Salam semua. Sebulan kebelakangan ini kerja-kerja penulisan saya jadi terganggu akibat komputer riba bermasalah. Buat masa ini saya cuma boleh pakai dalam Safe Mode lalu perisian-perisian di bawah Microsoft Office seperti Word malah Picture Viewer pun tak boleh digunakan. Nasib baik ada Safe Mode With Networking membenarkan penggunaan Internet, itupun selalu juga tak dapat sambung talian. Hal ini membuatkan saya belum bersedia untuk berkongsi penceritaan baru walhal saya dan keluarga ada berjalan menziarahi beberapa tempat di Terengganu hampir 2 minggu lalu.
Saya belum menghantar komputer untuk pemulihan kerana masih menggunakannya untuk membuat tulisan pengembaraan Eropah tahun 1995. Rujuk artikel Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa dan Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995. Walaupun setakat dapat menggunakan Wordpad ia cukup bagus untuk mengarang cerita dan meletakkan gambar-gambar tetapi tanpa proper layout atau reka letak yang sepatutnya. Dah selesai semua itu (ia sekarang dah masuk fasa suntingan) baru saya boleh melepaskan komputer buat beberapa hari di kedai. Namun muncul keadaan tertentu menyebabkan saya terasa wajib melepaskan beberapa cerita sebelum suatu tempoh waktu.
Oleh itu sejumlah gambar telah diproses terlebih dahulu petang tadi menggunakan komputer lain sebelum dimasukkan ke dalam komputer riba bermasalah. Gambar-gambar tersebut pun dimuatnaik ke dalam Internet untuk menerbitkan artikel-artikel baru di blogspots saya termasuk ini tentang Terengganu.
Kali terakhir saya dan keluarga pergi ke Terengganu adalah 2 tahun lalu untuk menghadiri majlis haul ulamak besar berketurunan Nabi Muhammad SAW iaitu Tokku Paloh. Lihat artikel lama Beruzlah ke Pantai Timur - Hol almarhum Tokku Paloh dan Syahadah Tokku. Kali ini kami pergi atas sebab yang sama iaitu majlis haul edisi terbaru tahun 2018. Bertolak dari rumah di Sungai Buaya, Rawang lewat petang Khamis 16 Ogos kami memilih untuk singgah dahulu di Kuala Berang. Ada panggilan kebatinan perlu disahut di sekitar itu sebelum ke makam Tokku Paloh di Kuala Terengganu.
Kami bermalam di masjid Kampung Buluh. Ini adalah di persekitaran kawasan di mana Batu Bersurat Terengganu yang sangat terkenal itu ditemukan. Kelihatan dalam gambar keadaan masjid waktu Subuh. Turut bersama kami adalah seorang kawan yang menumpang kereta untuk ke majlis haul. Tidak lama kemudian muncul seorang lagi memandu sendirian dari Kuala Lumpur.
Apabila matahari sudah naik dan kami semua sudah bersiap saya pun mengajak untuk bersama menyahut panggilan kebatinan yang dimaksudkan. Ia adalah untuk menziarahi makam beberapa orang tokoh pendakwah yang memiliki darah Syarif Muhammad al-Baghdadi, orang yang dikatakan menulis Batu Bersurat Terengganu lebih 700 tahun lalu. Kawan dari Kuala Lumpur yang memandu dari sana adalah dari keturunan ini. Dia masih selalu balik kampung di bahagian tertentu Kuala Terengganu.
Ketika bersarapan sebelum memulakan ziarah tiba-tiba dia tergerak untuk bertanya tentang makam seorang moyang daripada jalur belah perempuan bernama Tun Indera, seorang bangsawan yang datang dari Johor sekitar awal abad ke-18 Masihi. Pemilik kedai memberikan tunjuk arah. Secara spontan saya yang tidak pernah sampai makam tersebut tergerak untuk membawa semua untuk mencarinya dengan satu kereta. Lihat artikel Makam (Tomb of) Tun Indera di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)
Adapun makam tersebut terletak di tepian jalan menuju ke air terjun Sekayu. Memandangkan tinggal 7 km lagi ke situ saya pun mengajak singgah sebentar.
Entah sudah berapa banyak kali saya ke Terengganu baru kali ini singgah di air terjun tersebut. Panggilan kebatinan menyatakan pergi masuk ke dalam sampai ke air terjun walau setakat untuk mencecahkan kaki. Terasa ia memiliki kaitan tersendiri dengan Batu Bersurat Terengganu.
Selepas itu baru kembali kepada ziarah makam-makam sekitar Kuala Berang seperti yang dirancang.
Alhamdulillah dimudahkan untuk kami terus mendapatkan bot untuk ke satu makam yang agak sukar dicapai di satu bahagian hulu Sungai Terengganu.
Selepas itu bagi peluang untuk anak-anak mandi sungai. Sebetulnya ayahnya pun tak tahan dok mandi sekali weh... :]. Lihat artikel Brief visit to a jungle settlement in Jenagor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Selesai itu baru menuju ke Kuala Terengganu. Dalam perjalanan ziarah ke makam Tok Pulau Manis, wali besar Terengganu abad ke-17 dan awal abad ke-18 yang merupakan seorang keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi. Rujuk artikel lama Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17....
Lewat malam baru menyertai komponen pertama majlis haul Tokku Paloh tahun 2018 iaitu ceramah di masjid Tokku Tuan Besar, ayahanda Tokku Paloh di Chabang Tiga, KT.
Selepas itu isteri meminta membawa ke suatu surau bersejarah di Pulau Duyong. Dikatakan di surau ini pernah terdapat catatan menyebut asal usul Syarif Muhammad al-Baghdadi di Timur Tengah lalu membawa diri atas sebab tertentu ke Terengganu. Sayangnya surau sedang berkunci. Lihat Surau Puteh, Kuala Terengganu.
Tentang Tokku Paloh dan Tokku Tuan Besar boleh rujuk artikel lama Keluarga besar Tokku Paloh, wali agung Terengganu abad ke 19 Masihi....
Pagi berikutnya hari Sabtu 18 Ogos saya membawa keluarga menziarahi makam ulamak dari Yaman yang dikenali sebagai Tok Pelam. Kami telah bermalam di satu hotel di Ladang, dalam bandar raya KT. Hotel itu terletak di seberang tanah perkuburan Syeikh Ibrahim lalu saya terlebih dahulu singgah ke beberapa makam situ. Lihat artikel-artikel berikut :-
Saya turut membawa keluarga singgah di surau dekat makam Tok Pelam. Lihat Surau (Praying hall of) Tok Pelam. Selepas itu baru bergerak untuk menyertai komponen seterusnya majlis haul Tokku Paloh.
Kami ziarah ke makam ulamak besar tersebut tetapi sengaja datang lewat supaya tidak bertembung dengan ramai orang. Ada komponen ziarah makam dihadiri oleh ribuan manusia bermula waktu pagi tetapi mereka telah bergerak ke Masjid Tokku Paloh yang terletak berdekatan. Yang tinggal cuma satu kumpulan yang nampaknya turut sampai lewat.
Oh, satu perkara menarik tentang lawatan kali ini. Makam Tokku Paloh telah bertukar rupa menjadi lebih cantik. Dahulu bangunannya batu dengan sejumlah tiang besi. Kini ia telah digantikan dengan bangunan kayu berukir penuh seni. Lihat Rupa baru makam Tokku Paloh (New look of the tomb of Tokku Paloh).
Kami singgah di masjid Tokku Paloh untuk menyertai komponen ceramah tetapi sekejap. Selepas itu bergegas ke suatu tempat menghala ke Marang untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang kawan. Tak sangka ada satu perkara menarik dalam masjid kampung sana yang agak terpencil kedudukannya. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Jerung Surau, Marang.
Selepas itu isteri mengajak ke suatu tempat peranginan yang katanya terdiri daripada beberapa buah rumah tradisional termasuk istana lama di Tanjung Sabtu. Tengok-tengok tempat itu sudah lama terbiar macam jadi tempat berhantu. Tanjung Sabtu - tempat berhantu. Nampak? :]
Petang sekitar jam 5.45 baru kembali ke Masjid Tokku Paloh untuk mengikuti lagi majlis haul.
Cadangnya mahu duduk sampai majlis tamat lewat malam.
Tengok-tengok dapat isyarat dalam hati mengatakan cukuplah sudah bersama majlis walau tidak lama. Boleh dipercepatkan rancangan seterusnya iaitu bergerak ke Gua Musang melalui Tasik Kenyir.
Kalau tidak perjalanan mahu dibuat pagi Ahad supaya dapat menikmati suasana siang tasik. Dah dapat isyarat jalan aje le walau melalui tasik ketika gelap.
Tidurlah di Gua Musang malam itu. Pagi Ahad berjalan-jalan melihat persekitaran sebelum kembali ke rumah...
Melihat gambar ini teringat bagaimana saya pertama kali mendapat dorongan untuk menziarahi makam Tok Kenali di Kubang Kerian, Kota Bahru, Kelantan sekitar 15 tahun lalu. Dorongan ini muncul akibat beberapa hal tak disangka. Di sebuah surau dekat stesyen kereta api lama Gua Musang tiba-tiba ada orang menyebut nama Tok Kenali membuatkan saya pasti harus menziarahi makam setelah beberapa hari berjalan tanpa arah tujuan. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel lama Sedikit cerita berkaitan Tok Kenali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan