OK. Bersambung gerak penceritaan daripada artikel Sekitar sambutan Aidil Fitri tahun 2017 - Dah puas ziarah manusia mari 'ziarah' dinosaur pula....
Esoknya petang hari raya ketiga, Selasa 27 Jun saya dan keluarga bergegas dari Muar lebih ke selatan untuk ke Pontian.
Kami mahu ke satu tempat bernama Parit Betak. Turut ikut sama dengan kereta-kereta lain adalah beberapa orang saudara mara sebelah ibu.
Sampai ke destinasi kami check-in dahulu di sebuah kompleks homestay yang cantik dan unik.
Malam selepas Maghrib bertolak ke sebuah rumah berdekatan untuk satu majlis...
Ia adalah majlis perjumpaan keluarga dan keturunan Daeng Betak, orang yang membuka Parit Betak lebih 100 tahun lalu.
Daeng Betak merupakan moyang saya sebelah ibu. Beliau memiliki beberapa orang isteri lalu meninggalkan ramai anak cucu dan keturunan.
Kelihatan sedang duduk dua orang anak Daeng Betak yang masih hidup.
Antara dua itu orang yang kelihatan ini, seorang yang kami panggil sebagai Tok Dirak adalah yang lebih tua. Umur beliau adalah 83 tahun kalau tak salah ingatan. Daripada segi pangkat dalam keluarga beliau adalah keturunan Daeng Betak yang paling kanan atau senior masih hidup.
Kalau ikut pada umur saya masih memiliki seorang datuk saudara yang lebih tua, adik bongsu kepada arwah datuk saya (bapa kepada ibu). Umur beliau adalah 86 tahun kalau tak salah. Namun mereka adik beradik adalah pangkat cucu kepada Daeng Betak, anak-anak kepada Hussin bin Betak. Datuk saya, Ismail bin Hussin sendiri lahir pada tahun 1915. Kalau masih hidup beliau harus berumur 102 tahun, hampir 20 tahun lebih tua daripada Tok Dirak yang berpangkat bapa saudara kepadanya.
Keluarga belah saya, anak cucu Ismail bin Hussin bin Betak bergambar bersama Tok Dirak. Duduk berbaju biru adalah adiknya, dah lupa nama. Majlis ini dihadiri sekitar 400 orang anak cucu Daeng Betak.
Disebabkan Daeng Betak memiliki beberapa orang isteri sehingga terdapat jarak umur yang besar antara isteri tua dan isteri muda wujud sedikit kejanggalan antara pangkat dan umur. Saya yang sudah berumur 47 tahun merupakan generasi ke-4 keturunan Daeng Betak, daripada satu cabang yang membawa diri ke Muar lalu lama terpisah dengan kelompok besar keluarga di Pontian. Sedangkan di Pontian itu mereka yang sekitar sama umur malah sampai 10 tahun lebih muda daripada saya pun ada yang masih generasi ke-2. Mereka adalah pangkat cucu kepada Daeng Betak merangkap pangkat datuk kepada saya! Cerita-cerita tentang hubungan keluarga saya dengan Daeng Betak yang katanya berasal daripada keturunan Daeng Perani, abang sulu Opu Daeng 5 beradik yang sangat terkenal dalam sejarah Tanah Melayu abad ke-18 boleh disusuri melalui artikel-artikel lama berikut :-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan