Rabu, Ogos 26, 2020

Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mengesan hal sebenar laluan kapal purba yang dikenali sebagai Jalan Penarikan?

Salam petang Rabu 7 Muharram. Sampai masanya untuk menyambung cerita daripada artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan.


Sekitar jam 2.45 petang Sabtu 15 Ogos 2020 sampailah kami ke tempat yang dikenali sebagai Sungai Pertemuan.


Ia merujuk pada pertemuan di antara Sungai Muar dengan Sungai Jempol iaitu dekat bandar Bahau, Negeri Sembilan. 



Pada ketika ini kami sudah berjalan sejauh lebih 350 km iaitu sejak meninggalkan rumah kawan di Kuala Lumpur jam 5.45 pagi. Rujuk artikel pembukaan Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mukadimah perjalanan malam.


Tentang Sungai Pertemuan ia ada diceritakan dalam beberapa artikel lama saya. Saya dan keluarga sudah banyak kali sampai. Kawan yang bernama Shamsul baru pertama kali sampai.


Ditunjukkanlah kedudukan Sungai Muar (ke kiri gambar) berbanding Sungai Jempol (kanan). Diterangkan bagaimana dahulukala kapal-kapal boleh bergerak dari Selat Melaka masuk Sungai Muar di kuala (dekat bandar Muar atau bandar Maharani sekarang) mudik melepasi Panchor, Lenga, Bukit Kepong dan seterusnya hingga sampai ke Sungai Pertemuan.



Cuma dipercayai kedua-dua Sungai Muar dan Sungai Jempol adalah lebih besar dan lebar pada zaman dahulu. Bahagian Sungai Muar yang kelihatan ini misalnya harus 2-3 kali ganda lebih besar.



Ditunjukkan lokasi makam tokoh yang dikenali sebagai Datuk Sempedang. Menurut ceritanya beliau telah membawa 9 buah keluarga dari Pasai (dalam Aceh sekarang) masuk ke laluan ini lalu membina penempatan yang diberi nama Jempol. Dari Sungai Muar kapal-kapal boleh masuk ke Sungai Jempol. Menurut geografi sekarang mudiklah dalam 1 km mengikut liku-liku sungai sehingga sampai ke satu bahagian yang kini terletak di belakang sebuah masjid dan taman perumahan. Dari situ kapal boleh ditarik dalam 500 meter untuk sampai ke Sungai Serting yang boleh membawa ke Sungai Pahang lalu boleh keluar ke Laut China Selatan.


Selain taman perumahan, laluan Jalan Penarikan kini telah ditutup oleh jalan raya juga Istana Serting milik kerabat diraja Negeri Sembilan.


Saya pun menceritakan kepada kawan bagaimana laluan ini pernah pertama kali cuba jejaki lebih 12 tahun lalu. Oleh kerana Istana Serting telah menutup sebahagian daripada laluan saya cuba menjejak melalui ladang kelapa sawit di sebelah luar pagar kiri atau barat istana. Rujuk artikel-artikel lama berikut :-



Saya mengajak Shamsul masuk ke ladang untuk melihat sendiri keadaan. Kami cuba menjejak kembali suatu macam parit besar yang pernah saya lihat dahulu, dipercaya adalah terusan yang pernah cuba dibina tentera Siam dalam rangka kerja untuk menyerang Melaka. Cerita berkenaan ada dalam artikel-artikel lama yang tertera tadi.



Kali ini laluan adalah jauh lebih mudah berbanding ketika saya pertama kali sampai Mac 2008. Ini kerana ladang lebih bersih, tidak teruk bersemak samun penuh belukar seperti dilalui dahulu sedangkan ada satu bahagian belakang pula telah dibuka lapang dan luas. 


Dengan adanya bahagian lapang tersebut kereta dapat dibawa mendekati bahagian Sungai Serting yang dipercayai termasuk dalam laluan Jalan Penarikan. Ia boleh membawa kapal masuk ke Sungai Bera kemudian Sungai Pahang lalu ke Laut China Selatan. Lihat artikel Serting river at Jalan Penarikan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tetapi terusan yang dicari tidak juga kelihatan. Nampaknya ia sudah dikambus akibat pembangunan.






Di sini biar diberikan kedudukan tempat-tempat menggunakan peta Google Map. Jejak yang dibuat adalah dalam kawasan yang dibulatkan...


Lihat di manakah Sungai Pertemuan, di mana Jalan Penarikan. Seringkali orang merujuk kepada keseluruhan laluan dari Sungai Pertemuan sebagai Jalan Penarikan. Sedangkan Jalan Penarikan sebenarnya adalah tempat di mana kapal harus ditarik di atas darat sebagai penyambungan antara dua sungai. Atau lebih tepat, penyambungan antara dua sistem sungai.



Sungai Jempol termasuk di dalam sistem saliran Sungai Muar, Sungai Serting dalam sistem saliran Sungai Pahang. Lihat juga penerangan dalam artikel Jalan Penarikan - Membuka Laluan Lama di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Berdasarkan bentuk muka bumi sekarang didapati jarak terdekat antara dua sungai adalah 520 meter. Harus garisan yang ditanda kuning itulah Jalan Penarikan.



Lihat bagaimana Istana Serting dan halamannya menutup laluan. Ia nampaknya merentas halaman kanan atau timur istana...


Namun siapa tahu bentuk muka bumi sebenar ketika Jalan Penarikan sering digunakan pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lebih 500 tahun lalu? Bagaimanakah keadaan ketika sungai-sungai berkenaan dikatakan lebih besar dan lebar? Dengan itu tergerak saya untuk membuat garisan ke kiri luar halaman Istana Serting. Ini adalah berdasarkan laluan yang diambil ketika saya pertama kali menjejakkan kaki sehingga dapat melihat Sungai Serting tahun 2008.


Kalau diteruskan sehingga dapat menyambungkan Sungai Jempol dengan Sungai Serting ia mencapai kepanjangan 580 meter. Ini adalah 60 meter lebih panjang berbanding laluan yang merentasi halaman timur istana.


Namun sekali lagi... siapa tahu keadaan sebenar muka bumi lebih 500 tahun lalu? Kalau sungai lebih besar dan lebar tentu laluan lebih dekat berbanding sekarang. Dan adakah Jalan Penarikan itu cuma satu jalur yang boleh dilalui sebuah kapal sahaja buat suatu masa? Atau ia boleh dilalui beberapa buah kapal atas satu jalur yang sama iaitu setiap kapal digerakkan pada jarak tertentu seperti halnya beberapa buah kereta dapat bergerak atas jalan satu lane atau satu lorong? 

Sebuah jalan raya satu lorong yang bukan sehala pun sebenarnya memiliki dua buah lorong untuk menampung kenderaan daripada dua arah berlawanan. Logiknya, kalau suatu laluan itu sibuk harus sekurang-kurangnya ada dua lorong atau dua jalur. Kalau di Jalan Penarikan ini harus sekurang-kurangnya ada satu dari Sungai Jempol ke Sungai Serting, satu sebaliknya iaitu dari Sungai Serting ke Sungai Jempol. Kalau tidak kapal-kapal daripada arah yang berlawanan akan bertembung lalu perjalanan menjadi tersekat.

Kalau begitu harus ada jarak antara kedua jalur. Melihat pada gambar kapal-kapal lama di Alam Melayu saya percaya satu jalur atau lorong adalah sekurang-kurangnya 30-40 kaki lebar. Kalau dua jalur pergi balik campur kawasan kosong tengah supaya kayu-kayu balak yang digunakan untuk mengalas kapal ketika ditarik tidak berselisih, harus sekurang-kurangnya 100 kaki lebar. Itu kalau ada 2 jalur pergi balik. Sedangkan boleh jadi ada lebih daripada 2 jalur untuk menampung banyak kapal.


Teringat bahawa ketika pertama kali sampai di sekitar ini pada waktu malam lebih 12 tahun lalu saya telah menginap di masjid bersebelahan Sungai Jempol, dekat pangkal selatan Jalan Penarikan. Malam itu saya mendapat mimpi dapat melihat dua bukit utama ke utara dan selatan Bahau dengan kakinya dan lembah antara kedua bukit penuh air menjadi sebuah tasik air besar. Saya dapat melihat banyak kapal dagang besar sedang berlabuh. Apakah itulah keadaan sebenar Jalan Penarikan pada suatu zaman yang lampau? 

Boleh jadi ketika itu kapal boleh belayar terus dari Sungai Muar membawa ke Sungai Pahang tanpa perlu ditarik di atas daratan di mana-mana tempat. Boleh jadi setelah beberapa lama paras air turun menyebabkan kapal perlu ditarik di bahagian yang kelihatan? Boleh jadi. Elok perkara ini dikaji dengan lebih mendalam oleh mereka yang memiliki pengetahuan dan kemudahan. Sekurang-kurangnya kajilah Jalan Penarikan itu sebenarnya mengandungi berapa jalur atau lorong untuk ditarik kapal. Rasanya perkara ini belum dikaji lagi oleh mana-mana pihak. Setakat ini semua memberikan gambaran seolah-olah ia cuma dapat dilalui oleh sebuah sahaja kapal sehingga selesai. Wallahualam.


6 ulasan:

  1. Assalamualaikum tuan,saya ingin bertanya pendapat tuan tentang akhir zaman. Jika peristiwa banjir besar Nabi Nuh mampu merubah landskap muka bumi serta menghilangkan jejak pelbagai tamadun di seluruh dunia, adakah tuan rasa ketika Imam Mahdi muncul kita akan hidup di zaman di mana teknologi sudah tidak boleh digunakan lagi.Baik smartphone, kereta, internet atau apa sahaja yang masih kita nikmati sekarang ini. Saya teringat hadis nabi yang berbunyi "kalian akan kembali ke zaman sediakala" yang bermaksud kita (umat nabi) akan kembali ke zaman kuda dan unta. Saya juga ada mendengar dari beberapa ulama dari Arab yang mengatakan kemunculan imam Mahdi semakin dekat. Saya belajar sesuatu iaitu jikalau sesebuah peradaban telah mencapai tahap teknologi/ilmu yang tertinggi maka kemusnahannya akan semakin dekat. Inilah yang pernah berlaku kepada tamadun purba dulu seperti Aztec, Mesopotamia,Parsi kuno dan banyak lagi. Apakah peristiwa Dukhan akan terjadi di zaman kita. Seandainya asteroid menghentam bumi pasti teknologi akan hancur. Mungkin orang yang boleh survive di masa itu hanya lah mereka yang bersedia. Wallahualam bissawab

    BalasPadam
  2. Wassalam. Hal ini sudah disebut kawan-kawan dalam tariqat sejak tahun 2000 lagi. Dikatakan bahawa segala bentuk senjata moden nanti tidak boleh pakai. Eletrik pun tiada. Kita harus kembali kepada cara lama termasuk berperang dengan pedang dan kuda. Kenapa ia boleh berlaku? Tidak dinyatakan. Namun daripada segi sains antara perkara yang boleh menyebabkan eletrik hilang adalah letusan gelombang elektromagnetik atau disebut sebagai EMP - Electro Magnetic Pulse. Ia boleh berlaku akibat letupan bom nuklear.

    Ia juga boleh berlaku akibat terkeluarnya api daripada matahari memanjang jauh daripada kebiasaan. Malah memang ada alat EMP dicipta untuk mematikan eletrik dalam satu kawasan yang besar. Tujuannya supaya sistem pertahanan dan/atau komunikasi kawasan itu lumpuh. Pendek kata ada pelbagai sebab boleh berlaku menyebabkan eletrik lalu segala macam alat teknologi tidak boleh dipakai.

    Kami cuma diberi pesan bersedialah untuk kembali hidup seperti cara lama. Namun selepas itu akan datang zaman di mana perkara-perkara karamah atau mencarik adat menjadi kebiasaan lalu ini boleh dikatakan sebagai ganti kepada kehilangan teknologi tadi.

    BalasPadam
  3. Ya, saya setuju dengan pernyataan tuan. Saya teringat satu hadis yang berbunyi bahawa ketika manusia hidup di zaman Imam Mahdi maka manusia akan merasai satu zaman yang penuh keberkatan.

    Dikatakan juga orang pada waktu itu bagaikan kanak-kanak dek kerana mereka tidak lagi perlu memikirkan segala bentuk komitmen seperti sekarang. Maksud saya kehidupan mereka serba santai (mungkin tidak perlu risau memikirkan segala bentuk hutang akibat riba dan jiwa mereka ketika itu tidak lagi terikat pada materialisme bukan macam hari ini). Saya akui kita berada di zaman yang tahap teknologi sedang mencapai tahap yang agung/tinggi. Tapi masih banyak yang tidak diketahui manusia.

    Mungkin benar pernyataan tuan tentang karomah para wali yang akan menggantikan segala bentuk teknologi sekarang. Teringat saya pada kisah Asif bin Barkhiya yang telah memindahkan singgahsana ratu Balqis dari negeri Sabak ke Baitulmuqaddis dalam sekelip mata. Sehingga orang kafir ketika ini sedang sibuk mencipta teknologi teleportasi. Tapi tuan pasti tahu amat mustahil untuk mereka melakukannya.

    Mungkin juga sedikit sahaja manusia yang hidup di zaman itu. Wallahualam bissawab

    BalasPadam
  4. Bagaimana ingin menguhungi tuan..saya ingin bertanya berkenaan sesuatu hal..

    BalasPadam
  5. Boleh e-mail saya di merahsilu@hotmail.com

    BalasPadam
  6. MasyaAllah... tahniah & syabas tuan atas usaha menjejaki sejarah silam melayu islam....Semoga usaha ini mendapat keberkatan & akan diteruskan oleh pencinta sejarah sehingga kisah sebenar diketahui semua. Bila sebut jalan penarikan, mengingatkan kepada kejayaan tentera Sultan AlFatih menarik kapal pd waktu malam.

    BalasPadam