi kawan sekolej yang namanya adalah Shamsul juga. Cuma nama penuhnya Shamsul Rizal, yang pandu uji itu Shamsul Bahrin. Tapi kami tak pernah keliru kerana memanggil kedua-duanya dengan nama lain. Seorang dipanggil Adik, seorang dipanggil Atok. Haha. Dah macam satu keluarga pula.
Ah. Memang pun kami seperti satu keluarga. Kami pernah duduk sebilik di kolej selama lebih setahun. Kami pernah melalui pelbagai jenis pengalaman susah senang selama 2 tahun berada di kolej kemudian terus berhubung semasa di United Kingdom awal tahun 90an walaupun berlainan universiti membawa ke zaman bekerja sehinggalah kini. Majlis perkahwinan di Melaka pula diadakan oleh kawan sekolej berlainan bilik. Apapun kami secara rata memang rapat kerana sama umur dan sama batch.
Majlis dijadikan alasan untuk bertemu beberapa orang lagi kawan sekolej. Kawan yang mengundang, bapa pengantin perempuan juga seorang kawan lain sudah lebih 30 tahun tidak ditemui iaitu sejak keluar kolej. Yang lain ada ditemui beberapa kali selepas kembali dari UK. Memang seronok dan penuh nostalgia dapat bertemu kembali apa lagi kami kini semua sudah berusia setengah abad.
Ini gambar kami bersama pengantin. Cukuplah 8 orang kawan lama sekolej dapat bersama memeriahkan majlis (termasuk saya dan bapa pengantin).
Balik ke Lembah Klang kami mengambil jalan tepian pantai menyusuri laut (Selat Melaka) menuju ke Port Dickson. Kelihatan kereta yang sedang dipandu uji, sebuah Toyota Corolla Altis terbaru tahun 2020 ketika kami berhenti untuk menunaikan solat di suatu tempat. Lihat artikel The beach at Sungai Tuang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti Masjid (Mosque of) Aminin, Sungai Tuang, Masjid Tanah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Ini termasuk dalam proses pandu uji kereta sambil mencari dan melihat tempat-tempat cantik.
Sampai satu bahagian kami berhenti lama kerana ada pangkin sebelah warung yang terasa sangat selesa lalu kami juga minum petang dan menikmati sedikit juadah di situ.
Saya turut mengambil peluang untuk main-main air. Lihat The beach at Kuala Sungai Baru.
Kami menyambung perjalanan hampir waktu Maghrib. Akhirnya tak jadi ke Port Dickson kerana hari sudah gelap lalu kami menyusur lagi pantai sampai ke satu bahagian sebelum mengambil lebuh raya untuk kembali ke Lembah Klang. Jadilah road trip ini walau tak pergi beberapa jauh. Janji dapat bersama kawan-kawan lama sekolej walaupun cuma kami bertiga sahaja yang bergerak dalam satu kereta sambil ditemani seorang daripada 6 anak kawan yang membuat pandu uji.
Assalamualaikum tuan mungkin ini agak di luar topik sikit.Saya ingin bertanya tentang karya sastera Hikayat Raja-Raja Pasai (HRRP). Saya musykil sama ada adakah Raja Pasai ketika itu menggunakan bahasa Melayu (tak kira loghat apa asalkan bahasa melayu) atau pun Raja Pasai ketika itu menggunakan bahasa Aceh. Seperti yang kita ketahui bahasa Aceh saling berkait rapat dengan bahasa Champa yang pernah berpusat dahulu di Vietnam sebelum diusir oleh bangsa Dai Viet. Harap tuan dapat reply.
BalasPadamWassalam. Yang saya tahu bahasa Melayu. Sehingga ada disebut dalam hikayat kemudian di Aceh bahawa ia disuratkan dalam bahasa Melayu Pasai. Sebetulnya bahasa dan persuratan Melayu di Pasai sudah naik terlebih dahulu berbanding Melaka. Bahasa Aceh sebenarnya muncul kemudian. Iya, daripada segi lingustik terkait dengan bahasa Champa. Lalu ada yang percaya bahawa ia memang dibawa orang Melayu Champa ke Aceh setelah kejatuhan kerajaan Champa akibat serangan puak Dai Viet (Vietnam).
BalasPadam