Rabu, Oktober 15, 2014

Beting Beras Basah selepas 4 tahun - menyahut panggilan Tok Putih dan Tasik Pauh Janggi

OK. Ni cerita Khamis lepas...


Sebulan lalu saya ada membuat artikel bertajuk Perjalanan balik hari ke Pagoh - Misi tak disangka HIKMAH Sultan Alauddin... menceritakan bagaimana ada kenalan tiba-tiba mengajak ke sana lalu saya berpeluang untuk mendapatkan komitmen orang sana untuk menjayakan majlis. Beberapa lama kemudian saya diajak kenalan sama ke Beting Beras Basah di Perak. Saya terima ini sebagai jemputan dari situ walaupun tak pasti untuk apa.



Kali ini saya membawa sama isteri dan anak-anak. Kebetulan sudah 4 tahun kami tak ke sana. Anak bongsu kami Johan yang berumur 2 tahun setengah sudah tentu belum pernah sampai. Lihat artikel lama Bertungkus-lumus ke Beting Beras Basah.



Kalau ikut jarak harus lebih dekat mengambil jalan pantai melalui Kuala Selangor ke Sabak Bernam lalu ke Bagan Datok. Tapi alang-alang kenalan yang menetap di Shah Alam sudah mengambil kami di Rawang, kami terus mengambil Lebuh Raya PLUS ke utara sebelum keluar di pekan Bidor.



Laluan ini membawa ke bandar Teluk Intan. Makan tengah hari di gerai bersebelahan Menara Condong Teluk Intan kemudian masuk ke bangunan...



Kebetulan kenalan dan kawannya tidak pernah masuk ke dalam. Saya dan keluarga pernah tetapi baru kali ini tergerak untuk mengambil sejumlah gambar. Lihat artikel With the kids at the leaning tower of Teluk Intan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



.
Kami solat di masjid lama berdekatan yang sudah lama tidak saya singgahi. Lihat artikel Masjid Melayu (Malay mosque of) Teluk Intan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sebetulnya saya mengajak kenalan mengambil laluan keluar Bidor kerana ada tempat yang mahu diziarahi di Teluk Intan. Saya terfikir mahu singgah di masjid dan kawasan pemakaman keluarga di Batik Rabit tetapi isteri mengingatkan agar pergi ke makam Sultan ke-22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Shah di Durian Sebatang.





Selepas itu timbul rasa untuk menjengok  keluarga di rumah sebelah makam. Sebenarnya mereka adalah saudara mara sebelah ayah, saya sudah ketahui 5-6 tahun lalu tetapi kurang jelas bagaimana perhubungannya. Kali ini baru betul-betul dapat bersoreh dan saya faham bagaimana ceritanya. Rupa-rupanya pakcik yang mengetuai keluarga adalah sepupu bapa saya, ibunya dengan ayah kepada bapa saya adik-beradik. Bukan itu sahaja. Seorang adik bapa menjadi adik kepadanya. Ini disebabkan adik tersebut, ibu saudara yang biasa saya ziarahi kalau bertandang ke Batak Rabit iaitu di barat Teluk Intan (Durian Sebatang ke timur) dibela sebagai anak angkat oleh keluarga pakcik ini.



Ketika meninggalkan makam terlihat sebuah tokong Cina di mana lukisan gambar seorang bangsawan Melayu yang dipanggil Tok Puteh menjadi bahan sembahan. Timbul rasa mahu menunjukkannya kepada kenalan dan kawannya. Kami pun melihat lebih dekat.


Saya sudah lama merasakan Tok Putih ini tidak lain merujuk pada sultan yang dimakamkan berdekatan. Kenalan dan kawannya yang biasa berurusan dengan alam ghaib dapat merasakan perkara yang sama. Mereka juga dapat melihat apakah kaitan sebenar sultan dengan seorang pembesar yang dikenali sebagai Laksamana Tok Janggut.


Seterusnya saya mahu melihat bagaimana keadaan Istana Raja Muda yang sudah lama tidak dihuni di selatan bandar Teluk Intan. Beginilah keadaanya.


Baru saya puas lalu perjalanan disambung ke Bagan Datok.


Tidak lama kemudian sampai ke jalan masuk Beting Beras Basah.


Ketika menuju ke jeti kami dapat melihat beberapa perubahan sebagai persediaan untuk pertabalan Sultan baru Perak. Lihat Beting Beras Basah after 4 years - Preparing for the Sultan's coronation?.


Cuma kami sampai hampir 5 petang  ketika air sudah pasang, beting tidak kelihatan. Tak mengapa. Cukuplah melihat air laut yang menenggelamkan beting lalu menghirup 'rasa dari sini. Lihat Beting Beras Basah after 4 years - Taking a whiff of the power...


Kami sempat bermain air laut anak-beranak. Ketika ini kenalan dan kawannya sudah pergi ke tempat lain meninggalkan kami membuat hal sendiri.





Selepas agak lama bermain saya pun mencari mereka kerana mahu mengajak balik. Tengok-tengok sedang berpicnic di hadapan sebuah pondok kuning.


Ah, Saya sudah beberapa kali lalu di sekitar ini tetapi kali ini baru tahu adanya pondok ini. Saya diberitahu ia didirikan lebih kurang sebulan sebelum Sultan ke-34 Perak, Sultan Azlan Shah mangkat penghujung Mei.


Kelihatannya pondok didirikan sebagai ganti pondok lama dekat perigi. Lihat balik artikel Beting Beras Basah after 4 years - Preparing for the Sultan's coronation? Namun kedudukannya agak tersorok dan jauh dari pondok lama. Saya diberitahu ia dibina betul-betul menghadap satu kawasan mistik yang dipanggil Tasik Pauh Janggi. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,231 di sini. Nombor ini seperti membayangkan sistem asal giliran antara 3 keluarga diraja untuk memerintah kerajaan Perak. Cukup. :]



1 ulasan:

  1. Apakah sebenarnya tiga giliran keluarga atau 3 waris keturunan semasa awal2 perjanjian dibeting.Mungkinkah ada waris keturunan ke 4 Raja laut/air.Kitab silisilah waris dapat merungkai segalanya.wallahualam

    BalasPadam