Jumaat, Oktober 08, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Kembali lagi ke Muar... sempat ke rumah ipar di beberapa tempat juga pertunangan sepupu di Segamat

Assalamualaikum semua. Menurut kalendar yang dilihat, hari ini Jumaat 29 Syawal adalah hari terakhir kita menyambut raya. Namun melihat pada koleksi gambar terbaru ada 4 artikel lagi harus dibuat untuk siri "Al-Rasyid berhari raya" ini. Biar dimulakan dengan ini...


Jumaat malam Sabtu 24 September 2010 merangkap malam ke 16 raya, kami singgah di rumah kakak kepada isteri di Kampung Jenjarom berdekatan Banting. Selangor.




Di sini anak kecil kami Al-Rasyid dapat merasa duduk dalam buaian kembali. Maklumlah dia tidak lagi menggunakan buaian sejak pengasuh memulangkan buaian yang kami beri kira-kira 3-4 bulan lalu. Katanya kerana menurut piawaian baru pengasuh yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarat. Kami juga turut memberhentikan penggunaan satu lagi buaian yang ada di rumah. Lagipun Al-Rasyid lebih biasa tidur bersama kami atas tilam...





Bersama keluarga kakak ipar (lagi muda dari saya tetapi disebabkan dia kakak kepada isteri, tetap saya panggil kakak). Sebenarnya kami singgah ke sini dalam perjalanan mahu kembali ke Muar.

Kami turut singgah ke rumah abang sulung isteri yang terletak di Bukit Changgang berhampiran KLIA. Sebenarnya baik keluarga abang sulung mahupun kakak tadi tidak sempat ditemui semasa kami kembali berhari-raya di rumah keluarga isteri di Tanjung Sepat 2 minggu sebelum itu. Oleh kerana saya mahu kembali ke Muar kerana ada urusan buku eloklah dibuat sekali ziarah dalam perjalanan. Dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri, Rawang kami boleh ke Jenjarom seterusnya Bukit Changgang sebelum masuk ke mana-mana jalan atau lebuhraya menghala ke Muar melalui Nilai ataupun Seremban.


Kami turut mengambil peluang singgah beriktikaf di Masjid Kampung Hulu, Melaka. Untuk bulan Syawal ini baru kali ini kami singgah, dapat juga berehat sedikit merehatkan badan. Saya juga menziarahi makam ulamak yang dikatakan bertaraf wali Sayyid Abdullah Al-Hadad di hadapan masjid juga makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani (juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin Pasai) tidak jauh dari sini. Kami sampai ke Muar sekitar jam 4 pagi lalu dapat berjumpa dengan beberapa orang saudara lain yang baru sampai.




Pagi Sabtu, selepas membasuh kereta saya membawa isteri dan anak menikmati hidangan nasi beringin di satu warung kegemaran saya di stesyen bas bandar.





Letaknya di tepian Sungai Muar, boleh kelihatan bahagian kuala yang masuk ke Selat Melaka.





Ini adalah menara di hadapan jambatan lama.




Jambatan ini namanya Jambatan Sultan Ismail.






Selepas Zuhur, kami pergi ke majlis kahwin seorang saudara ibu di kawasan seberang jambatan sebelum mengikut bapa dan ibu pergi ke Segamat.





Alang-alang sudah berada di Muar, kami diminta bersama untuk ke majlis pertunangan seorang sepupu saya dari belah bapa.





Untuk mengelakkan kesesakan yang sering melanda jalan hingga ke Tangkak, kami mengambil satu jalan alternatif dari belah Bukit Gambir dan Parit Zing keluar ke Sagil.






Kelihatan Gunung Ledang memenuhi pandangan di kiri sambil kami menghala ke Jementah sebelum sampai ke Segamat.





Adik lelaki saya dan anaknya makan di majlis pertunangan...





Sementara ada yang makan, bapa sebagai ketua rombongan keluarga kami memulakan bicara...









Selepas majlis tamat kami pergi ke rumah kakak tertua isteri di Jelai, Negeri Sembilan.






Tiga buah keluarga yang pergi ke majlis pertunangan turut ikut ke Jelai dengan tiga buah kereta. Lagipun satu keluarga mahu ke Kuala Pilah yang terletak hampir dalam perjalanan, satu lagi mahu kembali ke Kuantan yang boleh dicapai melalui satu jalan berdekatan Jelai.




Apapun kami telah memanfaatkan hari itu sebaik mungkin dengan banyak aktiviti silaturrahim. Melihat artikel ini ditulis pada hari terakhir bulan Syawal, saya terasa ingin merujuk kembali pada artikel yang buat hari terakhir bulan Syawal tahun lepas. Terfikir juga tahun ini saya banyak menulis tentang raya sedangkan tahun lepas cuma sedikit sahaja walhal aktivitinya banyak juga. Cuma mungkin kami kurang sikit berjalan kerana isteri sedang sarat mengandung menunggu masa sahaja untuk bayi keluar... itupun masih sempat kembali ke Muar...

Teringat majlis perkahwinan seorang sepupu tahun itu di Bukit Damansara yang juga boleh tahan gemilang tetapi tidak banyak dihuraikan. Bukan apa, tahun ini raya terasa lebih istimewa kerana adanya Al-Rasyid, agaknya sebab itu saya seronok bercerita panjang. Tahun lepas dia masih dalam perut, 24 Syawal baru keluar. Apapun lihatlah artikel lama ini, Perkahwinan seorang sepupu, perjumpaan keluarga dan rancangan buku terbaru.... Ingat, masih ada 3 lagi artikel sebelum siri ini tamat...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan