Khamis, Ogos 09, 2012

Mencari batu nesan Aceh di Negeri Sembilan

Kita pergi ke satu perjalanan kecil yang dibuat hujung minggu lalu.

Sabtu 4 Ogos 2012, mengambil kesempatan atas cuti Nuzul Quran hari Isnin di Selangor kami anak-beranak mengorak langkah ke selatan.


Kami mahu berbuka puasa bersama ibu bapa di kampung di Muar. Seperti biasa kami mengambil peluang untuk singgah di tempat-tempat menarik dalam perjalanan. Misi kali ini adalah mencari batu nesan Aceh di Negeri Sembilan. 


Setakat ini, di negeri ini kami cuma pernah melihatnya di satu lokasi sahaja. Lihat artikel lama Makam Raja Melewar (The tomb of Raja Melewar) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Baru-baru ini kami dapat tahu ada sekurang-kurangnya 3 lokasi lain boleh ditemui dalam lingkungan 7-8 km dari makam Raja Melewar...


Selain itu kami diingatkan akan kewujudan mimbar lama menarik di sekitar ini. Masjidnya saya pernah singgahi sekurang-kurangnya sekali lama dahulu. Tetapi saya tidak berapa mengambil perhatian ketika itu. Sekarang baru hendak melihat betul-betul. Lihat Masjid (Mosque of) Nerasau, Rembau.


Rumah-rumah tradisional di sini juga cantik-cantik...


Dari masjid kami mengambil jalan kampung menyusuri sebuah sungai.


Kami dapat tahu ada kampung yang memakai nama Aceh. Terlihat pula bangunan  ini. Lihat Surau (Small praying hall of) Kampung Pulau Aceh, Rembau.


Di sekitarnya kami dapat merasakan semacam aura yang menenangkan dan mempunyai makna.


Terlihat sebongkah batu di perdu pokok. Apakah ia menandakan wujud makam seorang tokoh dahulukala? 


Nama jalan di sebelah membayangkan di sini pernah ada seorang tokoh yang dikenali sebagai Tok Pulau. Namun batu nesan Aceh yang kami cari berdasarkan maklumat yang diperolehi dari website seorang kenalan yang gigih mengkaji sejarah tersembunyi Negeri Sembilan bukan terletak di sini.


Kami perlu bergerak sekitar 8 km ke lokasi lain...


Setelah mengambil masa berpusing-pusing mencari dan bertanyakan orang alhamdulillah jumpa satu makam. Lihat Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh tombstones), Kampung Tanah Datar, Gadong, Rembau. Adapun gambar ini diambil selepas 6 petang.Walaupun masih ada 2 lokasi yang mahu dijejaki kami terpaksa menundanya ke hari lain kerana harus berkejar kembali ke Muar untuk berbuka puasa bersama keluarga. 


Menariknya meter kereta menunjukkan nombor 131.1 (km) di hadapan makam. Biar diberitahu sejak hari sebelumnya kereta kami menghadapi masalah satu silinder kurang berfungsi lalu kurang daya tujahan ataupun pick-up ketika berjalan. Selepas keluar menuju ke selatan tengah hari Sabtu kami terus berjumpa mekanik yang merupakan saudara isteri di Selayang. Selepas diperiksa dengan teliti dia percaya mungkin ada valve atau injap terbakar.

Kerja membaiki harus memakan masa tidak kurang 3 hari kerana enjin harus dibuka. Oleh kerana sudah berjanji hendak berbuka puasa bersama keluarga di Muar kami bertawakal sahaja berjalan jauh denga enjin sebegitu rupa. Selepas meninggalkan rumah mekanik kami ada mengisi minyak di lebuh raya MRR II. Meter di bawah dikosongkan agar saya dapat menjangka konsumsi yang dijangka meningkat kerana perjalanan enjin yang kurang lancar.

Dari titik itulah meter membawa ke nombor 131.1 di hadapan makam berbatu nesan Aceh di lokasi Rembau ini. Adapun nombor 131 membawa maksud home sweet home buat kami sekeluarga.  Tanpa dirancang artikel Surau (Small praying hall of) Kampung Pulau Aceh, Rembau pula siap dipersembahkan pada jam 11.33 pagi tadi, artikel Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh tombstones), Kampung Tanah Datar, Gadong, Rembau terbit 11.55. Semua nombor ini membawa makna buat kami. Semoga ia  petunjuk kepada suatu keadaan yang lebih baik tidak lama lagi.


2 ulasan:

  1. InsyaAllah semoga ia sbgai suatu petunjuk kpd keadaan yang lebih baik... amin...

    BalasPadam
  2. Surau kt kg pulau acheh dulu masa kecik2 selalu solat terutama time bulan puasa, arwah atuk yg imamkan solat time tu. Now semua tinggal kenangan

    BalasPadam