Jumaat lalu saya ada membuat artikel bertajuk Hikayat Iskandar Zulkarnain dan panggilan tak disangka ke Borobudur lalu memberitahu akan berlepas ke Jogjakarta di Indonesia petang itu untuk menyahut satu panggilan tak disangka. Panggilan atau lebih tepat, jemputan itu adalah untuk mengikuti satu pakej tour meneliti kesan-kesan di Candi Borobudur yang katanya menyokong dakwaan seorang penulis Indonesia bahawa candi itu adalah peninggalan Nabi Allah Sulaiman AS. Penulis itu adalah KH Fahmi Basya, seorang yang ada kepakaran dalam bidang matematik dan pengajian agama. Dakwaan itu ditulis dalam buku bertajuk "Borobudur & Peninggalan Nabi Sulaiman".
Kelihatan dalam gambar beliau berdiri di sebelah saya di bawah satu relief atau bentuk arca menunjukkan seorang wanita yang didakwa adalah Ratu Balqis. Buku tersebut sudah saya ulas panjang lebar dalam artikel Tentang dakwaan Borobudur adalah peninggalan Nabi Sulaiman lebih sebulan lalu. Jemputan di mana segala belanja dibiaya orang ini memberikan peluang untuk saya meneliti dengan lebih dekat dakwaan ini agar ulasan susulan nanti lebih adil dan saksama. Sepanjang perjalanan tak disangka yang bermula petang Jumaat itu, tiada seorang yang mengikuti pakej ini tahu saya seorang penulis sehinggalah pagi Ahad - apabila hamba Allah yang menaja perjalanan saya memberitahu seorang ahli wanita dari Indonesia yang ikut bersama.
Setelah kembali ke Malaysia malam semalam baru saya tahu bahawa tengah hari itu Pak Fahmi mendapat tahu saya adalah seorang penulis. Sepanjang tour yang diikuti hampir 20 orang peserta itu berjalan, saya naik satu kereta dengan beliau... ketika keluar sebentar untuk mengambil gambar sebuah tinggalan sejarah yang dikenali sebagai Candi Mendut lalu meninggalkan yang lain dalam kereta, ahli wanita tersebut memberitahu saya seorang penulis. Reaksi Pak Fahmi apabila mendapat tahu : "Ah! Kalau begitu ini saingan saya..." Walaupun ketika itu saya tidak tahu beliau sudah tahu saya dapati sejak itu Pak Fahmi kelihatan seperti lebih berhati-hati berkata-kata.
Bukanlah tujuan saya untuk mencari apa-apa keburukan atau salah silap... saya cuma mahu meneliti dengan lebih dekat segala dakwaan yang dibuat berserta hujah-hujahnya. Nanti akan saya ceritakan dengan teliti apa yang dilihat. Hamba Allah yang menaja perjalanan saya sering mengingkatkan, oleh kerana tulisan saya sering diikuti agak ramai orang, maka menjadi tanggungjawab saya untuk menceritakan hal yang sebenar sekurang-kurangnya dari sudut pandangan saya. Ini adalah kerana kalau yang diceritakan itu betul ia akan menjadi saham pahala buat saya, saham yang boleh jadi multi level atau bertingkat-tingkat apabila apa yang diceritakan itu disampaikan pula pembaca kepada orang lain. Begitu juga, kalau hal itu salah tetapi saya menyembunyikan atau tidak menyatakannya maka saya akan mendapat saham dosa yang bertingkat-tingkat kerana boleh menyebabkan orang ramai menjadi keliru malah sesat.
Buat masa ini cukuplah diberi ringkasan perjalanan - Petang Jumaat sampai ke Jogjakarta lalu bermalam di rumah penginapan berdekatan lapangan di mana Pak Fahmi sempat memberi tausiyah atau syarahan menggunakan slaid kepada peserta yang turut sama menginap. Pagi Sabtu, selepas sampai beberapa orang lagi peserta kami menuju ke sebuah bukit dalam hutan untuk melihat satu formasi batu yang menurut beliau didirikan oleh Raja Iskandar Zulkarnain. Sungguh, ini satu kebetulan yang menarik kerana dalam artikel Hikayat Iskandar Zulkarnain dan panggilan tak disangka ke Borobudur ada disebut saya baru sahaja menghabiskan hikayat tentang watak besar tersebut malam Jumaat. Selepas itu baru kami ke Borobudur lalu Pak Fahmi dan pembantunya menunjukkan satu persatu bahagian-bahagian candi yang katanya menyokong dakwaan ia adalah peninggalan Nabi Sulaiman.
Selepas bermalam di sebuah resort klasik tradisional berdekatan candi kami mendaki sebuah bukit untuk melihat pemandangan Candi Borobudur apabila matahari terbit. Selesai berehat selepas itu kami menuju ke timur Jogja (Borobudur terletak di barat laut kota) di mana terdapat tinggalan bangunan lama yang dikenali sebagai Keraton atau Istana Ratu Boko. Pak Fahmi mendakwa Ratu Boko yang dimaksudkan adalah tidak lain tidak bukan Ratu Balqis yang terkenal dalam cerita Nabi Sulaiman. Katanya dari situlah sebuah bangunan besar, sering disebut orang sebagai singgahsana Ratu Balqis dipindahkan jauh ke tempat lain dalam sekelip mata oleh seorang manusia yang pandai ilmu kitab. Cerita pemindahan itu memang disebut di dalam Al-Quran. Cuma Pak Fahmi mendakwa segalanya berlaku di Pulau Jawa dan bahagian atas Candi Borobudur adalah bangunan yang dipindahkan.
Saya rasa cukuplah preview setakat ini. Saya akan membuat beberapa artikel untuk menghuraikan penelitian, apabila ada kelapangan dan rasa rajin juga ada mood menulis ya. Tunggu... :]
Assalamualaikum abg dari Malaysia ye
BalasPadam