Jumaat, Mac 10, 2017

Taman dinosaur Muar - Tarikan baru percuma bandar diraja Johor

Melengkapkan perkongsian tentang aktiviti hujung minggu lalu. Bersambung rentak penceritaan daripada artikel Forum Kosmologi Alam Melayu di Galeri Petronas.


Forum selesai dengan diikuti makan tengah hari di Galeri Petronas. Selepas jam 2 saya meninggalkan KLCC untuk mengambil isteri dan anak-anak lalu kami bertolak untuk balik kampung ke Muar, bandar diraja bagi negeri Johor. Sampai di Alor Gajah saya membelok masuk jalan pendalaman menuju ke Durian Tunggal. Terlihat sungai ini terasa ingin mengambil gambar kemudian melawat sebuah makam berdekatan. Lihat artikel Melaka river near Melaka Pindah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Makam Maharajalela, Melaka Pindah waktu siang (Tomb of Maharajalela, Melaka Pindah at daytime) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Esoknya pagi Ahad 5 Mac 2017 kami keluar berjalan bersama ibu bapa saya melihat beberapa tempat.


Bapa memberitahu tentang kewujudan satu taman dinosaur tidak jauh dari rumah. Kalau tak salah ia baru sekitar 3 bulan dibuka.


Setelah puas berpusing merata kami pun singgah.


Rupa-rupanya ibu bapa saya pun belum pernah singgah sebelum itu. Mereka setakat melihat dari luar.


Taman ini terletak di tepian Jalan Pintasan Muar. Ia adalah jalan separa ring road yang membolehkan kenderaan dari arah utara menuju ke selatan, begitu juga sebaliknya tanpa perlu meredah kesesakan jalan raya di bandar Muar dan sekitar...


Dari Jambatan Kedua Muar menuju ke selatan kita cuma perlu melepasi satu simpang dengan lampu isyarat kemudian menoleh ke kiri.


Tidak jauh selepas lampu isyarat terus boleh nampak pemandangan yang agak gempak...





Terdapat banyak patung dinosaur pelbagai jenis untuk tatapan orang ramai.


Menariknya patung-patung ini boleh bergerak-gerak dan mengeluarkan bunyi.





Lebih menarik lagi kita boleh masuk dan melihat semua yang ada secara percuma!






Taman ini ada menjual barangan merchandise seperti patung kecil, alat-alat permainan, baju dan topi bertemakan dinosaur.


Ia asalnya adalah sebuah nursery menjual pelbagai jenis pokok bunga dan buah. Ia masih menjual pokok-pokok termasuk bonsai...


Kebetulan pemiliknya minat dengan dinosaur.  Itu yang sanggup mengeluarkan belanja sendiri membeli patung-patung ini.


Selain dapat memuaskan diri kerana memiliki koleksi dinosaur ia juga menjadi tarikan untuk orang ramai datang ke nursery.


Jadilah ia juga satu tarikan untuk pengunjung datang ke Muar, bandar diraja Johor. Mana lagi nak cari satu taman penuh dengan patung dinosoar yang boleh bergerak mengeluarkan bunyi? Siapa pula nak bagi tengok free macam kat sini?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan