Masuk tengah malam ini, malam Jumaat kita akan menyambut ulang tahun hari kemerdekaan Malaysia yang ke-61. Sebelum itu biar dilepaskan barang satu dua cerita.
Sejak dua minggu lalu beberapa orang kawan ada mengingatkan tentang satu majlis ilmu yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pagi Selasa 28 Ogos.
Sampai masanya saya dan isteri pun bergegas ke lokasi iaitu Muzium Negara.
Majlis diadakan atas nama satu siri perkongsian ilmu yang dipanggil Bicara Muzium. Tajuk khusus adalah Mengupas Khazanah Melayu di Cape Town iaitu di ibu negara Afrika Selatan.
Disebabkan kesesakan jalanraya luar biasa melanda hampir seluruh Kuala Lumpur dan kawasan sekeliling hari itu kami sampai lewat iaitu pada jam 11.
Ketika kami masuk ke dewan pembentang kedua, Haji Moegamat Gielmie Hartley sedang membawa tajuk "Malay Cape Diaspora" - Diaspora orang Melayu Cape Town. Bercakap dalam bahasa Inggeris beliau adalah pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Warisan Masyarakat Melayu Cape. Secara rata apa yang diceritakan adalah bagaimana orang Melayu boleh membentuk satu komuniti besar di Cape Town. Mereka termasuk dia sendiri berasal daripada keturunan orang Melayu Asia Tenggara yang dibuang oleh penjajah Belanda akibat menentang kehadiran mereka sejak lebih 300 tahun lalu.
Pembentang ketiga dan terakhir. Cik Sakiinah Mahamad Hakimi pula adalah seorang penyelidik bebas dari Malaysia yang datang bermastautin di Cape Town untuk menyiasat kehidupan orang Melayu sana. Beliau membawa tajuk "Warisan Budaya Orang 'Cape Malay' di Cape Town".
Beliau menunjukkan beberapa dapatan, antaranya adalah tentang orang-orang Melayu yang pertama kali membawa Islam lalu menyebarkannya sambil membentuk kominiti awal Melayu di Cape Town dan Afrika Selatan.
Sakiinah banyak menghabiskan masa dengan orang-orang tua dan berumur lalu mendapati masih terdapat banyak manuskrip Melayu di sana bertulisan Jawi tetapi dalam bahasa tempatan iaitu Afrikaan. Banyak perkara kebudayaan termasuk sambutan maulud dan perayaan diceritakan berserta jenis-jenis makanan kegemaran.
Masuk sesi soal jawab baru saya sedar pembentang pertama iaitu Profesor Dato' Seri Dr Md Salleh Yaapar telah bercakap panjang lebar tentang tokoh pendakwah lama paling dikenali dalam sejarah Melayu Cape Town iaitu Sheikh Yusuf Makassar. Profesor Kesusasteraan dan Ombudsman Universiti Sains Malaysia ini membawa taju "Warisan Shaykh Yusuf Al-Makasari di Selatan Afrika". Banyak perkara menarik telah dikongsikan termasuk oleh hadirin pakar ketika sesi soal jawab. Menarik apabila dirungkai bagaimana orang Melayu yang asalnya adalah golongan tahan dan buangan akibat perang dan permainan politik penjajah dapat melepasi zaman gelap penjajahan
Ini diikuti zaman Apartheid abad ke-20 Masihi yang mana mereka yang bukan berkulit putih diasingkan daripada arus perdana oleh kerajaan yang berat sebelah dan sangat perkauman. Namun orang Melayu tetap dipandang tinggi kerana diketahui pembersih, jujur dan boleh dipercayai akibat berpegang erat pada agama Islam. Cuma arus kemodenan sering mengancam untuk menyusutkan nilai-nilai tradisi menjadikan golongan moden boleh lupa terhadap warisan keturunan Melayu yang panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan