Ahad, November 10, 2013

Dari Aceh ke Putrajaya : Tidak bergerak walau sezarah sekalipun tanpa izinNya

Pada awal artikel Kenangan zaman UK : Mengimbau melalui paspot yang dibuat awal pagi semalam iaitu pagi Sabtu saya telah menyatakan akan berangkat ke Aceh pada petangnya. Biar ditambah, penerbangan dijadualkan berlepas dari LCCT atau lapangan terbang penerbangan murah di KLIA jam 4 petang. Ini ceritanya...


Selepas solat Zuhur kami sekeluarga pun meninggalkan rumah. Cuma saya yang akan berangkat ke Aceh, isteri dan anak-anak mengiringi sahaja. Ketika gambar ini diambil jam 2.06 petang kami sudah menghampiri simpang ke Putrajaya kalau tak salah, dah tak berapa jauh ke KLIA. Memikirkan abang sulung isteri yang menetap Bukit Changgang tidak sempat diziarahi ketika Syawal dan selepasnya kami fikir eloklah menjenguk sebentar, sampailah ke situ sebelum jam 2.30.


Letak rumah itu sekitar 17 km sahaja dari LCCT. Kami sudah beberapa kali menumpang meletak kereta apabila pergi ke luar negara lalu abang sulung menghantar ke LCCT juga mengambil bila kami pulang. Biasanya perjalanan cuma mengambil masa 15 minit. Maka saya fikir biarlah diluangkan lebih banyak masa di situ. Selain dapat makan lagi (di rumah dah makan tengah hari tapi kembali lapar), kami juga dapat mendengar khabar berita keluarga. Selain itu dapat makan rambutan yang baru dipetik dari laman rumah. Sedar tak sedar jam 3.20 baru keluar...


Gambar ini diambil sejurus sebelum isteri menurunkan saya di luar balai pelepasan LCCT. Ketika itu sudah 3.33. Menurut pengalaman lalu masih tidak terlalu lewat.


Namun saya terlupa satu dua perkara. Antaranya adalah keadaan kaki selepas patah yang sudah pulih tulang tapi belum pulih sepenuhnya otot dan urat menyebabkan saya masih berjalan terhencot-hencot tempang. Ketika gambar ini diambil dalam balai pelepasan sudah jam 3.35, harus masih ada masa untuk mengejar penerbangan walaupun saya tidak boleh berjalan laju apalagi berlari seperti ketika sihat sejahtera.


Setelah beberapa lama sampailah di masjid ini.


Eh. Camana boleh sampai masjid dari LCCT? Dan kenapa anak saya Rasyid boleh ada sama?


Ah. Takkan tiba-tiba Rasyid dapat ikut sama ke Aceh? Kan tadi kata saya pergi seorang diri. Dan di mana di Banda Aceh atau mana-mana di Aceh ada bangunan lebih tinggi dari 20 tingkat seperti dalam gambar ini?


Allah. Anak kecil saya Johan pun boleh ada. Sekarang biar diceritakan bagaimana perjalanan ke Aceh petang Sabtu boleh timbul.



Adapun sejurus selepas tamat menceritakan apa yang berlaku pada Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin (berlangsung Selasa-Rabu, 29-30 Okt tapi ceritanya siap lewat malam 31 Okt. Lihat Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu dan Hari kedua Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Membawa gerakan kedaulatan ke peringkat yang lebih tinggi) saya tergerak untuk menyemak e-mail lalu mendapati satu message baru sampai dari seorang kenalan yang sudah 2-3 tahun tidak berhubung. Kata beliau mahu ke Aceh untuk satu program melawat madrasah dan sekolah tinggi agama. Saya dijemput sama dengan tajaan beliau dan diminta berceramah sedikit nanti, mungkin tentang kesultanan Aceh yang merupakan satu subjek yang sangat dekat dengan hati saya.

Turut dijadualkan bersama adalah seorang saintis Melayu yang katanya telah berjaya menterjemahkan ilmu-ilmu lama saintis-saintis lampau Islam untuk kegunaan masa kini. Beliau juga diminta untuk berkongsi ilmu lalu saya pun teruja. Terus terang cakap sejak beberapa bulan lalu saya ada menyimpan hajat untuk ke Aceh tahun 2013, apalagi ia merupakan Visit Aceh Year. Untuk pengetahuan kali terakhir kami pergi adalah pada penghujung 2011. Lihat Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'"). 

Namun saya dan keluarga menghadapi kekangan kewangan kerana satu, telah menggunakan banyak wang untuk menunaikan umrah awal April diikuti belanja untuk lawatan ke Tanah Bugis sebulan kemudian.  Lihat Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... dan Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - The compilation. Kedua, perjalanan-perjalanan ini menyebabkan cuti tahunan isteri tinggal sedikit mahu disimpan untuk akhir tahun. Sedangkan selepas berkahwin penghujung 2008 saya tidak pernah pergi ke luar negara tanpanya. Jadi kalau isteri tidak boleh menemani pun tak mahu susah-susah pergi ke mana-mana kecuali apabila timbul rasa mahu bersendirian tanpa sesiapa.

Di celah-celah itu kami suami isteri sibuk dengan pelbagai aktiviti HIKMAH. Selain itu saya mengambil masa yang agak lama untuk sembuh dari kecederaan kaki yang berlaku 11 hari selepas kembali dari umrah. Lihat Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot . Saya pergi ke Tanah Bugis 10 hari selepas kecederaan berlaku dan ini rupa-rupanya membuat keadaan lebih teruk. Ia menyebabkan saya tiada pilihan kecuali membuat pembedahan memasukkan besi ke dalam kaki. Lihat Antara Janda Baik, Bukit Tinggi dan Hospital Sungai Buloh disusuli Pembedahan 15 Ramadhan dan faktor 313. Maka dalam tempoh itu saya keluar jauh pun dengan isteri memandu kereta semata-mata untuk menjayakan acara-acara HIKMAH. Bila masa hendak ke Aceh?


Dalam tempoh 2 bulan kebelakangan saya sudah boleh berjalan menggunakan kedua-dua kaki. Cuma urat dan otot sahaja ada sedikit masalah maka saya masih perlu bertongkat tapi tukar kepada tongkat tangan sebelah sahaja, tak perlu lagi pakai tongkat orang kaki patah yang sampai menyangga bahu. Hajat untuk ke Aceh 2013 terasa semakin kuat sejak sebulan lalu tapi belanja pula kurang. Setelah melihat senarai harga di Internet kami cuma mampu membeli tiket murah untuk penerbangan bulan Mac sekeluarga. 

Maka itu bayangkan betapa gembiranya saya apabila kenalan lama menghubungi mahu menaja ke Aceh, untuk 9-14 Nov ini. Untuk pengetahuan, kenalan tersebut mula dikenali setelah tiba-tiba menghubungi saya tahun 2010. Beliau telah mengajak saya ke Brunei lalu menaja kami sekeluarga. Lihat Tribute untuk lawatan tak dijangka ke Brunei bulan.... Ahad minggu lepas wakil kenalan ini telah membelikan lalu menyampaikan tiket penerbangan pergi balik Aceh online atau melalui talian. Walaupun sedikit terkilan tidak dapat pergi bersama, isteri bersedia melepaskan saya sendirian. Saya pun mula membuat persediaan...

Tiba-tiba esoknya kenalan tersebut menghantar message telefon bimbit memberitahu beliau tidak dapat ke Aceh. Katanya muncul satu masalah di Brunei sementara saintis Melayu yang dijangka bersama pun tidak dapat datang. Namun kata beliau, kalau saya mahu pergi, pergilah. Tiket pergi balik pun dah berada di tangan. Cuma nampaknya saya harus mengatur belanja perjalanan dan tempat tinggal sendiri.

Saya pun terus memberitahu tentang ini di Facebook terutama pada rakan-rakan dari Aceh yang pernah dibawa ke Malaysia untuk menyertai acara kedua HIKMAH di Melaka penghujung Nov tahun lepas. Lihat artikel Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Mereka sudi membantu dan bersedia untuk mengambil saya di bandara (bahasa Indonesia untuk lapangan terbang) Sultan Iskandar Muda di Banda Aceh.


Sampai masanya hari Sabtu iaitu petang tadi bergegaslah saya bersama isteri dan anak-anak yang mahu menemani hingga ke LCCT. Masuklah saya ke dalam balai pelepasan, sempat mengambil gambar yang menunjukkan waktu 3.35. Tapi entah kenapa saya jadi pelupa dan kabur, tidak ingat di mana harus check-in atau mendaftar. Dengan keadaan kaki yang masih terhencot-hencot tempang mencari-cari tempat akhir saya sampai ke service counter jam 3.45.


Saya diberitahu tidak boleh menyertai penerbangan dan tidak boleh mendapatkan boarding pass kerana sudah terlewat. Katanya pintu masuk kapal terbang harus ditutup 20 minit sebelum penerbangan, bermakna saya terlewat 5 minit. Walaupun merayu beberapa kali sambil menunjukkan keadaan kaki handicap yang melambatkan pergerakan sehingga tidak dapat sampai ke counter pada waktunya, kakitangan tidak dapat menolong. Inilah kali pertama perkara sebegini berlaku seumur hidup saya menaiki kapal terbang. Walaupun saya bukanlah frequent flyer, saya sudah menaiki pesawat untuk ke merata tempat lebih 30 kali. Tidak pertama lagi saya dihalang masuk walaupun pernah datang lambat check-in 5 minit sebelum pesawat dijadualkan berlepas. 

Nak tak nak saya harus akur tidak dapat pergi ke Aceh petang itu. Isteri pun datang dan kami kemudian pergi bersiar-siar di Putrajaya sebelum kembali ke rumah. Itu yang ditunjukkan pada gambar-gambar selepas berhenti sebentar di masjid, Masjid KLIA. Kalau mahu saya masih boleh mendapatkan penerbangan pagi Ahad tapi perlu beli sendiri tiket berharga RM192. Namun apabila difikirkan bahawa saya harus kembali hari Khamis dan esoknya Jumaat pula perlu bergegas ke Melaka untuk mesyuarat demi menjayakan acara ke-7 HIKMAH, saya rasa belanja tersebut jadi tidak berbaloi. Lebih eloklah berehat di rumah. Lagipun kan kami sudah menempah tiket ke Aceh bulan Mac...


Apapun saya percaya tentu ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Bukankah ada disebut tidak bergerak walau sezarah sekalipun tanpa izin Allah SWT? Kemudian apabila menyemak maklumat di Facebook saya dapati ada acara menarik melibatkan kedaulatan Melayu bermula di Universiti Kebangsaan Malaysia siang Sabtu hingga Isnin 9-11 Nov yang mahu dihadiri apabila mendapat tahu tentangnya beberapa hari lalu tapi tak jadi pergi kerana perlu ke Aceh. Katanya ada pembentang dari pelbagai pelusuk Alam Melayu termasuk dari Aceh, Brunei dan Sulawesi (di mana terletaknya Tanah Bugis).

Sekarang saya tak dapat ke Aceh bolehlah menghadirinya siang ini juga keesokan harinya. Selain itu baru saya tersedar ada acara besar tentang ekonomi Islam dilangsungkan pagi hingga tengah hari di Putrajaya melibatkan para ilmuwan antarabangsa dengan seorang sahabat baik saya, rakan penggerak HIKMAH adalah moderatornya. Bolehlah ke situ dahulu sebelum ke UKM. Saya juga sebenarnya harus menguruskan beberapa perkara penting untuk kesejahteraan keluarga sehingga hujung tahun. Kalau pergi ke Aceh tadi isteri harus menguruskannya sendirian sehingga saya kembali.

Lewat malam tadi baru saya mendapat tahu apa yang dilihat sebagai hikmah yang lebih besar. Saya dapat tahu di Aceh hari Ahad ini ada majlis satu kumpulan yang katanya mewakili raja-raja dari seluruh pelusuk Nusantara. Mereka ini secara rata bukanlah raja-raja yang ada tempat dan diiktiraf mana-mana negara seperti halnya Sultan Selangor dan Sultan Perak di Malaysia misalnya. Rata-rata mereka adalah orang yang katanya memiliki salasilah diraja dan mengaku layak menaiki takhta. Walhal kerajaan-kerajaan yang mereka mengaku menjadi wakil kalau tidak pun pemerintah yang 'sah' itu rata-rata sudah hilang institusi diraja dan istananya sementara dakwaan sesetengah mereka sebagai waris paling afdhal untuk menghidupkan kembali institusi boleh dipersoalkan.

Maaf cakap. Walaupun kumpulan sebegini ada baiknya untuk menerbitkan rasa kesedaran diri terhadap warisan agama, negara dan bangsa, saya melihat ada yang menjadikannya alat untuk menuntut takhta buat diri sendiri. Saya lihat mereka sesama mereka saling menyokong tuntutan masing-masing dan saya tidak gemar dengan ini. Saya sendiri pernah dituduh mahu menuntut takhta sebuah kerajaan semata-mata kerana pernah menyatakan kaitan diri dengan darah diraja tertentu. Lalu ada yang mengatakan saya mengasaskan HIKMAH untuk mendapatkan sokongan ke arah itu.

Hmm. Saya rasa mahu meluahkan sedikit kekecewaan di hati. Saya dapat merasakan ada orang-orang yang masih menabur cerita fitnah tentang ini. Kalau tak dikatakan saya mahu menjadi raja, dikatakannya saya mahu mencari publisiti lalu membuat acara berkenaan Melayu untuk tujuan ini. Perkara ini saya lihat dapat mempengaruhi sesetengah pihak agar mengurangkan atau meluputkan langsung kerjasama dengan pihak saya. Peduli apa niat saya berbuat kesemuanya untuk kedaulatan Melayu Islam akhir zaman? Mulut tempayan boleh ditutup, mulut orang bagaimana? 

Selain itu saya dapat merasakan ada pihak-pihak yang terlibat dalam dunia politik cuba menghalang nama saya dari naik disebut orang. Apakah mereka fikir saya seperti mereka membuat rancangan licik mengaburkan niat sebenar sana sini untuk menjadi orang kaya, ternama dan berkuasa? Atau mereka sebenarnya merasa terancam jika apa yang saya lakukan mendapat sokongan lebih ramai orang Melayu dan/atau Islam tanpa mengira kecenderungan politik dan latar belakang hidup?

Allah! Apabila menyedari adanya acara perkumpulan orang-orang yang mengaku raja berlaku di Aceh pada masa saya dijadualkan berada di situ saya terasa sungguh lega terlepas penerbangan petang tadi. Kalau saya berada di Aceh ketika acara berlaku tak mustahil boleh timbul cerita saya terlibat sama. Maka betullah saya berhajat untuk menjadi raja lalu cuba meraih sokongan dari kumpulan ini. Sungguh Allah sudah menyelamatkan saya dari fitnah yang sangat besar. 

Selesai meluahkan ini (ayat ini ditulis jam 4.12 pagi) bolehlah saya berehat dan insyaallah menghadiri forum ekonomi di Putrajaya diikuti acara kedaulatan Melayu di UKM siang nanti. Kalau ditakdirkan saya masih boleh menjejakkan kaki ke Aceh sebelum tahun 2013 ini tamat maka biarlah dalam keadaan yang lebih tenang dan tidak menerbitkan fitnah. Biarlah selepas acara ke-7 HIKMAH di Melaka 30 Nov selesai dengan jayanya dan saya tidak terikat lagi dengan apa-apa acara sehingga hujung tahun. Dan lebih penting lagi, biarlah isteri dan anak-anak dapat pergi bersama. Sesungguhnya hati lelaki yang semakin berumur ini amat tersentuh apabila si Johan memeluk manja saya dalam perjalanan ke LCCT. Setelah terlepas penerbangan saya mendapat tahu Johan dan abangnya Rasyid menangis apabila saya keluar kereta meninggalkan mereka. Tidak lama kemudian Johan muntah teruk. Alhamdulillah kini mereka sudah kembali ceria... :]



1 ulasan: