Rabu, Oktober 20, 2010

Lawatan tak dijangka ke Brunei - Masjid Omar Ali Saifuddin, makam Sultan Syarif Ali dan Syarif Adam...

Hmm. Hari ini tarikh boleh dikira agak istimewa, 20 Ogos 2010 bersamaan 20/10/2010. Tadi terlihat di kaca televisyen akan perisytiharan Melaka sebagai negeri maju. Sepatutnya ia dibuat setelah masuk jam 20:10 (8:10 malam). Tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib nampaknya off sikit timing... isytihar sekitar jam 20:09 dan 16 saat gitu. Nampak muka Ketua Menteri Datuk Ali Rustam macam sedikit kecewa. Tak apalah... orang boleh kata kalau ikut jam mereka dah masuk dah 20:10 semasa pengisytiharan dibuat... waktu yang dipaparkan di TV pula tersilap 45 saat, hehe. :]

OK. Kita teruskan penceritaan mengenai perjalanan di Brunei. Bersambung dari Lawatan tak dijangka ke Brunei - Sebab musabab perjalanan, institusi Melayu Islam Beraja...


Pagi Isnin 2 Ogos 2010. Selepas sarapan pagi Hajah Sopiah membawa kami masuk ke Bandar Seri Begawan.



Ibunegara Brunei ini terasa tenang, tidak terkejar-kejar...


Seperti di Banda Aceh nampaknya tiada bangunan lebih tinggi dari menara yang terdapat di masjid utama iaitu Masjid Omar Ali Saifuddin.


Boleh kata majoriti gambar atau poskad yang ingin mempromosikan Brunei akan menunjukkan gambar masjid yang kubahnya dikatakan dibina dari emas padu ini. Kami pun mengambil peluang untuk bergambar. Kelihatan sama adalah Sobrina, anak sulung Hajah Sopiah. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Omar Ali Saifuddin, Brunei di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Gambar cantik boleh diambil dari hadapan sebuah tasik. Lihat Views of Brunei's golden-domed mosque and its surroundings di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Turut menarik perhatian adalah bangunan ini, kalau tak salah bangunan jabatan agama. Senibinanya kelihatan berunsur Minangkabau. Apakah Brunei ada kaitan? Teringat kisah tentang seorang bernama Syarif Ali, katanya keturunan raja Samudera-Pasai yang terdampar di satu kawasan yang dikira terletak dalam lingkungan kerajaan Minangkabau, kawasan yang kini dikenali sebagai Batu Hampar.


Perjalanan diteruskan untuk ke satu destinasi lain di luar bandar.


Kelihatan kampung air di atas Sungai Brunei, katanya penempatan atas air yang terbesar di dunia!


Perjalanan kami menghilir Sungai Brunei menghala ke muara.


Sampailah ke destinasi iaitu makam Sultan Syarif Ali...


Untuk pengetahuan, baginda adalah Sultan pertama Brunei yang memiliki darah Ahlul Bait. Sebelum itu Brunei telah memiliki 2 orang Sultan (ada yang kata 3). Tetapi Syarif Ali lebih istimewa kerana diiktiraf sebagai berasal dari keturunan Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW. Sebagai satu-satunya keturunan Nabi Muhammad yang diketahui pernah menjadi khalifah seluruh umat Islam, Saidina Hassan disebut sesetengah pihak sebagai moyang kepada watak-watak utama yang bakal membela ummah akhir zaman. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Syarif Ali. Sultan-sultan Brunei seterusnya adalah anak cucu Syarif Ali. Mungkin sebab itu mereka diberi kekayaan yang melimpah-ruah?


Di sini kami bertafakur lama. Pada saya yang sudah lama menelusuri salasilah raja-raja, Sultan Syarif Ali sangat istimewa kerana merupakan Sultan pertama yang diketahui dalam sejarah rasmi Alam Melayu sebagai berasal dari darah daging Saidina Hassan. Walaupun kajian peribadi menunjukkan telah ada beberapa orang pemerintah dari keturunan sama di rantau ini, maklumat yang ada agak kabur lantaran banyak perkara terpaksa dirahsiakan atas sebab tertentu.

Sultan Syarif Ali dan anak cucu keturunan baginda terus menjadi satu-satunya nasab keturunan Saidina Hassan yang diakui wujud dan terus berdiri sebagai para pemerintah di Asia Tenggara. Pada saya kedatangan ke sini apalagi dalam keadaan tidak disangka (rujuk balik apa yang ditulis di Lawatan tak dijangka ke Brunei - Sebab musabab perjalanan, institusi Melayu Islam Beraja) adalah satu macam akuan akan segala usaha penat-lelah saya selama ini cuba menelusuri kewujudan anak cucu Saidina Hassan yang hilang dalam lipatan sejarah.

Pada Hajah Sopiah dan keluarga pula inilah kali pertama mereka melawat makam-makam raja. Walaupun mereka penduduk tempatan, mereka mungkin terasa risau atau rendah diri hendak menjejakkan kaki, lalu kedatangan saya, isteri dan anak menjadi pemangkin yang menolong membuka pencarian mereka sendiri.

Di makam mereka menerima jaminan oleh penjaga bahawa tidak salah untuk menziarahi walaupun kita bukan dari keluarga diraja. Hajah Sopiah yang biasa lalu di jalan hadapan menerima ini sebagai berita baik apalagi beliau baru sahaja disarankan oleh seorang ustaz agar pergi menziarahi makam seorang Sultan Brunei abad ke 18, Sultan yang saya rasa mungkin ada kaitan dengan keluarga Hajah Sopiah.

Oh. Penjaga makam ada memberikan sejenis salawat yang diterima dari makam Sultan Syarif Ali untuk kami amalkan. Beliau juga turut menyebut tentang kewujudan makam seorang pendakwah yang pernah menjadi guru Syarif Ali.


Pendakwah itu bernama Syarif Adam, seorang Ahlul Bait dari keturunan yang sama. Lihat Makam (Tomb of) Syarif Adam.

Kalau tidak kerana diberitahu oleh penjaga di makam Sultan Syarif Ali, kami mungkin tidak tahu akan kewujudan makam Syarif Adam lalu terlepas pandang. Nampaknya walaupun tidak menjadi raja, Syarif Adam memiliki taraf yang mungkin lebih tinggi. Lihat kedudukan makamnya lebih ke atas... makam Syarif Ali di bawah sana. Untuk pengetahuan lebih kurang 350 meter dari makam Syarif Ali, pada paras ketinggian lereng bukit hampir sama terdapat pula makam cucu baginda iaitu Sultan Bolkiah. Sultan ini dianggap paling gemilang kerana dapat meluaskan jajahan takluk Brunei sehingga meliputi seluruh Pulau Borneo serta sebahagian dari kepulauan Filipina namun makamnya juga terletak di bawah makam Syarif Adam Akan datang : Kajian salasilah di Muzium Brunei dan makam seorang raja alim di Luba.

Nota: Pada gambar bangunan yang kelihatan berunsur Minangkabau ada saya sebut tentang Syarif Ali di Batu Hampar yang katanya berasal dari kerajaan Samudera-Pasai. Saya tidak tahu apakah ia adalah orang yang sama dengan Syarif Ali yang merajai Brunei. Namun zaman mereka wujud lebih kurang sama iaitu sekitar 600 tahun lalu. Satu lagi, saya ada terbaca tentang kajian satu pihak yang menyebut Syarif Ali Batu Hampar sebagai orang yang sama dengan Syarif Muhammad Al-Baghdadi yang menulis Batu Bersurat Terengganu. Isyarat yang baru saya dapat tadi menunjukkan mereka adalah individu yang berlainan. Itu sahaja buat masa ini. Oh, untuk rekod saya ini adalah artikel ke 755 di blogspot ini.


2 ulasan:

  1. thank u brother for all our efforts.

    BalasPadam
  2. Al-Fatihah khususan buat Baginda Sharif Ali..Sharif Ali punya 1 lagi anak lelaki yang sepatutnya menggantikan baginda untuk memerintah kerajaan Brunei.Beliau ialah Sharif Musa.Sharif Musa memilih unuk berdakwah.Menjadi rakyat biasa sahaja.Berhijrah ke arah Timur Sabah.Makamnya terletak di Daerah paling timur Sabah.Andai ada izin Allah,maka Allah akan buka untuk semua.Saya juga setuju,bahawa Baginda Sharif Ali adalah keturunan Ahlul Bait dari jalur AL-HASSAN..

    BalasPadam