Merujuk kepada artikel Dari Puncak Alam ke Kuala Selangor - Mengimbas kembali beberapa hal berkaitan sebagai pengenalan untuk gerak penulisan kali ini. Selepas Maghrib tadi gerak disambung dengan menulis artikel bertajuk The place called Gua Kahfi in Batu Caves di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Adapun ketika memilih gambar-gambar yang mahu digunakan untuk artikel-artikel hari ini terlihatlah sejumlah gambar yang diambil ketika kelas dan kursus di ISTAC, Institut Antrabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu minggu lepas. Terasa elok dikongsikan satu cerita berkenaan...
Kembali kepada hal Osman Bakar yang juga diakui sebagai seorang pemikir besar dunia Islam. Tengok-tengok kami memiliki latar belakang yang hampir serupa. Seperti saya beliau juga adalah graduan dalam bidang matematik di London. Cuma ia berlaku lebih 20 tahun awal dan beliau kemudian menyambung sarjana matematik sebelum berubah kepada dunia pemikiran dan ketamaduan Islam melalui pengajian di bawah cendekiawan terkenal Seyyed Hossein Nasr di Amerika Syarikat.
Saya pula terus keluar daripada dunia akademik dengan menjadi seorang wartawan di Malaysia kemudian penulis buku. Namun kami dipengaruhi faktor serupa yang mengubah arah hidup masing-masing iaitu bacaan-bacaan bersifat falsafah tinggi Tasawuf terutama tulisan Syeikhul Akbar Ibnul Arabi yang hidup di Andalusia 800 tahun lalu. Dalam perbualan pertama kami yang berlangsung 26 September beliau menghadiahkan buku bertajuk Qur'anic Pictures of the Universe : The Scriptural Foundation of Islamic Cosmology (terbit tahun 2016). Alhamdulillah buku itu dapat dikhatamkan dalam tempoh seminggu.
Adapun cerita tentang saya memulakan pengajian pasca-siswazah (postgraduate) di ISTAC ada dikongsikan dalam artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia pada hari Jumaat 31 Ogos 2018. Hari Selasa, 3 September iaitu 3 hari selepas itu, kelas pertama saya di ISTAC pun bermula. Pelajar ada pilihan untuk mengambil satu hingga tiga kelas pada semester ini. Saya memilih untuk mengambil maksimum tiga kelas supaya dapat memberikan tumpuan kepada kajian sahaja pada semester seterusnya.
Kelas diadakan pada jam 5 petang hingga 8 malam Selasa hingga Khamis. Kelas-kelas itu adalah :-
1. Islamication of Human Knowledge setiap hari Selasa. Pensyarah - Dr Wan Ali Wan Mamat
2. Islam in Malay History and Culture setiap hari Rabu. Pensyarah - Prof Datuk Dr Awang Sariyan
3. Research Methodology setiap hari Khamis. Pensyarah - Prof Madya Dr Pauzi Latif
Menarik untuk disebut Wan Ali yang dikenali sebagai seorang pakar manuskrip Melayu pernah menjadi ketua pengarah Perpustakaan Negara Malaysia. Awang Sariyan yang cukup dikenali ramai sebagai tokoh pejuang bahasa Melayu pula adalah ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sejurus sebelum menyertai ISTAC. Pauzi adalah orang yang bertanggungjawab mendirikan muzium warisan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau yang memiliki kepakaran boleh membuka dan mendirikan kembali rumah-rumah tradisional Melayu lama kini turut diberi tanggungjawab mendirikan muzium serupa di ISTAC.
Gambar ini dan gambar tadi diambil ketika kelas Awang Sariyan berlangsung petang Rabu lalu 10 Oktober. Saya ambil gambar kerana saya ni jenis yang jarang mahu mencatat pelajaran pada buku nota. Sebaliknya saya lebih suka mengambil gambar untuk rujukan akan datang. Cara sama digunakan untuk menulis artikel dalam blog. Daripada suatu gambar boleh tercetus pelbagai ingatan tentang apa yang sudah berlaku. Catatan boleh dibuat kemudian kalau perlu berdasarkan ingatan yang tercetus daripada gambar.
Ketika itu sudah masuk minggu ke-6 saya menyambung pengajian di ISTAC. Cuma ada satu minggu sahaja tiada kelas kerana seorang pensyarah ada hal, dua lagi terlibat dengan majlis ilmu di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Lihat artikel Persidangan ASAL - Daripada busana tradisional Melayu ke matawang Kesultanan Melaka dan Persidangan ASAL - Daripada hubungan Melayu-Cina membawa kepada kepentingan strategik Selat Melaka. Adapun sejak 3 tahun lalu menjadi kebiasaan saya menghantar anak-anak ke sekolah dan mengambil mereka setiap hari Isnin hingga Jumaat kecuali bila ada hal di luar. Sejak masuk kelas saya selalu bertolak ke ISTAC selepas menghantar seorang anak ke sekolah agama jam 2 petang kemudian menghantar anak bongsu (pra-sekolah pagi) ke pejabat isteri di Rawang. Isteri pula mengambil abangnya dari sekolah agama sekitar jam 5.30 iaitu selepas tamat kerja di pejabat.
Kalau ada hal saya setakat menghantar ke sekolah sebelum jam 7.30 pagi. Selepas itu van mengambil anak-anak ke rumah pengasuh dan ke sekolah agama petang, saya kena bayar ikut hari. Pagi Khamis 11 Oktober saya pergi ke ISTAC lebih awal kerana ada kursus berkenaan penggunaan perpustakaan di ISTAC.
Kursus ini penting agar dapat menyediakan tesis pengajian sebaik mungkin. Ia dikendalikan oleh kakitangan Syed Muhammad Naquib Al-Attas (SMNA) Library di ISTAC. Dikatakan ia adalah salah satu perpustakaan terbaik di dunia Islam disebabkan koleksi yang dimulakan oleh pengasas ISTAC, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Reputasi beliau sebagai cendekiawan bertaraf antarabangsa terutama dalam dunia Islam tidak perlu dipertikaikan. Baik perpustakaan mahupun ISTAC dibina melalui penglibatan peribadi beliau yang sangat cermat. Oleh itu ia menggambarkan dan menzahirkan jiwa raga ketokohan dan keintelektualan Syed Naquib al-Attas. Walaupun Naquib yang kini berumur hampir 90 tahun tidak lagi bersama ISTAC disebabkan hal-hal yang menjurus kepada politik universiti kesan kehadiran dan sumbangan beliau terus berkumandang melalui perpustakaan dan ISTAC. Oleh kerana ISTAC berada di bawah pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kami juga boleh menggunakan kemudahan perpustakaan di mana-mana kampus UIAM.
Kursus yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris iaitu bahasa penghantar utama di ISTAC juga di UIAM itu menunjukkan cara-cara menggunakan pelbagai kemudahan berkenaan. Paling penting adalah bagaimana mencari bahan juga cara menyatakan sumber (citation, bibliography) untuk menerbitkan tesis bermutu tinggi. Sukacita dimaklumkan dalam tempoh sebulan setengah di ISTAC banyak yang dapat dipelajari. Seorang cendekiawan Melayu bertaraf dunia, Profesor Emeritus Dato' Dr Osman Bakar baru sahaja menyertai ISTAC sekitar sebulan lalu. Sekitar 19 hari lalu saya berpeluang untuk berkenalan lalu berkongsi pelbagai perkara dengan beliau. Ini berlaku selepas satu majlis puisi Melayu julungkali diadakan di ISTAC atas anjuran Awang Sariyan. Rujuk artikel Majlis Baca Puisi di ISTAC.
Sekadar memberitahu Awang sebagai seorang tokoh pejuang bahasa Melayu juga telah berjaya mendapatkan kebenaran pihak pentadbiran UIAM agar pelajar ISTAC yang mengambil jurusan Dunia Melayu boleh menerbitkan tesis dalam bahasa Melayu. Harus dinyatakan ISTAC yang diasaskan tahun 1987 dengan pengajian dibuat sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, sesekali dalam bahasa Arab pernah ditutup dua kali. Sekarang ini adalah kali ketiga ia dibuka iaitu bermula penghujung tahun 2017. Walaupun bahasa pengantar utama ISTAC dan UIAM tetap bahasa Inggeris, Awang memilih untuk bersyarah dalam bahasa Melayu. Sesekali sahaja dia berbahasa Inggeris kerana harus juga bersyarah kepada pelajar luar negara yang tidak pandai berbahasa Melayu.
Kembali kepada hal Osman Bakar yang juga diakui sebagai seorang pemikir besar dunia Islam. Tengok-tengok kami memiliki latar belakang yang hampir serupa. Seperti saya beliau juga adalah graduan dalam bidang matematik di London. Cuma ia berlaku lebih 20 tahun awal dan beliau kemudian menyambung sarjana matematik sebelum berubah kepada dunia pemikiran dan ketamaduan Islam melalui pengajian di bawah cendekiawan terkenal Seyyed Hossein Nasr di Amerika Syarikat.
Saya pula terus keluar daripada dunia akademik dengan menjadi seorang wartawan di Malaysia kemudian penulis buku. Namun kami dipengaruhi faktor serupa yang mengubah arah hidup masing-masing iaitu bacaan-bacaan bersifat falsafah tinggi Tasawuf terutama tulisan Syeikhul Akbar Ibnul Arabi yang hidup di Andalusia 800 tahun lalu. Dalam perbualan pertama kami yang berlangsung 26 September beliau menghadiahkan buku bertajuk Qur'anic Pictures of the Universe : The Scriptural Foundation of Islamic Cosmology (terbit tahun 2016). Alhamdulillah buku itu dapat dikhatamkan dalam tempoh seminggu.
Dalam tempoh itu juga saya menerima salinan PDF tesis PhD seorang pelajar/kakitangan Universiti Malaya (UM) bertajuk "Konsep Alam Menurut Daud Al-Fatani : Analilis Dari Perspektif Astronomi Islam" daripada Pauzi (Prof Madya Dr Pauzi Latif, pensyarah Research Methodology atau Kaedah Kajian saya). Tesis dihasilkan oleh Mohammaddin bin Abdul Niri dan beliau kini bergelar Dr. Salinan diberikan untuk membantu saya menghasilkan tesis sendiri yang dikira sangat unik kerana melibatkan matematik dan kira-kira masa. Sedangkan bidang yang diambil adalah Dunia Melayu, bukan matematik, bukan fizik atau apa-apa bidang sains. Rujuk artikel Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan
Saya berjumpa dengan Osman Bakar kerana beliaulah satu-satunya cendekiawan di ISTAC, mungkin juga di seluruh UIAM yang mempunyai kepakaran untuk membantu penghasilan tesis saya. Sukacita dimaklumkan tesis berkenaan Daud Al-Fatani di mana penggunaan ilmu naqli (berdasarkan wahyu) diangkat melebih ilmu aqli (berdasarkan penta'akulan rasional akal semata seperti diagung-agungkan dunia Barat) telah berjaya ditamatkan pembacaannya pagi semalam. Harus dimaklumkan ini berlaku ketika saya dan keluarga berehat di sebuah rumah peranginan milik ayah angkat saya, penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas di Janda Baik. Menarik untuk disebut beliau memiliki hubungan persaudaraan dengan Syed Naquib yang mengasaskan ISTAC dan memang saling mengenali.
Seorang anak Syed Hussein kini menjadi salah satu anak murid kesayangan Syed Naquib. Harus dimaklumkan juga gerak penulisan yang muncul untuk hari ini memerlukan saya berkongsi sedikit cerita tentang sesi rehat kami sekeluarga di Janda Baik. Sesungguhnya saya memang jenis orang yang sering mendapat ilham dan gerak menurut aturan di luar perancangan diri. Biasanya selepas selesai suatu proses luahan saya akan dibukakan pintu-pintu ilmu-ilmu baru. Selepas menyiapkan artikel Janda Baik baru boleh memberi tumpuan untuk membuat satu penulisan kecil tentang kejatuhan Empayar Uthmaniyah bagi kelas Islamication of Human Knowledge esok, minggu ke-7 pengajian saya di ISTAC. Selesai itu baru boleh menamatkan pembacaan buku Historical Fact and Fiction tulisan Syed Naquib tahun 2011 untuk diulas pada kelas Islam in Malay History and Culture hari Rabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan