Sabtu, Mac 11, 2017

Wacana Manuskrip Melayu - Warisan Falak Alam Melayu dan Kosmologi Moden

Masuk pada aktiviti yang lebih baru... satu majlis ilmu yang dihadiri 2 hari lalu.


Pagi Khamis 9 Mac 2017 saya bergegas ke tingkat 1 bangunan utama Perpustakaan Negara untuk majlis yang dipanggil "Wacana Manuskrip Melayu - Warisan Falak Alam Melayu dan Kosmologi Moden".


Atur cara menunjukkan ia bermula jam 9,30. Tetapi pembentangan ilmu sendiri bermula jam 10, Seperti kebiasaan pada mana-mana majlis setengah jam sebelum itu adalah untuk kedatangan tetamu dan VIP, ucapan pengenalan, perasmian dan sebagainya.



Saya pula sampai sekitar jam 10,30, dah terlewat setengah jam.


Terus menuju ke hadapan untuk mengambil gambar juga untuk melihat jika ada tempat duduk kosong di belah sana...


Apabila menghadapi kerusi rata-rata telah dipenuhi orang baru saya mengambil tempat jauh di belakang. Dari sana saya mengambil gambar-gambar slaid secara zoom-in. Maka itu maaflah kalau ia kurang jelas.


Walaupun sampai setengah jam lewat saya dapat mengikuti dengan baik semua yang diperkatakan. Saya juga dapar menebak apa yang terlepas dalam tempoh setengah jam lewat kerana mendapati bahagian awal perkongsian ilmu ini adalah lanjutan daripada apa yang pernah dikongsikan oleh pembentang pada satu majlis di perpustakaan ini juga penghujung tahun lepas. Lihat artikel Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu - Dari hati budi Melayu ke kepakaran sains dan matematik.


Saya dapati pembentang iaitu Profesor Madya Dr Mat Rofa memang mengulangi beberapa perkara daripada pembentangan yang pernah dibuat beliau 4 bulan lalu, Cuma banyak ditambah perkembangan baru. Misalnya dalam pembentangan lama itu beliau menceritakan tentang sumbangan ahli falak Melayu dari Minangkabau apabila membawa tajuk "Syeikh Ahmad al-Khatib al-Minangkabawi : Bintang Melayu di Langit Hijjaz". Kali ini beliau membawa sekali buku tebal biografi tentang ulamak tersebut yang ditulis beliau. Katanya baru siap dicetak dalam tempoh seminggu dua lepas!


Maka disentuhlah tentang manuskrip-manuskrip Melayu dan ulamak-ulamak kita yang ada menceritakan tentang ilmu falak.


Disebut tentang ilmu kiraan matematik yang digunakan dalam ilmu falak lalu pernah diajar di merata sekolah-sekolah pondok di alam Melayu Nusantara suatu masa dahulu.


Disebut kenapa ilmu falak sangat penting dalam agama Islam. Kerana menggunakan ilmu falaklah kita boleh menentukan bilakah masuknya bulan puasa Ramadhan juga bulan raya Syawal. Dengan membuat kira-kira tepat untuk mendapatkan kedudukan bulan pada suatu masa kita tidak perlu lagi bergantung seratus peratus pada ruqyah iaitu melihat kemunculan bulan dengan mata kepala sendiri.


Ditunjukkan juga sistem kira-kira yang dikaitkan dengan huruf-huruf Arab.


Nama almarhum Sheikh Tahir Jalaluddin diangkat sebagai seorang ahli falak terkemuka Semenanjung. Berasal dari Pulau Pinang, ayah kepada mantan yang dipertua negeri Tun Hamdan Sheikh Tahir ini merupakan salah seorang anak murid Sheikh Ahmad Minangkabau,


Dengan ilmu falak juga kita boleh menentukan bilakah berlaku gerhana bulan juga matahari. Sistem kira-kira yang sama boleh digunakan juga untuk melihat tarikh dan masa tepat berlakunya peristiwa-perisiwa tersebut pada masa silam lalu boleh dipadankan dengan lembaran sejarah,



Kira-kira falak boleh membaca bilakah berlaku pasang surut air laut berdasarkan fakta saintifik bahawa air di permukaan bumi terkesan dengan tarikan graviti bulan. Lalu kedudukan bulan pada suatu waktu menentukan tahap air naik mahupun turun...


Secara rata bahagian awal pembentangan mengembangkan apa yang pernah Mat Rofa kongsikan pada majlis terdahulu. Ketika itu beliau diberi masa sekitar 30-40 minit untuk bercakap. Kali ini ada masa 2 jam untuk mengembangkan perkara lalu selepas menyebut tentang warisan ilmu falak di Alam Melayu beliau pun mula beralih pada ilmu kosmologi moden.


Sesungguhnya ilmu kosmologi moden itu sendiri tercipta akibat adanya ilmu falak. Ditambah ilmu fizik yang didasari pengetahuan matematik tinggi berserta pencerapan menggunakan alatan moden seperti teleskop yang dapat melihat bintang-bintang jauh muncullah ilmu kosmologi moden seperti disebut pengkaji Barat terkenal Stephen Hawking.


Hal kejadian alam menurut sains pun dipadankan dengan apa yang disebut di dalam Al-Quran. Kelebihan Mat Rofa ialah dia seorang pakar matematik Melayu yang fasih membaca dan bertutur dalam bahasa Arab lalu dapat menelaah makna berdasarkan ilmu nahu dan saraf selain mantap ilmu mantik ataupun logik.


Sistem gelombang elektromagnetik yang mengelilingi bumi, bagaimana ia mempengaruhi kehidupan di muka bumi juga pengaruhnya terhadap bumi itu sendiri kemudian diperkatakan...


Disebut tentang jaringan sarelit yang jangkauannya meliputi seluruh bumi malah boleh melihat ke dalam bumi. Mat Rofa secara berseloroh tapi sebenarnya serius memberitahu bahawa kawan-kawannya para saintis dan pengamal ilmu falak semuanya ketawa apabila mendengar pesawat MH370 penerbangan Malaysia yang hilang itu tidak dapat ditemui sehingga sekarang. Katanya mustahil tiada siapa yang tahu. Kita yang bukan jenis angguk-angguk terima bulat-bulat segala yang diwar-warkan media sudah sedia faham apa yang tersurat dan tersirat.

Oh. Baru teringat. Beliau membacakan satu Al-Quran yang ditafsirkan sebagai mengajak orang Islam supaya meneroka ruang langit. Tapi yang sedihnya orang kafir pula menyahut cabaran dengan segala macam penjelajahan ke angkasa lepas termasuk melancarkan satelit. Kita setakat menjadi penumpang pernah menghantar angkasawan naik roket milik orang...


Mat Rofa turut menyentuh tentang keadaan bumi yang semakin tidak stabil sekarang...


Perubahan cuaca ekstrem disebabkan pencemaran dan sebagainya ditunjukkan.


Hampir penghujung pembentangan Mat Rofa menyentuh tentang kiamat dan tanda-tandanya lalu memadankan ia dengan keadaan bintang yang meletup setelah tamat hayat. Gambar ini menunjukkan hasil cerapan saintis terhadap sebuah bintang yang meletop lalu menghamburkan jisim sehingga kelihatan seperti bunga ros. Menurut Mat Rofa hal bintang mati kelihatan seperti bunga ros ini ada disebut di dalam Al-Quran. Cukuplah perkongsian daripada saya tentang pembentangan.


Jumaat, Mac 10, 2017

Taman dinosaur Muar - Tarikan baru percuma bandar diraja Johor

Melengkapkan perkongsian tentang aktiviti hujung minggu lalu. Bersambung rentak penceritaan daripada artikel Forum Kosmologi Alam Melayu di Galeri Petronas.


Forum selesai dengan diikuti makan tengah hari di Galeri Petronas. Selepas jam 2 saya meninggalkan KLCC untuk mengambil isteri dan anak-anak lalu kami bertolak untuk balik kampung ke Muar, bandar diraja bagi negeri Johor. Sampai di Alor Gajah saya membelok masuk jalan pendalaman menuju ke Durian Tunggal. Terlihat sungai ini terasa ingin mengambil gambar kemudian melawat sebuah makam berdekatan. Lihat artikel Melaka river near Melaka Pindah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Makam Maharajalela, Melaka Pindah waktu siang (Tomb of Maharajalela, Melaka Pindah at daytime) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Esoknya pagi Ahad 5 Mac 2017 kami keluar berjalan bersama ibu bapa saya melihat beberapa tempat.


Bapa memberitahu tentang kewujudan satu taman dinosaur tidak jauh dari rumah. Kalau tak salah ia baru sekitar 3 bulan dibuka.


Setelah puas berpusing merata kami pun singgah.


Rupa-rupanya ibu bapa saya pun belum pernah singgah sebelum itu. Mereka setakat melihat dari luar.


Taman ini terletak di tepian Jalan Pintasan Muar. Ia adalah jalan separa ring road yang membolehkan kenderaan dari arah utara menuju ke selatan, begitu juga sebaliknya tanpa perlu meredah kesesakan jalan raya di bandar Muar dan sekitar...


Dari Jambatan Kedua Muar menuju ke selatan kita cuma perlu melepasi satu simpang dengan lampu isyarat kemudian menoleh ke kiri.


Tidak jauh selepas lampu isyarat terus boleh nampak pemandangan yang agak gempak...





Terdapat banyak patung dinosaur pelbagai jenis untuk tatapan orang ramai.


Menariknya patung-patung ini boleh bergerak-gerak dan mengeluarkan bunyi.





Lebih menarik lagi kita boleh masuk dan melihat semua yang ada secara percuma!






Taman ini ada menjual barangan merchandise seperti patung kecil, alat-alat permainan, baju dan topi bertemakan dinosaur.


Ia asalnya adalah sebuah nursery menjual pelbagai jenis pokok bunga dan buah. Ia masih menjual pokok-pokok termasuk bonsai...


Kebetulan pemiliknya minat dengan dinosaur.  Itu yang sanggup mengeluarkan belanja sendiri membeli patung-patung ini.


Selain dapat memuaskan diri kerana memiliki koleksi dinosaur ia juga menjadi tarikan untuk orang ramai datang ke nursery.


Jadilah ia juga satu tarikan untuk pengunjung datang ke Muar, bandar diraja Johor. Mana lagi nak cari satu taman penuh dengan patung dinosoar yang boleh bergerak mengeluarkan bunyi? Siapa pula nak bagi tengok free macam kat sini?


Forum Kosmologi Alam Melayu di Galeri Petronas

Salam pagi Jumaat. Salam sejahtera buat semua pembaca dan ahli keluarga juga para sahabat. Semoga diberkati dan mendapat syafaat dunia dan akhirat. Pada hari baik ini biar dipersembahkan satu cerita daripada aktiviti Sabtu lalu...


Hujung bulan lepas saya diberitahu melalui Facebook tentang satu acara menarik. Saya dimaklumkan ia akan membincangkan mengenai isi satu dokumentari bersiri 13 episod bertajuk "Kosmologi Alam Melayu. Dokumentari ini sudah siap sepenuhnya tetapi belum ditayangkan di mana-mana, Yang ada cuma video pendek montaj sebagai teaser atau pengenalan ringkas untuk menarik perhatian yang diletakkan di Youtube lalu dikongsi orang ramai melalui FB dan sebagainya sejak 2-3 bulan lalu...


Turut dinyatakan adalah senarai mereka yang terlibat dalam forum, Saya kongsikan seperti diwar-warkan dalam event page acara pada FB Galeri Petronas iaitu lokasi acara :-


Moderator:
Syed Munawar Sayed Mohd. Mustar

Panelis

- Prof Shaharir Mohd Zain
- Prof Shukri Yeoh Abdullah
- Roslan Kassim


Walaupun tidak dinyatakan apakah jawatan saya tahu siapakah mereka. Antara 4 nama itu Prof Shukri sahaja saya tidak pernah bersemuka. Syed Munawar saya dah biasa kerana terlibat dalam dunia penerbitan buku. Beliau juga telah dua kali menemuramah saya di kaca televisten. Lihat artikel Mengenang ulasan siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam program Resensi, Selamat Pagi Malaysia di RTM1 penghujung 2007... diikuti Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1

Prof. Shaharir kadangkala terserempak dalam majlis-majlis ilmu terutama di UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia. Tentang majlis-majlis boleh lihat bahagian bawah kanan blogspot ini, seksyen yang diberi nama "Siri Refleksi Sejarah". Nama Roslan pula mula-mula saya tak cam. Apabila ada menyebut beliau sebagai Haji Roslan, pengarah dokumentari Kosmologi baru teringat perkenalan semasa mengadiri satu majlis ilmu di Muzium Negara hampir setahun setengah lalu. Lihat Bicara Dunia Melayu di Muzium Negara : Tradisi pelayaran Melayu.  Maka sampai waktunya pagi Sabtu 4 Mac saya pun bergegas ke lokasi acara dalam bangunan KLCC.



Ternyata ramai juga yang terpanggil untuk bersama. Menariknya saya dapat melihat majoriti yang hadir adalah anak muda berumur 20an, ada sedikit yang awal 30an. Nampaknya mereka tertarik kerana majlis mahu bercakap tentang dokumentari "Kosmologi Alam Melayu". Video pendek atau montaj di Youtube yang kemudian dikongsikan merata di FB harus menjadi sebab ramai tertarik untuk mengambil tahu,



Majlis dimulakan dengan pengenalan oleh seorang kakitangan Galeri Petronas. Kedengaran beliau cuba menarik perhatian hadirin kepada pameran yang sedang berlangsung di galeri. Pameran yang diberi nama Manah berlangsung 14 Februari hingga 14 April. Ia adalah berkenaan kehidupan masyarakat orang asli...


Selepas itu baru disebut tentang Kosmologi. Montaj video promosi dokumentari pun ditayangkan untuk tontonan semua. Ia adalah serupa dengan apa yang dimuatnaik ke Youtube.





Selesai tayangan majlis diserahkan kepada moderator iaitu Sayed Munawar.


Beliau menceritakan bagaimana boleh terlibat secara langsung dan tidak langsung memberikan buah fikiran sehingga terbitnya Kosmologi.


Saya sendiri mula mendapat tahu tentang penerbitan ini apabila melihat video montaj awal dokumentari ditayangkan di ruang legar Dewan Bahasa Pustaka 2 tahun lalu. Ketika itu saya sendiri baru terlibat dengan satu projek dokumentari yang mahu menangani subjek serupa iaitu kehebatan ketamadunan Melayu tetapi daripada sudut-sudut lain. Lihat artikel lama Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 di DBP.


Ketika itu 28 Februari 2015 saya dimaklumkan bahawa dokumentari Kosmologi sudah hampir siap. Tetapi 8 bulan kemudian iaitu pada 29 Oktober saya mendapat tahu pula bahawa semua isi dokumentari harus disusun balik dan diperbaiki. Sesi-sesi penggambaran tambahan harus dibuat untuk memantapkan isi. Ketika itulah saya berkenalan dengan pengarah dokumentari iaitu Haji Roslan. Beliau baru sahaja mengambil-alih projek daripada pengarah terdahulu...


Kembali pada forum. Sayed Munawar telah memperkenalkan barisan panelis dan seorang daripadanya tiada dalam senarai yang diberikan sebelum ini. Beliau adalah  Prof. Emeritus Dato' Dr. Hood Salleh, seorang pakar antropologi. Nampaknya beliau yang muncul sebagai panelis pertama berkongsi fikiran menggantikan Shukri Yeoh yang tidak kelihatan hari itu. Inilah kali pertama saya mendengar perbicaraan beliau di mana-mana. Kemudian baru dapat tahu ahli akademik yang sebaya dengan ibu bapa saya lalu sudah lama pencen ini diiktiraf sebagai pakar hal ehwal orang asli di Malaysia.


Prof Hood membuka bicara dengan menceritakan pengalaman beliau bermastautin 4 tahun di New Zealand sambil membuat kajian tentang orang Maori, orang yang dianggap penduduk asli di sana. Beliau malah diterima sebagai ahli kehormat keluarga mereka lalu dihadiahkan sebatang tombak tradisi. Kelihatan pada saya Hood secara halus mahu menghubungkan tema pameran di Galeri Petronas iaitu kehidupan orang asli dengan subjek forum iaitu "Kosmologi Alam Melayu".


Beliau mengulangi apa yang ramai ahli akademik  dalam bidang berkaitan sudah lama tahu iaitu orang Maori juga merupakan satu cabang daripada bangsa Melayu... atau lebih tepat menurut terma akademik orang Malayo-Polynesia. Hal ini boleh dirujuk dalam beberapa artikel lama di blogspot ini. Antaranya adalah Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Sudah terang lagi bersuluh! yang ditulis hampir 3 tahun lalu.


Setelah itu forum pun dibawa ke arah perbincangan Kosmologi Alam Melayu. Ini dibuat dengan menyenaraikan perkara-perkara pokok yang menurut Hood boleh membentuk definisi subjek lalu menentukan hala tuju apa-apa perbincangan yang berkaitan. Klik dan besarkan gambar untuk melihat senarai...



Di sini tak perlulah dikongsikan semua yang telah dibincangkan ya. Cukuplah ditambah Hood telah memperincikan juga melebarkan sambil memberikan penerangan tentang setiap perkara.


Panelis kedua adalah Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, seorang pakar matematik. Masih berkhidmat di UKM, beliau cukup terkenal dalam bidang ini di Malaysia malah dianggap sebagai antara sedikit anak Melayu paling ke hadapan gigih berjuang untuk lebih mencelikkan bangsa kita dengan ilmu matematik, sains, teknologi dan sebagainya.


Pada kala hampir semua ahli akademik yang suka bercerita tentang Melayu adalah mereka yang memiliki latarbelakang ilmu sains sosial seperti sejarah, sastera, sosiologi dan antropologi beliau adalah antara sedikit yang berkelulusan tinggi dalam bidang sains dan matematik. Bidang-bidang ini dianggap ramai lebih susah lalu memerlukan lebih kepandaian. Ini mungkin disebabkan sejak beberapa lama sistem sekolah kita memisahkan mereka yang bagus keputusan peperiksaan  SRP (kemudian dipanggil PMR) masuk aliran sains, yang kurang bagus masuk aliran sastera. Oleh itu Shaharir dapat memberikan perspektif yang berlainan tentang kajian ketamadunan Melayu berbanding ramai orang.


Tumpuan beliau lebih pada teknologi orang Melayu. Dalam konteks Kosmologi Alam Melayu beliau dirujuk untuk memberikan maklumat dan panduan yang menunjukkan betapa hebatnya tamadun orang Melayu dahulukala. Tetapi tidak ramai yang tahu hakikat ini kecuali mereka yang betul-betul mengkaji atau berusaha untuk mengambil tahu. Ini disebabkan usaha penjajah Barat seperti Inggeris/British sekian lama menutup sejarah kegemilangan Melayu yang sebenarnya.. agar kita merasa kerdil lalu terus bergantung pada sistem dan sudut pandang dunia (world view) mereka.

Sekarang sudah ramai anak Melayu menjadi semakin celik disebabkan usaha orang-orang seperti Shaharir. Diceritakan betapa orang Melayu sebenarnya sudah lama hebat dalam ilmu matematik, astronomi atau falak, seni bina, perkapalan dan pelayaran dan berbagau lagi. Paling menarik saya kira adalah apabila Shaharis dengan yakin menegaskan orang Melayulah yang pertama sekali memperkenalkan konsep nombor kosong atau sifar kepada dunia. Kita telah mengenali konsep ini sejak awal abad ke-7 Masihi. Sedangkan Barat yang sudah lama terbiasa dengan nombor atau aksara Latin (yang menyatakan 1 sebabai I, 2 sebagai II, 3 sebagai III, 5 sebagai V, 10 sebagai X) itu baru mengenalinya sekitar abad ke-17 Masihi iaitu 1,000 tahun kemudian!

Konsep ini sangat penting kerana amat memudahkan kira-kira lalu menerbitkan konsep-konsep lain seperti nombor perpuluhan. Selama ini mereka yang mengkaji biasa mendengar bahawa konsep nombor kosong atau sifar ini diperkenalkan oleh orang India lalu diambil oleh orang Arab. Daripada orang Arab baru konsep ini sampai kepada dunia Barat. Melalui perbincangan dengan pakar akademik lain baru saya dapat tahu India yang disebut dalam tulisan akademik Barat itu merujuk pada benua Hindi, Sedangkan pada zaman lampau sering terjadi Alam Melayu itu 'diborong' sekali sehingga masuk ke dalam rangkuman dan jangkauan geografi istilah Hindi.

Lupa pula saya hendak bertanya bagaimana boleh terjadi begitu kerana sebagai seorang pengkaji sejarah dan ketamadunan yang memiliki latar belakang akademik dalam bidang matematik saya sudah sedia faham tanpa diberikan penerangan. Nampaknya ini harus merujuk pada istilah Arab iaitu Hind (Hindi) dan Sind (lebih ke sebelah Cina). Memang Hind bagi orang Arab itu kadangkala merujuk pada Alam Melayu.


Selepas beberapa lama sampai giliran pengarah dokumentari iaitu Haji Roslan untuk bercerita tentang perkara. Beliau pun berkongsi pengalaman membuat penggambaran juga mencari bahan-bahan berkaitan di merata dunia. Shaharir sering dijadikan rujukan untuk membentuk konsep penceritaan dokumentari yang jitu lagi ilmiah dan berwibawa. Antara tempat-tempat paling penting dijejaki dalam membentuk naratif juga visual adalah London di United Kingdom dan Leiden di Belanda. 


Rasanya ramai sedia tahu beribu-ribu manuskrip orang Melayu masih tersimpan di sana dibawa oleh penjajah Inggeris atau British (UK) dan Belanda yang pernah bermaharajalela di Alam Melayu beratus. Sebagai tambahan Roslan turut menyatakan Aceh sebagai tempat penting mencari khazanah ilmu kita. Rasanya ramai juga akur bagaimana bumi yamg digelar Serambi Mekah itu pernah menjadi pusat keilmuan terpenting di Alam Melayu buat beberapa lama. Roslan secar khusus menyebut satu tempat bernama Tanoh Abe sebagai tempat simpanan banyak manuskrip lama yang masih ada. Alhamdulillah, saya pernah bersempatan melihat koleksi luas yang ada di sana. Lihat artikel lama Dayah / Pesantren / Sekolah pondok Tanoh Abee... dan perpustakaan lebih 300 kitab lama!.


Selesai perkongsian daripada ketiga-tiga panelis sesi soal jawab pun dibuka. Oh, Shaharir semasa perkongsiannya ada menyebut bahawa suatu masa dahulu cukup senang bagi orang Melayu menyerap kajian-kajian sains dan matematik terbaru daripada tamadun-tamadun besar lalu dibentuk dan dikembangkan lagi menurut acuan sendiri. Tetapi masuk zaman moden (merujuk pada abad ke-18 dan kemudian) kelihatan ada masalah untuk menyatukan/menggabungkan atau mengsintesis ilmu-ilmu baru sains (merujuk pada dunia Barat) dengan ilmu yang masih dipegang masyarakat kita. Beliau melihat ini sebagai masalah yang masih melanda hingga kini. Ia perlu diselesaikan kalau kita mahu bergerak ke hadapan. 

Dalam sesi soal jawab saya mengambil peluang untuk berkongsi pandangan tentang perkara. Pada saya masalah tersebut berlaku kerana ketidakselarian dalam memahami alam dan kejadian menurut agama Islam berbanding sains menurut Barat. Kita perlu menjawab beberapa perkara asas terlebih dahulu, Misalnya menurut sains manusia moden seperti kita iaitu jenis yang dipanggil Homo Sapiens dikatakan pertama kali muncul di muka bumi 209,000 tahun lalu. Bagaimana hendak diselarikan dengan kenyataan menurut Al-Quran bahawa manusia pertama wujud di muka bumi adalah Nabi Adam AS. Sedangkan menurut kiraan ulamak paling awal Adam turun ke muka bumi pun adalah 10,000 tahun dahulu. Bagaimana juga hendak diselarikan dengan kajian saintifik DNA yang menyebut orang Melayu sudah wujud di Asia Tenggara seawal 60,000 tahun dahulu? 

Untuk makluman yang membuat kajian DNA lalu mencapai keputusan tersebut itu bukan orang lain, tetapi seorang ahli akademik Melayu. Lihat artikel lama Forum "Melayu Bukan Pendatang" di UKM. Pada saya persoalan-persoalan ini harus dapat dijawab dengan jelas dan tuntas terlebih dahulu, baru boleh berlaku sintesis ilmu yang disebut Shaharir itu. Saya sudah ada jawaban tersendiri seperti pernah dikongsikan dalam artikel Memperhalusi kira-kira masa sebenar berdasarkan beberapa maklumat baru hampir setahun lalu. Cuma kajian dan kira-kira saya ketika itu masih agak mentah. Ia telah diperhalusi lagi dan lagi. 


Kalau tiada aral melintang insyaallah dalam sebulan dua lagi satu buku untuk menangani perkara akan diterbitkan buat tatapan umum. Harapan saya semoga ia dapat menimbulkan minat untuk ahli akademik berkerjasama dengan golongam ulamak membuat kajian susulan. Selesai sesi soal jawab episod pertama "Kosmologi Alam Melayu" pun ditayangkan kepada hadirin. Sekadar peringatan untuk diri sendiri. Ini adalah artikel ke-1,555 di blogspot ini.