Sabtu, November 09, 2013

Kenangan zaman UK : Mengimbau melalui paspot

Adapun pada ketika ini sudah masuk hari Sabtu 9 November. Petang karang saya dijadualkan berangkat ke Aceh dan akan berada di sana sehingga petang Khamis minggu depan yang kebetulan jatuh pada 10 Muharram, satu tarikh yang sangat bermakna dalam sejarah Islam. Sebelum itu saya rasa wajib meluahkan sesuatu dari zaman belajar di UK. Ikut rancangan asal saya mahu bercerita panjang lebar tentang universiti tempat saya belajar dan hari-hari di sana.

Tetapi ini boleh membawa pada penceritaan yang agak berat bagi merungkai pelbagai perkara yang meliputi pasang surut hidup. Sedangkan saya terasa penat, perlu bersedia untuk perjalanan ke Aceh. Kebetulan tadi cuba mencari student card lama tapi tak jumpa, mungkin dah dibuang atau tak sengaja terbuang agaknya. Tergerak pula untuk melihat paspot lama yang dipakai ketika di UK tahun 1991-1995. Maka biarlah kenangan diimbau melalui paspot. Bersambung dari Kenangan zaman UK : Keriangan hari pertama di London


Ini paspot antarabangsa yang pertama saya miliki, dibuat semata-mata untuk menyambung pelajaran di UK. Masa tu saya setakat membuat untuk satu tahun. Tetapi tempoh sah boleh dilanjutkan sehingga 5 tahun atas kebenaran imigresyen.

Bayangkan masa itu, umur 20 tahun nak masuk 21, masih lagi pelajar yang semasa zaman kolej biasa terima elaun sekitar RM250. Tiba-tiba diberi RM5,000 'gedebuk' untuk belanja persiapan awal ke UK, untuk buat paspot, beli baju sejuk, beg pakaian dan belanja kehidupan untuk sebulan dua terawal sebelum dapat elaun bulanan yang disalurkan melalui bank tempatan. Elaun bulanan 305 Pound Sterling yang bersamaan sekitar RM1,500 itu terasa begitu besar. Walhal bila dah sampai baru tahu, ia sebenarnya sangat kecil, lebih rendah daripada belanja yang diterima sebulan oleh penduduk UK yang tidak bekerja tetapi boleh hidup dengan duit welfare, elaun kebajikan...


Tentang paspot boleh ditambah tempoh lanjut zaman itu ditunjukkan pada muka surat seterusnya. Kalau sekarang ni tak boleh buat lagi macam ni, kalau nak 5 tahun kena buat paspot baru dan bayar lebih. Di satu lagi muka  kelihatan apa yang dipanggil Schengen Visa, dipohon dari kedutaan Peranchis di London 1995. Ia membenarkan kita masuk ke 12 negara di Eropah (kalau tak salah ingatan) menggunakan visa yang sama. Saya buat ini untuk perjalanan hitchhiking seorang diri keliling benua musim panas tahun itu.


Saya pertama kali pergi ke UK ketika penghujung musim panas 1991. Dah nak masuk musim luruh dan cuaca sudah menyejuk. Bila melihat paspot ini baru tahu tarikh tepat bertolak dari Malaysia adalah 6 Oktober dan sampai di London 7 Oktober. Yang saya ingat naik pesawat 13 jam tanpa henti.

Adapun tempoh pengajian yang dijadualkan adalah selama 3 tahun. Maka tertera di paspot saya dibenarkan berada di sana sehingga 31 Okt 1994. Siapa sangka akan berlaku beberapa hal yang menyebabkan berada di sana setahun lebih lama?


Di sini kelihatan tarikh saya kembali untuk bercuti musim panas tahun 1992. Cap-cap menunjukkan saya meninggalkan UK 12 Julai dan sampai ke tanah air 13 Julai, masuk kembali ke UK 25 September. Melihat ini baru teringat. Saya asalnya adalah pelajar tajaan JPA, Jabatan Perkhidmatan Awam. Namun keputusan peperiksaan A-Levels iaitu waktu zaman kolej di Malaysia tidak cukup baik untuk masuk tahun satu universiti  di UK. 

Sebaliknya kebanyakan pelajar disuruh mengikuti tahun satu  di Shah Alam di bawah program yang dipanggil NCUK (Northern Consortium United Kingdom). Ia adalah program twinning atau berkembar dengan sejumlah universiti terutama di utara UK, dibuat untuk menjimatkan belanja. Dengan membuat tahun pertama di Malaysia, yuran universiti dapat dikurangkan. Lebih ketara adalah penjimatan kos sara hidup yang sangat berbeza, jauh lebih mahal di negara orang. Masuk tahun kedua baru boleh ke sana.

Dengan kuasa Allah SWT saya telah mendapat tawaran untuk masuk University College of London (UCL), salah sebuah universiti paling terkemuka di UK malah di dunia. Mungkin tawaran dibuat kerana melihat potensi diri yang tercermin pada keputusan peperiksaan-peperiksaan sebelumnya juga karangan yang dibuat ketika memohon tempat. Untuk pengetahuan saya mempunyai rekod pelajar cemerlang sekurang-kurangnya dari segi kepandaian ilmu terutama dalam bidang matematik sejak sekolah rendah. Tetapi akibat masalah disiplin saya pernah dibuang kolej dan ini mengganggu pencapaian pada peperiksaan yang diambil selepas itu.

Namun UCL tidak termasuk dalam NCUK. Ini bermakna kalau ikut program NCUK akan terlepas peluang belajar di UCL sedangkan saya tidak layak untuk ditaja terus tahun pertama di sana. Kemudian saya mendapat satu jalan. Kita boleh pergi tahun pertama di UK dengan penajaan sendiri kemudian menyambung dengan JPA. Syaratnya mesti lepas tahun pertama tanpa masalah dan apabila disambung ia bukan lagi biasiswa penuh tetapi bertukar menjadi pinjaman bersyarat iaitu pinjaman ditukar menjadi biasiswa jika mendapat ijazah kelas tertentu. 

Saya berjaya memujuk keluarga untuk menaja. Balik musim panas 1992 itu adalah untuk mengatur penyambungan semula pembiayaan dengan JPA. Turut kelihatan pada gambar tarikh 2 Okt 1995. Ia adalah tarikh saya sampai kembali ke tanah air setelah selesai tempoh belajar.


Mukasurat seterusnya menunjukkan kebenaran untuk menetap di UK pernah ditambah satu tahun lagi iaitu hingga ke 1995. Ini disebabkan berlaku beberapa perkara yang merenjatkan pembelajaran lalu saya terpaksa mengulang setahun. Kebenaran dipanjangkan dari tarikh asal 31 Oktober 1994 (lihat gambar ke-3) ke 30 September 1995. Di sebelahnya ada menunjukkan penambahan 2 bulan menetap. Saya tak ingat untuk apa. Mungkin ia dibuat 1994 sementara menunggu keputusan peperiksaan tahun dua yang diulang sekali lagi, apakah saya dibenarkan untuk masuk tahun ketiga merangkap terakhir pengajian...

Turut kelihatan cap menunjukkan saya masuk ke Ramsgate 18 Sept 1995 iaitu salah satu pintu masuk ke UK melalui feri dari Peranchis. Ini haruslah tarikh saya menamatkan pengembaraan sebulan pusing Eropah. Pengembaraan ini akan diceritakan di blogspot ini selepas tamat siri "Kenangan zaman UK". Sementara itu pembaca boleh mengikut cerita berkenaan di blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEHIa dibuat sekitar 1996-1997 untuk dimasukkan ke dalam The New Straits Times ketika hari-hari awal saya berkhidmat sebagai wartawan akhbar tersebut. Lihat Europe hitchiking trip of 1995 compilation of stories.


Ini pula adalah beg-beg lama yang terlihat semasa mencari student card universiti tadi. Beg-beg ini kalau tak salah adalah dari zaman pengembaraan 2003- 2011 atau 2012 gitu. Ia mengingatkan saya juga memiliki beg-beg serupa dari zaman UK tapi nampaknya sudah dibuang kerana rosak teruk setelah beberapa lama. Apapun saya pasti masih ada 2-3 beg dari zaman itu tersimpan di rumah keluarga. Cuma ia bukan jenis haversack yang selalu digunakan dalam pengembaraan lasak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan