Jumaat, September 26, 2014

Hikayat Iskandar Zulkarnain dan panggilan tak disangka ke Borobudur





Salam Jumaat. Pada penghujung artikel Forum Keindahan Sistem Kesultanan Alam Melayu-Nusantara : Menuju aspirasi raja yang insan kamil ada disebut saya telah mendapatkan senaskah buku Hikayat Iskandar Zulkarnain. Ia adalah terbitan ketiga dari Dewan Bahasa dan Pustaka (2013). Adapun sebab utama saya mahu mendapatkan buku ini adalah untuk memastikan betulkah di dalamnya tercatat cerita Raja Iskandar Zulkarnain adalah anakanda kepada Raja Darab dari Parsi hasil perkahwinan dengan seorang puteri kepada Raja Kilas dari kerajaan Makadunia (Macedonia) di Eropah...

Ini kerana saya ada terbaca penulisan di Intenet bahawa Raja Kilas yang disamakan dengan Raja Philips ini kemudian mengahwini puterinya.  Ketika itu katanya syariat membenarkan seorang lelaki mengahwini puteri sendiri. Ini berlaku setelah Raja Darab menyerahkan kembali puteri itu kepada ayahandanya. Sedangkan puteri itu sedang hamil dan apabila lahir anak yang diberi nama Iskandar itu, maka diwar-warkan kepada semua sebagai anak Raja Kilas.

Tidak beberapa lama selepas itu saya pun mula membaca hikayat itu. Ternyata cerita ini memang disebut di dalamnya berserta asal-usul keturunan Iskandar yang katanya berat pada kerajaan Parsi dan Babil (Babylon), sebelah ibunya itu yang berasal dari Macedonia, satu kerajaan yang sejarah kegemilangan lamanya menjadi kebanggaan Eropah dan Barat. Raja Darab kemudian mengahwini seorang puteri lain lalu mendapat anak lelaki lain bernama Raja Dara. Setelah Raja Darab mangkat Raja Dara naik menggantikan kerajaan lalu menuntut ufti dari Makaduniah yang ketika itu sudah diterajui oleh Raja Iskandar. Masing-masing tidak  mengetahui mereka sebenarnya adik-beradik. Berlakulah peperangan yang akhirnya dimenangi Raja Iskandar.

Saya tidak ingin menyebut lanjut tentang ini kecuali mahu menyambung bahawa selepas itu Raja Iskandar memulakan kempen menuju ke arah matahari masuk lalu menakluki negeri-negeri Maghrib (ke arah Barat). Saya dapati setelah itu hampir semua cerita berlaku di benua Afrika. Menariknya, Nabi Khidir yang dikatakan setia menemani Raja Iskandar selalu disebut menunggang zirafah.

Menarik lagi adalah setelah menakluki dan mengIslamkan orang-orang Habsyi masuk agama Islam syariat Nabi Ibrahim perjalanan diteruskan ke barat lalu bertemu mereka dengan satu lembah yang banyak semut. Dengan ini biar diletakkan gambar dan update yang saya kongsikan di Facebook





LEMBAH SEMUT YANG DILALUI NABI SULAIMAN BERADA DI AFRIKA BUKAN BOROBODUR DI JAWA?


Dan tadi, ketika membaca Hikayat Iskandar Zulkarnain susunan Khalid Muhammad Hussain (cetakan pertama 1971, pada saya cetakan ketiga 2013) sampailah pada cerita Raja Iskandar Zulkarnain membawa raja2 orang Habsyi dan para pengikut mereka serta orang Andalas dan Rom menuju ke tempat "matahari masuk". Sampailah mereka pada satu tempat banyak semut lalu Nabi Khidir yang turut sama menyebut pada pandangan hatinya inilah tempat Nabi Sulaiman berjumpa angkatan semut (seperti termaktub di dalam Al-Quran, Surah An-Naml). Ini berlaku selepas berjaya membawa orang Habsyi masuk Islam syariat Nabi Ibrahim. "Matahari masuk" harus bermaksud "matahari terbenam" iaitu ke arah Barat, bermakna tempat jumpa semut itu harus ke Barat Habsyah atau Ethiopia di benua Afrika.



Kalau ini benar maka terbatallah dakwaan sesetengah pengkaji pro Jawa dan Indonesia bahawa Lembah Semut itu terletak di kawasan Candi Borobudur, berdekatan kota Jogjakarta di Pulau Jawa. Dengan itu dakwaan mereka bahawa istana Ratu Balqis terletak di satu tempat dipanggil Istana Ratu Boko, kira2 36 km dari Borobudur juga boleh dipersoalkan. Saya tak tahu jika raja2 Habsyi yang disebut dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain ini adalah keturunan Ratu Balqis. Yang saya tahu memang ada tercatat dakwaan bahawa raja2 Habsyah itu berketurunan dari ratu besar yang dikatakan menjadi seorang isteri Nabi Sulaiman ini.




--------------------





Adapun status update ini dibuat pada petang 23 September iaitu 3 hari lalu. Malam itu seorang kenalan yang pernah membeli siri buku "Berpetualang ke Aceh" terbitan saya 2006-2007 telah menelefon mengajak pergi ke Borobudur. Beliau malah sanggup menanggung segala belanja, tiket penerbangan, makan, minum, penginapan, pengangkutan juga belanja untuk mengikuti satu pakej pelancongan. Ini kerana beliau mahu melihat pandangan saya tentang dakwaan penulis dari Indonesia bahawa Borobudur itu peninggalan Nabi Sulaiman.

Perkara ini pernah saya ulas dalam artikel Tentang dakwaan Borobudur adalah peninggalan Nabi Sulaiman yang ditulis lebih sebulan lalu. Setelah meneliti isi buku yang tertera hujah penulis saya berpendapat dakwaan beliau belum cukup kukuh. Apapun saya bersikap terbuka. Saya menetapkan satu hari nanti akan meneliti perkara ini dengan lebih mendalam.

Sebetulnya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Borobudur pertengahan tahun 2012 saya ada menyimpan hajat untuk datang lagi. Ini kerana ketika itu saya terkejar-kejar, tidak dapat meneliti lebih baik apa yang ada kerana sedang berjalan jauh bersama isteri dan anak-anak mengelilingi Pulau Jawa dalam tempoh 2 minggu. Lihat Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Wali Hassani di Kebumen, Buddha di Borobudur dan Jawa Kejawen di Jogja.... Siapa sangka muncul peluang yang sangat baik?

Siapa sangka setelah membaca Hikayat Iskandar Zulkarnain sampai ke bab Lembah Semut itu saya boleh mendapat tawaran? Siapa sangka perjalanan akan dibuka pada hari ini Jumaat 1 Zulhijjah, pada penghulu hari dan tarikh yang berkat? Dan pada tarikh ini juga, tengah malam Jumaat saya dapat menghabiskan seluruh penceritaan hikayat yang memakan hampir 400 muka surat.

Dengan selesainya penulisan artikel ini lepaslah satu gerak. Bolehlah saya bersiap untuk berjalan. Untuk pengetahuan petang ini saya akan bertolak ke Jogjakarta, kota terdekat ke Borobudur. Akhir sekali biar dikongsi sedikit atur cara atau itinerary perjalanan seperti disampaikan kepada saya. Doakan segalanya berjalan lancar ya. Semoga semua mendapat manfaat. Amin... :]



Agenda (Itinerary):


27 September (Sabtu) : 

- Mengunjungi Dinding Zulqarnain (Batu Blencong) di Bukit Menoreh

- Eksplorasi 12 fakta di Candi Borobudur

- Penjelasan dan update temuan terbaru tentang materi Borobudur Peninggalan Nabi Sulaiman dan Menelusuri Jejak-Jejak Peradaban Nusantara


28 September (Ahad ):

- Mengunjungi Bukit Sutumbu (melihat pemandangan Borobudur di atas awan saat sunset)

- Eksplorasi 7 fakta di Situs Ratu Boko dan menelusuri jejak Nabi Idris AS. yang dipandu langsung oleh KHFB (penemu teori Borobudur Peninggalan Nabi Sulaiman)


Acara dimulai hari Sabtu pukul 10:00 WIB dan berakhir hari Ahad pukul 13:00 WIB. Penginapan di Pondok Tingal Borobudur.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan