Sabtu, Oktober 09, 2010

Panggilan dari Pulau Indera Sakti?

Selingan... atau satu peringatan untuk misi bulan Zulkaedah memandangkan kini sudah masuk bulan tersebut setelah 29 hari kita merayakan bulan Syawal?






Tadi saya gelisah lagi, susah hendak tidur lalu mula mencari dan membaca pelbagai perkara di Internet. Entah kenapa sampai satu peringkat terasa mahu menggoogle perkataan "makam Sultan Iskandar Zulkarnain Perak" lalu terjumpa artikel tentang Makam diraja di Perak Tengah dipulihara di Berita Harian. Biar dicopy and paste...


Timur: 18 makam diraja di Perak Tengah dipulihara elak pupus


2010/09/12

SERI ISKANDAR: Sebanyak 18 makam diraja terletak di 13 lokasi di daerah Perak Tengah akan dipulihara secara berperingkat setelah terbiar sejak beberapa tahun lalu sehingga sesetengahnya tidak lagi kelihatan kerana dilitupi semak samun.

Makam Sultan Zulkarnain di Pulau Indera Sakti di Mukim Kampung Bandar paling teruk terbiar dengan dilitupi pokok dan 'hilang' daripada pandangan ketika sekumpulan kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjejaki makam itu, baru-baru ini. Jurutera JPS Daerah, Ir Hasmi Mat, berkata kesemua kawasan makam sudah dibersihkan oleh pihak JPS baru-baru ini dengan kerjasama pemilik tanah kerana kebanyakan makam terletak di kawasan hak milik persendirian. Bagaimanapun beliau mengakui pegawai dan kakitangannya berdepan kesukaran untuk tiba di lokasi makam berkenaan kerana jalan perhubungannya tidak sempurna.

“Pejabat Daerah Perak Tengah mengambil inisiatif memulihara semua 18 makam diraja Perak kerana makam terbabit mempunyai nilai sejarah silam iaitu berhubung salasilah kesultanan negeri Perak yang boleh didokumentasikan untuk generasi akan datang.

“Makam itu juga sesuai ditonjolkan sebagai tarikan pelancong domestik dan luar negara yang berminat mengetahui keadaan reka bentuk dan struktur makam yang masih kukuh, walaupun berusia lebih 100 tahun.

“Kesemua makam itu terletak di sepanjang Sungai Perak bermula di Mukim Lambor di bahagian utara hingga ke Mukim Kampung Bandar di bahagian selatan,” katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di Bilik Gerakan Pejabat Daerah di sini.

Hasmi berkata, jawatankuasa induk diketuai Pegawai Daerah, Datuk Hasim Hassan menetapkan lima jabatan dan agensi kerajaan terbabit secara langsung dalam usaha menjayakan aktiviti baikpulih makam berkenaan.

Katanya, jabatan terbabit adalah Pejabat Daerah dan Tanah, JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dan Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB).

“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah pengawasan PLB diberi tanggungjawab menguruskan kerja penyelenggaraan makam di kawasan mereka selepas semua kerja membaikpulih selesai,” katanya.


Ini membuatkan saya teringat komen seorang pembaca rasanya beberapa bulan lalu... saya tak ingat di bawah artikel mana. Tetapi katanya usaha saya mengenengahkan keadaan makam-makam lama di Perak telah menyebabkan ada pihak bertindak untuk memelihara makam-makam itu.

Mereka yang setia mengikuti blogspot ini tentu tahu pada bulan April tahun ini saya telah membawa anak dan isteri untuk menziarahi sejumlah makam lama di Perak termasuk makam setiap Sultan yang ada. Pengalaman ini telah diluahkan dalam satu siri. Lihat Siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" complete!. Tak pastilah jika pihak tersebut bertindak selepas melihat tulisan saya. Apapun sesuatu telah dilakukan untuk memperbaiki keadaan dan saya cukup suka.

Hmm... oleh kerana artikel Berita Harian di atas keluar dalam suratkhabar pada September 12, tentunya saya boleh cuba menyemak bahagian komen artikel yang ditulis di blogspot sejak itu. Baru sahaja mahu mula menyemak, isteri mengingatkan bahawa komen itu muncul dalam chatbox, bukan ruangan komen pada mana-mana artikel. Saya pun menyemak komen lama di chatbox. Alhamdulillah dapat berjumpa. Begini bunyinya...


17 Sep 10, 09:13


Joe Kinta: Salam dan Sel h raya buat MS syabas n tahniah buat MS yang mendedahkan makam2 sultan2 Perak dalam blog sehingga ada pihak yg peruntukan budget utk perbaiki dan perindahkan Makam2 ini sbg khazanah lama


Tu dia. Semasa melihat komen ini di chatbox saya sekadar tersenyum sahaja. Saya menyangkakan pembaca cuma mendapat maklumat bahawa makam-makam Sultan Perak sedang dibaik-pulih dari sumber tempatan kerana dia berasal dari Perak dan masih menetap di sana. Tidak tahu langsung saya bahawa satu artikel tentangnya telah keluar di Berita Harian kerana tidak terbaca. Sekali lagi isteri mengingatkan, tarikh 12 September itu bersamaan hari raya ketiga iaitu hari Ahad bermakna artikel tersebut keluar dalam Berita Minggu.

Katanya lagi pada hari tersebut kami telah menziarahi satu makam di Bukit Treh. Lihat Al-Rasyid berhari raya : Beberapa kenangan lama, mukadimah untuk pengembaraan kecil berkaitan Bugis?. Allah! Lihat tajuk yang ada menyebut "mukadimah untuk pengembaraan kecil berkaitan Bugis?" Untuk makluman walaupun sejarah rasmi sering menekankan Sultan Iskandar Zulkarnain sebagai berdarah raja Perak dari keturunan Melaka bercampur Siak saya ada sebab tersendiri untuk percaya baginda sebenarnya adalah kerabat diraja Bugis yang dapat menaiki takhta Perak.

Walaupun ada pihak lain pula menyatakan baginda berdarah Siak dari keturunan Raja Kechil yang menurut sumber sana adalah anakanda kepada Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Sultan terakhir empayar Johor-Riau dari keturunan Raja Melaka, hati kecil saya masih berbisik baginda berketurunan Bugis. Bagaimana ini boleh berlaku? Lihat artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... dan Teknik penggelapan salasilah... yang dibuat sejurus sebelum saya dan keluarga mendapat jemputan untuk menyambut Maulidur Rasul di Aceh.

OK. Dalam lawatan bulan April ke makam-makam lama di Perak saya cuma dapat melihat lokasi makam Sultan Iskandar Zulkarnain dari jarak sekitar 100-150 meter akibat parit serta semak-samun tebal yang menghalang. Lihat gambar di atas, perhatikan betapa teruknya keadaan. Baca balik susah-payahnya di artikel Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Lima makam Sultan yang susah diziarahi di sekitar Pulau Besar. Walaupun saya masih menyimpan hajat untuk ke sana, saya terasa tawar hati kerana kedudukan makam yang bukan sahaja susah hendak nak dicapai, bangunan makam pun susah nak nampak. Tetapi malam ini boleh pula terjumpa artikel Berita Minggu yang menyebut ia telah dibersihkan bermakna tidaklah lagi begitu susah untuk menziarahinya...

Ya. Malam ini baru saya mendapat tahu tentang keadaan makam yang katanya tidak lagi bersemak, daripada sebuah artikel suratkhabar yang muncul hampir sebulan lalu. Pada tarikh ia keluar bersamaan hari raya ketiga saya telah menziarahi sebuah makam di Bukit Treh, Muar sebelum membuat beberapa aktiviti yang menyebabkan artikel tentangnya memakai tajuk yang menyebut"mukadimah untuk pengembaraan kecil berkaitan Bugis?". Apakah ini menandakan baginda memang berdarah Bugis? Adapun makam Sultan Iskandar Zulkarnain itu terletak di satu tempat bernama Pulau Indera Sakti. Apakah ini bermakna saya harus ke situ dalam masa terdekat nanti?


p/s:
Kepada kawan-kawan seperti Syahir, Zam dan Zaidi nak ikut tak? Dari kampung Zam tak jauh ni. Saudara JoeKinta dan lain-lain dijemput sama. Mungkin Merbawi pun boleh join, kita pergi Changkat Sulaiman dan Kota Laksamana di Sungkai sekali? Sila tinggalkan komen untuk menentukan masa yang sesuai. Kita akan cuba cari jalan darat ke Pulau Indera Sakti... :]


Jumaat, Oktober 08, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Kembali lagi ke Muar... sempat ke rumah ipar di beberapa tempat juga pertunangan sepupu di Segamat

Assalamualaikum semua. Menurut kalendar yang dilihat, hari ini Jumaat 29 Syawal adalah hari terakhir kita menyambut raya. Namun melihat pada koleksi gambar terbaru ada 4 artikel lagi harus dibuat untuk siri "Al-Rasyid berhari raya" ini. Biar dimulakan dengan ini...


Jumaat malam Sabtu 24 September 2010 merangkap malam ke 16 raya, kami singgah di rumah kakak kepada isteri di Kampung Jenjarom berdekatan Banting. Selangor.




Di sini anak kecil kami Al-Rasyid dapat merasa duduk dalam buaian kembali. Maklumlah dia tidak lagi menggunakan buaian sejak pengasuh memulangkan buaian yang kami beri kira-kira 3-4 bulan lalu. Katanya kerana menurut piawaian baru pengasuh yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarat. Kami juga turut memberhentikan penggunaan satu lagi buaian yang ada di rumah. Lagipun Al-Rasyid lebih biasa tidur bersama kami atas tilam...





Bersama keluarga kakak ipar (lagi muda dari saya tetapi disebabkan dia kakak kepada isteri, tetap saya panggil kakak). Sebenarnya kami singgah ke sini dalam perjalanan mahu kembali ke Muar.

Kami turut singgah ke rumah abang sulung isteri yang terletak di Bukit Changgang berhampiran KLIA. Sebenarnya baik keluarga abang sulung mahupun kakak tadi tidak sempat ditemui semasa kami kembali berhari-raya di rumah keluarga isteri di Tanjung Sepat 2 minggu sebelum itu. Oleh kerana saya mahu kembali ke Muar kerana ada urusan buku eloklah dibuat sekali ziarah dalam perjalanan. Dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri, Rawang kami boleh ke Jenjarom seterusnya Bukit Changgang sebelum masuk ke mana-mana jalan atau lebuhraya menghala ke Muar melalui Nilai ataupun Seremban.


Kami turut mengambil peluang singgah beriktikaf di Masjid Kampung Hulu, Melaka. Untuk bulan Syawal ini baru kali ini kami singgah, dapat juga berehat sedikit merehatkan badan. Saya juga menziarahi makam ulamak yang dikatakan bertaraf wali Sayyid Abdullah Al-Hadad di hadapan masjid juga makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani (juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin Pasai) tidak jauh dari sini. Kami sampai ke Muar sekitar jam 4 pagi lalu dapat berjumpa dengan beberapa orang saudara lain yang baru sampai.




Pagi Sabtu, selepas membasuh kereta saya membawa isteri dan anak menikmati hidangan nasi beringin di satu warung kegemaran saya di stesyen bas bandar.





Letaknya di tepian Sungai Muar, boleh kelihatan bahagian kuala yang masuk ke Selat Melaka.





Ini adalah menara di hadapan jambatan lama.




Jambatan ini namanya Jambatan Sultan Ismail.






Selepas Zuhur, kami pergi ke majlis kahwin seorang saudara ibu di kawasan seberang jambatan sebelum mengikut bapa dan ibu pergi ke Segamat.





Alang-alang sudah berada di Muar, kami diminta bersama untuk ke majlis pertunangan seorang sepupu saya dari belah bapa.





Untuk mengelakkan kesesakan yang sering melanda jalan hingga ke Tangkak, kami mengambil satu jalan alternatif dari belah Bukit Gambir dan Parit Zing keluar ke Sagil.






Kelihatan Gunung Ledang memenuhi pandangan di kiri sambil kami menghala ke Jementah sebelum sampai ke Segamat.





Adik lelaki saya dan anaknya makan di majlis pertunangan...





Sementara ada yang makan, bapa sebagai ketua rombongan keluarga kami memulakan bicara...









Selepas majlis tamat kami pergi ke rumah kakak tertua isteri di Jelai, Negeri Sembilan.






Tiga buah keluarga yang pergi ke majlis pertunangan turut ikut ke Jelai dengan tiga buah kereta. Lagipun satu keluarga mahu ke Kuala Pilah yang terletak hampir dalam perjalanan, satu lagi mahu kembali ke Kuantan yang boleh dicapai melalui satu jalan berdekatan Jelai.




Apapun kami telah memanfaatkan hari itu sebaik mungkin dengan banyak aktiviti silaturrahim. Melihat artikel ini ditulis pada hari terakhir bulan Syawal, saya terasa ingin merujuk kembali pada artikel yang buat hari terakhir bulan Syawal tahun lepas. Terfikir juga tahun ini saya banyak menulis tentang raya sedangkan tahun lepas cuma sedikit sahaja walhal aktivitinya banyak juga. Cuma mungkin kami kurang sikit berjalan kerana isteri sedang sarat mengandung menunggu masa sahaja untuk bayi keluar... itupun masih sempat kembali ke Muar...

Teringat majlis perkahwinan seorang sepupu tahun itu di Bukit Damansara yang juga boleh tahan gemilang tetapi tidak banyak dihuraikan. Bukan apa, tahun ini raya terasa lebih istimewa kerana adanya Al-Rasyid, agaknya sebab itu saya seronok bercerita panjang. Tahun lepas dia masih dalam perut, 24 Syawal baru keluar. Apapun lihatlah artikel lama ini, Perkahwinan seorang sepupu, perjumpaan keluarga dan rancangan buku terbaru.... Ingat, masih ada 3 lagi artikel sebelum siri ini tamat...



Khamis, Oktober 07, 2010

Al-Rasyid berhari raya : Asbab yang membawa ke makam Raja Melewar dan menjejak makna mimpi lama di Putrajaya

Hmm. Kalau ikut penat dan malas mahu sahaja ditamatkan siri "Al-Rasyid berhari-raya" dengan melompat terus pada apa yang berlaku hujung minggu baru ini, satu majlis makan hari raya terbuka sekolah lama saya, Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ), Kluang yang dihadiri oleh para pelajar dari perintis MCE 1975 (sebelum ditukar menjadi SPM) sehinggalah ke SPM tahun 2000an. Selepas itu bolehlah dimulakan siri baru tentang perjalanan ke Brunei yang dibuat sebelum bulan Ramadhan seperti yang telah dijanjikan dahulu. Namun saya tidak boleh menipu aliran gerak bercerita yang timbul. Saya percaya desakan yang muncul dalam hati ada sebabnya dan Insyaallah akan muncul hikmah seperti ilham baru yang berguna untuk saya juga untuk para pembaca yang dibukakan hati dan kotak fikiran. Maka biar diceritakan apa yang berlaku seterusnya selepas beberapa hari asyik menyambut perkahwinan sepupu seperti disebut dalam dua artikel terakhir siri...

Pagi Isnin 20 September 2010 bersamaan hari raya ke 11, saya, isteri berserta ibu dan bapa meninggalkan rumah di Bandar Tasik Puteri menghala ke selatan. Dalam artikel Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu ada disebut akan masalah yang melanda van bapa sehingga memaksa beliau, ibu dan adik saya bermalam Jumaat di sebuah kedai makan di pekan kecil Kota, Negeri Sembilan. Sebenarnya selepas menghadiri majlis persandingan di Taman Tun hari Sabtu bapa telah mendapat panggilan dari Kota mengatakan masalah enjin van telah berjaya diselesaikan di bengkel berdekatan. Van pun diambil... tetapi terpaksa ditinggalkan di rumah adik ipar berdekatan Nilai kerana timbul pula masalah lain kemudian...


Gambar berdekatan makam Raja Melewar di Astana Raja, Negeri Sembilan. Apa yang berlaku hari Sabtu adalah sebaik sahaja mendapat tahu van sudah siap diperbaiki, saya bercadang untuk membawa bapa dan ibu ke bengkel. Kebetulan suami kepada adik bongsu saya yang hadir di majlis persandingan sepupu mahu kembali ke rumah bapanya berdekatan Nilai lalu menawarkan diri untuk membawa mereka ke Kota. Setelah meninggalkan adik bongsu saya dan anak-anaknya di rumah itu, van pun diambil. Ketika mengorak langkah menghala kembali ke utara bapa mendapati lampu van pula tidak hidup malah muncul tanda amaran pada dashboard yang menunjukkan ada kemungkinan masalah lain timbul.

Van pun terpaksa ditinggalkan di rumah bapa kepada adik ipar saya ini. Ibu dan bapa saya terpaksa menaiki keretanya kembali ke Kuala Lumpur di mana kami bertemu kembali di rumah seorang ibu saudara saya di Bukit Damansara.

Malam itu dan malam berikutnya bapa dan ibu tidur di rumah saya. Mereka ikut sama saya, isteri dan anak apabila menghadiri majlis-majlis lanjutan sempena perkahwinan sepupu yang berlangsung sehingga malam Ahad. Pagi Isnin kami mengorak langkah untuk menyelesaikan sama-sekali masalah van. Selepas menghantar anak kecil kami Al-Rasyid ke rumah pengasuh, bapa dan ibu ikut sama ke pejabat isteri di Kuala Lumpur untuk menurunkannya.


Masuk sahaja ke pejabat timbul gerak isteri untuk terus mengikut menyelesaikan masalah van. Dia pun meminta kebenaran untuk keluar sehingga selepas Zuhur. Kami pergi mengambil van yang ditinggalkan di rumah berdekatan Nilai.

Seharusnya selepas itu saya dan isteri boleh kembali ke Kuala Lumpur tetapi entah kenapa saya terasa berat untuk melepaskan ibu dan bapa begitu sahaja. Saya terasa harus menemani mereka hingga ke Kota untuk memastikan mereka selamat dan van tidak menghadapi masalah dalam perjalanan.


Sebenarnya bukanlah van itu tidak boleh berjalan langsung. Masalah lampu tidak hidup ketika hampir gelap petang Sabtu berjaya diatasi bapa yang tahu sedikit-sebanyak tentang kereta tetapi tanda amaran yang timbul di dashboard menyebabkan bapa takut meneruskan perjalanan apabila malam. Bapa takut ada masalah dalaman yang menyebabkan bateri tidak dicas. Kalau dihidupkan lampu dalam keadaan begini takut bateri kehabisan kuasa lalu van boleh terkandas di tengah jalan.

Lainlah siang hari, tak perlu buka lampu. Sekurang-kurangnya bapa yakin boleh sampai ke bengkel di Kota di mana boleh cuba diselesaikan masalah baru yang melanda. Itupun saya terasa harus memastikan mereka sampai ke sana. Maka pergilah kami bersama, saya dan isteri dengan kereta, bapa dan ibu dengan van.


Adapun dalam perjalanan itu berlaku hujan lebat dan sebagainya yang melambatkan perjalanan. Maka kami keluar dari lebuhraya di plaza tol Linggi-Pedas sekitar jam 1 sedangkan isteri saya telah menyebut akan kembali ke pejabat selepas Zuhur, paling lambat pun jam 2. Masalahnya dari tol ke Kota masih ada jarak sekitar 20 km melalui jalan sempit yang dilambatkan lagi dengan kereta-kereta yang dibawa perlahan. Isteri menjadi gelisah menyebabkan saya sendiri terasa tidak selesa lalu terkejar-kejar.


Dalam keadaan terkejar masa itulah saya telah melakukan kesilapan. Kereta-kereta yang dipandu perlahan di hadapan menyebabkan saya sentiasa mahu mencari ruang untuk memotong. Sambil itu saya harus memikirkan van bapa yang mengekori di belakang. Sampai di satu bahagian jalan ke Rembau saya melihat ruang yang sesuai untuk memotong 3 atau 4 kereta di hadapan. Kereta pun dipecut lalu namun sebaik melepasi 2 kereta sudah masuk double-line...


Sambil itu sebuah kereta muncul laju dari arah bertentangan. Saya cuma ada 2 pilihan... samada memperlahankan kereta lalu kembali berada di belakang 2 kereta yang telah dipotong tadi, satu perkara yang sebenarnya mengundang lebih bahaya kerana jika berbuat demikian kereta dari arah bertentangan akan lebih rapat... atau memecut laju memotong satu atau 2 buah kenderaan lagi di hadapan (saya sudah lupa ada 3 atau 4 kereta yang mahu dipotong kesemuanya). Saya memilih tindakan kedua lalu selamat sampai ke hadapan. Ternyata kenderaan paling hadapan yang dipotong adalah sebuah van polis tempatan!


Dipendekkan cerita saya pun ditahan, Kelihatan ada 5-6 orang polis dalam van, mungkin baru kembali dari makan dan seorang yang paling tua pun mula memberikan khutbah. Sementara saya cuba merayu agar dilepaskan sambil menceritakan keadaan yang membuat saya tergesa-gesa sehingga memotong double-line, polis itu berkhutbah agak panjang lalu menyebut bahawa Ops Sikap masih berjalan. Sedangkan mereka bukan sedang membuat operasi dan saya tahu Ops Sikap sudah pun tamat hari Jumaat.

Agak pelik juga tindakan polis yang lebih banyak berkhutbah sebelum memanggil saya keluar kereta ke sisi van untuk menyambung khutbah. Melihat saya masih ditahan bapa pun turun melihat, ketika itulah polis mengeluarkan surat saman. Itupun tidak ditulis terus... ditambah lagi sedikit khutbah sebelum menulis butiran dengan perlahan sambil menyebut perkara ini boleh dirujuk pada polis Bukit Aman. Bila saya bertanya berapa agaknya saman yang perlu dibayar, katanya berapa-berapa pun boleh...

Tidak terfikir pun saya ketika itu bahawa ada kemungkinan dia memberi khutbah lalu membawa saya ke sisi van agar dapat dibuat 'penyelesaian' cara lain. Selepas itu baru isteri saya menyatakan rasa curiga akan tindak-tanduk polis apalagi ketika itu bukannya waktu membuat operasi. Apapun saya akhirnya disaman lalu meneruskan perjalanan bersama bapa dan ibu ke Kota. Kali ini saya tidak membawa laju lagi. Isteri pula membuat keputusan untuk meminta cuti kecemasan kerana tahu tidak akan dapat sampai ke pejabat dalam waktu terdekat...


Alhamdulillah dapat juga saya memastikan bapa dan ibu selamat sampai membawa van hingga ke bengkel di Kota, Negeri Sembilan walaupun dalam keadaan lebat hujan mencurah-curah yang bermula ketika melepasi Rembau. Rasanya saya dapat melihat mereka merasa terharu kerana sudi menemankan hingga ke sana walaupun sehingga mendapat bahana disaman. Saya pula merasa terharu apabila meninggalkan mereka. Memang kebelakangan ini saya terasa semakin sayang pada ibu dan bapa. Maklumlah, dahulu lama bertahun saya asyik bergaduh dengan mereka sehingga lari rumah dan sebagainya... dewasa ini baru saya terasa kembali rapat terutama selepas berkahwin dengan isteri sekarang, apalagi setelah muncul anak kecil kami Al-Rasyid.



OK. Sekarang cerita bab menemani bapa dan ibu ke Kota sudah selesai diluahkan dapatlah diterangkan apa yang berlaku sehingga muncul gambar makam Raja Melewar. Adapun semasa kembali dari berhari raya di Muar seminggu sebelum itu timbul rasa dalam hati isteri saya untuk melawat makam raja yang disebut sebagai pemerintah pertama Negeri Sembilan ini. Ketika itu kami baru melihat makam di Tanjung Bidara yang disebut sebagai makam Daeng Chelak. Lihat artikel Al-Rasyid berhari raya : Sedikit bab politik dan sejarah sambil menjejak legasi Bugis Daeng Chelak.... Namun oleh kerana sudah penat dan hari sudah malam, hasrat itupun dilupakan. Siapa sangka kami akan ke sana selepas menghantar bapa dan ibu ke Kota?




Semasa mendapat tahu van bapa rosak di Kota sehingga harus tidur di kedai makan malam Jumaat isteri saya menyebut mungkin ini akibat 'panggilan' Raja Melewar. Ibu saya mengiyakan sahaja kerana memang dia ada terlihat papan-tanda menunjukkan arah ke makam raja ini sebelum sampai ke Kota (letak makam cuma 6 km dari simpang jalan utama). Selepas menghantar mereka ke bengkel tengahari Isnin kami pun mengambil peluang ke sana. Siapa sangka hari itu juga kami terjumpa sejumlah makam lama tidak jauh dari makam Raja Melewar?





Maka itu dapatlah diatur kembali penceritaan mengikut gambar. Jika pada gambar kedua artikel ini telah disebut bahawa ia diambil berdekatan makam Raja Melewar, maka tidak susah untuk meneka bahawa gambar ketiga adalah di hadapan makam, gambar ke empat di makam itu sendiri. Gambar ke lima di mana kelihatan barisan pokok getah menunjukkan makam-makam lama yang baru ditemui tidak jauh dari situ. Saya sudah ke makam Raja Melewar tidak kurang 5 kali, mungkin hampir 10 kali tetapi tidak pernah menyedari kewujudan makam-makam lain itu. Entah kenapa kali ini baru boleh ternampak. Lihat artikel Makam-makam lama berdekatan makam Raja Melewar (Old tombs close-by to the tomb of Raja Melewar) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Biarlah diberitahu juga sejak pertama kali sampai ke makam Raja Melewar lebih 2 tahun lalu hati saya sering menyebut baginda sebenarnya berbangsa Bugis bukannya Minangkabau dari Pagar Ruyung seperti disebut dalam sejarah rasmi yang diketahui ramai. Kalau tak salah ingatan perkara ini pernah diberitahu kepada saya oleh seorang penduduk tempatan dari Linggi atau Rembau sekitar waktu itu. Namun yang lebih saya ingat adalah cerita yang menyebut Raja Melewar tidak diterima di Rembau dan akhirnya dibunuh, katanya kerana zalim dan suka main perempuan, satu cerita yang mungkin boleh menimbulkan kemarahan kerabat diraja Negeri Sembilan.





Saya tidak berani mengesahkan cerita itu. Setakat itulah yang saya ingat maka takut juga tersilap ingatan. Apapun baru ini saya mendapat tahu ada asas untuk menyebut Raja Melewar yang disebut sebagai raja pertama Negeri Sembilan itu memang berdarah Bugis. Menurut cerita yang baru saya dapat memang Raja Melewar yang sebenar berasal dari Pagar Ruyung. Namun semasa dalam perjalanan untuk pergi ke Negeri Sembilan baginda telah diserang di laut oleh satu angkatan Bugis lalu terbunuh. Ketua angkatan itu pula yang muncul lalu mengisytiharkan diri sebagai Raja Melewar. Cukup...

Berbalik pada penceritaan menurut gambar. Selepas menziarahi makam Raja Melewar dan makam-makam lama berdekatan kami pun menghala kembali ke Rembau. Kelihatan rumah tradisional yang ditunjukkan pada gambar ke 6 artikel. Lihat Sebuah rumah lama di Astana Raja (An old house at Astana Raja). Gambar seterusnya pula menunjukkan perjalanan ke Putrajaya. Setelah isteri membuat keputusan untuk membuat cuti kecemasan agar tidak perlu lagi berkejar kembali ke tempat kerja di Kuala Lumpur, saya sekadar memandu santai. Ketika itulah isteri teringat akan seorang abangnya yang baru dimasukkan beberapa hari ke Hospital Putrajaya. Elok juga kami pergi melawat.







Oleh kerana waktu melawat petang bermula jam 4 kami berjalan-jalan dahulu ditempat lain di Putrajaya. Mula-mula melihat bukit kecil di Presint 4 yang dikatakan menjadi pusat sebuah kerajaan ghaib. Lihat artikel lama Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman?. Kemudian mahu ke bangunan mahkamah utama yang dipanggil Istana Kehakiman kerana mahu mendapatkan feel atau rasa, semoga dapat menolong menghuraikan dengan lebih tepat makna sebuah mimpi yang berlaku lebih sedekad lalu... apalagi selepas pertama kali sampai ke Masjid Tuanku Mizan atau Masjid Besi dan mendapat tahu ada persiaran jalan kaki yang menyambungkannya dengan Istana Kehakiman (lihat Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?), saya menyimpan hajat mahu berjalan kaki ke masjid dari bangunan mahkamah.

Namun kami ketika itu sangat lapar dan tidak tahu jika ada kedai makan berdekatan. Itu yang membuat kami pergi dahulu ke Masjid Putrajaya lalu mengambil sekali gambar kompleks Jabatan Perdana Menteri. Di tepian tasik bersebelahan masjid kami makan sebelum kembali semula ke Istana Kehakiman. Itupun kami nyaris-nyaris membatalkan lawatan kerana masing-masing kepenatan. Mahu sahaja kembali terus ke rumah jika tidak memikirkan selagi perjalanan dari Istana Kehakiman ke Masjid Besi tidak dibuat, selagi itu akan ada satu perkara tergantung sedangkan tempatnya sudah kelihatan di hadapan mata... jika ditunggu lagi belum tentu bila masa lagi kami akan sampai ke Putrajaya untuk menunaikan hajat...








Isteri menunjukkan ukiran besi Al-Rasyid iaitu salah satu Asmaul Husna, nama-nama indah Allah Subhanahuwata'ala yang terdapat pada pintu gerbang masuk ke masjid besi. Walaupun anak kecil kami Al-Rasyid tidak ikut sama dalam perjalanan ini, dia tetap ikut di hati. Lihat artikel baru From Malaysia's Palais de Justice to the steel mosque.

Dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" yang terbit Jun 2006, pada satu bahagian Bab 1 yang ingin memperkenalkan kecenderungan watak utama novel yang diberi-nama Muhammad Al-Aminul Rasyid ada disebut:


Anak muda ini juga mempunyai cita-cita yang agak pelik. Sejak berumur 18 tahun, dia mengidam untuk hidup di dalam sebuah negara berperadaban tinggi dengan rakyat yang sayangkan ilmu. Sebuah negara yang aman, tiada masalah sosial dan jenayah dengan penduduk yang tidak gilakan harta, tidak suka bercakap perkara yang remeh-temeh malah lebih suka berbincang tentang ilmu tinggi, kejadian alam, keTuhanan dan sebagainya. Tidak tahulah bagaimana rupa negara ini tetapi apa yang dapat dibayangkan, suasananya lebih kurang seperti Andalusia, sekarang dalam Sepanyol sekitar Cordova, semasa zaman kegemilangan Islam di bumi Eropah, ketika tokoh Tasawuf Ibnul Arabi masih hidup 800 tahun dahulu.

Memang Andalusia terkenal dengan peradaban keilmuan yang tinggi. Penuh dengan bangunan-bangunan seni dan indah, dihuni pula manusia yang tinggi budi pekerti. Kemasyhurannya mengatasi Baghdad, pusat ketamadunan Islam zaman itu. Peradaban tingginya bakal menjadi contoh yang akan menyemarakkan kebangkitan tamadun Eropah, gerakan yang dikenali sebagai renaissance nanti. Tetapi di manakah hendak dicari negara seperti itu sekarang? Dalam mimpi? Atau angan-angan di siang hari?

Sebenarnya, sejak zaman kanak-kanak lagi Rasyid selalu mengimpikan sebuah dunia utopia yang serba sempurna, seperti Andalusia yang dibayangkannya. Tetapi di ambang dewasa ini, barulah ia menjadi satu cita-cita gila yang menghantui fikiran dan jiwa...


Untuk mereka yang belum tahu, biar diberitahu bahawa watak Muhammad Al-Aminul Rasyid dalam buku dibuat berdasarkan diri dan pengalaman sebenar hidup saya. Nama itu muncul secara tiba-tiba dalam hati ketika menyeberangi Sungai Perak, selepas menamatkan perjalanan pertama seumur hidup menziarahi makam-makam lama iaitu di Perak tahun 2001. Lapan tahun kemudian, setelah kembali berumahtangga lagi (rumahtangga lama runtuh tidak lama selepas ziarah tahun 2001 itu) saya mendapat seorang anak laki-laki. Maka muncullah Muhammad Al-Aminul Rasyid sebagai watak hidup yang sudah terkeluar dari novel...

Pada artikel Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman? yang dibuat pada 13 Julai 2009 iaitu tepat 3 bulan sebelum Al-Rasyid lahir, merujuk pada gambar yang menunjukkan Istana Kehakiman ada disebut begini...


Dari Presint 4 kami mengambil jalan besar menghala ke Putrajaya. Kelihatan tersergam gagah dalam perjalanan bangunan mahkamah di atas ini. Terfikir pula saya bahawa bentuk bangunan ini dibuat berdasarkan bentuk bangunan lama yang memang pernah wujud entah di mana dalam dunia Islam. Yang pasti, saya teringat sebuah mimpi lama di mana saya terbang naik ke langit lalu terbentang di hadapan saya sebuah kota tamadun gemilang Islam. Dan bangunan utama dalam mimpi itu yang kelihatan betul-betul di hadapan dan bawah saya hampir serupa dengan bangunan mahkamah ini!


Pada artikel Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya? yang dibuat 31 Julai 2010 pula disebut:


Bangunan Istana Kehakiman yang ada 3 buah kubah terserlah mengingatkan pada satu mimpi lebih 10 tahun lalu. Dalam mimpi itu saya berdiri seorang diri dalam kegelapan lalu timbul rasa untuk bertakbir. Entah kenapa saya terasa nikmat yang amat sangat semasa bertakbir lalu jasad saya mula terapung naik ke udara. Kelihatanlah sebuah bandar terbentang di bawah dengan bangunannya banyak berkubah. Bangunan paling dekat betul-betul bawah saya rupanya saling tak tumpah seperti Istana Kehakiman!



Sekarang biar diceritakan lebih terperinci mimpi yang berlaku lebih 10 tahun lalu sejujur yang boleh.

Apa yang berlaku adalah pada satu malam, ketika tidur berseorangan di sebuah rumah milik bapa di Kajang saya telah mendapat mimpi 'meluangkan masa' dengan 3 wanita berlainan... pada 3 babak ya, bukan serentak! :] Kemudian saya mendapati diri saya berada pada satu ruang yang kosong, gelap tiba-tiba timbul rasa untuk bertakbir... Allahuakbar... Allahuakbar... sambil bertakbir terasa nikmat seluruh jiwa dan raga yang amat sangat...

Seketika itu juga badan saya mula terapung. Sambil bertakbir sambil merasa nikmat sambil naik ke atas meninggi sehingga terbentang di bawah sebuah bandar yang terasa seperti sebuah kota lama dengan banyak kubah. Yang paling nyata adalah sebuah bangunan dengan 3 buah kubah betul-betul di hadapan bawah saya. Ketika itu saya terfikir mungkin ia sebuah bangunan di Andalusia, tidak terfikir pun akan terjumpa bangunan serupa secara nyata di Putrajaya nanti.

Saya terapung semakin meninggi di atas kota. Tiba-tiba bahagian sulit terasa disentuh 3 kali. Seketika itu juga saya terbangun dari tidur. Peliknya kelihatan satu makhluk berbentuk bayang hitam dengan tubuh langsing seorang perempuan duduk di hadapan atas katil.

Ya. Ini bukan mimpi lagi tetapi kenyataan di hadapan mata. Satu lembaga dengan tubuh langsing perempuan sedang berada memghadap saya. Saya pula terpinga-pinga, nak menyebut: "Siapa kamu?" pun suara asyik tersangkut di kerongkong.

Kemudian terasa tangannya memegang tangan saya. Saya tidak ingat apakah dia telah memegang tangan saya sejak mula. Yang pasti setelah beberapa minit cuba bertanya "Siapa kamu?" dan "Apa yang kamu mahu?" tetapi tidak terkeluar baru saya terasa tangan dipegang. Itupun setelah makhluk ini menyebut: "Marilah!" seraya mengajak untuk ke satu tempat...

Sekali lagi suara tersangkut di kerongkong apabila saya cuba bertanya: "Hendak ke mana?". Namun dalam hati ketika itu memang tersimpan hasrat mahu meninggalkan dunia ini untuk masuk ke dunia lain. Terus saya mendapati roh saya keluar dari badan. Tubuh halus dari pinggang ke kepala sudah bangun menegak meninggalkan tubuh nyata yang masih terbaring di katil, cuma bahagian pinggang ke bawah sahaja yang masih bersatu zahir dan batin.

Dalam pada ada keinginan untuk keluar meninggalkan jasad timbul pula tanda tanya jika saya keluar bolehkah kembali ke dalam jasad. Seketika itu juga roh saya kembali bersatu terbaring dengan jasad... tangan lembaga itu pula masih terasa menggenggam tangan saya.

Lembaga itu berseru lagi "Marilah!" rasanya ada 2-3 kali. Namun saya terus mendiamkan diri. Setelah seminit dua ini berlaku ia pun hilang seperti asap ditiup angin. Selesailah penceritaan tentang mimpi dan pengalaman nyata yang mungkin ada kaitan dengan Putrajaya ini.

Ya Allah ya Tuhanku. Dari jam 10 malam tadi aku berhempas-pulas hingga hampir selepas tengah malam untuk membuat 2 artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 1 di BERPETUALANG KE ACEH agar dapat dijadikan sokongan untuk apa yang mahu diluahkan pada artikel ini. Sehingga timbul rasa lapar yang amat sangat lalu aku keluar makan seraya merehatkan fikiran, satu perbuatan yang menjadi asbab timbul sedikit perkara kurang enak yang kemudian mengganggu kelancaran kerja. Jam 2 pagi baru aku memulakan artikel ini dan kini masuk 5:30 sampai ke ayat ini. Semoga usaha dan luahanku tidak sia-sia... semoga diberi petunjuk-petunjuk baru yang dapat merungkai kemusykilan yang masih bersarang di dada.

Untuk aku sampai pada luahan di artikel ini, aku harus sahaja menurut rasa menceritakan apa yang berlaku secara jujur sepanjang raya dalam siri "Al-Rasyid berhari raya" ini. Sebelum sampai ke siri ini pula telah diluahkan pengalaman berjalan ke Aceh bulan Januari 2010, kali pertama anak kecilku Al-Rasyid sampai ke sana, melalui siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh". Ketika menulis siri itu timbul jugak gerak untuk menulis siri lain bertajuk "Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar" secara seling-seli. Seharusnya kemudian aku memulakan siri baru tentang perjalanan ke Brunei yang dibuat sebelum Ramadhan tetapi tergerak untuk memulakan siri "Al-Rasyid berhari raya" ini pula, siri yang pada mulanya dianggap kecil kerana dijangka cuma bakal menjangkau paling kuat pun 4 artikel tetapi kini sudah masuk 7... mungkin memerlukan 3 atau 4 lagi sebelum ia betul-betul selesai.

Ya Allah ya Tuhanku. Semuanya kubuat menurut gerak dengan harapan terlepas apa-apa beban di dada, diberi keringanan untuk lebih kuat dan cergas menangani cabaran hidup serta mendapat jawaban... jawaban yang dapat menolong menyelesaikan persoalan dalam diri sambil menimbulkan faedah kepada yang lain. Dengan ini aku mohon ya Allah, sekurang-kurangnya dapat diterangkan dengan seterang-terangnya apakah makna mimpi yang melibatkan bangunan seperti Istana Kehakiman yang berlaku lebih 10 tahun lalu. Kenapa pula muncul makhluk bertubuh langsing perempuan dan apa makna semua yang berlaku.

Nota: Artikel ini adalah yang ke 743 di blogspot ini. Nombor ini mengingatkan pada tahun 1743 Masihi di mana sejarah negeri Perak menyebut Sultan Muhammad Shah yang cuba merampas takta pemerintahan Perak daripada kekandanya Sultan Muzaffar Shah III akhirnya mengalah setelah dapat memerintah sejak 1742. Sejarah menyebut ketika itu pemerintahan Perak terpecah 2. Sejarah juga menyebut pada tahun 1743, seorang Raja Bugis bernama Daeng Selili telah mengalahkan lanun di Pulau Sembilan sehingga Perak kembali aman.

Memandangkan sejarah rasmi menyebut Sultan Muhammad Shah yang tercatit sebagai Sultan ke 14 Perak disokong oleh Daeng Chelak untuk menyerang kedudukan Sultan Muzaffar Shah III timbul pertanyaan dalam diri saya, apakah ketua 'lanun' yang dimaksudkan adalah Sultan Muhammad Shah? Sekian buat masa ini. Dah masuk Subuh... :]


Selasa, Oktober 05, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Upacara teh Cina, pengalaman lucu di penthouse dan majlis gilang-gemilang di Shang...

OK.Kita kembali ke cerita raya. Mari... :]

Dalam artikel Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu telah diceritakan tentang majlis penikahan seorang sepupu dan majlis persandingan siang harinya. Keesokannya hari Ahad 19 September 2010 pula diadakan upacara teh Cina. Ini kerana sepupu saya ini separuh Cina, bapanya adalah seorang mualaf dari Melaka.


Bapanya ini telah berbakti kepada negara Malaysia sekian lama. Setelah menamatkan pengajian di universiti tempatan (Universiti Malaya kalau tak salah ingatan) beliau menyambung pelajaran di University of Harvard, Amerika. Saya tak ingat apakah jawatan yang pernah dipegangnya zaman itu, tapi saya ingat beliau pernah mengepalai Guthrie sebelum menjadi pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia seterusnya MESDAQ. Semua ini adalah badan-badan yang menolong memacu ekonomi negara kita. Beliau juga pernah mengetuai operasi Kuwait Finance House di Malaysia dan sekarang menjadi pengerusi Pantai Holdings.

Kepada yang mengenali beliau secara jujur, beliau dianggap salah seorang paling cerdas dalam dunia pengurusan ekonomi di Malaysia. Tetapi bagi mereka yang suka bermain politik, nama beliau mungkin kurang digemari. Apapun, saya cuma hendak memberitahu bahawa bapa saudara berbangsa Cina ini adalah seorang yang telah mencurahkan banyak bakti. Beliau pernah dianiaya kumpulan politikus tertentu sehingga lama duduk termangu tidak bekerja di rumah tetapi alhamdulillah dapat juga kembali ke persada.

Di atas adalah gambar isteri saya dan anak kecil kami Al-Rasyid. Kalau ada yang bertanya kenapa saya suka letak gambar isteri dan anak, jawab saya senang je. Blogspot saya... saya punya suka le. Lagipun memang saya sangat sayangkan mereka dan untuk hari raya ini saya suka bercerita pasal keluarga kerana hari raya jadi lebih bermakna apabila bersama mereka. Jadilah kaya atau berkuasa sampai ke mana sekalipun, tanpa keluarga kita sebenarnya adalah orang yang sangat sengsara lagi papa kedana...


Isteri dan anak bersama seorang sepupu lain (bukan anak bapa saudara berbangsa Cina). Bapa sepupu ini turut banyak mencurahkan bakti kepada negara. Karier beliau juga pernah cuba dipadamkan oleh pihak tertentu kerana iri hati. Namun hingga kini perkhidmatannya dicari kerana kepakaran yang dimiliki dan diyakini...


Ini pula saya bersama Al-Rasyid yang tidak mahu duduk diam. Saya dah sebut tentang bapa-bapa saudara yang karier mereka cuba dipadamkan kan? Well... karier saya sendiri memang dah lama padam. Heh! Kalau ada sesiapa nak tahu apa yang berlaku, bacalah luahan pengalaman dan perasaan pada artikel Mereka yang menjual agama sehingga sanggup menjatuhkan negara... dan Hati-hati terhadap pengkhianat yang mengaku pejuang agama, bangsa dan negara . Namun apa yang berlaku akhirnya membawa saya untuk menulis siri buku "Berpetualang ke Aceh"... (Hmm. Bahagian ini asalnya cuma nak bercerita pasal upacara teh Cina sahaja tetapi dah terkeluar pula pasal bab karier yang dikacau. Dah tu, saya menulis secara spontan... itu pula yang terkeluar dahulu...) :]



OK. Berbalik pada upacara teh Cina. Oleh kerana sepupu yang baru berkahwin (lelaki) ini bapanya berbangsa Cina, tradisi keluarga sebelah itu mahu dihidupkan. Bukan melanggar akidah pun atau bertentangan dengan Islam. Cuma tradisi ni mungkin agak 'mengerikan' bagi kita yang tak biasa kerana setiap seorang yang dipanggil, orang yang telah berkahwin untuk menerima hidangan teh dari pengantin harus memberi duit paling kurang pun beberapa ratus Ringgit kepada tiap seorang mereka sebelum pengantin pula memberikan sedikit duit kepada saudara-mara yang masih bujang atau anak dara juga budak kecil. Lihat video klip pada artikel My first taste of a Chinese tea ceremony for newly-weds... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas upacara teh kami naik ke penthouse di tingkat 27. Oh, kami berada hotel Shangri-La di tengah bandaraya Kuala Lumpur, juga sering dipanggil sebagai Shang...



Di penthouse berlaku sesuatu yang lucu apabila siapa entah samada sengaja atau tidak telah membuka tirai di ruang tamu lalu kelihatan orang baru turun dari tingkat atas mahu mencuci tingkap... terus tergelak besar mereka yang lebih dewasa...


Kanak-kanak kecil seperti Al-Rasyid pula terus tercegat terpaku lama di lantai. Pelik agaknya melihat apa yang dibuat orang di luar tingkap. Lihat video klip bawah. Lihat juga artikel The antics at the Sharing-La penthouse. :]






Malam itu pula diadakan acara makan malam penuh gemilang di dewan lain hotel...



Isteri saya bersama Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Turut hadir adalah isteri Raja Nazrin iaitu Raja Puan Besar Zara Salim Davidson, Sultan Kedah dan Sultanah, Raja Perlis dan Raja Muda berserta isteri masing-masing, Tuanku Najihah (isteri almarhum Yamtuan Jaafar Negeri Sembilan) dan kerabat juga politikus seperti Ali Rustam, Syed Hamid Albar, Anuar Musa, ahli perniagaan dan ramai lagi.

Hmm... entah kenapa saya terperanjat melihat kelibat Tan Sri Saleh Sulong yang pernah menerajui DRB-Hicom selepas Tan Sri Yahya Ahmad terbunuh akibat kemalangan helikopter. Lama tak mendengar berita tentangnya agaknya. Lihat The lavish night reception at Shangri-La. Cukuplah bab perkahwinan sepupu...