Selasa, November 04, 2014

Misi HIKMAH Pagoh - Mendapatkan kebenaran jabatan agama sambil menikmati makan minum di Muar

OK. Artikel ini baru boleh dikira sambungan terus dari Road trip kahwin kawan lama ke Batu Pahat dan Pontian.

Merujuk pada penceritaan dalam artikel tersebut - adapun selepas sampai ke Batu Pahat Jumaat malam Sabtu baru saya tersedar ada panggilan telefon daripada pengerusi Masjid Sultan Alauddin Riayat Shah I di Kampung Raja, Pagoh, tempat acara ke-11 HIKMAH akan dilaksanakan Sabtu hujung minggu ini. Beliau meninggalkan sms memberitahu agar menghubungi beliau secepat mungkin. Rupa-rupanya ahli jawatan kuasa masjid telah mengadakan mesyuarat kecil tentang acara. Ketika itulah baru ada mengingatkan bahawa kebenaran dari jabatan agama daerah Muar diperlukan kerana majlis mahu memakai bahagian dalaman masjid untuk sesi pembentangan ilmu. Kalau setakat di halaman dan luar tidak perlu kebenaran mereka...



Ah. Pening kepala saya malam itu. Bagaimana ini? Majlis tinggal seminggu sahaja lagi sedangkan perancangan sudah dibuat sejak 2 bulan lalu. Kenapa tak cakap awal-awal? Tapi tiada gunanya membiarkan kepala pening.  Kalau nak uruskan perkara pun kena tunggu pagi Ahad ketika pejabat agama dibuka (di Muar dan seluruh negeri Johor hari bekerja adalah Ahad hingga Khamis). Saya pun masuk tidur dalam keadaan seperti tiada berlaku apa-apa. Baik tumpukan fikiran pada perjalanan bersama kawan-kawan hari Sabtu.

Malam itu saya kembali ke rumah di Rawang hampir jam 11. Rasa macam tak larat pula hendak ke Muar pagi Ahad, Perlu memandu hampir 250 km tu, bukannya dekat dan saya sudah amat penat akibat perjalanan bersama kawan ke Batu Pahat dan Pontian. Fikir saya seterusnya elok tunggu Isnin baru bertindak. 


Namun ada rasa tak beres selagi perkara belum selesai. Dengan takdir Allah SWT selepas berbaring sebentar usai solat Subuh terasa tubuh sedikit segar. Rasa mampu memandu jauh lalu selepas menyiapkan sedikit pakaian dan barangan saya pun berlepas. Sampai ke Muar sebelum jam 11.


Namun saya tidak terus ke pejabat agama. Saya layan makan nasi beringin kegemaran di tepi Sungai Muar terlebih dahulu kerana tahu hidangan ini biasanya habis licin sebelum jam 12.


Selepas itu baru ke pejabat agama daerah yang baru saya tahu kini dikenali sebagai Pejabat Kadi Daerah Muar. Terlupa pula hendak mengambil gambar walhal saya berada di sana dalam setengah jam begitu. Ini disebabkan saya membuat surat untuk memohon kebenaran mengadakan acara ke-11 HIKMAH secara on the spot iaitu buat di pejabat itu juga, setelah bertanyakan kakitangan nama siapa perlu diletak, apakah alamatnya. Saya juga menggunakan kemudahan pejabat untuk mencetak surat berserta atur cara. Semuanya diletakkan kakitangan di atas meja tuan kadi (ketika itu kadi tiada di pejabat).

Ini adalah gambar surat berlatar belakangkan gerai-gerai di kawasan peranginan Tanjung Emas iaitu di kuala Sungai Muar. Di sini baru teringat nak ambil gambar maka saya ambil gambar ini untuk menunjukkan surat memohon kebenaran sudah dibuat dan disampaikan...



Selepas itu saya menikmati sepinggan mee bandung Muar yang enak.


Di sini juga ada masakan asam pedas Muar yang sedap. Tapi saya sudah cukup kenyang. Maka cukuplah mengambil gambar-gambar yang boleh dikongsikan dengan kawan-kawan.














Melihat ada telur ikan asam pedas tergoda juga rasa nak makan lagi. Tapi kita tidak boleh ikut nafsu. Perut dah kenyang tu syukurlah, mungkin lain kali.



Dah isi perut elok juga berjalan di sekitar sambil menghadamkan makanan.






Kemudian pusing sebentar melihat keadaan di bandar Muar.



Layan air pear sat...



Perjalanan diteruskan ke rumah ibu bapa di Kampung Temiang. Bila dah dekat tu baru teringat ada sesuatu yang menarik harus dilihat di Bukit Treh, bukit penuh legenda yang terletak sekitar 1 km dari rumah. Itulah yang diceritakan dalam artikel Menghidupkan Bukit Treh di Muar sebagai tempat pelancongan legenda bersejarah yang dibuat siang tadi. Perkara ini sangat relevan kerana cerita tentang bukit membentuk sebahagian daripada pembentangan yang akan saya buat semasa HIKMAH di Pagoh Sabtu ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan