Selasa, Oktober 05, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Upacara teh Cina, pengalaman lucu di penthouse dan majlis gilang-gemilang di Shang...

OK.Kita kembali ke cerita raya. Mari... :]

Dalam artikel Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu telah diceritakan tentang majlis penikahan seorang sepupu dan majlis persandingan siang harinya. Keesokannya hari Ahad 19 September 2010 pula diadakan upacara teh Cina. Ini kerana sepupu saya ini separuh Cina, bapanya adalah seorang mualaf dari Melaka.


Bapanya ini telah berbakti kepada negara Malaysia sekian lama. Setelah menamatkan pengajian di universiti tempatan (Universiti Malaya kalau tak salah ingatan) beliau menyambung pelajaran di University of Harvard, Amerika. Saya tak ingat apakah jawatan yang pernah dipegangnya zaman itu, tapi saya ingat beliau pernah mengepalai Guthrie sebelum menjadi pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia seterusnya MESDAQ. Semua ini adalah badan-badan yang menolong memacu ekonomi negara kita. Beliau juga pernah mengetuai operasi Kuwait Finance House di Malaysia dan sekarang menjadi pengerusi Pantai Holdings.

Kepada yang mengenali beliau secara jujur, beliau dianggap salah seorang paling cerdas dalam dunia pengurusan ekonomi di Malaysia. Tetapi bagi mereka yang suka bermain politik, nama beliau mungkin kurang digemari. Apapun, saya cuma hendak memberitahu bahawa bapa saudara berbangsa Cina ini adalah seorang yang telah mencurahkan banyak bakti. Beliau pernah dianiaya kumpulan politikus tertentu sehingga lama duduk termangu tidak bekerja di rumah tetapi alhamdulillah dapat juga kembali ke persada.

Di atas adalah gambar isteri saya dan anak kecil kami Al-Rasyid. Kalau ada yang bertanya kenapa saya suka letak gambar isteri dan anak, jawab saya senang je. Blogspot saya... saya punya suka le. Lagipun memang saya sangat sayangkan mereka dan untuk hari raya ini saya suka bercerita pasal keluarga kerana hari raya jadi lebih bermakna apabila bersama mereka. Jadilah kaya atau berkuasa sampai ke mana sekalipun, tanpa keluarga kita sebenarnya adalah orang yang sangat sengsara lagi papa kedana...


Isteri dan anak bersama seorang sepupu lain (bukan anak bapa saudara berbangsa Cina). Bapa sepupu ini turut banyak mencurahkan bakti kepada negara. Karier beliau juga pernah cuba dipadamkan oleh pihak tertentu kerana iri hati. Namun hingga kini perkhidmatannya dicari kerana kepakaran yang dimiliki dan diyakini...


Ini pula saya bersama Al-Rasyid yang tidak mahu duduk diam. Saya dah sebut tentang bapa-bapa saudara yang karier mereka cuba dipadamkan kan? Well... karier saya sendiri memang dah lama padam. Heh! Kalau ada sesiapa nak tahu apa yang berlaku, bacalah luahan pengalaman dan perasaan pada artikel Mereka yang menjual agama sehingga sanggup menjatuhkan negara... dan Hati-hati terhadap pengkhianat yang mengaku pejuang agama, bangsa dan negara . Namun apa yang berlaku akhirnya membawa saya untuk menulis siri buku "Berpetualang ke Aceh"... (Hmm. Bahagian ini asalnya cuma nak bercerita pasal upacara teh Cina sahaja tetapi dah terkeluar pula pasal bab karier yang dikacau. Dah tu, saya menulis secara spontan... itu pula yang terkeluar dahulu...) :]



OK. Berbalik pada upacara teh Cina. Oleh kerana sepupu yang baru berkahwin (lelaki) ini bapanya berbangsa Cina, tradisi keluarga sebelah itu mahu dihidupkan. Bukan melanggar akidah pun atau bertentangan dengan Islam. Cuma tradisi ni mungkin agak 'mengerikan' bagi kita yang tak biasa kerana setiap seorang yang dipanggil, orang yang telah berkahwin untuk menerima hidangan teh dari pengantin harus memberi duit paling kurang pun beberapa ratus Ringgit kepada tiap seorang mereka sebelum pengantin pula memberikan sedikit duit kepada saudara-mara yang masih bujang atau anak dara juga budak kecil. Lihat video klip pada artikel My first taste of a Chinese tea ceremony for newly-weds... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas upacara teh kami naik ke penthouse di tingkat 27. Oh, kami berada hotel Shangri-La di tengah bandaraya Kuala Lumpur, juga sering dipanggil sebagai Shang...



Di penthouse berlaku sesuatu yang lucu apabila siapa entah samada sengaja atau tidak telah membuka tirai di ruang tamu lalu kelihatan orang baru turun dari tingkat atas mahu mencuci tingkap... terus tergelak besar mereka yang lebih dewasa...


Kanak-kanak kecil seperti Al-Rasyid pula terus tercegat terpaku lama di lantai. Pelik agaknya melihat apa yang dibuat orang di luar tingkap. Lihat video klip bawah. Lihat juga artikel The antics at the Sharing-La penthouse. :]






Malam itu pula diadakan acara makan malam penuh gemilang di dewan lain hotel...



Isteri saya bersama Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Turut hadir adalah isteri Raja Nazrin iaitu Raja Puan Besar Zara Salim Davidson, Sultan Kedah dan Sultanah, Raja Perlis dan Raja Muda berserta isteri masing-masing, Tuanku Najihah (isteri almarhum Yamtuan Jaafar Negeri Sembilan) dan kerabat juga politikus seperti Ali Rustam, Syed Hamid Albar, Anuar Musa, ahli perniagaan dan ramai lagi.

Hmm... entah kenapa saya terperanjat melihat kelibat Tan Sri Saleh Sulong yang pernah menerajui DRB-Hicom selepas Tan Sri Yahya Ahmad terbunuh akibat kemalangan helikopter. Lama tak mendengar berita tentangnya agaknya. Lihat The lavish night reception at Shangri-La. Cukuplah bab perkahwinan sepupu...


2 ulasan:

  1. Dari tulisan Mu>"""Di atas adalah gambar isteri saya dan anak kecil kami Al-Rasyid. Kalau ada yang bertanya kenapa saya suka letak gambar isteri dan anak, jawab saya senang je. Blogspot saya... saya punya suka le. Lagipun memang saya sangat sayangkan mereka dan untuk hari raya ini saya suka bercerita pasal keluarga kerana hari raya jadi lebih bermakna apabila bersama mereka. Jadilah kaya atau berkuasa sampai ke mana sekalipun, tanpa keluarga kita sebenarnya adalah orang yang sangat sengsara lagi papa kedana"""""



    _________________________________

    terlalu sayang bahaya oooo....DIA sangat2 pencemburu,DIA akan ambil tiba-tiba aje,bolih angau jadinya....aku dah kena dah ujian sebegitu...hati2lah dgn dunia ni...

    DIA mengatakan anak,isteri dan harta benda itu adalah fitnah...


    Adiosss!!!

    BalasPadam
  2. Terimakasih atas ingatan. Dah kena dah pun. Sudah saya ceritakan melalui siri buku "Berpetualang ke Aceh" bagaimana saya kehilangan kerja, harta benda, kematian beberapa orang ahli keluarga dan bercerai dengan isteri dahulu lalu terpisah dengan anak hingga kini. Semua itu berlaku dalam tempoh beberapa bulan sahaja sebelum bertahun saya merayap ke sana ke mari tidur di masjid-masjid dan sebagainya...

    Anak dan isteri yang ada sekarang adalah anugerah atas apa yang saya perjuangkan selama itu sehingga sanggup hilang kerja dan harta benda lalu tak sekepala dengan isteri dahulu. Saya pernah berdoa dan merayu kepada Allah tentang hal ini kerana tak tahan lagi bertahun bergerak bersendirian lalu Allah menghantar mereka sebagai sokongan. Itu sahaja... :]

    BalasPadam