Salam malam Jumaat 5 Safar. Dalam artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menutup ziarah di Teluk Intan dan persinggahan ke Tanjung Malim yang dipendekkan yang dipersembahkan jam 9.13 pagi ada diberitahu bahawa ia ditulis di masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas bermalam di situ. Sebelum itu iaitu pada jam 11.55 malam saya telah mempersembahkan artikel bertajuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap di masjid sama. Ia adalah tentang majlis ilmu yang dihadiri di institut pada petang semalam...
Saya menginap supaya mudah ke satu majlis ilmu lagi di ISTAC pagi tadi. Ini adalah poster untuk majlis tersebut berupa pelancaran buku bertajuk "Islam in China - History, Spread and Culture" ("Islam di China - Sejarah, Perkembangan dan Budaya"). Turut diadakan adalah forum tentang Islam dan tamadun di China.
Menurut jadual ia harus dimulakan jam 9.30.
Gambar ini diambil pada jam 9.29 ketika keluar dari masjid untuk ke kereta. Saya keluar lewat kerana ada 2-3 lagi perkara perlu disiapkan setelah mempersembahkan artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menutup ziarah di Teluk Intan dan persinggahan ke Tanjung Malim yang dipendekkan.
Saya sedang kelaparan dan mahu mencari sarapan di luar. Terus terang cakap saya belum mandi kerana sibuk menyiapkan cerita sejak selesai wirid selepas Subuh. Dan lagi saya ada masalah perut. Biar bersarapan dahulu, kasi masa makanan turun menolak isi sedia ada lalu faham-faham aje le apa perlu dibuat seterusnya. Selepas itu baru boleh mandi lalu bersiap dengan pakaian (saya bawa sepersalinan busana tradisional Melayu) dan masuk ke majlis.
Dipendekkan cerita jam 10.48 baru saya masuk ke majlis. Dah terlepas sesi pelancaran buku yang menurut atur cara dibuat oleh Menteri Luar Dato' Saifuddin Abdullah.
Pergi terus pada forum.
Panelis pertama, Dr Omar Min Ke Qin (ISTAC) sedang bercakap tentang hubungan Alam Melayu dengan Cina berdasarkan teks dan catatan daripada sana...
Catatan Ma Huan, seorang Cina Muslim yang merupakan jurutulis bagi Laksamana Zheng He (atau Cheng Ho) dirujuk. Zheng He sangat terkenal dengan ekspedisi-espedisi berkapal singgah ke beberapa pelabuhan terkenal kerajaan Melayu seperti di Melaka dan Aru. Ramai tahu beliau adalah seorang Muslim dan begitu juga ramai anak kapalnya (armada mereka dikatakan terdiri daripada 300 buah kapal dan 30,000 anak kapal!). Catatan Ma Huan menyebut pengalaman menunaikan haji ke Mekah...
Disebut pula sumber dan penulis-penulis lain berbangsa Cina zaman silam yang ternyata juga beragama Islam.
Banyak bahan boleh dirujuk untuk menunjukkan bahawa terdapat ramai cendekiawan beragama Islam pada zaman pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644 Masihi)...
Panelis kedua Dr. Alexander Wain, seorang warga England yang kini bertugas di IAIS (Institut Antarabangsa Pengajian Lanjutan Islam) di Universiti Malaya pula bercakap tentang pengaruh tamadun Islam di China terhadap Alam Melayu.
Disebut tentang teori kedatangan Islam ke Alam Melayu oleh beberapa pihak (semua Barat nampaknya) dan bagaimana persepsi berubah menurut zaman. Misalnya kajian akademik abad ke-19 berdasarkan sumber-sumber tempatan cenderung ke arah penglibatan orang Arab. Tetapi masuk abad ke-20 perhatian beralih pada laluan-laluan perdagangan dan India (Gujerat, selatan India dan Bengal). Masuk abad ke-21 teori-teori yang lebih kompleks berkembang, cenderung ke arah banyak titik permulaaan. Daripada tahun 1980an, sesetengah cendekiawan (Lombard, Salmon, Wade, Reid) mula menekankan peranan Cina Muslim dalam proses kedatangan Islam.
Dengan itu sejarah awal pengIslaman Brunei cuba dibina kembali. Disebut Pusat Sejarah Brunei menggunakan Silsilah Raja-raja Brunei dan Ming Shilu (catatan kerajaan Ming) untuk meletakkan tarikh Brunei memeluk Islam pada tahun 1363. Cendekiawan di luar Brunei menggunakan sumber-sumber Eropah untuk meletakkan tarikh pemelukan ke tahun 1515...
Bukti arkeologi menunjukkan Brunei sudah lama berdagang dengan Cina melalui penemuan banyak bahan seramik Cina di Kota Baru dan Sungai Lumut. Dan seramik-seramik itu daripada abad sebelum 14 Masihi.
Ada pula batu nesan di Brunei yang kelihatan serupa seperti batu nesan lama yang biasa dilihat di wilayah Quanzhou di Cina...
Dan jenis ini cuma dihasilkan di sana antara tahun 1272 hingga 1362.
Panelis ketiga dan terakhir Profesor Ulung Datuk Osman Bakar daripada ISTAC bercakap tanpa bantuan slaid.
Secara rata beliau mengenengahkan hujah dan penemuan yang pada beliau boleh menunjukkan bahawa Islam mengalami zaman keemasan di Cina daripada abad ke-15 hingga ke-17. Ini tentu merujuk pada zaman Dinasti Ming. Beliau seperti hendak membayangkan bahawa dinasti tersebut adalah sebuah dinasti Islam atau raja dan para kerabatnya beragama Islam. Tetapi ini tidak dinyatakan secara berterus terang kerana diakui kekurangan bukti yang dapat dipertahankan dalam debat akademik lalu tidak boleh diumumkan sebagai fakta.
Masuk sesi soal jawab kemungkinan bahawa Dinasti Ming memang beragama Islam cuba dikupas termasuk oleh saya. Saya menyuakan bahagian berkenaan daripada satu buku tebal tentang catatan-catatan Dinasti Ming tahun 1968. Ada disebut bahawa pada ketika itu (sekitar tahun 1968) sejarah Dinasti Ming baru sahaja hendak diambil tahu. Sebelum itu ia adalah dinasti yang paling dibuat tak tahu (neglected) dalam sejarah Cina. Sehingga Dinasti Qing yang memerintah seterusnya (1644–1912) melarang apa-apa yang baik tentang Dinasti Ming disebut rakyat. Rujuk sedutan daripada buku berkenaan dalam artikel Rekod Dinasti Ming tidak boleh menafikan kewujudan Hang Tuah yang ditulis lebih 7 tahun.
Pada saya ini membayangkan bahawa sejarah sebenar Dinasti Ming yang kemungkinan besar memang kerajaan Islam telah disembunyikan selama lebih 300 tahun. Kemungkinan besar rekod-rekod sejarah seperti Ming Shilu oleh kerajaan Ming telah disunting, dikeluarkan bahagian-bahagian berkenaan (perkataan Inggerisnya redacted) yang boleh membuktikan ia adalah kerajaan Islam. Tinggal bahagian-bahagian yang tidak boleh ditutup lagi tetapi tidak cukup untuk menjadi bukti seperti kenyataan bahawa Dinasti Ming memiliki ramai pentadbir beragama Islam (seperti halnya Laksamana Zheng He) dan pemerintah pertama dinasti, Maharaja Hongwu pernah menulis sajak yang sangat memuji tinggi Nabi Muhammad SAW. Para panelis bersetuju kemungkinan memang ada namun perlu digali lebih banyak bukti sebelum dapat dijadikan pernyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan