Salam awal pagi 16 Oktober. Merujuk kepada artikel Dari Puncak Alam ke Kuala Selangor - Mengimbas kembali beberapa hal berkaitan yang dipersembahkan jam 6.50 petang tadi. Sekarang sampailah masa untuk menutup gerak penceritaan kali ini.
Petang Sabtu 13 Oktober 2018. Kami sekeluarga menyambut ulang tahun ke-9 kelahiran anak kami Muhammad al-Aminul Rasyid di Gombak. Disebabkan itu kami memutuskan untuk pergi ke Janda Baik, Pahang. Ini disebabkan ini terletak lagi 30 km sahaja perjalanan dari Gombak.
Kami menginap di salah satu rumah yang terdapat dalam kawasan peranginan keluarga milik bapa angkat saya, penulis buku politik terkenal S.H. Alattas @ Pak Habib Syed Hussein al-Attas. Merujuk kepada artikel Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC yang dipersembahkan jam 9.55 malam tadi. Di serambi menghadap sungai inilah saya berjaya mengkhatamkan tesis PhD sepanjang 345 muka surat tentang pandangan alam Sheikh Daud al-Fatani sekitar jam 8.30 pagi Ahad 14 Oktober. Menarik untuk disebut bahawa ketika bacaan masuk pada hal kitab tasawuf tulisan Sheikh Daud sekitar jam 1 pagi muncul satu pembukaan tentang nasab keluarga. Ini menyebabkan saya menulis update berikut di Facebook :-
KAITAN KEDAH LE PULAK - ISYARAT KAITAN DENGAN PATANI JUGAKAH INI?
Salam semua. Malam ni, di celah-celah tengah study thesis PhD orang pasal Sheikh Daud al-Fathani tiba-tiba seorang saudara memberitahu moyang kami Orang Kaya Mat Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (Perak) beribukan Wan Sadilah (mungkin salah eja) binti Wan Mat Saman dari Kedah. Terus teringat dahulu nenek (ibu ayah saya, isteri Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin OK Arshad) pernah memberitahu kami ada kena mengena dengan Wan Mat Saman yang membuat terusan Wan Mat Saman di Kedah itu. Kata saudara betullah itu. Cuma apabila ditanya kepada keluarga Wan Kedah mereka tak tahu cerita.
Apapun, kalau benar moyang kami beribukan anak Wan Mat Saman, maka Menteri Besar Kedah pertengahan abad ke-19 itu adalah moyang saya juga. Dikatakan ayah Wan Mat Saman iaitu Wan Ismail adalah anak kepada Dato' Sri Paduka Raja Laksamana Kedah. Dah terkait pula saya dengan Laksamana Kedah. Itu belum cerita kaitan keluarga belah Laksamana Perak dengan Laksamana Aceh dan raja- raja sana juga raja- raja Bugis. Patutlah baru ini ada orang nampak nenek moyang saya sejak zaman Kesultanan Melaka asyik berperang sahaja kerjanya. Sampai peringkat saya dah letih tak nak terlibat dengan perang. Namun naluri semulajadi untuk berperang itu tetap ada.
Menarik apabila memikirkan kaitan dengan Kedah ini terbuka ketika bacaan thesis malam ini masuk bab kitab Tasawuf Sheikh Daud al-Fathani. Apakah ini isyarat bahawa keluarga Wan Kedah terkait dengan keluarga Wan Patani? Apakah kaitan ini yang menyebabkan saya begitu selesa berjalan-jalan di Kedah juga di Patani?
Dengan selesainya bacaan tesis baru kami bersiap sedia untuk aktiviti seterusnya.
Mula-mula keluar berjalan kaki untuk bersarapan di sebuah warung berdekatan.
Selepas itu baru berjalan kaki mendaki hingga ke puncak sebuah bukit di sebelah kawasan rumah-rumah Pak Habib. Lihat artikel Hill climbing with wife and kids in Janda Baik di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Itulah kali pertama saya membawa isteri dan anak-anak berjalan kaki mendaki bukit di Janda Baik. Padahal kami telah banyak kali pergi ke kawasan tanah rizab Melayu yang terletak pada purata ketinggian 1,450 kaki dari paras laut ini. Perjalanan diteruskan dengan menuruni bukit tadi lalu naik ke satu bukit lain yang lebih tinggi. Laluan ini dan banyak lagi sudah berkali-kali saya lalui bersendirian ketika menumpang di rumah Pak Habib tahun 2002-2005. Rujuk artikel-artikel lama berikut :-
Nah. Begitu banyak telah saya tulis tentang Janda Baik. Apa yang disenaraikan tidak meliputi semua yang telah dikongsikan dalam blogspot. Sesungguhnya saya tidak pernah jemu dengan tempat penuh berkat ini. Entah kenapa baru sekarang tergerak nak bawa isteri dan anak-anak meneroka dengan berjalan kaki.
Kami mendaki sehingga sampai ke rumah peranginan paling tinggi di Janda Baik. Google Earth menunjukkan letaknya lebih 1,850 kaki dari paras laut. Ketika itu kami sudah berjalan kaki sejauh hampir 3 km. Saya pun memberi peluang anak berseronok mandi di kolam renang. Lihat Hill climbing with wife and kids in Janda Baik - On to Saufiville, the highest resort around.
Turun bawah sampai ke sebuah surau saya beri peluang anak-anak mandi sungai pula. Pagi ketika saya sibuk mahu menghabiskan bacaan tesis pun mereka dah mandi sungai. Kali ini saya turut serta mandi...
Surau yang dimaksudkan pernah menjadi tempat kami anak beranak bermalam beberapa kali. Semasa menumpang di rumah Pak Habib 2002-2005 saya selalu menghabiskan masa bersama kenalan-kenalan pengikut ajaran tabligh dari pelbagai negara yang sering bermalam di surau ini. Lihat artikel Surau (Praying hall of) Kampung Chemperoh, Janda Baik di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Dekat jam 2 petang baru kami kembali ke kawasan rumah-rumah Pak Habib.
Saya sebut rumah-rumah kerana dalam kawasan taman seluas 8 ekar milik beliau ini terdapat hampir 10 buah rumah bungalow pelbagai saiz, beberapa buah pondok, dewan, surau dan bangunan yang boleh dijadikan tempat berehat juga menginap.
Beberapa buah rumah dan bangunan terletak betul-betul di sebelah sungai.
Rumah yang kelihatan ini (dahulu ada pokok besar di hadapannya) adalah tempat saya menumpang 2002-2005. Dari bahagian dapurnya boleh terjun terus masuk ke sungai. Sampai ke sini kami anak beranak sudah berjalan kaki sejauh hampir 5.5 km. Dalam jarak tersebut kami mendaki bukit hingga mencapai ketinggian bersamaan bangunan 15 tingkat kemudian turun sebelum naik lebih tinggi seolah-olah mendaki bangunan 42 tingkat pula. Boleh tahan... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan