Keluar lagi daripada penceritaan perjalanan Medan-Banda Aceh 2-13 November dan perjalanan selatan 10-18 Disember yang membawa ke Pulau Bentan...
Jumaat 2 hari lepas saya pergi ke Jabatan Sejarah Universiti Malaya untuk menghadiri satu pembentangan kajian naskah oleh Dr Mardiana Nordin (dalam gambar, kanan). Tajuknya "'Salasilah Raja-raja Perak' : Satu sisi berbeza pengisahan asal-usul Raja Perak". Ia membincangkan kandungan sebuah naskah yang diberi tajuk 'Salasilah Raja-raja Perak' (bukan tajuk asal naskah tapi diberi kemudian untuk tujuan rujukan) yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara sejak diperolehi 1982.
Apa yang menarik tetapi pelik adalah bagaimana penceritaan dalam naskah menyimpang amat jauh daripada sejarah yang sudah diterima dan disepakati ramai. Misalnya sejarah rasmi menyebut Sultan pertama Perak adalah Sultan Muzaffar Shah (memerintah 1528-1549), anakanda kepada Sultan Mahmud Shah Melaka. Sultan Mahmud pula adalah anakanda kepada Sultan Alauddin Riayat Shah ibni Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah ibni Sultan Muhammad Shah. Ada sedikit khilaf tentang identiti Sultan Muhammad Shah namun dipersetujui baginda adalah keturunan Sultan Iskandar yang membuka Melaka selepas melarikan diri daripada Singapura sementara moyang-moyang baginda yang memerintah negara pulau itu adalah keturunan daripada anak Raja Suran yang muncul di Bukit Siguntang, Palembang di mana Raja Suran pula keturunan daripada Raja Iskandar Zulkarnain yang pernah menguasai timur dan barat beberapa abad lebih awal.
Naskah yang dibentangkan menyebut juga tentang Raja Suran dari keturunan Iskandar Zulkarnain tetapi menyambung dengan cerita yang berbeza. Kitab Sulalatus Salatin menyebut Raja Suran masuk ke dalam laut lalu terjumpa satu kerajaan bawah sana dan berkahwin dengan puteri rajanya. Sedangkan cerita dalam 'Salasilah Raja-raja Perak' mendakwa yang ditemui itu kerajaan Jin. Dalam Sulalatus Salatin, Raja Suran mendapat 3 orang anak yang kemudian muncul di Bukit Siguntang, Palembang. Dalam naskah itu pula baginda mendapat 2 orang anak yang kemudian muncul di bukit bernama sama. Tetapi letak bukit itu bukan di Palembang tetapi di dalam negeri Minangkabau.
Oh. Adapun saya cuma mula mengambil gambar setelah pembentangan selesai dan masuk sesi soal jawab. Ini dapat menerangkan kenapa tidak kelihatan Dr Mardiana bercakap tetapi orang lain (termasuk saya! :) yang kemudian lebih ghairah. Kelihatan di tengah gambar sahabat saya Khairul yang juga merupakan seorang saudara daripada keluarga besar Laksamana Raja Mahkota Perak sedang mengemukakan pandangan. Di kirinya (kiri dalam gambar tapi sebelah kanan Khairul) kelihatan saudara Raja Shahriman, penyunting sebuah website berkenaan kerabat diraja Perak (lihat SembangKuala).
Baik Khairul mahupun Shahriman memang minat mengkaji salasilah Raja-raja Perak, cuma minat Khairul mungkin lebih pada keris (lihat Khaz2010) lalu beliau yang baru kembali dari Aceh setelah menetap setahun gitu di Jakarta menceritakan pandangannya tentang salasilah yang mungkin diubah dan dimanipulasikan pihak berkepentingan dengan mengambil contoh cara pemakaian keris zaman sekarang yang menurutnya telah diubah oleh penjajah untuk melemahkan jati diri anak tempatan. Seorang pengkaji salasilah bernama Megat Iskandar turut muncul dalam majlis (belum ditunjuk dalam gambar). Beliau yang menulis blogspot Orang Dua Belas adalah keturunan Megat Terawis, pahlawan dan pembesar Perak terkenal dahulukala.
Berbalik pada naskah 'Salasilah Raja-raja Perak' yang dibincangkan. Naskah menyebut anak Raja Suran yang muncul di Bukit Seguntang (di Minangkabau konon, bukan Palembang) bernama Raja Chulan. Baginda berkahwin dengan anak Demang Lebar Daun (watak sama dalam Sulalatus Salatin tetapi cerita berbeza) lalu mendapat anak bernama Raja Ahmad Tajudin.
Menurut naskah, Raja Ahmad Tajudin itulah yang muncul menjadi Sultan pertama Perak. Kemudian baginda mendapat anak bernama Raja Malik yang menggantikannya atas takhta sebagai Sultan Mansur Syah. Sedangkan sudah disebut di atas, menurut sejarah yang disepakati ramai, sejarah yang boleh dirujuk dalam kitab Sulalatus Salatin dan beberapa sumber lain, selepas anak Raja Suran muncul di Bukit Siguntang terbit beberapa keturunan yang memerintah Singapura diikuti Melaka, kemudian baru muncul Sultan Muzaffar Shah sebagai Sultan Perak pertama.
Kelihatan dalam gambar sifu dan grandmaster Jabatan Sejarah UM, Profesor Dr. Abdullah Zakaria menyampaikan cenderamata kepada Dr Mardiana. Tentang kredibiliti Profesor Abdullah tak perlu dipanjangkan. Beliau ialah satu nama besar dalam pengkajian sejarah di tanah air dan fakta tentangnya boleh dicapai dengan mudah di Internet. Tentang Dr Mardiana dan beberapa orang sahabatnya yang muncul dalam majlis pula mereka memang ahli akademik bidang. Namun kadangkala boleh muncul pendapat tidak kurang bernas dari kalangan mereka yang bukan pun profesional dalam bidang sejarah, mungkin disebabkan faktor darah keturunan.
Saya rasa tidak keterlaluan meletakkan diri sebagai contoh. Asalnya saya graduan matematik daripada University College of London yang cuma meminati bidang sains tegar tetapi beralih arah mencari sejarah apabila mendapat mimpi yang menyuruh saya menggali salasilah. Saya sudah lupa Khairul dari bidang apa tetapi beliau juga terpanggil untuk mengkaji setelah begitu lama memegang jawatan besar dalam satu organisasi tertentu. Shahriman saya tidak tahu latar belakangnya. Cukuplah nama Raja yang dimilikinya dan kedudukan di kalangan kaum kerabat terdekat Kuala Kangsar untuk menerangkan minat.
Adapun Megat adalah seorang graduan akauntasi daripada University of Kent yang kemudian belajar dan membuat kajian salasilah di SOAS (School of Oriental, African dan Slovanic Studies), sebuah universiti di London yang sangat terkemuka dalam bidang kajian sejarah dan peradaban bangsa-bangsa. Beliau mengemukakan satu pandangan yang mungkin boleh merungkai kenapa 'Salasilah Raja-raja Perak' yang dibincangkan sangat jauh beza isinya dengan apa yang telah diterima dan dan disepakati ramai. Katanya mungkin naskah itu merupakan satu propaganda daripada kaum kerabat Raja Yusuf (dicatit sebagai memerintah 1876-1887 sebagai Sultan Yusuf Sharifuddin tetapi sebenarnya memegang jawatan Raja Muda sehingga 1887 sebelum menaiki takhta cuma beberapa bulan).
Kata Megat, para pegawai Inggeris abad ke 19 (kalau tak salah ingatan beliau menyebut Birch) pernah menemuduga sejumlah kerabat diraja Perak lalu bertanya siapakah Sultan pertama negeri itu. Semuanya menjawab Sultan Muzaffar kecuali Raja Yusuf yang menyebut Sultan Ahmad Tajuddin. Sejarah yang disepakati ramai menyebut cuma seorang sahaja Sultan Perak bernama Ahmad Tajudin dan baginda adalah Sultan ketiga (memerintah 1577-1584) bukan pertama. Dan Ahmad Tajuddin ini adalah anak kepada Sultan Mansur Shah (memerintah 1549-1577) yang menjadi Sultan kedua Perak, Sultan Mansur anak kepada Sultan Muzaffar Shah. Namun Megat menambah nama Ahmad Tajuddin juga ada digunakan untuk merujuk kepada Sultan ke 18 Perak, Sultan Ahmaddin. Lalu saya teringat Dr Mardiana ada menyebut naskah 'Salasilah Raja-raja Perak' adakalanya merujuk Sultan Ahmad Tajuddin sebagai Sultan Ahmadin. Cuma beliau menganggap ia mungkin kesilapan penulisan atau satu bentuk singkatan yang sekali-sekala ditimbulkan.
Profesor Abdullah sedang mengambil gambar beberapa manuskrip lama milik saudara Megat. Dalam gambar ni baru nampak Megat dok berdiri dengan seronoknya kerana minat yang ditunjukkan jabatan terhadap koleksinya. Adapun saya dan profesor sependapat bahawa ada kemungkinan naskah 'Salasilah Raja-raja Perak' yang tidak diketahui siapakah penulisnya tetapi dipercayai ditulis paling lewat pun abad ke 19 dibuat dalam keadaan penulisnya 'kesurupan', keadaan separuh sedar yang biasa berlaku apabila ada kemasukan makhluk halus seperti jin... ada unsur-unsur mistik dan ghaib menyebabkan watak-watak yang diceritakan seperti melompat-lompat zaman. Namun di sebalik itu mungkin ada kebenaran tersirat yang harus dirungkai. Misalnya saya terfikir jika benar Sultan Ahmad Tajudin dalam naskah merujuk kepada Sultan Ahmadin (atau Ahmaduddin) maka anaknya Raja Malik yang menaiki takhta sebagai Sultan Mansur Shah sangat cocok dengan sejarah sebenar Sultan ke 19 yang bernama Sultan Abdul Malik Mansur Shah apalagi baginda memang anakanda kepada Sultan Ahmadin.
Ini membuat saya terus ingin mengemukakan pendapat seterusnya. Apakah pernyataan dalam naskah bahawa Sultan Ahmad Tajudin @ Sultan Ahmadin sebagai Sultan pertama Perak ini ada kena-mengena dengan kenyataan bahawa Undang-undang Tubuh Perak (mula dikuatkuasakan tahun 1948 kalau tak salah) menyebut bahawa seorang Sultan Perak haruslah dipilih daripada keturunan Sultan ke 18 iaitu Sultan Ahmadin? Kelihatan undang-undang ini mengenepikan zuriat daripada 3 Sultan sebelumnya yang disebut salasilah rasmi sebagai adik-beradik belaka kepada Sultan Ahmadin, semuanya anakanda kepada Sultan ke 14, Sultan Muhammad Shah (memerintah 1744-1750). Mungkin sebab itu Sultan Ahmad Tajudin @ Sultan Ahmadin dinyatakan sebagai Sultan pertama Perak, seolah-olah sultan-sultan Perak sebelum itu tidak sah kedudukan? Atau apakah mungkin Sultan Ahmadin memang berasal dari keturunan lain yang salasilahnya agak terpisah daripada Sultan-sultan Perak sebelumnya?
Tetapi muncul juga masalah lain kerana menurut naskah tersebut selepas Sultan Mansur muncul anak perempuannya Raja Budak Rasul menjadi pemerintah Perak ketiga sedangkan dalam sejarah sebenar Raja Budak Rasul adalah anakanda kepada Sultan ke 13, Sultan Muzaffar III (memerintah 1728-1752). Kemudian datang Sultan Iskandar Zulkarnain menjadi Sultan keempat sedangkan ini nampaknya merujuk kepada Sultan ke 15 Perak yang memang bernama Sultan Iskandar Zulkarnain (memerintah 1752-1765). Menariknya Sultan Iskandar Zulkarnain dalam naskah disebut sebagai Raja Muda Johor yang mengahwini seorang puteri kepada Sultan Mansur. Terus saya teringat dakwaan seorang kenalan dan kaum keluarganya bahawa Sultan Iskandar Zulkarnain di Perak itu berasal daripada keturunan Raja Kecil Siak yang dikatakan anak kepada Sultan Mahmud Mangkat Dijulang Johor.
Selain dari itu naskah turut menceritakan asal-usul keturunan Sayid (keturunan Nabi Muhammad SAW) di Perak. Ini diceritakan agak tepat, sesuai dengan apa yang sudah disepakati ramai. Melihat ini saudara Megat menambah, nampaknya ia harus ada kaitan dengan Raja Yusuf juga. Adapun Sultan Iskandar Zulkarnain dalam sejarah memiliki seorang puteri bernama Raja Sabda Rasul, berkahwin dengan Raja Alauddin yang merupakan seorang Sayid. Dari perkahwinan ini terbit Raja Alang Radin yang mendapat seorang anak perempuan bernama Raja Ngah Aminah, bonda Raja Yusuf. Hmm...
p/s: Harap nanti ada yang dapat menjawab kenapa Undang-undang Tubuh Perak menyebut Sultan-sultan Perak harus dipilih daripada keturunan laki-laki Sultan ke 18. Kalau tak salah ingatan kemudian baru disebut, apabila tidak ada waris sedemikian barulah boleh dicari waris lain daripada keturunan Sultan pertama. :]
cam ne jawaban akhir akhir nanti
BalasPadamsapa la berketurunan ahlulbait dan kuat berdarah raja selain keturunan sultan ke 18
BalasPadamBoleh jadi sultan pertama perak sultan Ahmad tajuddin adalah syeikh ahmad tajuddin syeikh ismail sultanul arrifin. Pulau besar.
BalasPadam