Sabtu, Oktober 23, 2010

Lawatan tak dijangka ke Brunei - Mengkaji salasilah di Muzium Brunei dan keindahan makam di Luba


Tadi selepas Maghrib saya membuka BERPETUALANG KE ACEH lalu mendapati kaunter pelawat menunjukkan nombor ini. Saya tahu blogspot itu kurang popular apalagi ia mungkin mengelirukan kerana tajuknya dalam bahasa Melayu tetapi isinya semua dalam bahasa Inggeris. Namun ia tetapi blogspot saya yang paling awal dibuka. Dan saya cukup suka apabila mendapati jumlah yang tertera walaupun tidak sebanyak mana adalah cantik... ada ong kata orang Cina.

Kita sambung cerita Brunei. Dari artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Masjid Omar Ali Saifuddin, makam Sultan Syarif Ali dan Syarif Adam....



Dari makam Sultan Syarif Ali sudah cukup dekat dengan Muzium Brunei...






Kedudukan dekat ini boleh kelihatan pada peta ringkas di perkarangan.






Di muzium kami terus menuju ke bahagian yang memaparkan sejarah Brunei lalu kelihatan barang-barang berunsur Arab dan Timur Tengah.






Ini tidak menghairankan kerana sebagai keturunan Syarif Ali, Sultan-sultan Brunei sejak abad ke 15 Masihi adalah berdarah Arab.






Oleh kerana ada lagi destinasi mahu dituju selepas ini, saya cuba mencerna segala maklumat yang perlu secepat mungkin.






Cara paling senang adalah mengambil sejumlah gambar yang boleh ditelaah kemudian, kebanyakkannya mengandungi maklumat tentang sekitar 30 orang Sultan yang pernah memerintah Brunei. Gambar-gambar itu telah dijadikan artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Lihat :-



Pameran di Muzium Brunei (Exhibits at Brunei Museum) 1

Pameran di Muzium Brunei (Exhibits at Brunei Museum) 2




Pemandangan Sungai Brunei dari dalam muzium...



Oh. Saya turut mengambil gambar ini di muzium, sedikit maklumat tentang seorang Ahlul Bait atau anak cucu Nabi Muhammad SAW yang bernama Abdullah bin Hassan Muthanna bin Saidina Hassan, juga dikenali sebagai Abdullah Al-Kamil. Ia sebenarnya adalah sebahagian dari siri maklumat tentang moyang-moyang Sultan Brunei dari Syarif Ali membawa ke Nabi Muhammad SAW. Entah kenapa saya tergerak untuk memaparkan gambar ini lebih awal iaitu ketika membuat artikel pertama siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh", hari pertama bulan Ramadhan. Lihat Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Mukadimah berkaitan kebangkitan ummah?.




Perjalanan seterusnya dibuat menghilir sungai sebelum menghala ke barat.






Al-Rasyid kelihatan cukup gembira apabila dapat bersiar-siar. Kami berehat sebentar di rumah Hajah Sopiah sebelum menyambung perjalanan.






Jalan yang diambil kemudian boleh membawa ke sebuah lagi masjid utama di Brunei.






Ia adalah Masjid Hassanil Bolkiah yang diberi nama sempena Sultan sekarang...






Buat masa ini kami tidak singgah tapi terus menghala ke barat-daya. Jalan yang sama melepasi Istana Nurul Iman, tempat tinggal utama keluarga diraja.






Tidak lama kemudian kelihatan simpang masuk ke destinasi. Percaya atau tidak, arah-tuju ke sini didapati oleh saya dan isteri melalui Internet sebelum sampai ke Brunei.






Hajah Sopiah dan keluarga pun tidak tahu tentang kewujudannya. Cuma ada orang berpesan ziarahlah ke makam seorang pemerintah Brunei yang bernama Sultan Kamaluddin sedangkan mereka sekeluarga tidak pernah menziarahi mana-mana makam diraja sebelum kami sampai.




Ternyata tempat ini sangat cantik, rasanya kawasan sekitar makam yang paling cantik kami pernah lihat di Brunei...

Lihat bangunan makam di atas bukit kecil. Satu perkara yang dapat dilihat... semua makam-makam lama di Brunei terjaga dengan elok.


Isteri duduk sebentar di pintu masuk makam.




Lihatlah jalan yang perlu diambil tadi. Cantik tak cantik, indah tak indah lihat gambar-gambar yang baru diletakkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Masuk ke :-


Tomb of the pious king at Luba

The beauty of Luba


Khamis, Oktober 21, 2010

Sekitar majlis persandingan sepupu baru ini...

Satu lagi selingan. Dalam siri "Al-Rasyid berhari raya" ada 2 artikel berkenaan perkahwinan seorang sepupu yang berlangsung bulan itu, Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu dan Al-Rasyid berhari raya : Upacara teh Cina, pengalaman lucu di penthouse dan majlis gilang-gemilang di Shang.... Hujung minggu baru ini pula telah diadakan majlis terakhir berkaitan. Namun ketika itu bukan lagi bulan raya, jadi tidaklah termasuk dalam siri lalu harus dipersembahkan kemudian.

Untuk blogspot ini cukuplah dipersembahkan klip-klip video ya. Untuk gambar-gambar dan penceritaan lihat artikel A cousin's wedding - the preparation for our side's reception... dan The cousin's reception... yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Oh, ini adalah artikel ke 757 di blogspot ini...









Mengenang Al-Rasyid cukup setahun

Selingan...


Tadi semasa menyemak koleksi gambar yang diambil bulan Oktober, ternampak gambar-gambar anak kecil saya Al-Rasyid lalu terasa ingin membuat artikel.


Adapun gambar-gambar ini diambil pada petang 13 Oktober 2010. Untuk makluman pada jam 3 pagi hari itu genaplah umur Al-Rasyid setahun.


Saya ada menyebut tentang ini pada artikel Al-Rasyid berhari-raya : Bertemu kawan lama dan lepasan dari sekolah sains... yang dibuat tengahari itu. Namun lewat petang baru saya terfikir untuk mengambil gambar kenangan dan pada malamnya pula dibuat satu klip video kecil... cukup setakat untuk menunjukkan beginilah rupa dan keadaan anak kecil kami apabila sudah cukup umur setahun... :]




Rabu, Oktober 20, 2010

Lawatan tak dijangka ke Brunei - Masjid Omar Ali Saifuddin, makam Sultan Syarif Ali dan Syarif Adam...

Hmm. Hari ini tarikh boleh dikira agak istimewa, 20 Ogos 2010 bersamaan 20/10/2010. Tadi terlihat di kaca televisyen akan perisytiharan Melaka sebagai negeri maju. Sepatutnya ia dibuat setelah masuk jam 20:10 (8:10 malam). Tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib nampaknya off sikit timing... isytihar sekitar jam 20:09 dan 16 saat gitu. Nampak muka Ketua Menteri Datuk Ali Rustam macam sedikit kecewa. Tak apalah... orang boleh kata kalau ikut jam mereka dah masuk dah 20:10 semasa pengisytiharan dibuat... waktu yang dipaparkan di TV pula tersilap 45 saat, hehe. :]

OK. Kita teruskan penceritaan mengenai perjalanan di Brunei. Bersambung dari Lawatan tak dijangka ke Brunei - Sebab musabab perjalanan, institusi Melayu Islam Beraja...


Pagi Isnin 2 Ogos 2010. Selepas sarapan pagi Hajah Sopiah membawa kami masuk ke Bandar Seri Begawan.



Ibunegara Brunei ini terasa tenang, tidak terkejar-kejar...


Seperti di Banda Aceh nampaknya tiada bangunan lebih tinggi dari menara yang terdapat di masjid utama iaitu Masjid Omar Ali Saifuddin.


Boleh kata majoriti gambar atau poskad yang ingin mempromosikan Brunei akan menunjukkan gambar masjid yang kubahnya dikatakan dibina dari emas padu ini. Kami pun mengambil peluang untuk bergambar. Kelihatan sama adalah Sobrina, anak sulung Hajah Sopiah. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Omar Ali Saifuddin, Brunei di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Gambar cantik boleh diambil dari hadapan sebuah tasik. Lihat Views of Brunei's golden-domed mosque and its surroundings di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Turut menarik perhatian adalah bangunan ini, kalau tak salah bangunan jabatan agama. Senibinanya kelihatan berunsur Minangkabau. Apakah Brunei ada kaitan? Teringat kisah tentang seorang bernama Syarif Ali, katanya keturunan raja Samudera-Pasai yang terdampar di satu kawasan yang dikira terletak dalam lingkungan kerajaan Minangkabau, kawasan yang kini dikenali sebagai Batu Hampar.


Perjalanan diteruskan untuk ke satu destinasi lain di luar bandar.


Kelihatan kampung air di atas Sungai Brunei, katanya penempatan atas air yang terbesar di dunia!


Perjalanan kami menghilir Sungai Brunei menghala ke muara.


Sampailah ke destinasi iaitu makam Sultan Syarif Ali...


Untuk pengetahuan, baginda adalah Sultan pertama Brunei yang memiliki darah Ahlul Bait. Sebelum itu Brunei telah memiliki 2 orang Sultan (ada yang kata 3). Tetapi Syarif Ali lebih istimewa kerana diiktiraf sebagai berasal dari keturunan Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW. Sebagai satu-satunya keturunan Nabi Muhammad yang diketahui pernah menjadi khalifah seluruh umat Islam, Saidina Hassan disebut sesetengah pihak sebagai moyang kepada watak-watak utama yang bakal membela ummah akhir zaman. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Syarif Ali. Sultan-sultan Brunei seterusnya adalah anak cucu Syarif Ali. Mungkin sebab itu mereka diberi kekayaan yang melimpah-ruah?


Di sini kami bertafakur lama. Pada saya yang sudah lama menelusuri salasilah raja-raja, Sultan Syarif Ali sangat istimewa kerana merupakan Sultan pertama yang diketahui dalam sejarah rasmi Alam Melayu sebagai berasal dari darah daging Saidina Hassan. Walaupun kajian peribadi menunjukkan telah ada beberapa orang pemerintah dari keturunan sama di rantau ini, maklumat yang ada agak kabur lantaran banyak perkara terpaksa dirahsiakan atas sebab tertentu.

Sultan Syarif Ali dan anak cucu keturunan baginda terus menjadi satu-satunya nasab keturunan Saidina Hassan yang diakui wujud dan terus berdiri sebagai para pemerintah di Asia Tenggara. Pada saya kedatangan ke sini apalagi dalam keadaan tidak disangka (rujuk balik apa yang ditulis di Lawatan tak dijangka ke Brunei - Sebab musabab perjalanan, institusi Melayu Islam Beraja) adalah satu macam akuan akan segala usaha penat-lelah saya selama ini cuba menelusuri kewujudan anak cucu Saidina Hassan yang hilang dalam lipatan sejarah.

Pada Hajah Sopiah dan keluarga pula inilah kali pertama mereka melawat makam-makam raja. Walaupun mereka penduduk tempatan, mereka mungkin terasa risau atau rendah diri hendak menjejakkan kaki, lalu kedatangan saya, isteri dan anak menjadi pemangkin yang menolong membuka pencarian mereka sendiri.

Di makam mereka menerima jaminan oleh penjaga bahawa tidak salah untuk menziarahi walaupun kita bukan dari keluarga diraja. Hajah Sopiah yang biasa lalu di jalan hadapan menerima ini sebagai berita baik apalagi beliau baru sahaja disarankan oleh seorang ustaz agar pergi menziarahi makam seorang Sultan Brunei abad ke 18, Sultan yang saya rasa mungkin ada kaitan dengan keluarga Hajah Sopiah.

Oh. Penjaga makam ada memberikan sejenis salawat yang diterima dari makam Sultan Syarif Ali untuk kami amalkan. Beliau juga turut menyebut tentang kewujudan makam seorang pendakwah yang pernah menjadi guru Syarif Ali.


Pendakwah itu bernama Syarif Adam, seorang Ahlul Bait dari keturunan yang sama. Lihat Makam (Tomb of) Syarif Adam.

Kalau tidak kerana diberitahu oleh penjaga di makam Sultan Syarif Ali, kami mungkin tidak tahu akan kewujudan makam Syarif Adam lalu terlepas pandang. Nampaknya walaupun tidak menjadi raja, Syarif Adam memiliki taraf yang mungkin lebih tinggi. Lihat kedudukan makamnya lebih ke atas... makam Syarif Ali di bawah sana. Untuk pengetahuan lebih kurang 350 meter dari makam Syarif Ali, pada paras ketinggian lereng bukit hampir sama terdapat pula makam cucu baginda iaitu Sultan Bolkiah. Sultan ini dianggap paling gemilang kerana dapat meluaskan jajahan takluk Brunei sehingga meliputi seluruh Pulau Borneo serta sebahagian dari kepulauan Filipina namun makamnya juga terletak di bawah makam Syarif Adam Akan datang : Kajian salasilah di Muzium Brunei dan makam seorang raja alim di Luba.

Nota: Pada gambar bangunan yang kelihatan berunsur Minangkabau ada saya sebut tentang Syarif Ali di Batu Hampar yang katanya berasal dari kerajaan Samudera-Pasai. Saya tidak tahu apakah ia adalah orang yang sama dengan Syarif Ali yang merajai Brunei. Namun zaman mereka wujud lebih kurang sama iaitu sekitar 600 tahun lalu. Satu lagi, saya ada terbaca tentang kajian satu pihak yang menyebut Syarif Ali Batu Hampar sebagai orang yang sama dengan Syarif Muhammad Al-Baghdadi yang menulis Batu Bersurat Terengganu. Isyarat yang baru saya dapat tadi menunjukkan mereka adalah individu yang berlainan. Itu sahaja buat masa ini. Oh, untuk rekod saya ini adalah artikel ke 755 di blogspot ini.


Kaitan Aceh-Brunei-Bugis?


Hmm. Tadi sekitar jam 10 pagi saya baru masuk ke blogspot lalu mendapati kaunter bawah menunjukkan nombor ini. Kebetulan memang saya mahu membuat sebuah artikel baru, kiranya artikel selingan tetapi masih berkaitan dengan Brunei. Mari..


Semalam saya telah pergi ke Perpustakaan Negara untuk bertemu seorang kenalan yang ingin membincangkan kaitan salasilah diraja Aceh dengan Bugis lalu mendapati ada pameran baru di ruang legar...

Menariknya ia adalah pameran yang melibatkan Brunei. Sedangkan baru 2 hari lepas saya memulakan siri baru tentang perjalanan yang dibuat ke Brunei sebelum masuk bulan Ramadhan, siri yang dijanjikan mahu disajikan di sini sejak 2 bulan lalu. Lihat Lawatan tak dijangka ke Brunei - Sebab musabab perjalanan, institusi Melayu Islam Beraja.


OK. Bahagian yang kelihatan di tengah ini mempamerkan aktiviti-aktiviti perpustakaan tempatan di Malaysia.



Ini pula berkenaan seni khat tulisan Jawi.




Pada kotak-kotak ini baru saya ternampak barangan yang betul-betul terkait dengan Brunei.





Terdapat buku-buku kajian Barat juga salinan perjanjian lama yang melibatkan kerajaan itu...






Turut ditekankan sekali adalah kempen pembudayaan tulisan Jawi. Perkara ini jadi terkait dengan Brunei kerana di negara Melayu Islam Beraja itu tulisan Jawi didaulatkan dan diberi penekanan tinggi sehingga boleh kelihatan terpampang di mana-mana papantanda di tempat awam.







Replika Batu Bersurat Terengganu yang ada pula seperti memberi isyarat tentang kaitan tertentu. Mungkin kerana batu bersurat ini ditulis oleh seorang keturunan Saidina Hassan sedangkan lebih kurang 120 tahun selepas itu Brunei mendapat seorang raja dari keturunan yang sama? Lihat artikel lama Isyarat 3 Hassani?.








Ini pula adalah gambar sebuah batu bersurat yang dipanggil Tarsilah Brunei. Pada batu ini tercatat nama-nama Sultan Brunei sejak tahun 1360an hingga 1800an. Insyaallah apabila sampai masanya akan dipaparkan gambar batu sebenar yang diambil untuk siri perjalanan ke Brunei. Batu ini masih berdiri megah di satu kawasan pemakaman diraja di pinggir Bandar Seri Begawan.






Bahagian ini pula memaparkan kitab-kitab lama.






Ada sekali catatan salasilah diraja Brunei yang berkaitan dengan satu lagi kerajaan di Pulau Borneo iaitu Sambas.







Selepas melihat pameran baru saya berjumpa kenalan untuk membincangkan kaitan salasilah diraja Aceh dengan Bugis.



Petang itu pula baru saya tersedar Perpustakaan Negara sudah memiliki satu bangunan tambahan yang lebih canggih. Walhal saya sudah banyak kali mengambil jalan ini apabila mahu keluar dari perkarangan perpustakaan... baru semalam memandang ke atas.

Oh. Tarikh saya pergi ke perpustakaan semalam ada nombor 191 (19/10/10) sedangkan tajuk yang keluar secara spontan untuk artikel adalah "Kaitan Aceh-Brunei-Bugis". Mungkin kaitan boleh dirungkai melalui artikel 911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?) yang ditulis 2 tahun lalu?