Selasa, Februari 28, 2017

Misi jejak Aceh-Langkasuka - Pusing sebentar Kuala Kangsar sebelum menutup perkara di Ipoh

Salam, Adapun pada awal siri "Misi jejak Aceh-Langkasuka" ini saya sering menyebut pengembaraan 12-21 Januari 2017 yang turut meliputi sebahagian selatan Thailand meliputi masa 9 hari 9 malam. Sebenarnya kenyataan tersebut dibuat berdasarkan perjalanan dimulakan pada malam hari 12 Januari. Campur siang keesokannya jadilah 1 hari 1 malam dan begitulah seterusnya. Tetapi kalau dikira berdasarkan tarikh 12-21 Januari (12, 13, 14 ... 20, 21) ia sebenarnya meliputi tempoh 10 hari. Sekarang sampailah masa untuk berkongsi cerita hari ke 10 dan terakhir. lalu menamatkan siri. Bersambung cerita daripada artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka - 'Dipaksa' ke Kuale dari Pulau Pinang.


Awal pagi selepas Subuh, Sabtu 21 Januari 2017. Saya mendengar ceramah di masjid tempat saya menginap di bandar diraja Kuala Kangsar iaitu Masjid Ridzwaniah.


Di masjid ini juga saya bertemu dengan suami kepada seorang rakan saya dan isteri. Beliau pun mengajak datang bertandang ke rumah.


Singgah sarapan di satu bahagian sisi Bukit Chandan.


Beliau kemudian membawa saya melihat Universiti Sultan Azlan Shah.








Singgahlah di masjid sana. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Universiti Sultan Azlan Shah. di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
.


Selepas itu saya dibawa singgah ke Masjid Ubudiyah. 


Suami kepada rakan itu tahu selain mahu singgah ke masjid tahu tentu saya nak singgah di kawasan pemakaman diraja Perak di sebelah.


Berziarahlah ke makam almarhum Raja Ashman, adinda kepada Sultan Perak sekarang, Sultan Nazrin Shah. Ini kerana saya biasa menumpang menghadiri majlis zikir yang selalu dipimpin beliau di Bukit Damansara sebelum beliau kembali ke rahmatullah beberapa tahun lalu. Lihat artikel lama Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Tentang gigi Rasyid dan ziarah ke makam Raja Ashman.


Kemudian baru ke makam moyang terus (direct ancestor) saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di sisi kanan kawasan pemakaman (kanan kalau dilihat daripada pintu masuk utama). Cerita tentang moyang yang pernah dibuang negeri ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah setelah residen pertama British ke Perak, J.W.W. dibunuh orang Melayu tahun 1875 ada dikongsikan dalam artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan.... Tak tahu pulak apa punya tebiat nak masuk ibu jari dalam gambar...


Masuk dalam masjid ambil lagi satu gambar buang tebiat...



Selepas itu baru kami pergi ke rumah rakan.


Rumah itu terletak berdekatan makam Daeng Selili, pemegang pertama jawatan Maharajalela di negeri Perak.
\

Saya pun mengambil peluang untuk menziarahi makam. Selepas itu baru berehat berbual-bual di rumah.


Hampir waktu tengah hari rakan tersebut membawa saya dan anak-anaknya keluar berjalan.


Singgallah di istana lama ini yang telah dijadikan muzium tetapi sudah 13 tahun gitu ditutup atas alasan sedang diperbaiki.





Suami rakan itu tidak ikut kerana ada urusan lain. 


Apabila mendapat tahu saya mahu ke Ipoh rakan tersebut menawarkan untuk menghantar. Sambil itu boleh membawa anak-anaknya berjalan. Lihat artikel From Kuala Kangsar to Ipoh di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Saya meminta rakan itu membawa ke selatan Ipoh untuk melihat sebuah masjid lama yang sedang dalam proses didirikan kembali di Taman Botani. Lihat Masjid Teluk Memali dalam proses didirikan kembali di Ipoh (Mosque of Teluk Memali in the process of re-erecting back in Ipoh).


Inilah kali pertama saya melihat masjid ini setelah proses pemindahan dari tempat asal dari Teluk Memali, Kampung Gajah 80 km dari Ipoh dimulakan sekitar pertengahan tahun lepas. Masjid ini pertama kali saya lihat 11 tahun lalu setelah terjumpa secara tidak sengaja ketika mencari sebuah makam lama. Lihat artikel Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 3 diikuti Selingan Mencari Makam Raja Ahmad....

Sejak itu saya telah beberapa lagi masuk ke kawasan terpencil hutan belukar tepian Sungai Perak untuk melihat masjid ini. Apabila mendapat tahu keadaannya kemudian menjadi begitu teruk saya memulakan satu kempen kesedaran untuk menyelamatkan masjid. Setelah beberapa lama baru ia disahut. Dan baru hari itu saya dapat melihat hasilnya walaupun belum siap betul-betul. Lihat artikel Mari selamatkan masjid lama tinggal di Perak ini diikuti Projek pemindahan masjid lama tinggal di Perak - Satu kes sirih pulang ke gagang?


.
Selesai lawatan ke masjid lama yang sedang dipulihkan di tempat baru kami menuju ke pusat bandar raya Ipoh lalu saya meminta diturunkan dan ditinggalkan di masjid ini. Lihat Lawatan baru ke Masjid Panglima Kinta (New visit to the mosque of Panglima Kinta).


Selepas menunaikan solat kemudian berehat sebentar dalam masjid saya menziarahi tanah perkuburan di sebelah. Lihat Kawasan pemakaman keluarga Panglima Kinta (Panglima Kinta family burial ground).



Saya makan tengah hari lewat di kedai makan dalam kawasan masjid. Selepas itu saya melihat pemandangan sungai berdekatan. Lihat Sungai Kinta from the bridge near Panglima Kinta mosque.
.

Dari Masjid Panglima Kinta saya berjalan kaki ke stesyen kereta api Ipoh.








Alhamdulillah. Dapat kereta api ke selatan jam 4 petang untuk pergi ke Rawang, Selangor  lalu kembali ke rumah. Dengan ini tamatlah siri "Misi jejak Aceh-Langkasuka" dan cerita-cerita pengembaraan yang meliputi selatan Thailand 12-21 Januari 2017. Wassalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan