Khamis, Januari 16, 2020

Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Mencari jejak sejarah Melayu Islam di Phattalung/Bedelong/Merdelong

Salam malam Jumaat ke-3 tahun 2020. Setelah membuat 8 artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 3 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) menggunakan lebih 150 keping gambar bolehlah dibuat cerita hari ke-7 perjalanan di Krabi dan selatan Thailand. 


Pada penghujung artikel sebelum ini iaitu Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Antara Gastropod dan ketam Spongebob ada diberitahu bahawa dari Krabi kami anak beranak telah bergerak ke satu destinasi lalu sampai jam 6.40 petang (sudah malam di sana). Setelah beberapa lama menunggu di stesyen bas destinasi tersebut kami mendapat kenderaan ke pusat bandar berkenaan lalu mengambil hotel. Kelihatan dalam gambar keadaan di luar hotel pada jam 4.54 pagi Ahad 22 Disember 2019.


Apa yang berlaku ialah saya dikejutkan oleh bunyi bising orang riuh rendah seperti membuat pelbagai macam perkara sejak jam 4 pagi. Setelah beberapa lama cuba tidak mengendahkan saya membuat keputusan untuk keluar melihat. Ternyata hotel kami sangat dekat dengan pasar. Lihat artikel Early morning market at Phattalung.


Nah. Artikel tersebut telah memberitahu kedudukan kami iaitu di bandar Patthalung. Letaknya sekitar 186 km ke selatan kemudian timur dari Krabi. Seterusnya saya berjalan kaki 650 meter ke masjid ini untuk menunaikan solat Subuh. Menurut Google Map ia adalah satu-satunya masjid di bandar itu. Lihat Masjid (Mosque of) Darul Islam, Phattalung.


Lihat peta Google Map ini bagi mendapatkan gambaran kedudukan masjid-masjid di Phattalung dan sekitar. Masjid tadi yang namanya Darul Islam terletak di tengah bandar Phattalung 8km dari pinggir tasik besar (jelas kelihatan berwarna biru di sebelah timur). Masjid terdekat selain itu adalah 25 km perjalanan ke selatan kemudian barat. Di bahagian selatan wilayah Phattalung kelihatan ada banyak juga masjid.


Bandingkan dengan Krabi. Dalam peta yang merupakan zoom-in lebih dekat berbanding tadi cukup jelas masjid boleh ditemui merata di sekitar bandar Krabi juga pantai peranginan popular seperti Aonang yang selalu dikunjungi Mat Saleh atau Orang Putih Barat suka berjemur separuh telanjang. Setelah melihat dengan mata kepala sendiri di merata tempat ia masih jelas wilayah orang Melayu Islam walaupun mereka tidak lagi bertutur dalam bahasa Melayu. Phattalung pun sebenarnya begitu. Seperti hampir seluruh wilayah ke selatan Segenting Kra memang ia asal milik orang Melayu Islam. Tetapi kehadiran mereka di bandar Phattalung kini kelihatan begitu terhad.



Sebetulnya sejak pertama kali sampai ke Patthalung penghujung tahun 2017 saya ada menyimpan hajat untuk bermalam. Lihat artikel lama Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Langkah-langkah akhir di Trang, Phattalung dan Hatyai. Tapi tak nampak masa yang sesuai. Ikut rancangan asal selepas Krabi kami mahu menginap di Nakhon Si Thammarat. Selepas itu ke Songkhla diikuti Hatyai sebelum bermalam di Patani. Kalau ikut rancangan ini lalu di Phattalung pun tidak.


Ternyata kehadiran kami di sini adalah salah satu hikmah daripada hal kerosakan kereta seperti diceritakan dalam artikel-artikel berikut :-






Rancangan ke Phattalung dibuat sekitar sejam sahaja sebelum sampai ke sempadan Thailand hari Rabu malam Khamis 18 Disember, Ini adalah sebagai pertukaran kepada rancangan asal untuk bermalam di Nakhon Si Thammarat selepas 2 malam di Krabi. Pertukaran dibuat memikirkan masa menjadi terhad akibat masuk ke Thailand lebih 24 jam terlewat berbanding rancangan asal serta kekangan pergerakan akibat terpaksa menggunakan pengangkutan awam. Lihat lebih mudah bermalam di Phattalung kerana lebih dekat ke Hatyai dan senang untuk mendapatkan kereta api ke mana-mana.


Hotel yang diambil adalah paling dekat ke stesyen kereta api - cuma 200 meter jarak. Dengan itu kami ada banyak pilihan bilakah hendak bertolak seterusnya dan sampai ke mana. Lihat Phattalung railway station.


Ketika berjalan kaki untuk kembali ke hotel terlihat pula pintu gerbang ini. Ia merupakan pintu masuk ke kuil utama di bandar Phattalung. Saya masuk meneroka. Ada gua mengandungi patung-patung Buddha atas bukit batu kapur. Lihat Wat Khuha Sawan, Phattalung.


Inilah hotel kami...


Bangunannya cukup tinggi untuk memberikan pemandangan keseluruhan bandar. Lihat Phattalung from the highest point at Ho Fah Hotel.


Adapun saya tertarik untuk bermalam di Phattalung kemudian berjalan kaki meneroka kerana merasakan ada faktor kerajaan lama Melayu Islam seperti memanggil-manggil. Sekitar jam 10 kami anak beranak keluar dari hotel lalu mendapatkan kenderaan. Kami mahu ke Lam Pam di pinggir tasik besar 8 km ke timur bandar. Rujuk kedudukan dalam peta masjid-masjid tadi.


Ada 2 sebab kami ke Lam Pam. Satu adalah untuk melihat 'floating market' atau pasar terapung diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad jam 10 pagi sehingga 8 malam.


Ternyata ia tidaklah semeriah mana. Mungkin kerana kami sampai awal. Yang nyata ia bukanlah pasar terapung seperti diwar-warkan. Ia cuma gerai-gerai di atas sebuah pulau tepi tasik besar. Lihat Morning visit to Lam Pam 'Floating Market'.


Nasib baik kawasan Lam Pam itu sendiri tidak mengecewakan. Ini disebabkan pemandangan tasik besar seperti laut saujana mata memandang. Lihat True attraction of Lam Pam. Untuk pengetahuan melalui tasik ini kapal boleh belayar hingga ke Songkhla atau nama lamanya merangkap nama Melayu adalah Singgora. Di sini terletak kaitan sejarah yang menjadi sebab kedua kami ke Lam Pam (sebab utama bagi saya sebenarnya).


Dahulu, ketika pertama kali sampai ke Phattalung hingga ke Lam Pam penghujung tahun 2017 kami tidak tahu dan tidak sempat meneroka faktor ini. Kini kami lebih tahu sehingga sanggup berjalan kaki 1.5 km dalam kepanasan waktu tengah hari untuk singgah ke istana yang pernah menjadi pusat pemerintahan raja-raja Phattalung. Lihat Istana kayu (Wooden palace of) Phattalung.


Saya dan isteri pernah terbaca bahawa raja-raja Phattalung yang secara rasminya dijadikan wakil atau gabernor bagi Raja Siam (kerana Phattalung yang nama lama Melayuya adalah Bedelong atau Merdelong menjadi jajahan takluk Siam) adalah keturunan Sultan Sulaiman (yang memerintah Singgora awal abad ke-17 Masihi). Ini terbukti apabila lukisan potrait baginda yang pernah kami lihat di Songkhla ada terdapat dalam istana Phattalung di Lam Pam yang sudah dijadikan muzium. Rujuk cerita-cerita lama berkenaan :-



Tentang bagaimana anak cucu keturunan Sultan Sulaiman yang jelas berbangsa Melayu dan beragama Islam (walaupun baginda sebenarnya berdarah Arab-Parsi malah ada yang percaya nasabnya sampai kepada Sultan Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Baghdad) tak perlulah diterangkan. Cuba cari sendiri di Internet. Cukuplah ditambah selepas Sultan Sulaiman mangkat tahun 1668 naik anaknya Sultan Mustapha memerintah Singgora. Pada zaman itulah kota Singgora dapat dihancurkan oleh Siam selepas lama asyik diserang.

Salah satu natijahnya adalah anak cucu Sultan Sulaiman dinaikkan sebagai raja tempatan merangkap gabernor Raja Siam, seorang di Patthalung, seorang di Chaiya (nama lamanya Cahaya). Tentunya ini berlaku dengan syarat menyatakan taat setia kepada raja-raja Siam yang mengutamakan agama Buddha. Keturunan mereka terus menjadi raja bawahan Siam. Dalam menzahirkan taat setia ini setahu saya mereka sering dipaksa untuk berlawan dengan kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang lain seperti Patani lebih ke selatan.

Sesungguhnya ada sesuatu di Patthalung terutama Lam Pam menuntut pencerahan. Satu lagi tinggalan keturunan Sultan Sulaiman adalah istana batu ini. Letaknya di tepi sungai Lam Pam yang boleh membawa masuk ke tasik besar seterusnya ke Singgora. Lihat Istana batu (Brick palace of) Phattalung dan Lam Pam river behind Phattalung palace.


Disebabkan mahu menjejak sejarah Melayu Islam saya mengajak keluarga berjalan kaki lagi 300 meter ke arah bandar Phattalung untuk sampai ke tempat yang kelihatan. Tiba-tiba muncul seorang pekebun memberitahu kami raja-raja sini berketurunan Singgora dan mereka beragama Islam. Kenyataan ini seperti hendak membetulkan hakikat zaman yang mana mereka kini begitu nyata kelihatan dikelilingi monumen-monumen berunsur keberhalaan Buddha. Kalau tak salah di sini juga raja-raja Patthalung disuruh menyatakan sumpah taat setia kepada Raja Siam. Lihat Tugu (Monument of) Phra Ya Phattalung Khang Helk dan (and) Wat Wang


Selepas puas menjejak kesan sejarah baru cuba mendapatkan pengangkutan awam untuk kembali ke bandar Phattalung. Rupa-rupanya sangat susah dan jarang-jarang ada daripada Lam Pam. Nasib baik ada warga tempatan sudi menghantar naik hilux...


Lihatlah gelagat anak-anak yang duduk di ruang terbuka belakang. Alhamdulillah, sentiasa ceria dan redha dengan apa yang dapat.


Sampai ke bandar terus mengambil beg-beg sandang yang ditinggalkan di ruang legar hotel lalu menuju ke stesyen kereta api.


Sempatlah membeli tiket kereta api jam 2.20 petang untuk ke Hatyai...





Jam 2.38 kereta api pun sampai. Tidaklah terlalu lewat...


Kami naik kelas 3 yang tambangnya sangat bajet.


Jarak perjalanan ke Hatyai adalah sekitar 100 km. Lebih kurang seperti dari Kuala Lumpur melepasi Rembau ke Kota di Negeri Sembilan.


Menariknya dapat gerabak atau koc nombor 313...


Jam 4.53 petang sampai ke stesyen kereta api Hatyai.


Terus masuk mendaftar ke hotel yang bersambung dengan stesyen ini.


Selepas berehat, mandi manda dan bersiap baru kami keluar dengan menaiki tuk tuk...


Niatnya hendak melihat keadaan floating market atau pasar terapung Hatyai waktu siang membawa ke malam...


Tetapi disebabkan kesesakan jalan raya campur salah faham destinasi kami sampai sudah waktu malam. Lihat Khlong Hae floating market at night.


Selesai melihat juga makan malam di pasar terapung di pinggir bandar raya kami kembali ke pusat lalu singgah di pasar malam hujung minggu. Lihat Hatyai central weekend night market. Sebagai penutup artikel ingin diberitahu bahawa saya ada pernah terbaca bahawa wali besar Kelantan penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20 iaitu Tok Kenali memiliki darah keturunan kerabat diraja Chaiya/Cahaya. Hati ini pun mengatakan beliau berketurunan Sultan Sulaiman Singgora. Untuk membaca beberapa artikel lama saya tentang Tok Kenali termasuk pengalaman mistik ketika pertama kali sampai ke masjid dan makam beliau sekitar 15 tahun lalu rujuk artikel Mari kita bantu baik pulih Dewan Tok Kenali sampai siap! Amacam? yang dipersembahkan pertengahan tahun 2009. Sekian selamat malam dan wassalam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan