Isnin, Januari 13, 2020

Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Antara Gastropod dan ketam Spongebob

Hari ini 13 Januari 2020 terasa harus mempersembahkan artikel seterusnya tentang perjalanan ke Krabi dan selatan Thailand, artikel bagi hari ke-6 keseluruhan perjalanan merangkap hari ke-3 di Thailand. Bersambung daripada Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - 'Melompat' dari pulau ke pulau hari Jumaat.


Pagi Sabtu 21 Disember 2019. Keluar pagi melihat apa lagi yang ada di Krabi dan sekitar...


Sudah diberitahu dalam artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - 'Melompat' dari pulau ke pulau hari Jumaat bahawa sekembalinya daripada perjalanan ke pulau-pulau kami menyewa 2 buah skuter bagi tempoh 24 jam. Oleh itu sementara tempoh berjalan (sehingga 4.30 petang Sabtu) eloklah dimanfaatkan.


Selepas bersarapan kami menuju ke satu tempat yang memiliki sejarah purba unik.





Di sini ada batu-batu yang kelihatan seperti lapisan konkrit. Namun ia dikatakan wujud secara semulajadi akibat himpunan dan mendakan cengkerang daripada haiwan-haiwan berkenaan (dipanggil Gastropod) yang telah wujud 75 juta tahun yang lampau. Lihat artikel 75 million years old gastropod fossil beach di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Dalam perjalanan ini dapat dilihat banyak juga masjid di Krabi. Ini menunjukkan wilayah tersebut memang asalnya tempat orang Melayu Islam. Tetapi disebabkan kesuntukan masa cuma satu ini sempat disinggahi. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ridwanullah, Ban Laempho, Krabi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)


Selepas itu kami singgah ke satu jeti yang kurang dikenali pelancong. Yang ini isteri pesan jangan bagi butiran. Takut kaki ciplak ambik maklumat kemudian canang kepada umum dengan ayat-ayat marketing cas bagus macam diaorang le yang berjasa besar bagi ramai orang sedar cetus kebangkitan itu ini macam-macam...


Ini pula di bandar Krabi 14 km perjalanan dari tempat kami menginap. Monumen 'ketam gergasi' seperti mahu mengaitkan nama bandar dan wilayah dengan ketam (dalam bahasa Inggeris Crab).  Teringat pula watak kartun Spongebob yang ada kawan seekor ketam. Lihat artikel First look at Krabi town waterfront diikuti Views of 'crabby' Krabi.



Sebetulnya dari jam 8 hingga 11 saya berjalan berdua bersama isteri dengan sebuah skuter. Anak-anak tinggal di tempat menginap bagi mereka puas berehat dan mandi kolam renang. Selepas mendaftar keluar (check out) jam 12 baru anak-anak ikut sekali berjalan Beg-beg kami ditinggalkan di pejabat resort lalu kami keluar dengan 2 buah skuter.


Dengan bergerak melawan arah jam kami pergi ke satu pantai ke utara Aonang (rujuk kembali kepentingan pantai dalam artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - 'Melompat' dari pulau ke pulau hari Jumaat).



Kebetulan tanpa dirancang kami sampai ketika air surut.


Keadaan ini membolehkan kami berjalan kaki ke pulau-pulau berdekatan. Kalau air pasang perlu naik bot atau berenang. Lihat Nopharat Thara beach and the connecting islands.


Sekitar jam 2.30 baru kami kembali ke resort untuk memulangkan skuter lalu mengambil beg-beg. Kami menaiki kenderaan hotel untuk ke stesyen bas Krabi...





Sampai sahaja ke stesyen jam 3 terus dapat bas ke destinasi kami yang seterusnya...





Kami sampai ke stesyen bas utama destinasi tersebut pada jam 6.40 petang.


Di manakah destinasi itu? Tunggu dalam artikel sambungan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan