Sabtu, Januari 19, 2019

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Battambang-Poipet-Bangkok-Ayutthaya dengan pelbagai jenis pengangkutan

Hari ini 19/1/19 terasa patut mengeluarkan satu artikel baru. Kebetulan sudah lebih seminggu cerita perjalanan Cambodia-Thailand diketepikan buat sementara waktu untuk memberikan laluan kepada cerita-cerita jejak sejarah di Muar yang berlaku hujung minggu lalu. Maka biar disambung penceritaan daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Ditipu USD100 di Battambang.


Pagi Khamis 29 November 2018 iaitu pada hari ke-8 perjalanan. Kami sudah bersiap sedia di ruang legar hotel seawal jam 7.30.


Walaupun hal ditipu USD100 masih terngiang-ngiang dalam kepala kami harus membuat seperti tidak berlaku apa-apa. Yang penting kami selamat. Dan untuk hari itu kami akan membuat perjalanan jauh. Jam 7.30 kami sudah siap menunggu di ruang legar untuk pengangkutan yang katanya akan sampai jam 8.


Kami mahu meninggalkan negara Cambodia masuk ke Thailand. Untuk itu pengangkutan sudah ditempah melalui meja hotel pada malam sebelumnya sejurus sebelum berlaku saya ditipu USD100 itu. Pengangkutan ada dua bahagian, satu dari Battambang ke sempadan di Poipet. Satu lagi di Thailand menuju ke Bangkok. Pengangkutan awal berupa teksi land cruiser sampai jam 8.30 pagi


Kami pun bergerak dengan penuh selesa. Teksi ini memperuntukkan 3 tempat duduk di belakang, 1 di sebelah pemandu di hadapan. Kami beli 3 tempat duduk untuk saya, isteri dan dua anal kecil sama-sama duduk di belakang.


Jarak dari Battambang ke Poipet bukanlah jauh sangat. Cuma sekitar 115 km.


Tapi keadaan jalan dan trafik menyebabkan dekat jam 11.30 pagi baru masuk bandar raya tersebut. Lihat artikel Battambang to Poipet di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami diturunkan di satu bulatan jalan berdekatan sempadan jam 11.36


Pusat immigresyen untuk meninggalkan Cambodia terletak di tepi bulatan. Kami pun masuk untuk urusan paspot...


Sekitar setengah jam kemudian selesailah urusan. Seterusnya kami harus berjalan kaki melepasi zon bebas menyeberangi sempadan masuk ke Thailand.


Tengok-tengok urusan paspot di belah situ pula memakan masa. Lihat Crossing to Thailand.


Dipendekkan cerita jam 2.30 baru kami bergerak dari sempadan dengan pengangkutan bahagian kedua berupa minivan Thailand ke Bangkok.


Dari sempadan ke Bangkok ada jarak lagi 260 km. Dalam perjalanan inilah baru tersedar bagaimana  caranya saya boleh ditipu USD100 di hotel di Battambang iaitu selepas membuat semakan berkenaan di Internet. Biar dicopy paste lagi cerita berkenaan yang telah dikongsikan di Facebook ketika dalam van...


DAH TERKENA DAH - SCAM USD DI CAMBODIA

Nampaknya confirm saya memang dah kena tipu/scam duit USD100 di hotel Blue Diamond di Battambang semalam. Ceritanya saya nak pecah duit terakhir USD100 kami di hotel jadi beberapa keping duit USD20 dan USD10 agar mudah untuk digunakan dalam perjalanan kami anak beranak meninggalkan Cambodia untuk ke Ayuthayya di Thailand hari ini. Tengok- tengok- dia kata duit kita fake, siap tunjuk ada perkataan copy. 

Kami yang dalam kepenatan selepas 7 setengah jam perjalanan dari Phnom Penh cuma boleh tepuk kepala masa tu. Fikir kami kenapa tak sedar boleh kena tipu dengan moneychanger di Rawang tempat kami tukar wang sebelum bertolak dengan pesawat ke Cambodia. Siap berkira-kira lagi nak buat polis repot apabila kembali ke Malaysia nanti. Setelah beberapa lama baru terfikir entah-entah lelaki kat desk hotel tukar tapi saya tak perasan. Ada perempuan berumur Cina di hotel bantu scam apabila diminta mengesahkan wang.

Lewat malam semalam saya bersemuka dengan lelaki tersebut. Tapi dia tak mengaku malah menyalahkan saya kerana katanya mengeluarkan wang palsu daripada dompet saya lalu cuba menukar kepada wang sah di tempatnya. Katanya situ ada CCTV. Saya pun minta supaya ditunjukkan rakaman CCTV. Dia kata boleh pagi nanti. Nanti ajak polis tonton sekali.

Tapi dia memberitahu saya boleh dipenjarakan kerana cuba menukar duit palsu dengan wang sah. Mengingatkan diri di negara orang dan pagi nanti harus bergegas ke Thailand bersama isteri dan dua anak kecil saya pun mengalah lalu meminta diri.

Selepas tengah malam saya tergerak untuk Google perkataan "Fake USD100 Battambang". Jumpalah satu artikel memberitahu perkara ini memang biasa berlaku di Cambodia. Tadi dalam minivan ke Bangkok (saya masih dalam perjalanan ni) tergerak untuk meneliti artikel tersebut. Terjumpa satu gambar contoh yang kelihatan sebijik macam kes saya. 

Rupa-rupanya adalah menjadi kebiasaan sesetengah orang di Cambodia print wang USD tapi ada perkataan copy untuk dibakar dalam upacara tertentu. Wang sebegini biasa digunakan untuk menipu mereka yang tidak menyedari. Lihat artikel bawah ini, tuju pada bab spirit money. Gambar yang diletakkan adalah duit tipu USD100 yang kami terima itu...





Kami sampai ke Bangkok sudah malam.


Disebabkan kesesakan lalu lintas kami diturunkan di suatu bahagian pinggir luar pusat bandar raya lalu harus mengambil tuk tuk untuk ke perhentian seterusnya.


Kami mahu ke stesyen kereta api Hua Lamphong di timur pusat bandar raya.


Seperti halnya ketika singgah di Phnom Penh dari Kampong Cham (rujuk Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam) kami mahu meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta api.


Destinasi utama kami hari ittu adalah kota bersejarah Ayutthaya 80 km ke utara Bangkok.


Alhamdulillah sampai jam 10.14 malam. Lihat To Ayutthaya via Bangkok.


Jam 10.48 kami sampai ke rumah penginapan dengan menaiki tuk tuk. Ini berlaku selepas lebih 14 jam memulakan perjalanan dari Battambang. Adapun malam itu adalah malam Jumaat. Selepas beberapa lama saya membuat update berikut di FB berserta gambar atas...


KEAMANAN DI RUMAH PENGINAPAN KAYU, KUIL LAMA MENGHADAP KIBLAT DAN PERMAISURI SURIYOTHAI

Salam malam Jumaat. Pada ketika ini kami anak beranak sedang berehat dengan aman di sebuah rumah penginapan klasik kayu betul-betul di tepian Sungai Chao Phraya, di suatu bahagian bandar lama Ayuthayya. Tadi setelah bertolak keluar dari hotel di Battambang, Cambodia sekitar jam 8.30 pagi, dekat jam 11.40 baru sampai ke sempadan Thailand di Poipet. Urusan imigresyen untuk keluar dari negara Cambodia memakan masa 20 minit. Tapi campur masa untuk berjalan kaki 500 meter untuk menyeberangi sempadan lalu berurusan dengan imigresyen Thailand menjadi 2 jam. 

Lepas jam 2 petang baru dapat kenderaan menuju ke Bangkok lalu sampai ke pusat bandar raya sekitar 7.15 malam. Ambil tuk tuk ke stesyen Hua Lhampong lalu mendapatkan kereta api jam 8.10 malam ke Ayuthayya, 2 jam kemudian baru sampai. Nasib baik dapat tuk tuk 11 km ke rumah penginapan. Ternyata ia amat cantik dan selesa dengan konsep rumah kayu tradisional. 

Selepas selesai beberapa perkara lain baru mandi dan menukar pakaian. Dekat jam 1 pagi baru betul-betul aman. Menariknya semua bangunan di sekitar kawasan ini termasuk sebuah kuil lama Buddha dibina menghadap kiblat. Ada sesuatu yang terasa patut dirungkaikan. Mungkin ada kena mengena dengan satu watak lama permaisuri Ayuthayya dahulukala bernama Suriyothai...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan