Pada awal pagi 5 hari lepas saya masuk ke blogspot BERPETUALANG KE ACEH lalu mendapati hits counter menunjukkan nombor di atas. Alhamdulillah, sampai juga 100,000. Walhal blogspot itu cukup liat untuk mendapatkan pengunjung. Mungkin kerana boleh buat orang confused, tajuk dalam Bahasa Melayu tapi isi dalam Bahasa Inggeris.
OK. Ini ada lagi satu artikel selingan sebelum siri "Mencari jejak Merong" disambung. Sebelum itu biar diberi satu pepatah... kira pepatahlah jugak yang sebab saya terfikir malam semalam gitu. Ada juga makna yang mendalam walaupun kedengaran agak mengarut...
Ada masanya kita terbau sesuatu yang sedap seperti ikan masin tapi tengok-tengok ia bau stokin, ada masanya pula kita terbau sesuatu yang busuk bacin tengok-tengok orang sebelah goreng ikan masin.
Hujung minggu baru ini Ahad selepas Zuhur saya isteri dan anak menuju ke pinggir bandaraya Kuala Lumpur.
Ada kawan sepejabat isteri mendapat menantu. Kami pun dijemput sama untuk meraikannya.
Kebetulan pagi itu seorang lagi kenalan isteri yang merupakan seorang pengasas produk kecantikan menjemput kami ke pejabatnya di satu lagi bahagian pinggir bandaraya. Maka selepas jemputan kahwin kami ke sana.
Hmm... jadi pelik pula kedengaran perkataan demonstrasi ni. Sebab kat Malaysia demonstrasi ni biasanya merujuk pada orang tunjuk perasaan di jalanan. Sedangkan ia asalnya dari perkataan Inggeris demonstration, dari segi perbuatannya to demonstrate yang membawa makna membuat pertunjukan...
Tu dia Rasyid masa orang buat zapin ramai-ramai. Chewah... :]
OK. Majlis kahwin tadi sebenarnya diadakan di sekitar Segambut sedangkan kelas tarian pula di Gombak. Kalau ikutkan hujung minggu ini kami mahu duduk di rumah sahaja tapi alang-alang dah keluar, kena pula laluannya kami pun mengorak langkah pergi ke Janda Baik melalui jalan lama.
Kadang-kadang saya terlupa bahagian jalan lama yang masih berdekatan Kuala Lumpur juga ada tarikannya...
Masih ada sungai jernih mengalir elok. Kalau tak salah ini adalah Sungai Gombak.
Atas sedikit hampir ke Genting Sempah boleh kelihatan air terjun kecil di tepi jalan.
Masuk ke dalam sikit ada air terjun lain...
Pedulikan tokong Cina dan kuil kecil India yang ada, air di sini memang sedap dibuat mandi nak-nak air terjun yang melimpah turun dari kawasan akar-akar pokok. Boleh digunakan untuk membuat urutan badan...
Masuk sahaja ke Janda Baik kami terus menuju ke rumah lama yang asalnya terletak di Gunung Semanggol, Perak tetapi dicabut, diangkut dan dipasang kembali di sini. Tengok-tengok ia sudah dihuni beberapa orang pengikut Raja Ashman anakanda Sultan Azaln Shah Perak di atas arahannya. Hmm... setelah beberapa lama, akhirnya baru ia kembali jadi rumah, bukan sekadar tempat singgah.
Kebetulan ada tetamu bertandang dari Kelantan. Rupa-rupanya seorang daripadanya adalah tukang yang bertanggungjawab memindahkan rumah ini lebih 10 tahun lalu, tukang yang turut menambah bahagian baru tetapi dibina serupa untuk melengkapkan apa yang kurang tentang rumah ini, maklumlah ia rumah lama, sebahagian bangunan asal telah rosak. Cerita punya cerita tukang ini juga bertanggungjawab membina sebuah restoran berbentuk klasik di Pulau Melaka, Kota Bahru, Kelantan. Ah... saya ada singgah ke restoran itu dalam lawatan ke Pantai Timur hujung 2010 (Insyaallah akan diceritakan selepas siri "Mencari jejak Merong" selesai). Kata orang yang mahu dikenali sebagai Abe Lah Tukang ni, restoran itu miliknya, dibina menggunakan kayu daripada 100 buah rumah lama yang sudah dirobohkan.
Saya, isteri dan anak naik sebentar ke rumah. Turun ke bawah kelihatan sudut ini terlebih menarik. Tapi tu le, dah nak masuk Maghrib... dah mula gelap dah...
Seperti biasa apabila ke Janda Baik sejak beberapa lama kami sekadar menginap di surau. Ini adalah pemandangan waktu paginya.
Kali ini kelihatan sisi kiri surau yang menghadap sungai terang. Rupa-rupanya pondok dapur (sudah tinggal tapak) telah dirobohkan apabila satu dahan besar dari pokok yang kelihatan menghempapnya sehingga rosak. Ini berlaku ketika orang-orang kampung mahu menggondolkan pokok itu. Dahan tersebut mahu dijatuhkan ke sungai tetapi tidak dapat dibuat. Akhirnya ia terpaksa dijatuhkan ke arah dapur... begitulah ceritanya...
Oh, semasa itu pagi Isnin. Kami harus bergegas kembali ke Kuala Lumpur kerana perlu menghantar isteri ke tempat kerja. Sebelum itu sarapan di warung berdekatan surau...
Hidangan nasi lemak di sini sedap. Kali terakhir kami ke Janda Baik, kami terlepas hidangan kerana datang sedikit lambat, habis dah semuanya. Lagipun ketika itu musim cuti sekolah... ramai juga orang datang bercuti ke Janda Baik dan warung ini menjadi tarikan untuk sarapan sehingga ramai yang datang membeli hingga berbelah bungkus dibawa kembali ke tempat penginapan untuk makan bersama keluarga.
OK. Malam sebelum tidur saya ada berbincang dengan isteri. Bilakah kami terakhir pergi ke Janda Baik. Seingat isteri dalam tempoh cuti sekolah November ke Disember 2010 kami ada pergi dua kali, sekali bersama anak-anak lain yang datang bercuti dari Kelantan sekali lagi bertiga sahaja - saya, isteri dan Al-Rasyid.
Selalunya perkara ini boleh disemak dengan melihat koleksi gambar di dalam komputer. Tapi kali ini tidak tertera pun mana-mana gambar kami ke Janda Baik dalam tempoh tersebut. Allah. Baru ingat. Ada satu tempoh di mana saya tidak dapat menggunakan kamera apabila ia rosak ketika keluar dari Beting Beras Basah. Lihat Menyelesaikan bab Perak : Bertungkus-lumus ke Beting Beras Basah yang dibuat 9 November.
Apabila dilihat kembali tarikh antara perjalanan ke Beting Beras Basah hinggalah saya memiliki kamera baru yang gambarnya pertama kali dipaparkan melalui artikel Bakti 3 kamera lama dan misi kamera baru, rupa-rupanya saya tidak dapat mengambil gambar selama satu setengah bulan. Dalam tempoh itu saya ada meminjam kamera sepupu ketika bertandang ke Singapura (lihat Al-Rasyid naik keretapi ke Singapura selesai udah...) tetapi selain dari itu saya tidak merekodkan apa-apa. Maka biar dibuat sedikit catatan untuk ingatan...
Dalam tempoh itu saya ada membawa ibu bapa berjalan ke Putrajaya dan Cyberjaya sebelum ke rumah keluarga isteri di Tanjung Sepat, sempat berjalan-jalan di Morib sebelum ke tempat lain. Dalam tempoh itu juga saya dan isteri ada membawa Al-Rasyid dan dua orang anak yang bermastautin di Kelantan, Erin dan Haziq berehat dua malam di Janda Baik sebelum naik sebentar ke Fraser's Hill. Selepas itu saya dan isteri ada membawa Al-Rasyid ke Janda Baik lagi, selain itu entah ke mana lagi kami pergi... sudah tak ingat kerana kami kerap sangat berjalan... gambar-gambar yang diambillah yang diharapkan dapat mengingatkan apabila kami lupa...
Berbalik pada perjalanan hujung minggu membawa ke hari Isnin. Selepas menghantar isteri ke tempat kerja, saya pun membawa Al-Rasyid kembali ke rumah. Dalam perjalanan kelihatan meter kereta membawa kepada nombor yang menarik... 131313...
Ketika itu kami sudah menghampiri bandar Rawang. Cukuplah cerita ya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan