Jumaat, Januari 18, 2019

Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Tanjung Olak, Jong Merak dan Bukit Astakona

Salam Jumaat. Sampai masanya untuk menutup cerita perjalanan kecil menjejak sejarah di Muar 11-13 Januari baru ini. Bersambung daripada Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Dari puncak Bukit Mor ke batu nesan Aceh di Jorak dan beberapa tempat berkenaan.


Pagi Ahad 13 Januari 2019. Setelah mengucup tangan ibu bapa lalu meminta diri saya keluar meninggalkan rumah mereka di Kampung Temiang, Muar.


Jika asalnya saya merancang cuma akan meninggalkan mereka selepas jam 3 petang untuk kembali ke rumah sendiri di Selangor saya keluar awal agar dapat menyambung penjejakan sejarah di sekitar Jorak dan Pagoh sebelum mengambil lebuh raya PLUS melalui tol Pagoh. Terus ke warung di simpang Jorak lalu jadilah seperti apa yang diwar-warkan di Facebook dua minggu terdahulu - diumumkan satu sesi jejak sejarah mahu diadakan di sekitar ini. Siapa yang mahu turut serta boleh jumpa di warung jam 9 pagi lalu bersarapan.


Cuma bezanya jam 10 baru saya berada di sana. Ini kerana mahu menghabiskan masa bersama ibu bapa sebelum meninggalkan mereka. Dua orang kenalan daripada Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Muar muncul untuk mengikuti. Selepas puas bersarapan seraya bertukar bermacam cerita saya membawa mereka ke makam berbatu nesan di Bukit Rhu 2.4 km dari warung tadi.


Tentang makam ini dan bagaimana saya mendapat tahu tentangnya sudah diberitahu dalam artikel Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Dari puncak Bukit Mor ke batu nesan Aceh di Jorak dan beberapa tempat berkenaan.


Saya bawa dua orang ini kerana pertama mereka pun belum pernah sampai ke makam ini. Kedua saya mahu menunjukkan lokasi penting yang mahu dijejaki kemudian nanti - sebuah bukit yang boleh kelihatan jelas dari makam atas bukit kecil ini.


Selepas makam singgah dahulu di Tanjung Olak tidak jauh dari situ...


Sudah diberitahu pada artikel pengenalan Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama bahawa jejak sejarah di Muar ini dibuat untuk mencari bukit dalam mimpi. Dalam mimpi tersebut saya ada terlihat papan tanda tertera nama Tanjung Olak. Lihat artikel Muar river at Tanjung Olak di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Seterusnya kami melihat persekitaran Sungai Muar di pekan kecil Jorak. Saja je suka-suka kot-kot boleh membantu mendalami makna dan petunjuk dalam mimpi. Lihat Muar river from the small town of Jorak.


Ini adalah gambar dalam surau di sebelah warung simpang Jorak. Kami singgah untuk menunaikan solat Zohor (saya qasar dan jamakkan bersama Asar sekali). Sebelum itu kami makan tengah hari di warung. Sambil itu berbual-bual dengan beberapa orang tempatan lalu terkeluar cerita-cerita yang boleh membantu jejak.


Adapun warung itu terletak cuma 100 meter ke sekolah dalam gambar. Di belakang sekolah ada sebuah bukit kecil yang menurut cerita tempatan berasal daripada sebuah jong yang disumpah menjadi bukit. Apabila saya bertanya tentang jong dan bukit seorang yang saya anggar berumur 50an memberitahu itulah asal usul nama Jorak. Jong yang menjadi bukit itu dikenali sebagai Jong Merak disebabkan memiliki kepala berbentuk merak atau lambang merak di hadapannya. Pada mulanya tempat ini disebut sebagai Jong Merak. Lama-lama disingkatkan akibat percakapan mudah menjadi Jorak.


Ketika itu saya terlupa hendak bertanya lebih lanjut tentang kisah Jong Merak. Kemudian baru dapat tahu ia lebih kurang seperti Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya lalu disumpah menjadi batu sehingga jong kenaikannya menjadi bukit. Yang tercetus dalam fikiran ketika itu cuma mahu tahu apakah makna lambang merak. Kebetulan saya ada membawa pending tembaga besar yang dihadiahkan oleh seseorang yang katanya waris keturunan Hang Tuah. Pada pending itu ada lambang merak. Menurut beliau itulah lambang asal laksamana...


Satu lagi cerita yang terkeluar dalam perbualan dengan orang tempatan adalah dahulu terdapat beberapa makam keramat di Jorak. Tetapi banyak yang sudah hilang masuk ke dalam sungai, tinggal satu sahaja masih wujud hingga sekarang. Itulah yang kami naik di Bukit Rhu. Cerita ini timbul kerana ketika kami singgah pagi itu rupa-rupanya baru selesai gotong royong membersihkan tanah perkuburan di mana terdapat makam. Menurut abang berumur 50an tadi itulah satu-satunya makam yang wujud di situ ketika kampung berdekatan dibuka. Kubur-kubur lain dibuat kemudian.


Seorang lagi abang yang saya anggar sudah berumur lebih 60an menambah dahulu banyak makam keramat tetapi kini tinggal satu. Saya pun bertanya apakah mereka ini dianggap keramat kerana orang alim? Jawab abang itu mungkin. Terus terpacul dalam fikiran agaknya inilah kena-mengenanya dengan mimpi yang dialami penghujung tahun 2007. Dalam mimpi itu saya naik sebuah bukit. Di puncaknya saya masuk semacam pintu ke alam lain lalu dapat melihat ramai orang muda berjubah seperti hendak bergegas ke surau ataupun madrasah...


Oh. Gambar-gambar selepas gambar sekolah di atas menunjukkan perjalanan kami masuk ke kawasan pendalaman di mana dipercayai terletaknya bukit dalam mimpi. Kali ini, setelah meneliti kedudukan daripada beberapa sudut terutama melihat dari makam atas bukit kecil saya sudah pasti ke mana hendak dituju...


Kembali kepada cerita abang tadi tentang keramat lalu teringat bahawa dalam mimpi saya masuk pintu ke alam lain lalu melihat ramai orang muda berjubah. Selama ini saya menyangkakan masuk ke alam bunian, jin atau sebagainya. Tetapi selepas mendengar cerita tentang banyak makam keramat kerana mungkin mereka semua orang alim besar baru terbit satu lagi kemungkinan - pintu itu sebenarnya membawa saya masuk ke zaman silam. Apa yang dilihat adalah suasana kuat keagamaan pada suatu zaman yang lampau. Kemungkinan besar zaman itu terdapat surau, tempat pengajian, madrasah, rumah suluk dan sebagainya lalu diduduki ramai orang yang kuat beragama.


Oh. Ini ketika mendaki ke puncak bukit yang cuba dipadankan dengan mimpi. Terlihat satu batu seperti dipahat dengan ukiran, mungkin ada tulisan jawi.



Saya meneliti bukit dan pemandangan sekitar daripada beberapa sudut dan lokasi. Lihat The hill known as Bukit Astakona


Walaupun tidaklah sama 100 peratus seperti dalam mimpi (sebenarnya saya pun dah tak ingat butiran), saya yakin memang ini tempatnya.


Dengan itu saya kembali ke Selangor melalui lebuh raya PLUS dengan rasa puas. Saya yakin bukit yang dilihat dalam mimpi lebih 11 tahun lalu telah berjaya dijejaki. Saya dapat merasakan ia terkait dengan satu sejarah yang hilang di mana kawasan sekitar Jorak dan Pagoh itu pernah menjadi satu pusat keagamaan, mungkin juga pusat dakwah Islam yang penting di Tanah Melayu. 

Melihat pada petunjuk yang diperolehi pada hari sebelumnya (rujuk balik Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Dari puncak Bukit Mor ke batu nesan Aceh di Jorak dan beberapa tempat berkenaan) saya percaya ia ada kena mengena dengan kerajaan lama Champa juga Kesultanan Aceh. Semoga akan muncul petunjuk-petunjuk dan ilham yang lebih jelas tidak lama lagi...


1 ulasan:

  1. Fuh... Hebat.. Menarik.. Kg sy ni tpi xtahu sejarah2 dan tgh mncri sjrh. Berminat nk tahu jika ada artikel ttg bukit yg disumpah tu, knp disumpah. Jika bnr ada alam ats bukit jorak tu, nk tahu juga adakh prnh ada kerajaan prnh bertpk disitu atau lagendanya

    BalasPadam