Jumaat, Ogos 10, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi

OK. Adapun gambar-gambar artikel kali ini tentang perjalanan Pulau Jawa telah diletakkan pada siang Jumaat 21 Ramadhan. Kini awal pagi Sabtu 22 Ramadhan biarlah saya bercerita. Bersambung dari Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Solo, Kediri, pendopo kerajaan Majapahit dan makam Sheikh Jamaluddin Kubro di Mojokerto.


Pagi Isnin 14 Mei 2012. Rasyid melihat ke luar bilik hotel tempat kami menginap di Sidoarjo, pinggir selatan bandar raya Surabaya.


Tengah hari baru kami semua keluar menaiki bas untuk ke satu kawasan menghampiri pusat bandar raya.


Nama tempatnya Pasar Turi...


Kami ingin mencari buah tangan untuk dihadiahkan kepada keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan. Kami diberitahu di sini tempat yang sesuai.


Saya tertarik melihat landasan kereta api terbuka menyeberangi jalan raya hingga lalu menembusi kompleks membeli-belah sini.


Perut pula terasa lapar. Tempat makan yang kelihatan cuma warung-warung tepian jalan ini. Nak tak nak kena hilangkan lapar sebelum mencari barangan.

Namun timbul rasa sangsi melihat hidung-hidung yang rupanya lain macam ini. Hampir saya ingin bertanya apakah orang yang menjual ini beragama Islam? Atau mungkin sahaja memakai tudung tetapi beragama lain seperti pernah diingatkan beberapa orang tentang keadaan di Indonesia? Tapi rasa segan tersilap pertanyaan  boleh mengaibkan orang pula.


Rupa-rupanya semua itu hidung lembu. Nampaknya ia makanan istimewa di sini. Saya tak ingat bagaimana timbul kepastian yang menjual ini semua orang Islam. Bila kami pesan rojak terus mahu disagat hidung lembu untuk dicampurkan. Kami terus menegah. Tak getilah makan hidung lembu. Malah apa-apa jenis hidup pun kami tak makan... setakat termakan hidung ikan bilis ada le...


Ini pula gambar kami menaiki teksi malam hari ke destinasi terakhir kami di Pulau Jawa. Maaf ya. Saya terlupa hendak mengambil gambar keadaan dalam kompleks membeli-belah. Cukuplah diberitahu kami ada membeli sedikit buah tangan termasuk 4 atau 5 belangkon, topi tradisional orang Jawa.


Perjalanan kami di Surabaya hari itu cukup ringkas. Kami harus kembali ke Malaysia menaiki pesawat sekitar jam 8 malam dan teksi membawa kami sampai cukup awal untuk bersantai di lapangan terbang. Kami sudah sangat penat dengan perjalanan 13 hari sebelumnya mengelilingi Pulau Jawa. Kalau tidak kerana membeli buah tangan untuk orang, kemungkinan besar kami tidak akan ke mana-mana.... mungkin sekadar berlegar-legar di sekitar hotel sahaja. 

Semakan melalui Google Earth menunjukkan kami anak-beranak sudah mengembara sejauh lebih 2,318 km keliling Pulau Jawa menaiki pelbagai kenderaan daripada bas, beca, ojek (motor tumpangan), van dan entah apa lagi. Dengan ini siri "Pusing Pulau Jawa anak-beranak" yang penceritaannya sudah memakan tempoh lebih 3 bulan ini ditamatkan. Kami cukup bersyukur kerana berjaya menamatkan misi walaupun membawa anak-anak kecil yang sentiasa perlu dijaga dan dipantau pergerakan dan makan-minumnya.

Semoga pembaca semua terhibur dan mendapat sedikit pengetahuan. Sekarang sampailah masanya untuk saya betul-betul mengejar sisa-sisa 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Sekian, wassalam... :]






Khamis, Ogos 09, 2012

Mencari batu nesan Aceh di Negeri Sembilan

Kita pergi ke satu perjalanan kecil yang dibuat hujung minggu lalu.

Sabtu 4 Ogos 2012, mengambil kesempatan atas cuti Nuzul Quran hari Isnin di Selangor kami anak-beranak mengorak langkah ke selatan.


Kami mahu berbuka puasa bersama ibu bapa di kampung di Muar. Seperti biasa kami mengambil peluang untuk singgah di tempat-tempat menarik dalam perjalanan. Misi kali ini adalah mencari batu nesan Aceh di Negeri Sembilan. 


Setakat ini, di negeri ini kami cuma pernah melihatnya di satu lokasi sahaja. Lihat artikel lama Makam Raja Melewar (The tomb of Raja Melewar) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Baru-baru ini kami dapat tahu ada sekurang-kurangnya 3 lokasi lain boleh ditemui dalam lingkungan 7-8 km dari makam Raja Melewar...


Selain itu kami diingatkan akan kewujudan mimbar lama menarik di sekitar ini. Masjidnya saya pernah singgahi sekurang-kurangnya sekali lama dahulu. Tetapi saya tidak berapa mengambil perhatian ketika itu. Sekarang baru hendak melihat betul-betul. Lihat Masjid (Mosque of) Nerasau, Rembau.


Rumah-rumah tradisional di sini juga cantik-cantik...


Dari masjid kami mengambil jalan kampung menyusuri sebuah sungai.


Kami dapat tahu ada kampung yang memakai nama Aceh. Terlihat pula bangunan  ini. Lihat Surau (Small praying hall of) Kampung Pulau Aceh, Rembau.


Di sekitarnya kami dapat merasakan semacam aura yang menenangkan dan mempunyai makna.


Terlihat sebongkah batu di perdu pokok. Apakah ia menandakan wujud makam seorang tokoh dahulukala? 


Nama jalan di sebelah membayangkan di sini pernah ada seorang tokoh yang dikenali sebagai Tok Pulau. Namun batu nesan Aceh yang kami cari berdasarkan maklumat yang diperolehi dari website seorang kenalan yang gigih mengkaji sejarah tersembunyi Negeri Sembilan bukan terletak di sini.


Kami perlu bergerak sekitar 8 km ke lokasi lain...


Setelah mengambil masa berpusing-pusing mencari dan bertanyakan orang alhamdulillah jumpa satu makam. Lihat Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh tombstones), Kampung Tanah Datar, Gadong, Rembau. Adapun gambar ini diambil selepas 6 petang.Walaupun masih ada 2 lokasi yang mahu dijejaki kami terpaksa menundanya ke hari lain kerana harus berkejar kembali ke Muar untuk berbuka puasa bersama keluarga. 


Menariknya meter kereta menunjukkan nombor 131.1 (km) di hadapan makam. Biar diberitahu sejak hari sebelumnya kereta kami menghadapi masalah satu silinder kurang berfungsi lalu kurang daya tujahan ataupun pick-up ketika berjalan. Selepas keluar menuju ke selatan tengah hari Sabtu kami terus berjumpa mekanik yang merupakan saudara isteri di Selayang. Selepas diperiksa dengan teliti dia percaya mungkin ada valve atau injap terbakar.

Kerja membaiki harus memakan masa tidak kurang 3 hari kerana enjin harus dibuka. Oleh kerana sudah berjanji hendak berbuka puasa bersama keluarga di Muar kami bertawakal sahaja berjalan jauh denga enjin sebegitu rupa. Selepas meninggalkan rumah mekanik kami ada mengisi minyak di lebuh raya MRR II. Meter di bawah dikosongkan agar saya dapat menjangka konsumsi yang dijangka meningkat kerana perjalanan enjin yang kurang lancar.

Dari titik itulah meter membawa ke nombor 131.1 di hadapan makam berbatu nesan Aceh di lokasi Rembau ini. Adapun nombor 131 membawa maksud home sweet home buat kami sekeluarga.  Tanpa dirancang artikel Surau (Small praying hall of) Kampung Pulau Aceh, Rembau pula siap dipersembahkan pada jam 11.33 pagi tadi, artikel Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh tombstones), Kampung Tanah Datar, Gadong, Rembau terbit 11.55. Semua nombor ini membawa makna buat kami. Semoga ia  petunjuk kepada suatu keadaan yang lebih baik tidak lama lagi.


Rabu, Ogos 08, 2012

Tapak kota Portugis di Muar?

Beralih sebentar ke Muar.


Tadi saya terlihat kembali sebuah peta lama Muar hasil lakaran Portugis oleh Emanuel Godinho de Eredia tahun 1604. Peta itu menujukkan bentuk dan kedudukan kota Portugis yang dipanggil Fortaleza de Muar. Sesetengah pihak percaya ia dimusnahkan oleh tentera Aceh dalam perang 1629 yang berlanjutan selama 2 tahun, perang yang meratah lokasi-lokasi di sekitar Sungai Muar hingga ke kawasan Bandar Hilir di Melaka sekarang. Kini tidak ada lagi apa-apa kesan yang boleh lihat, tidak seperti Kota A Famosa di Melaka yang pintu gerbangnya masih berdiri megah...



Kali ini saya terasa mahu memadankan lakaran dengan bentuk muka bumi sebenar Muar menggunakan gambar satelit dari program Google Earth. Untuk itu saya harus menyendengkan sedikit gambar. Perhatikan kedudukan huruf N di sudut atas kanan yang menunjukkan arah ke utara ataupun North.


Zoom in. Baru saya tersedar wujud jalan-jalan moden yang kedudukannya boleh dipadankan dengan bentuk segitiga tembok kota lama yang sudah lama tiada.


Zoom in lagi. Sebenarnya ada dua jalan selari yang boleh membentuk tembok timur kota tetapi kita ambil yang lebih pendek.


Nah. Jalan-jalan sebut setelah ditanda merah. Nampak tak persamaan dengan lakaran pada gambar paling atas? Apakah ini kedudukan sebenar kota yang samada sengaja atau tidak 'diabadikan' melalui kedudukan jalan-jalan moden? Hmm...



Isnin, Ogos 06, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Solo, Kediri, pendopo kerajaan Majapahit dan makam Sheikh Jamaluddin Kubro di Mojokerto

Allah! Sedar tak sedar malam ini sudah masuk 17 Ramadhan, malam Nuzul Quran. Sambil kita menghampiri fasa berpuasa yang lebih menarik iaitu fasa kedatangan lailatul qadar harap-harap semakin rapatlah hubungan kita dengan Yang Maha Pencipta juga sesama kita sebagai manusia yang dicipta sebagai wakilNya di muka bumi. Kita teruskan lagi cerita perjalanan Pulau Jawa yang sudah hampir sampai ke penghujungnya. Bersambung dari Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Wali Hassani di Kebumen, Buddha di Borobudur dan Jawa Kejawen di Jogja...


Dari Jogjakarta kami bergerak menaiki bas lewat malam untuk ke Solo, sebuah bandar diraja kebanggaan masyarakat Jawa yang menurut sesetengah orang memiliki kedudukan lebih utama berbanding Jogja. Ia juga dikenali sebagai Surakarta. Sampai sahaja di terminal kami mengambil teksi terus ke masjid utamanya...


Niat kami sekadar mahu menjejakkan kaki masuk ke masjid sebagai syarat.  Tetapi kami sampai pun sudah jam 1.30 pagi waktu tempatan lalu pagar besar masjid pun berkunci. Nampak tak apa yang ada dalam gelap?


Keadaan sama apabila flash digunakan. Lihatlah isteri tidur di atas pangkin kayu memeluk anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang ketika itu berumur 2 tahun 7 bulan. Di sebelahnya berbungkus jaket hitam adalah bayi kami Muhammad Alauddin Johan yang sedang menghampiri umur 3 bulan.

Syukur alhamdulillah saya dikurniakan isteri dan anak-anak yang tabah. Demi menunggu masjid dibuka agar dapat menjejakkan kaki ke dalam sebagai syarat mereka sanggup tidur di pangkin yang terletak di luar halaman masjid, dalam kegelapan yang disapa angin sejuk awal pagi selama beberapa jam. Beginilah cara kami anak-beranak berjalan demi memenuhi misi yang kalau diceritakan pada orang pun entah berapa kerat yang faham. Selain mahu menjimatkan belanja kami rasa pada saat-saat begini amatlah membazir jika menyewa bilik hotel kerana selepas masuk ke masjid kami akan terus meninggalkan Surakarta untuk menjejak lokasi lain.


Adapun ketika itu sudah masuk Rabu 13 Mei, 2012, hari ke 13 kami berjalan pusing Pulau Jawa. Esok petang kami harus menaiki pesawat dari Surabaya kembali ke Malaysia sedangkan dari Solo ke Surabaya masih agak jauh dan ada beberapa tempat lagi perlu disinggahi untuk menamatkan misi. Berbekalkan rasa yakin dan tawakal akan penjagaan Allah, saya meninggalkan anak dan isteri sebentar untuk berjalan sekitar 400 meter ke satu lagi tempat bersejarah. Lihat artikel Keraton (Palace of) Solo Surakarta di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Sekitar 4: 15 pagi waktu tempatan baru masjid dibuka sebagai persediaan untuk solat Subuh. Baru kami dapat masuk menjejakkan kaki dan bersolat. Lihat Masjid Agung (Great mosque of) Surakarta.


Selepas langit terang kami pun bersedia untuk meninggalkan Solo. Gambar ini diambil 5:56 pagi...


Dalam bas baru dapat berehat dengan lebih selesa.


Destinasi kami seterusnya adalah Kediri, sebuah bandar yang pernah menjadi pusat kerajaan lama Daha yang pernah terserlah sebelum kerajaan Majapahit diasaskan sekitar 1293 Masihi. Kami sampai sekitar 12.30 tengah hari, turun di satu kawasan berdekatan pusat bandar lalu mengisi perut dengan kuih di warung ini.


Kami turun di sini kerana menyangkakan masjid utama Kediri terletak di seberangnya.


Rupa-rupanya kami tersilap...


Masjid utama bandar ini terletak ke hadapan lagi melewati sebuah sungai besar.


Inilah masjidnya. Lihat Masjid Agung (Great mosque of) Kediri.


Di masjid ini baru kami anak-beranak dapat betul-betul membersihkan diri dan melepaskan hajat.


Selepas itu baru kami menyambung perjalanan ke timur, semakin menghampiri Surabaya. Turun di satu kawasan yang dipanggil Trowulan di Mojokerto.


Kawasan ini pernah menjadi pusat kerajaan dan empayar besar kebanggaan orang Jawa iaitu Majapahit. Turut terdapat adalalah makam Sheikh Jamadil Kubro, wali agung yang dikatakan menurunkan para Wali Songo.

Dari jalan besar kami menyewa ojek atau membonceng motor tumpangan lalu singgah di kolam besar ini yang merupakan satu peninggalan lama Majapahit. Lihat Kolam (Pool of) Segaran.


Kami turut singgah ke muzium peninggalan kerajaan tetapi setakat di halaman semata-mata untuk melihat patung tidak bermuka ini. Bukan apa. Seorang kenalan kami yang biasa berhubung dengan alam ghaib berpesan jika lalu di sekitar Trowulan lihatlah patung ini. Tak tahu pasal apa...


Ini pula isteri dan anak di hadapan patung Patih Gajah Mada, pembesar utama Majapahit yang dikatakan bertanggungjawab membawa kerajaan ini masuk zaman keemasannya abad ke 14 Masihi. Ketika ini kami berada di halaman satu lagi tinggalan lama kerajaan. Lihat Pendopo Agung (Great open hall of) Trowulan.


Selepas itu baru ke makam Sheikh Jamadil Kubro, pendakwah agung yang turut dikenali sebagai Sayyid Hussein Jamaluddin Al-Kubra. Walaupun ada pihak percaya beliau sebenarnya mangkat dan dimakamkan di Wajo, Sulawesi iaitu di Tanah Bugis masyarakat Jawa Timur pula bertegas makamnya ada di sini. Lihat Makam (Tomb of) Sayyid Jamadil Kubro di (at) Troloyo.


Ketika hendak kembali ke jalan besar kami diberitahu ada satu lagi makam menarik sekitar ini. Kami pun meminta pemandu ojek membawa ke situ. Di sini berlaku peristiwa agak pelik. Ketika sampai di makam pemandu memberitahu ia milik seorang puteri bukan beragama Islam. Tetapi seorang pengunjung yang kebetulan sedang berehat di makam membantah. Seketika itu juga kawasan ini menjadi gelap, black out. Gambar ini diambil dalam kegelapan menggunakan flash. Lihat Makam (Tomb of) Putri Campa, Mojokerto.


Selesai ziarah baru kami makan malam di kedai berdekatan.


Kemudian baru mendapatkan bas ke Surabaya yang tamat perkhidmatan di terminal Sidoarjo di pinggir selatan bandar raya. Ambil teksi untuk melihat masjid utamanya yang terletak sekitar 3-4 km perjalanan. Lihat Masjid Nasional (National mosque of) Al-Akbar, Surabaya.

OK. Biar diberitahu perjalanan dari Solo singgah ke Kediri dan Mojokerto sebelum sampai ke Surabaya ini memakan jarak 350 km sedangkan ia sendiri adalah kesinambungan perjalanan Kebumen-Borobudur-Jogjakarta-Solo yang memakan jarak 210 km. Kami meninggalkan Kebumen tengah hari Selasa dan sampai di Surabaya 8:30 Rabu malam Khamis. Kiranya dalam tempoh 32 jam itu kami mengembara sejauh 560 km (350 km + 210 km) dan cuma berehat di masjid, pangkin luar masjid dan dalam bas.

Sampai di Surabaya pula kami menghadapi sedikit masalah mencari tempat penginapan yang sesuai sehingga harus berjalan kaki agak jauh sebelum dapat berehat. Apapun alhamdulillah, dengan ini kami sekeluarga telah berjaya berjalan pusing Pulau Jawa sebelum kembali ke Surabaya, tempat perjalanan dimulakan 1 Mei  lalu memakan jarak lebih 2,000 km. Tinggal sedikit sahaja lagi perjalanan sekitar bandar raya untuk diceritakan sebelum kembali ke Malaysia. Nanti... :]