Sabtu, Mac 11, 2017

Wacana Manuskrip Melayu - Warisan Falak Alam Melayu dan Kosmologi Moden

Masuk pada aktiviti yang lebih baru... satu majlis ilmu yang dihadiri 2 hari lalu.


Pagi Khamis 9 Mac 2017 saya bergegas ke tingkat 1 bangunan utama Perpustakaan Negara untuk majlis yang dipanggil "Wacana Manuskrip Melayu - Warisan Falak Alam Melayu dan Kosmologi Moden".


Atur cara menunjukkan ia bermula jam 9,30. Tetapi pembentangan ilmu sendiri bermula jam 10, Seperti kebiasaan pada mana-mana majlis setengah jam sebelum itu adalah untuk kedatangan tetamu dan VIP, ucapan pengenalan, perasmian dan sebagainya.



Saya pula sampai sekitar jam 10,30, dah terlewat setengah jam.


Terus menuju ke hadapan untuk mengambil gambar juga untuk melihat jika ada tempat duduk kosong di belah sana...


Apabila menghadapi kerusi rata-rata telah dipenuhi orang baru saya mengambil tempat jauh di belakang. Dari sana saya mengambil gambar-gambar slaid secara zoom-in. Maka itu maaflah kalau ia kurang jelas.


Walaupun sampai setengah jam lewat saya dapat mengikuti dengan baik semua yang diperkatakan. Saya juga dapar menebak apa yang terlepas dalam tempoh setengah jam lewat kerana mendapati bahagian awal perkongsian ilmu ini adalah lanjutan daripada apa yang pernah dikongsikan oleh pembentang pada satu majlis di perpustakaan ini juga penghujung tahun lepas. Lihat artikel Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu - Dari hati budi Melayu ke kepakaran sains dan matematik.


Saya dapati pembentang iaitu Profesor Madya Dr Mat Rofa memang mengulangi beberapa perkara daripada pembentangan yang pernah dibuat beliau 4 bulan lalu, Cuma banyak ditambah perkembangan baru. Misalnya dalam pembentangan lama itu beliau menceritakan tentang sumbangan ahli falak Melayu dari Minangkabau apabila membawa tajuk "Syeikh Ahmad al-Khatib al-Minangkabawi : Bintang Melayu di Langit Hijjaz". Kali ini beliau membawa sekali buku tebal biografi tentang ulamak tersebut yang ditulis beliau. Katanya baru siap dicetak dalam tempoh seminggu dua lepas!


Maka disentuhlah tentang manuskrip-manuskrip Melayu dan ulamak-ulamak kita yang ada menceritakan tentang ilmu falak.


Disebut tentang ilmu kiraan matematik yang digunakan dalam ilmu falak lalu pernah diajar di merata sekolah-sekolah pondok di alam Melayu Nusantara suatu masa dahulu.


Disebut kenapa ilmu falak sangat penting dalam agama Islam. Kerana menggunakan ilmu falaklah kita boleh menentukan bilakah masuknya bulan puasa Ramadhan juga bulan raya Syawal. Dengan membuat kira-kira tepat untuk mendapatkan kedudukan bulan pada suatu masa kita tidak perlu lagi bergantung seratus peratus pada ruqyah iaitu melihat kemunculan bulan dengan mata kepala sendiri.


Ditunjukkan juga sistem kira-kira yang dikaitkan dengan huruf-huruf Arab.


Nama almarhum Sheikh Tahir Jalaluddin diangkat sebagai seorang ahli falak terkemuka Semenanjung. Berasal dari Pulau Pinang, ayah kepada mantan yang dipertua negeri Tun Hamdan Sheikh Tahir ini merupakan salah seorang anak murid Sheikh Ahmad Minangkabau,


Dengan ilmu falak juga kita boleh menentukan bilakah berlaku gerhana bulan juga matahari. Sistem kira-kira yang sama boleh digunakan juga untuk melihat tarikh dan masa tepat berlakunya peristiwa-perisiwa tersebut pada masa silam lalu boleh dipadankan dengan lembaran sejarah,



Kira-kira falak boleh membaca bilakah berlaku pasang surut air laut berdasarkan fakta saintifik bahawa air di permukaan bumi terkesan dengan tarikan graviti bulan. Lalu kedudukan bulan pada suatu waktu menentukan tahap air naik mahupun turun...


Secara rata bahagian awal pembentangan mengembangkan apa yang pernah Mat Rofa kongsikan pada majlis terdahulu. Ketika itu beliau diberi masa sekitar 30-40 minit untuk bercakap. Kali ini ada masa 2 jam untuk mengembangkan perkara lalu selepas menyebut tentang warisan ilmu falak di Alam Melayu beliau pun mula beralih pada ilmu kosmologi moden.


Sesungguhnya ilmu kosmologi moden itu sendiri tercipta akibat adanya ilmu falak. Ditambah ilmu fizik yang didasari pengetahuan matematik tinggi berserta pencerapan menggunakan alatan moden seperti teleskop yang dapat melihat bintang-bintang jauh muncullah ilmu kosmologi moden seperti disebut pengkaji Barat terkenal Stephen Hawking.


Hal kejadian alam menurut sains pun dipadankan dengan apa yang disebut di dalam Al-Quran. Kelebihan Mat Rofa ialah dia seorang pakar matematik Melayu yang fasih membaca dan bertutur dalam bahasa Arab lalu dapat menelaah makna berdasarkan ilmu nahu dan saraf selain mantap ilmu mantik ataupun logik.


Sistem gelombang elektromagnetik yang mengelilingi bumi, bagaimana ia mempengaruhi kehidupan di muka bumi juga pengaruhnya terhadap bumi itu sendiri kemudian diperkatakan...


Disebut tentang jaringan sarelit yang jangkauannya meliputi seluruh bumi malah boleh melihat ke dalam bumi. Mat Rofa secara berseloroh tapi sebenarnya serius memberitahu bahawa kawan-kawannya para saintis dan pengamal ilmu falak semuanya ketawa apabila mendengar pesawat MH370 penerbangan Malaysia yang hilang itu tidak dapat ditemui sehingga sekarang. Katanya mustahil tiada siapa yang tahu. Kita yang bukan jenis angguk-angguk terima bulat-bulat segala yang diwar-warkan media sudah sedia faham apa yang tersurat dan tersirat.

Oh. Baru teringat. Beliau membacakan satu Al-Quran yang ditafsirkan sebagai mengajak orang Islam supaya meneroka ruang langit. Tapi yang sedihnya orang kafir pula menyahut cabaran dengan segala macam penjelajahan ke angkasa lepas termasuk melancarkan satelit. Kita setakat menjadi penumpang pernah menghantar angkasawan naik roket milik orang...


Mat Rofa turut menyentuh tentang keadaan bumi yang semakin tidak stabil sekarang...


Perubahan cuaca ekstrem disebabkan pencemaran dan sebagainya ditunjukkan.


Hampir penghujung pembentangan Mat Rofa menyentuh tentang kiamat dan tanda-tandanya lalu memadankan ia dengan keadaan bintang yang meletup setelah tamat hayat. Gambar ini menunjukkan hasil cerapan saintis terhadap sebuah bintang yang meletop lalu menghamburkan jisim sehingga kelihatan seperti bunga ros. Menurut Mat Rofa hal bintang mati kelihatan seperti bunga ros ini ada disebut di dalam Al-Quran. Cukuplah perkongsian daripada saya tentang pembentangan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan