Ini kiranya wrap-up aktiviti hujung minggu baru ini sebelum siri baru tentang perjalanan ke Pantai Timur penghujung 2010 dimulakan.
Petang Sabtu 9 April 2011 kami mengambil lebuhraya Maju menghala ke Putrajaya.
Singgah sebentar di perhentian rehat.
Tak lama kemudian sampailah di Putrajaya.
Hmm. Dah lupa pula, gambar ini diambil samada ketika menuju ataupun meninggalkan Presint 4 di mana terdapat bahagian bukit dan potongan yang dikatakan pusat sebuah kerajaan lama takpun kerajaan ghaib. Lihat artikel lama Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman?.
Lalu di hadapan bangunan ini pula saya mesti teringat sebuah mimpi lama.
Biar disalin semula bahagian berkaitan daripada artikel Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?.
Bangunan Istana Kehakiman yang ada 3 buah kubah terserlah mengingatkan pada satu mimpi lebih 10 tahun lalu. Dalam mimpi itu saya berdiri seorang diri dalam kegelapan lalu timbul rasa untuk bertakbir. Entah kenapa saya terasa nikmat yang amat sangat semasa bertakbir lalu jasad saya mula terapung naik ke udara. Kelihatanlah sebuah bandar terbentang di bawah dengan bangunannya banyak berkubah. Bangunan paling dekat betul-betul bawah saya rupanya saling tak tumpah seperti Istana Kehakiman!
Dari hadapan Istana Kehakiman kita boleh melihat terus ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin @ Masjid Besi.
Seperti disebut pada penghujung artikel Jalan-jalan Putrajaya dan majlis maulud/hol yang akan datang kami ke Putrajaya untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul dan Hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Besi.
Tapi sebelum itu saya mahu menunaikan satu hajat di Menara Millenium.
Saya mahu mengambil gambar setiap panel gelas yang ada di bangunan ini. Untuk pengetahuan pada panel-panel itu tercatat sejarah Malaysia dari zaman kemunculan kerajaan Melayu Melaka hingga ke tahun 2000. Saya telah mengambil gambar setiap panel dan kiraan manual menunjukkan ada 143 ke semuanya. Separuh atau satu pertiga gitu sudah dipaparkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Lihat artikel History of Malaysia at Millenium Tower.
Entah kenapa ada satu panel retak. Tahun 1887 terus membawa saya kembali mengimbas sejarah Perak. Pada awal tahun itu Sultan Abdullah Muhammad Shah II yang dibuang ke Pulau Seychelles 1877 akibat dituduh terlibat dengan pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch 1875 masih lagi bergelar Sultan Perak. Tetapi hakikatnya Perak diperintah Inggeris dengan Raja Muda iaitu Raja Yusuf yang menjadi pemangku raja harus akur sahaja kepada setiap kata-kata mereka.
Raja Yusuf cuma dapat menaiki takhta Mei 1887. Tetapi atas sebab tertentu, kalau tak salah kerana diserang barah otak baginda mangkat bulan Julai lalu digantikan menantunya yang menaiki takhta sebagai Sultan Idris. Sultan Idris inilah yang sering disebut Inggeris sebagai Sultan Melayu yang paling progresif. Agak-agak kenapa penjajah begitu memuji ya? Yang pasti baginda melanggar tradisi lama apabila membuka istana dan bersemayam di mudik kiri Sungai Perak. Rujuk perjanjian lama antara Tok Temong dengan Sultan pertama Perak di artikel lama Tok Temong (Selingan terakhir, He! He!...).
Apapun kami anak-beranak seronok berjalan-jalan di sini.
Al-Rasyid cuba meniru gaya saya mengambil gambar tadi...
Masuk waktu Maghrib baru kami ke Masjid Besi.
Posing sebentar di pintu masuk kawasan di mana tertera Asmaul Husna, nama-nama Allah yang indah. Nampak tak Asmaul Husna Al-Rasyid yang bermakna Yang Bijaksana? Teringat ada orang menegur tidak boleh memanggil anak sebagai Al-Rasyid kerana serupa dengan Asmaul Husna, kalau nak juga mesti disebut Abdul di hadapan untuk menandakan diri kita sebagai hamba. Namun ada juga menyebut tidak menjadi kesalahan untuk perkataan-perkataan tertentu kerana Al-Rasyid dari segi bahasa cuma bermakna yang bijaksana. Cuma apabila merujuk pada Allah kita tambah terjemahannya jadi Yang Maha Bijaksana untuk menunjukkan kebesaran yang tidak mungkin dijangkau kita, pada manusia pula ia cuma yang bijaksana dengan tulisan kecil sahaja. Begitulah lebih kurang...
Selepas solat Maghrib acara Maulud pun dimulakan. Sebenarnya selepas Asar tadi pun dah ada Maulud diikuti syarahan boleh didengar hingga ke Menara Millenium tetapi saya lebih suka acara sebelah malam. Lihat gambar-gambar dan cerita di Maulidur Rasul dan Hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Besi. Klip-klip video pula boleh ditonton di The Maulud and Hol of Sheikh Abdul Qadir al-Jilani at the Steel Mosque in Putrajaya.
Esoknya tengahari Ahad kami menghala ke Semenyih.
Oh. Selepas tamat majlis Maulud di Masjid Besi kami ada berehat di rumah seorang kenalan baru di Presint 9 sebelum bermalam di rumah milik keluarga di Kajang. Di Semenyih kami bersolat di masjid jameknya lalu mengambil gambar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Raja Muda Musa, Semenyih di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Kemudian kami mengambil jalan pendalaman ke Hulu Langat.
Keadaan selepas hujan terasa begitu menyegarkan.
Pintu masuk ke air terjun Sungai Tekala. Meriah juga keadaan (tak kelihatan dalam gambar) walaupun sebelum itu hujan lebat.
Seperti biasa saya tidak dapat menahan diri daripada menikmati keindahan tasik di Empangan Semenyih. Al-Rasyid pun suka. Lihat Semenyih dam... again....
Hampir ke pekan Batu 18 kami singgah di masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Jawa, Hulu Langat.
Ini pula gambar di tepian Sungai Langat berhadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Dusun Tua. Dahulu ia merupakan satu-satunya IKBN yang ada di Malaysia. Teringat suatu masa beberapa kali bertandang untuk melawat seorang bapa saudara yang menjadi pengetuanya. Semasa itu saya masih tercari-cari lagi salasilah keluarga dan sering berkongsi dengannya perkembangan pencarian sendiri.
Kelihatan di hadapan orang menjual durian. Saya dapat melihat lebih 5 buah gerai di sekitar ini sahaja. Semasa di pekan Batu 18 tadi kami ada berhenti menikmati sebiji durian segar di satu-satunya gerai yang ada. Kata tuan punya gerai duriannya dibawa dari Tanjung Malim. Kalau ada orang mendakwa menjual durian dari Hulu Langat maka dia itu pembohong kerana di sini belum lagi musim. Dia ada memberi petua bagaimana hendak menghilangkan bau durian dari badan. Ia dipraktikkan sejurus selepas menghabiskan hidangan dan ternyata amat berkesan. Menariknya dia sendiri baru mendapat petua itu dari seseorang hari sebelumnya.. :]
Ke hadapan lagi menghala ke pekan Batu 14 kelihatan sebuah simpang. Jalannya kelihatan begitu elok dan lebih lebar dari jalan utama sekitar Hulu Langat. Sebelum ini saya tidak pernah sedar kewujudan jalan ini. Apakah ia baru dilebarkan? Saya pun masuk ke dalam hingga ke penghujung semata-mata untuk melihat apa yang ada.
Pada satu bahagian tidak jauh dari simpang ke jalan utama kelihatan sebuah rumah moden tetapi dengan atap memakai ukiran cara lama yang saya sering panggil sebagai lidah terjulur.
Masuk ke pekan 14 saya singgah lagi di masjid. Lihat Masjid (Mosque of) Sultan Hisamuddin, Batu 14, Hulu Langat.
Kemudian kami mengambil jalan potong bukit ke Ampang. Teringat dahulu saya mesti singgah di kawasan ini yang terletak di puncak bukit. Di atasnya ada restoran dengan menara pemerhati (observation tower) di mana kita boleh melihat hampir seluruh Lembah Kelang. Tetapi sejak beberapa tahun bayaran dikenakan untuk masuk ke kawasan, saya tidak pernah singgah lagi.
Cukuplah melihat bandar raya Kuala Lumpur dari bahagian lereng menurun ke bawah.
Perjalanan diteruskan ke Jalan Tun Razak. Isteri saya mahu kami mencari sebuah makam berdekatan pusat bandar raya yang baru diberitahu oleh seorang kenalan beberapa hari lalu.
Alhamdulillah kami dapat mencarinya dengan sekali lalu. Saya pula sangat teruja apabila mendapati batu nesan yang ada. Lihat Makam (Tomb of) Harun Al-Rasyid, Kuala Lumpur. Saya kenal sangat dengan bentuknya yang merupakan salah satu jenis batu nesan Aceh. Untuk makluman inilah kali pertama saya terjumpa batu nesan Aceh di dalam lingkungan 70 km di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Paling dekat pernah ditemui sebelum ini adalah di Kuala Selangor, tak sangka ada satu begitu dekat dengan pusat bandar raya!
Untuk faedah pembaca biar buku yang dibeli di Labuan tahun lepas ini dirujuk. Lihat artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Pusing satu pulau... kaitan Labuan dengan Dinasti Al-Kamil?.
Boleh nampak tak persamaan dengan batu nesan yang mana?
Ya, buku itu meletakkannya sebagai batu nesan Aceh jenis (k), dipercayai dibuat antara 1700 hingga 1800 Masihi. Ada kemungkinan makam telah wujud lebih lama sebelum didirikan batu nesan Aceh kemudian. Apapun batu nesan jenis ini cuma dipakai untuk orang-orang penting sahaja seperti ulamak besar, ketua masyarakat, pembesar istana, kerabat diraja dan raja. Ini bermakna sudah ada orang penting duduk di satu bahagian Kuala Lumpur sebelum bandar raya ini diteroka untuk perlombongan bijih timah tahun 1850an. Sudah ada orang penting sebelum Kuala Lumpur secara rasmi berdiri tahun 1880an dan orang penting sebegini biasanya melambangkan sudah ada penempatan besar orang Melayu dan Islam.
Menariknya makam ini dikatakan milik seseorang bernama Harun Al-Rasyid dan isterinya bernama Zubaidah, sama dengan nama Khalifah Harun Al-Rasyid dan isterinya yang hidup di Baghdad lebih 1,200 tahun lalu. Sambil itu teringat persoalan penggunaan perkataan Al-Rasyid untuk memanggil anak. Penjaga makam pula menyebut Harun Al-Rasyid ini datang ke Tanah Melayu seiring dengan kemunculan Sheikh Ismail di Pulau Besar. Tapi saya tak pasti kerana ada kaum yang biasa mengaitkan segala yang dianggap keramat dengan Sheikh Ismail walaupun sebenarnya dari zaman lain.
Apapun kalau betul ia sezaman dengan Sheikh Ismail, maka ia harus datang pada zaman kegemilangan Melaka (dikatakan sekitar 1450an gitu) atau mengikut pendapat lain pula pada zaman Sultan Malikus Salih memerintah kerajaan Samudera Pasai 200 tahun lebih awal. Yang pasti seorang personaliti besar telah wujud di Kuala Lumpur sebelum tempat ini disebut dalam sejarah rasmi dan ini sendiri sudah cukup untuk menunjukkan sejarah rasmi yang menyebut Kuala Lumpur dibuka oleh puak Yap Ah Loy dan kroni-kroninya sudah harus ditolak tepi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan