Salam pagi Jumaat. Salam sejahtera buat semua pembaca dan ahli keluarga juga para sahabat. Semoga diberkati dan mendapat syafaat dunia dan akhirat. Pada hari baik ini biar dipersembahkan satu cerita daripada aktiviti Sabtu lalu...
Hujung bulan lepas saya diberitahu melalui Facebook tentang satu acara menarik. Saya dimaklumkan ia akan membincangkan mengenai isi satu dokumentari bersiri 13 episod bertajuk "Kosmologi Alam Melayu. Dokumentari ini sudah siap sepenuhnya tetapi belum ditayangkan di mana-mana, Yang ada cuma video pendek montaj sebagai teaser atau pengenalan ringkas untuk menarik perhatian yang diletakkan di Youtube lalu dikongsi orang ramai melalui FB dan sebagainya sejak 2-3 bulan lalu...
Turut dinyatakan adalah senarai mereka yang terlibat dalam forum, Saya kongsikan seperti diwar-warkan dalam event page acara pada FB Galeri Petronas iaitu lokasi acara :-
Moderator:
Syed Munawar Sayed Mohd. Mustar
Panelis
- Prof Shaharir Mohd Zain
- Prof Shukri Yeoh Abdullah
- Roslan Kassim
Walaupun tidak dinyatakan apakah jawatan saya tahu siapakah mereka. Antara 4 nama itu Prof Shukri sahaja saya tidak pernah bersemuka. Syed Munawar saya dah biasa kerana terlibat dalam dunia penerbitan buku. Beliau juga telah dua kali menemuramah saya di kaca televisten. Lihat artikel Mengenang ulasan siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam program Resensi, Selamat Pagi Malaysia di RTM1 penghujung 2007... diikuti Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1.
Prof. Shaharir kadangkala terserempak dalam majlis-majlis ilmu terutama di UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia. Tentang majlis-majlis boleh lihat bahagian bawah kanan blogspot ini, seksyen yang diberi nama "Siri Refleksi Sejarah". Nama Roslan pula mula-mula saya tak cam. Apabila ada menyebut beliau sebagai Haji Roslan, pengarah dokumentari Kosmologi baru teringat perkenalan semasa mengadiri satu majlis ilmu di Muzium Negara hampir setahun setengah lalu. Lihat Bicara Dunia Melayu di Muzium Negara : Tradisi pelayaran Melayu. Maka sampai waktunya pagi Sabtu 4 Mac saya pun bergegas ke lokasi acara dalam bangunan KLCC.
Ternyata ramai juga yang terpanggil untuk bersama. Menariknya saya dapat melihat majoriti yang hadir adalah anak muda berumur 20an, ada sedikit yang awal 30an. Nampaknya mereka tertarik kerana majlis mahu bercakap tentang dokumentari "Kosmologi Alam Melayu". Video pendek atau montaj di Youtube yang kemudian dikongsikan merata di FB harus menjadi sebab ramai tertarik untuk mengambil tahu,
Majlis dimulakan dengan pengenalan oleh seorang kakitangan Galeri Petronas. Kedengaran beliau cuba menarik perhatian hadirin kepada pameran yang sedang berlangsung di galeri. Pameran yang diberi nama Manah berlangsung 14 Februari hingga 14 April. Ia adalah berkenaan kehidupan masyarakat orang asli...
Selepas itu baru disebut tentang Kosmologi. Montaj video promosi dokumentari pun ditayangkan untuk tontonan semua. Ia adalah serupa dengan apa yang dimuatnaik ke Youtube.
Selesai tayangan majlis diserahkan kepada moderator iaitu Sayed Munawar.
Beliau menceritakan bagaimana boleh terlibat secara langsung dan tidak langsung memberikan buah fikiran sehingga terbitnya Kosmologi.
Saya sendiri mula mendapat tahu tentang penerbitan ini apabila melihat video montaj awal dokumentari ditayangkan di ruang legar Dewan Bahasa Pustaka 2 tahun lalu. Ketika itu saya sendiri baru terlibat dengan satu projek dokumentari yang mahu menangani subjek serupa iaitu kehebatan ketamadunan Melayu tetapi daripada sudut-sudut lain. Lihat artikel lama Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 di DBP.
Ketika itu 28 Februari 2015 saya dimaklumkan bahawa dokumentari Kosmologi sudah hampir siap. Tetapi 8 bulan kemudian iaitu pada 29 Oktober saya mendapat tahu pula bahawa semua isi dokumentari harus disusun balik dan diperbaiki. Sesi-sesi penggambaran tambahan harus dibuat untuk memantapkan isi. Ketika itulah saya berkenalan dengan pengarah dokumentari iaitu Haji Roslan. Beliau baru sahaja mengambil-alih projek daripada pengarah terdahulu...
Kembali pada forum. Sayed Munawar telah memperkenalkan barisan panelis dan seorang daripadanya tiada dalam senarai yang diberikan sebelum ini. Beliau adalah Prof. Emeritus Dato' Dr. Hood Salleh, seorang pakar antropologi. Nampaknya beliau yang muncul sebagai panelis pertama berkongsi fikiran menggantikan Shukri Yeoh yang tidak kelihatan hari itu. Inilah kali pertama saya mendengar perbicaraan beliau di mana-mana. Kemudian baru dapat tahu ahli akademik yang sebaya dengan ibu bapa saya lalu sudah lama pencen ini diiktiraf sebagai pakar hal ehwal orang asli di Malaysia.
Prof Hood membuka bicara dengan menceritakan pengalaman beliau bermastautin 4 tahun di New Zealand sambil membuat kajian tentang orang Maori, orang yang dianggap penduduk asli di sana. Beliau malah diterima sebagai ahli kehormat keluarga mereka lalu dihadiahkan sebatang tombak tradisi. Kelihatan pada saya Hood secara halus mahu menghubungkan tema pameran di Galeri Petronas iaitu kehidupan orang asli dengan subjek forum iaitu "Kosmologi Alam Melayu".
Beliau mengulangi apa yang ramai ahli akademik dalam bidang berkaitan sudah lama tahu iaitu orang Maori juga merupakan satu cabang daripada bangsa Melayu... atau lebih tepat menurut terma akademik orang Malayo-Polynesia. Hal ini boleh dirujuk dalam beberapa artikel lama di blogspot ini. Antaranya adalah Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Sudah terang lagi bersuluh! yang ditulis hampir 3 tahun lalu.
Setelah itu forum pun dibawa ke arah perbincangan Kosmologi Alam Melayu. Ini dibuat dengan menyenaraikan perkara-perkara pokok yang menurut Hood boleh membentuk definisi subjek lalu menentukan hala tuju apa-apa perbincangan yang berkaitan. Klik dan besarkan gambar untuk melihat senarai...
Di sini tak perlulah dikongsikan semua yang telah dibincangkan ya. Cukuplah ditambah Hood telah memperincikan juga melebarkan sambil memberikan penerangan tentang setiap perkara.
Panelis kedua adalah Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, seorang pakar matematik. Masih berkhidmat di UKM, beliau cukup terkenal dalam bidang ini di Malaysia malah dianggap sebagai antara sedikit anak Melayu paling ke hadapan gigih berjuang untuk lebih mencelikkan bangsa kita dengan ilmu matematik, sains, teknologi dan sebagainya.
Pada kala hampir semua ahli akademik yang suka bercerita tentang Melayu adalah mereka yang memiliki latarbelakang ilmu sains sosial seperti sejarah, sastera, sosiologi dan antropologi beliau adalah antara sedikit yang berkelulusan tinggi dalam bidang sains dan matematik. Bidang-bidang ini dianggap ramai lebih susah lalu memerlukan lebih kepandaian. Ini mungkin disebabkan sejak beberapa lama sistem sekolah kita memisahkan mereka yang bagus keputusan peperiksaan SRP (kemudian dipanggil PMR) masuk aliran sains, yang kurang bagus masuk aliran sastera. Oleh itu Shaharir dapat memberikan perspektif yang berlainan tentang kajian ketamadunan Melayu berbanding ramai orang.
Tumpuan beliau lebih pada teknologi orang Melayu. Dalam konteks Kosmologi Alam Melayu beliau dirujuk untuk memberikan maklumat dan panduan yang menunjukkan betapa hebatnya tamadun orang Melayu dahulukala. Tetapi tidak ramai yang tahu hakikat ini kecuali mereka yang betul-betul mengkaji atau berusaha untuk mengambil tahu. Ini disebabkan usaha penjajah Barat seperti Inggeris/British sekian lama menutup sejarah kegemilangan Melayu yang sebenarnya.. agar kita merasa kerdil lalu terus bergantung pada sistem dan sudut pandang dunia (world view) mereka.
Sekarang sudah ramai anak Melayu menjadi semakin celik disebabkan usaha orang-orang seperti Shaharir. Diceritakan betapa orang Melayu sebenarnya sudah lama hebat dalam ilmu matematik, astronomi atau falak, seni bina, perkapalan dan pelayaran dan berbagau lagi. Paling menarik saya kira adalah apabila Shaharis dengan yakin menegaskan orang Melayulah yang pertama sekali memperkenalkan konsep nombor kosong atau sifar kepada dunia. Kita telah mengenali konsep ini sejak awal abad ke-7 Masihi. Sedangkan Barat yang sudah lama terbiasa dengan nombor atau aksara Latin (yang menyatakan 1 sebabai I, 2 sebagai II, 3 sebagai III, 5 sebagai V, 10 sebagai X) itu baru mengenalinya sekitar abad ke-17 Masihi iaitu 1,000 tahun kemudian!
Konsep ini sangat penting kerana amat memudahkan kira-kira lalu menerbitkan konsep-konsep lain seperti nombor perpuluhan. Selama ini mereka yang mengkaji biasa mendengar bahawa konsep nombor kosong atau sifar ini diperkenalkan oleh orang India lalu diambil oleh orang Arab. Daripada orang Arab baru konsep ini sampai kepada dunia Barat. Melalui perbincangan dengan pakar akademik lain baru saya dapat tahu India yang disebut dalam tulisan akademik Barat itu merujuk pada benua Hindi, Sedangkan pada zaman lampau sering terjadi Alam Melayu itu 'diborong' sekali sehingga masuk ke dalam rangkuman dan jangkauan geografi istilah Hindi.
Lupa pula saya hendak bertanya bagaimana boleh terjadi begitu kerana sebagai seorang pengkaji sejarah dan ketamadunan yang memiliki latar belakang akademik dalam bidang matematik saya sudah sedia faham tanpa diberikan penerangan. Nampaknya ini harus merujuk pada istilah Arab iaitu Hind (Hindi) dan Sind (lebih ke sebelah Cina). Memang Hind bagi orang Arab itu kadangkala merujuk pada Alam Melayu.
Selepas beberapa lama sampai giliran pengarah dokumentari iaitu Haji Roslan untuk bercerita tentang perkara. Beliau pun berkongsi pengalaman membuat penggambaran juga mencari bahan-bahan berkaitan di merata dunia. Shaharir sering dijadikan rujukan untuk membentuk konsep penceritaan dokumentari yang jitu lagi ilmiah dan berwibawa. Antara tempat-tempat paling penting dijejaki dalam membentuk naratif juga visual adalah London di United Kingdom dan Leiden di Belanda.
Rasanya ramai sedia tahu beribu-ribu manuskrip orang Melayu masih tersimpan di sana dibawa oleh penjajah Inggeris atau British (UK) dan Belanda yang pernah bermaharajalela di Alam Melayu beratus. Sebagai tambahan Roslan turut menyatakan Aceh sebagai tempat penting mencari khazanah ilmu kita. Rasanya ramai juga akur bagaimana bumi yamg digelar Serambi Mekah itu pernah menjadi pusat keilmuan terpenting di Alam Melayu buat beberapa lama. Roslan secar khusus menyebut satu tempat bernama Tanoh Abe sebagai tempat simpanan banyak manuskrip lama yang masih ada. Alhamdulillah, saya pernah bersempatan melihat koleksi luas yang ada di sana. Lihat artikel lama Dayah / Pesantren / Sekolah pondok Tanoh Abee... dan perpustakaan lebih 300 kitab lama!.
Selesai perkongsian daripada ketiga-tiga panelis sesi soal jawab pun dibuka. Oh, Shaharir semasa perkongsiannya ada menyebut bahawa suatu masa dahulu cukup senang bagi orang Melayu menyerap kajian-kajian sains dan matematik terbaru daripada tamadun-tamadun besar lalu dibentuk dan dikembangkan lagi menurut acuan sendiri. Tetapi masuk zaman moden (merujuk pada abad ke-18 dan kemudian) kelihatan ada masalah untuk menyatukan/menggabungkan atau mengsintesis ilmu-ilmu baru sains (merujuk pada dunia Barat) dengan ilmu yang masih dipegang masyarakat kita. Beliau melihat ini sebagai masalah yang masih melanda hingga kini. Ia perlu diselesaikan kalau kita mahu bergerak ke hadapan.
Dalam sesi soal jawab saya mengambil peluang untuk berkongsi pandangan tentang perkara. Pada saya masalah tersebut berlaku kerana ketidakselarian dalam memahami alam dan kejadian menurut agama Islam berbanding sains menurut Barat. Kita perlu menjawab beberapa perkara asas terlebih dahulu, Misalnya menurut sains manusia moden seperti kita iaitu jenis yang dipanggil Homo Sapiens dikatakan pertama kali muncul di muka bumi 209,000 tahun lalu. Bagaimana hendak diselarikan dengan kenyataan menurut Al-Quran bahawa manusia pertama wujud di muka bumi adalah Nabi Adam AS. Sedangkan menurut kiraan ulamak paling awal Adam turun ke muka bumi pun adalah 10,000 tahun dahulu. Bagaimana juga hendak diselarikan dengan kajian saintifik DNA yang menyebut orang Melayu sudah wujud di Asia Tenggara seawal 60,000 tahun dahulu?
Untuk makluman yang membuat kajian DNA lalu mencapai keputusan tersebut itu bukan orang lain, tetapi seorang ahli akademik Melayu. Lihat artikel lama Forum "Melayu Bukan Pendatang" di UKM. Pada saya persoalan-persoalan ini harus dapat dijawab dengan jelas dan tuntas terlebih dahulu, baru boleh berlaku sintesis ilmu yang disebut Shaharir itu. Saya sudah ada jawaban tersendiri seperti pernah dikongsikan dalam artikel Memperhalusi kira-kira masa sebenar berdasarkan beberapa maklumat baru hampir setahun lalu. Cuma kajian dan kira-kira saya ketika itu masih agak mentah. Ia telah diperhalusi lagi dan lagi.
Kalau tiada aral melintang insyaallah dalam sebulan dua lagi satu buku untuk menangani perkara akan diterbitkan buat tatapan umum. Harapan saya semoga ia dapat menimbulkan minat untuk ahli akademik berkerjasama dengan golongam ulamak membuat kajian susulan. Selesai sesi soal jawab episod pertama "Kosmologi Alam Melayu" pun ditayangkan kepada hadirin. Sekadar peringatan untuk diri sendiri. Ini adalah artikel ke-1,555 di blogspot ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan