Rabu, Februari 29, 2012

Singgah sebentar di makam keluarga Datuk Aroom

Assalamualaikum. Malam ini saya mahu menyambung mood atau citarasa daripada artikel Satu sisi lain salasilah Raja-raja Perak - Fantasi gila atau ada yang tersirat? (dibuat 3 hari lalu). Malam ini saya mahu bercerita tentang Seminar Antarabangsa Hang Tuah yang dihadiri semalam. Tetapi sebelum itu saya rasa patut melepas sesuatu terlebih dahulu...



OK. Isnin malam Selasa sekitar jam 10 saya berlepas bersama seorang sahabat, saudara Zam dari rumah saya ke Melaka. Sampai selepas 1 pagi lalu bermalam di rumah adik saya di Bukit Katil. Rumahnya tidak jauh daripada Seri Negeri, kompleks utama pentadbiran kerajaan Melaka di mana seminar diadakan. Keluar awal pagi dan sampai sebelum hadirin lain muncul lalu kami membuat keputusan untuk berjalan ke Bukit Beruang di mana terdapat sebuah tanah perkuburan yang dipenuhi batu-batu nesan Aceh.



Cuma 2 pasang makam ini sahaja yang tidak berbatu nesan Aceh. Saya tak tahu kenapa sedangkan kalau tak salah saya yang kanan itu adalah makam utama, maka Datuk Aroom yang menjadi kapitan Melayu pertama semalam zaman Belanda memerintah Melaka 1641-1824.


Namun saya difahamkan makam Datuk Aroom memang asalnya berbatu nesan Aceh tapi sudah dicabut ke tercabut. Adapun saya pertama kali diberitahu tentang kewujudan makam-makam berbatu nesan Aceh di Bukit Beruang ini penghujung 2006. Tetapi semasa itu saya kurang percaya. Penghujung 2008 baru saya mendapat kepastian bahawa makam-makam begitu wujud di sekitar ini, setelah membaca sebuah buku kecil tentang Datuk Aroom. Lihat artikel lama Cerita projek buku masjid - Masjid Kampung Hulu dan masjid-masjid di Melaka.


Lebih kurang sebulan kemudian baru saya mencarinya dan terjumpa. Lihat artikel lama Mencari batu nesan Aceh di Bukit Beruang, Melaka. Namun saya masih agak skeptik apakah betul makam-makam ini milik keluarga Datuk Aroom? Atau ia sebenarnya milik raja-raja atau bangsawan lama Melaka tetapi didakwa sebagai milik keluarga Datuk Aroom oleh waris-warisnya?


Manakan tidak? Setahu saya batu-batu nesan Aceh cuma dipakai oleh golongan atasan yang memiliki darah tertentu. Tak kira betapa kaya pun seseorang itu, ia tidak boleh memakai batu nesan ini kecuali memang berhak... sepertimana saya ada terbaca di Melaka dahulukala tidak boleh memakai perhiasan tertentu jika tidak dibenarkan oleh raja. Kerana kekayaan tidak semestinya menunjukkan status dan kebangsawanan atau ketinggian bangsa. Zaman sekarang ini banyak orang dapat menjadi kaya dengan cara yang tidak elok sedangkan mereka yang sejati berdarah dan bersifat bangsawan lebih rela jadi papa kedana dan miskin daripada mendapat rezeki dengan cara yang tidak berkat.


Keadaan ini menyebabkan artikel tentang kawasan pemakaman ini dalam blogspot dwibahasa saya yang khas untuk masjid-masjid, makam dan tempat bersejarah SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) cuma diberi nama Batu nesan Aceh di (Aceh gravestones in) Bukit Beruang, Melaka. Nama Datuk Aroom tidak disebut pada tajuk.



Lama kemudian baru saya percaya ini memang makam keluarga Datuk Aroom. Sejak itu saya pernah singgah sekali membawa isteri yang ketika itu baru 5 bulan mengandungkan anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid (sekarang sudah berumur 2 tahun 5 bulan dan baru dapat adik). Di sinilah kami mendapatkan kekabu untuk dijadikan bantal anak... ada disebut sepintas lalu dalam artikel lama Takdir yang mencorak perjalanan terbaru ke Melaka... (masa tu je terbaru). Ziarah pagi semalam adalah kali pertama sejak itu... kalau tak salah le (sebab bila dah banyak sangat berjalan kadang-kadang kita lupa entah dah berapa kali sampai). Sekarang baru saya boleh menulis artikel utama tentang Seminar Antarabangsa Hang Tuah. Tunggulah ia siap dalam sejam dua gitu. :]



1 ulasan:

  1. assalamualaikum tuan, saya ada buat sedikit kajian berkenaan datuk aroom dan datuk samsuddin yang bila dikaji betul2 sangat menyimpang dari maklumat yg diberikan berkenaan kecinaan datuk aroom...harap dapat singgah ke blog sy bg mengesahkan kajian yg telah sy buat

    BalasPadam